Pertikaian Tentang Kelebihan / Fadhilat Solat Sunat Tarawih

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Penyayang

Puji-pujian bagi Allah Subhanahu wata’ala, selawat dan salam keatas junjungan kita Nabi Muhammad Sallaahu ‘alaihi wasallam serta para sahabatnya.

 

Terdapat  suatu hadis berkaitan dengan kelebihan / fadilat Solat Sunat Tarawih pada malam-malam Ramadhan telah tersebar melalui pelbagai media dengan harapan dapat menggalakkan umat Islam supaya rajin beramal ibadat, terutamanya dalam bulan Ramadhan yang diberkati ini. Hadis yang dimaksudkan itu adalah satu hadis yang agak panjang seperti berikut:

 

 

Diriwayatkan oleh Sayyidina Ali r.a. bahawa Rasulullah SAW telah bersabda berkenaan dengan fadilat solat Tarawih pada bulan Ramadhan:

 

1. Kelebihan Solat Tarawih Malam Pertama

  • Diampuni dosa orang-orang yang beriman sebagaimana keadaannya baru dilahirkan.

 

2. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kedua

  • Diampunkan dosa orang-orang yang beriman yang mengerjakan solat Tarawih, serta dosa-dosa kedua ibubapanya.

 

3. Kelebihan Solat Tarawih Malam Ketiga

  • Para malaikat di bawah ‘Arasy menyeru kepada manusia yang mengerjakan solat Tarawih itu agar meneruskan solatnya pada malam-malam yang lain, semoga Allah akan mengampunkan dosa-dosa mereka.

 

4. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keempat

  • Orang-orang yang mengerjakan solat Tarawih akan memperolehi pahala sebagaimana pahala yang diperolehi oleh orang-orang yang membaca kitab-kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran.

 

5. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kelima

  • Allah SWT akan mengurniakan pahala seumpama pahala orang-orang yang mengerjakan sembahyang di Masjidil Haram, Masjidil Madinah dan Masjidil Aqsa.

 

6. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keenam

  • Allah S.W.T akan mengurniakan kepadanya pahala seumpama pahala malaikat-malaikat yang bertawaf di Baitul Makmur serta setiap batu dan tanah berdoa untuk keampunan orang-orang yang mengerjakan tarawih malam itu.

 

7. Kelebihan Solat Tarawih Malam Ketujuh

  • Seolah-olah ia dapat bertemu dengan Nabi Musa a.s serta menolong Nabi itu menentang musuhnya Fir’aun dan Hamman.

 

8. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kelapan

  • Allah S.W.T mengurniakan pahala orang yang bersolat tarawih sebagaimana pahala yang dikurniakan kepada Nabi Ibrahim a.s.

 

9. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kesembilan

  • Allah S.W.T akan mengurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hamba-Nya seperti Nabi Muhammad s.a.w.

 

10. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kesepuluh

  • Allah SWT mengurniakan kepadanya kebaikan dunia dan akhirat.

 

11. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kesebelas

  • Ia meninggal dunia di dalam keadaan bersih dari dosa seperti baru dilahirkan.

 

12. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduabelas

  • Ia akan dibangkitkan pada hari kiamat dengan muka yang bercahaya-cahaya.

 

13. Kelebihan Solat Tarawih Malam Ketigabelas

  • Ia akan datang pada hari kiamat di dalam keadaan aman sentosa dari sebarang kejahatan dan keburukan.

 

14. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keempatbelas

  • Malaikat-malaikat akan datang menyaksikan mereka bersolat Tarawih serta Allah S.W.T. tidak akan menyesatkan mereka.

 

15. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kelimabelas

  • Semua malaikat yang memikul ‘Arasy dan Kursi akan berselawat dan mendoakannya supaya Allah mengampunkannya.

 

16. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keenambelas

  • Allah S.W.T. menuliskan baginya dari kalangan mereka yang terlepas dari api neraka dan dimasukkan ke dalam syurga.

 

17. Kelebihan Solat Tarawih Malam Ketujuhbelas

  • Allah S.W.T menuliskan baginya pahala pada malam ini sebanyak pahala Nabi-Nabi.

 

18. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kelapanbelas

  • Malaikat akan menyeru: Wahai hamba Allah sesungguhnya Allah telah redha denganmu dan dengan kedua ibu bapamu (yang masih hidup atau yang sudah mati).

 

19. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kesembilanbelas

  • Allah S.W.T akan meninggikan darjatnya di dalam Syurga Firdaus.

 

20. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh

  • Allah S.W.T mengurniakan kepadanya pahala sekelian orang yang mati syahid dan orang-orang soleh.

.

21. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh satu

  • Allah S.W.T akan membina untuknya sebuah mahligai di dalam syurga yang diperbuat dari cahaya.

 

22. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh dua

  • Ia akan datang pada hari kiamat di dalam keadaan aman dari sebarang huru-hara pada hari tersebut.

 

23. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh tiga

  • Allah S.W.T akan membina untuknya sebuah bandar di dalam syurga daripada cahaya.

 

24. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh empat

  • Allah S.W.T akan membuka peluang untuk dua puluh tahun ibadat bagi orang-orang yang mengerjakan solat Tarawih pada malam tersebut.

 

25. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh lima

  • Allah S.W.T akan mengangkat seksa kubur darinya.

 

26. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh enam

  • Allah S.W.T akan mengurniakan pahala empat puluh tahun ibadat bagi orang-orang yang mengerjakan solat Tarawih pada malam tersebut.

 

27. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh tujuh

  • Allah S.W.T akan mengurniakan kepadanya kemudahan untuk melintasi titian sirat sepantas kilat.

 

28. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh lapan

  • Allah S.W.T akan menaikkan kedudukannya seribu darjat di akhirat.

 

29. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh sembilan

  • Allah S.W.T akan mengurniakan kepadanya pahala seribu haji yang mabrur.

 

30. Kelebihan Solat Tarawih Malam Ketigapuluh

  • Allah S.W.T akan memberi penghormatan kepada orang yang bertarawih pada malam terakhir dengan firman-Nya (yang bermaksud): Wahai hambaku!, makanlah segala jenis buah-buahan yang Engkau ingini untuk dimakan di dalam syurga dan mandilah kamu di dalam sungai yang bernama salsabil serta minumlah air dari telaga yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad s.a.w. yang bernama Al-Kautsar.

 

 

Namun begitu beberapa tokoh agama tidak dapat memberikan penjelasan dari manakah asal usul hadis ini. Dalam kitab induk hadis seperti Sunan Sittah dan lain-lain kitab hadis lagi, ianya tidak ditemui. Begitu juga dalam kitab-kitab hadis palsu (maudhu`aat) sendiri pun tidak didapati hadis ini. Ini menunjukkan bahawa hadis ini merupakan satu hadis yang baru diada-adakan sehingga ulama-ulama hadis dahulu yang menulis tentang hadis maudhu` pun tidak mengetahui akan wujudnya hadis ini.

 

 

Antara ciri-ciri hadis maudhu`(rekaan) dari segi zahirnya selain dari meneliti sanad perawinya ialah

 

1. Kelebihan yang disebutkan menyamai atau mengatasi kelebihan yang terdapat pada para sahabat nabi kita Muhammad SAW. atau orang yang berjuang bersama dengan nabi yang lain apatah lagi untuk menyamai atau mengatasi kedudukan nabi-nabi kerana umat yang datang kemudian walaupun setinggi-tinggi wali sekalipun tidak akan dapat mengatasi atau menyamai kedudukan sekecil-kecil sahabat apatah lagi untuk menyamai kedudukan seorang nabi.

 

2. Kelebihan yang terdapat didalamnya tidak sepadan dengan amalan yang dilakukan sedangkan ia menyalahi apa yang terdapat dalam syariat sebagaimana tersebut dalam Al-Qur’an dan hadis-hadis sahih.

 

3. Kandungannya serta ertinya rapuh, tidak menyerupai kalam Nabi Muhammad SAW dan lafaznya tidak sesuai keluar dari mulut Nabi seperti yang terdapat dalam hadis-hadis sahih.

 

4. Dalam sesetengah risalah yang terdapat hadis ini, ianya dimulai dengan “Ya Ali” sedangkan ulama hadis sudah mengatakan bahawa hadis yang dimulai dengan kata-kata ini hanya dua atau tiga sahaja yang sahih. Yang lainnya palsu.

 

 

Kita tidak menafikan kelebihan solat Tarawih dan kedudukannya dalam sunnah. Namun begitu kita tidak mahu umat Islam tertipu dengan berbagai-bagai janji palsu yang menyebabkan umat Islam mengerjakan amalan kebaikan dengan mengharapkan sesuatu yang sebenarnya tidak akan diperolehinya. Dengan tersebarnya hadis-hadis palsu seumpama ini juga akan mencemarkan kesucian hadis Rasulullah SAW yang dipelihara dengan dengan begitu baik oleh ulama kita dahulu.

 

Rasulullah SAW telah pun memberikan amaran terhadap orang-orang yang mengadakan pendustaan atas namanya dengan ancaman yang berat sebagaimana sabdanya: “Sesiapa sengaja mengadakan dusta atas namaku maka hendaklah dia menyediakan tempatnya dalam neraka.” (Bukhori, Muslim)

 

 

Oleh itu umat Islam perlulah prihatin terhadap perkara seperti ini demi menjaga kesucian hadis Rasul yang menjadi pegangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Umat Islam janganlah mudah tertipu dengan dakyah palsu yang dikaitkan dengan Rasulullah sedangkan ianya tidak ada hubungan langsung dengan Rasulullah SAW.

 

 

Cukuplah kita berpegang dengan ganjaran dari Allah bagi orang yang menghidupkan malam Ramadan yang terdapat dalam kitab hadis shahih: “Sesiapa yang menghidupkan malam Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran dari Allah diampunkan dosa-dosanya yang lalu.” (Al-Bukhari)

 

 

Mudah-mudahan kita semua diberkati Allah SWT. Selamat Menyambut Ramadhan 1432H / 2011M dan selamat menjalani ibadah puasa dengan cuba mendapatkan ‘puasa khusus al-khusus’ serta melakukan ‘Qiam Ramadhan’ di sepanjang bulan mulia ini buat seluruh umat Islam…

 

 

والسلام

by;

Shafiqolbu

 

 

 

 

 

 

One response to this post.

  1. Posted by jannah on 29/07/2013 at 6:45 pm

    assalamualaikum.
    apa keistimewaan solat tarawih?

    Reply

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: