Ayahanda Dan Bonda Rasulullah SAW

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

اللهم صل على محمد وآل محمد

 

.

Sebagaimana yang telah kita sedia maklum Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam adalah dilahirkan daripada keluarga dan keturunan yang baik-baik dan terpelihara nasabnya. Bagi mengwujudkan rasa lebih mencintai dan menyayangi Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam, marilah kita memahami keluarga terdekat Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam. 

.

Ayahanda Rasulullah SAW

Abdullah bin Abdul Muthalib (عبد الله بن عبد المطلب) merupakan bapa kepada junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam. Nama penuhnya ialah Abdullah bin Abdul Muthalib (Syaibah) bin Hasyim (Amru) bin Abdul Manaf (Mughirah) bin Qusai (Zaid) bin Kilab bin Murrah. Qusai bin Kilab diriwayatkan merupakan orang Arab Quraisy pertama yang menjadi penjaga kepada Bait Suci Allah iaitu Kaabah.

 .

Ibu Abdullah bernama Fatimah binti Amru bin ‘Aaiz bin Imran bin Makhzum bin Yaqzhah bin Murrah. Abdullah adalah anak yang terbaik yang paling tampan dan yang paling bersih jiwanya di antara putera-putera Abdul Muthalib. Oleh kerana itu tidak menghairankanlah, Abdullah telah menjadi anak yang paling disayangi oleh bapanya, Abdul Muttalib.

 .

.

Bonda Rasulullah SAW

Aminah binti Wahab merupakan bonda kepada junjungan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam. Nama penuhnya ialah Aminah binti Wahab bin Abdul Manaf bin Zuhrah bin Kilab bin Murrah. Aminah telah dilahirkan di Makkah. Beliau ialah wanita dalam keturunan Bani Zuhrah, salah satu suku dalam kaum Arab Quraisy dimana merupakan keturunan dari Nabi Ibrahim a.s. melalui anak baginda Nabi Ismail a.s..

 .

Datuk Aminah, Zuhrah bin Kilab adalah saudara lelaki (adik) kepada Qusai bin Kilab, dimana Qusai ialah nenek moyang kepada Abdullah bin Abdul Muttalib.  Ini bermakna nasab kedua orang tua Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam sebenarnya berkait dan bertemu pada Kilab bin Murrah iaitu Abdullah dari generasi ke 5 dan Fatimah adalah generasi ke 4 kepada Kilab.

 .

.

Perkahwinan Abdullah Dengan Aminah

Abdullah adalah seorang pemuda yang tegap dan tampan. Ketika umur Abdullah dua puluh empat tahun, bapanya, Abdul Muthalib ibn Hashim telah memilihkan jodoh dan menetapkan perkahwinan puteranya itu dengan seorang gadis bernama Aminah binti Wahab bin Abdul Manaf bin Zuhrah bin Kilab. Aminah ketika itu berusia 17 tahun merupakan wanita Quraisy terbaik dan termasuk wanita idola di kalangan orang-orang Quraisy baik dari segi nasab keturunan ataupun kedudukan martabatnya. Ayahanda Aminah adalah ketua suku Bani Zahrah secara nasab dan kedudukannya.

 .

Diceritakan dua beranak itu pun pergi mengunjungi keluarga Zuhrah bagi menemui Wahab dan melamar puterinya. Sebahagian penulis sejarah pula berpendapat, mereka pergi menemui pakcik Aminah bernama Uhyab kerana waktu itu ayahnya telah meninggal dan dia di bawah asuhan bapa saudaranya itu.

 .

Pada hari perkahwinan Abdullah dengan Aminah itu, Abdul Muthalib juga berkahwin dengan Hala, puteri pakciknya. Dari perkahwinan ini lahirlah Hamzah, pakcik Nabi yang seusia dengan dia.

 .

Abdullah dengan Aminah telah tinggal selama tiga hari di rumah Aminah, sesuai dengan adat kebiasaan Arab apabila perkahwinan dilangsungkan di rumah keluarga pengantin perempuan. Sesudah itu mereka sama-sama berpindah ke rumah keluarga Abdul Muthalib.

 .

.

Berdagang

Selepas berkahwin, bapa Abdullah iaitu Abdul Muttalib yang juga penjaga Kaabah di Makkah, telah meminta Abdullah untuk mengikut kabilah Arab untuk berdagang di ‘as-Sham’ (kini Syria). Seorang bakal ayah pun terpaksa berangkat meninggalkan kotanya tercinta. Beliau menuju ke Syam dalam suatu rangka perdagangan dengan meninggalkan isteri yang dalam keadaan hamil, untuk mencari rezeki demi menyara keluarganya. Isterinya yang sedang mengandung bakal buah hati pun terpaksa merelakan suaminya untuk pergi ke sana. Dengan harapan akan kembali dengan membawa khabar gembira.

 .

Dalam perjalanannya itu Abdullah tinggal selama beberapa bulan di Sham. Dalam pada itu ia juga  pergi ke Gaza dan kembali semula. Abdullah setelah pulang dari Syam, singgah di kota Madinah untuk melawat keluarganya seperti yang diperintahkan bapanya Abdul Muthalib. Dia singgah ke rumah ibu saudaranya di Madinah untuk beristirehat setelah berasa letih selama dalam perjalanan. Kemudian ia akan pulang semula dengan kafilah ke Makkah untuk bertemu keluarganya. Pada ketika itu juga isterinya Aminah semakin sarat mengandungkan seorang bayi yang kelak menjadi seorang Nabi dan Rasul yang agung.

 .

Walaubagaimanapun dalam perjalanan pulang kembali ke Makkah, Abdullah telah ditakdirkan jatuh sakit dan menderita di rumah ibu saudaranya itu. Rakan-rakannya pun terpaksa pulang terlebih dulu meninggalkan dia dan merekalah yang menyampaikan berita sakitnya itu kepada ayahnya setelah mereka sampai di Makkah.

 .

.

Abdullah Meninggal

Tak berapa lama selepas dia dihantar oleh ayahnya, Abdul Muthalib ke Madinah, Abdullah telah diserang penyakit. Apabila berita sampai kepada Abdul Muthalib, ia mengutus anak sulungnya, Harith pergi ke Madinah, supaya membawa Abdullah kembali setelah ia sembuh. Tetapi sebulan sesudah kafilahnya berangkat dari Makkah iaitu sebaik sampai abangnya di Madinah, dia dimaklumkan bahawa Abdullah telah meninggal dunia dan sudah dikuburkan pula di Daar an-Naabighah al-Ja’di. Kembalilah Harith kepada keluarganya dengan membawa perasaan pilu atas kematian adiknya itu.

  .

Ketika meninggal dunia itu Abdullah baru berumur 25 tahun dan tahun meninggalnya itu adalah sebelum kelahiran Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Ada riwayat yang menyebutkan bahawa dia meninggal dua bulan atau lebih selepas kelahiran Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam.

 .

.

Sedih

Sebaik berita kematiannya sampai ke Makkah, isterinya Aminah meratapi pemergian si suami, kesedihan menimpa hati Aminah kerana ia kehilangan seorang suami yang selama ini menjadi harapan kebahagiaan hidupnya. Air mata Aminahpun menitis tanpa terasa, mengingati calon buah hati yang akan lahir yatim. Beliau melepaskan rasa hatinya dengan untaian ‘ar-Ratsaa’ (bait syair yang mengandungi ungkapan kepedihan hati atas kematian seseorang dengan menyebut kebaikan-kebaikannya) yang paling indah dan menyentuh:

 .

Seorang putera Hasyim tiba (dengan kebaikan) di tanah lapang berbatu
Keluar menghampiri liang lahad tanpa meninggalkan kata yang jelas
Rupanya kematian mengundangnya lantas disambutnya
Tak pernah ia (maut) mendapatkan orang seperti putera Hasyim
Di kala mereka memikul keranda kematiannya
Kaum-kerabatnya saling berdesakan untuk menghantarnya
Bilakala pemandangan berlebihan itu setelah maut untuknya
Sungguh layak kerana dia adalah si banyak memberi dan penuh kasih.

 .

Demikian juga Abdul Muthalib, rasa duka dan sedih menimpa hati beliau. Abdul Muthalib sangat sayang kepadanya sehingga penebusannya terhadap Sang Berhala yang demikian rupa belum pernah terjadi di kalangan masyarakat Arab sebelum itu.

 .

.

Harta Peninggalan

Harta yang ditinggalkan oleh Abdullah adalah terdiri daripasa lima ekor unta, sekumpulan kambing dan seorang hamba perempuan dari Habasyah bernama Barakah atau Kun-yah (nama panggilannya) adalah Ummu Aiman ​​yang merupakan pengasuh Rasulullah Shallallahu’ alaihi wasallam.

 .

Peninggalan harta serupa itu bukanlah bererti suatu tanda kekayaan, tapi tidak juga merupakan suatu kemiskinan. Ini adalah hasil perancangan jangka panjang dan sikap ketanggung jawaban Abdullah terhadap diri dan kelluarga kerana ketika Abdullah yang masih dalam usia muda belia, beliau sudah mampu bekerja dan berusaha mencapai kekayaan. Dalam pada itu ia memang tidak mewarisi sebarang harta dari ayahnya yang masih hidup itu.

 .

.

Anak

Diriwayatkan muka/wajah Abdullah menjadi berseri-seri dan cerah apabila mendapat tahu beliau akan mendapat anak lelaki, hasil dari perkahwinan dengan Aminah tetapi Abdullah telah ditakdirkan meninggal dunia ketika kandungan Aminah baru berusia dua bulan.

 .

Hasil perkongsian hidup tersebut, lahirlah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Pada pagi hari Isnin, 9 Rabiul Awwal Tahun Gajah, Aminah telah selamat melahirkan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam di rumah Abu Talib yang terletak di perkampungan bani Hasyim, berbidankan al-Syifa’.

 .

Sebelum Aminah melahirkan sang buah hati, dia selalu bermimpi bahawa sebuah cahaya keluar dari dirinya dan menerangi semua istana di Syam. Setelah tiba hari yang telah ditentukan Allah SWT sebagai hari kelahiran Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam iaitu hari Isnin, 9 Rabi’ul Awwal, keluarlah anak comel  dari perut ibunya, dengan dikelilingi oleh cahaya yang menerangi seluruh istana Syam. Dengan tanpa merasakan sakit sedikit pun ibunya pun tersenyum gembira, melihat si buah hati yang di kandungnya telah keluar ke dunia dengan selamat.

.

.

Tiga Ibu

Hari berganti hari, bulan berganti bulan dengan mempunyai tiga ibu yang sangat mencintainya, Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam tak lagi merasa bahawa dia lahir yatim, tanpa ayah yang menyayanginya. Akan tetapi dengan tiga ibu tersebut sudah mencukupi sebagai pengganti rasa pahitnya keyatiman. Iaitu ibu yang telah melahirkannya, Aminah at-Taahirah, ibu yang menjaganya, Barkah al-baarrah wal wadud dan  ibu yang menyusuinya iaitu Halimah Assa’diyah.

.

Di tahun yang ke Enam dari kelahirannya, Ibu tercinta mengajak Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam untuk berziarah ke makam ayahnya di Madinah dengan ditemani seorang pembantu. Dia ingin memperkenalkannya dengan saudara-saudaranya dari Bani Najjar dan tinggal bersama mereka di situ untuk beberapa bulan. Kemudian mereka ingin pulang ke rumah mereka di Makkah.

.

Dalam perjalanan si ibu merasakan sakit yang amat sangat sehingga semua rasa sakit terkumpul menjadi satu dan dia berkata: “Semua yang hidup akanlah mati, semua yang baru akan sirna, dan semua yang besar akan rosak, dan saya akan mati dan meninggalkan kenangan yang tak sirna, dan aku telah melahirkan seorang yang sangat suci.” Si ibu pun telah kembali kepada Yang Maha Pencipta dengan meninggalkan anaknya sendiri bersama pembantunya. Mereka menuju ke rumah datuknya dengan membawa kesedihan yang berlipat-ganda.

.

Setelah sampai kepada datuknya, datuknya pun telah memberikan lebih perhatian, menjaganya lebih dari putra-putranya yang lain, agar cucu tercinta tidak merasakan kepahitan menjadi anak yatim piatu, dia menyayanginya sebagaimana orang tua menyayangi dan mengasihi anaknya sendiri.

.

.

Aminah Meninggal

Setelah cukup sebulan mereka tinggal di Madinah, Aminah dan rombongan bersiap-siap untuk pulang dengan dua ekor unta yang akan membawa mereka dari Mekah. Tetapi  dalam perjalanan pulang dari menziarahi saudara mara suaminya, ketika mereka sampai di al-Abwa’, Aminah pula menderita sakit yang kemudiannya meninggal dunia dan dikuburkan juga di tempat itu.

 .

Anaknya iaitu Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam yang dijaga oleh Umm Aiman dibawa pulang ke Mekah, Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam pulang dengan hati yang pilu sambil menangis. Ia kini sebatang kara dan semakin merasa kehilangan; sudah ditakdirkanNya menjadi anak yatim-piatu. Terasa olehnya hidup yang semakin sunyi dan sedih. Baru beberapa hari yang lalu ia mendengar dari Bondanya keluhan duka kehilangan Ayahanda semasa ia masih dalam kandungan. Kini ia melihat sendiri dihadapannya, Bondanya pergi untuk tidak kembali lagi, seperti Ayahandanya dulu. Tubuh yang masih kecil itu kini dibiarkan memikul beban hidup yang berat sebagai yatim-piatu.

 .

Kecintaan Abdul Muthalib kepada Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam semakin bertambah tetapi sungguhpun begitu, kenangan sedih sebagai anak yatim-piatu itu masih mendalam sekali. Berbekas dalam jiwanya sehingga di dalam Qur’an pun disebutkan, ketika Allah SWT mengingatkan Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam akan nikmat yang dianugerahkan kepadanya itu:

 أَلَمْ يَجِدْكَ يَتِيمًا فَآوَىٰ ﴿٦﴾وَوَجَدَكَ ضَالًّا فَهَدَىٰ ﴿٧

Firman Allah SWT: Bukankah engkau dalam keadaan yatim-piatu? Lalu diadakanNya orang yang akan melindungimu? Dan menemukan kau kehilangan pedoman, lalu ditunjukkanNya jalan itu?”   (Surah ad-Dhuha; Ayat 6 – 7)

.

.

والله أعلم بالصواب

Wallahu A’lam bishowab

(Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)

.

والسلام علبكم و رحمة الله و بركاته

.

Posted by; shafiqolbu

About these ads

2 responses to this post.

  1. Posted by salma rahma dewi on 10/06/2013 at 7:46 pm

    ssubhanalllllahhhhhh
    :’) bgitu istmwa engkau my prophet

    Reply

  2. […] perutnya yang memancarkan sinar yang terang menyinari seluruh alam. Sehingga dalam mimpi tersebut Siti Aminah dapat melihat bangunan yang tinggi yang terletak di Kota […]

    Reply

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 1,818 other followers

%d bloggers like this: