Jenis-Jenis Haji

 بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

Jamaah Haji seharusnya mengetahui dan memahami jenis-jenis Haji dan Miqatnya, supaya boleh memilih jenis haji apakah yang paling sesuai baginya dan dari miqat manakah dia patut melakukan ibadahnya.

 

3 JENIS MEMULAKAN HAJI

Terdapat 3 jenis cara memulakan ibadah haji yang boleh dilaksanakan oleh para jamaah haji, bergantung kepada keadaan, masa dan peluang yang ada pada mereka:

.

1.    Haji Ifrad

Ifrad adalah menunaikan Haji sebelum Umrah dalam musim haji pada tahun yang sama. Iaitu mengerjakan Haji dulu dalam bulan haji kemudian mengerjakan Umrah. Atau mengerjakan Umrah di luar musim haji kemudian baru menunaikan Haji dalam tahun itu juga. Jamaah Haji yang mengerjakan Haji Ifrad tidak dikenakan Dam.

Haji inilah yang dilakukan oleh Baginda SAW sepertimana disebut hadis yang diriwayatkan oleh Jabir:

وأهل رسول الله صلى الله عليه وسلم بالحج

“Dan Rasulullah SAW berihram dengan menunaikan Haji.”

(Hr Bukhari dan Muslim)

.

Jamaah Haji hanya berniat Ihram Haji sahaja di miqat yang ditetapkan dengan menyebut: “Ya Allah! Daku ingin mengerjakan ibadat Haji, oleh itu permudahkanlah bagiku dan terimalah ibadat Hajiku.”

.

Kemudian perbanyakkanlah bertalbiah. Apabila memasuki Kota Makkah Jamaah Haji mula melakukan pekerjaan Haji di Masjidil Haram, di mana apabila melihat Baitullah Jamaah Haji bertakbir lantas mengucapkan ‘LA ILAAHA ILLALLAH’ dan bertasbih seterusnya melakukan Tawaf iaitu mengelilingi Baitullah sebanyak tujuh kali sambil menutup bahu kiri dan berlari-lari anak pada tiga pusingan pertama.. Bagi Jamaah bukan penduduk Makkah lakukanlah ‘Tawaf Qudum’ (Tawaf Selamat Datang). Cara tersebut adalah sunat di sisi jumhur dan wajib bagi Mazhab Maliki. Penduduk Makkah tidak boleh melakukan Tawaf tersebut.

.

Setelah selesai melakukan Tawaf Qudum, lakukan pula Saie di antara Safa dan Marwah sebanyak tujuh pusingan. Kemudian terus berada di Mekah dalam keadaan berihram.

.

Apabila tiba hari Tarwiah berangkatlah ke Mina dan berada di sana sehingga selesai mendirikan Solat Subuh hari Arafah. Setelah itu bertolak pula ke Arafah dan berada di sana serta mendirikan Solat Zuhur dan Asar pada waktu Zuhur (Jamak Taqdim). Setelah tenggelam matahari Jamaah Haji mula ‘Ifadhah’ (beredar) sehingga tiba di Muzdalifah lalu mendirikan Solat Maghrib dan Isyak.

.

Apabila terbit matahari pada Hari Nahar (Hari Raya Korban), Jamaah Haji ifadhah (beredar) lagi ke Mina lantas mula melontar. Setelah bermulanya lontaran pertama Talbiah tidak lagi disebut. Kemudian menyembelih korban jika ingin berbuat demikian lantas bercukur atau bergunting sebagai bertahallul, dengan demikian Jamaah Haji dihalal semua perkara yang diharamkan semasa dalam keadaan berihram kecuali bersetubuh.

.

Setelah itu Jamaah Haji kembali ke Mekah lalu melakukan Tawaf di Baitullah sebagai Tawaf Ziarah sebanyak tujuh pusingan seterusnya bersaie di antara Safa dan Marwah, jika tidak melakukan Saie selepas Tawaf Qudum. Setelah selesai bolehlah bersaie dan bertahallul serta dihalalkan baginya bersetubuh.

.

Jamaah Haji kembali semula ke Mina dan berada di sana sehingga selesai melontar ketiga-tiga jamrah sama ada Jamaah Haji yang tergesa-gesa ingin cepat pulang atau yang masih mempunyai banyak masa. Setelah itu Jamaah Haji kembali lagi ke Makkah melakukan Tawaf Wida’.

 .

Seorang yang berihram dengan niat haji daripada Miqat Haji. Apabila telah selesai menunaikan haji maka dia berihram dengan Ihram Umrah dengan keluar ketempat paling dekat yang halal dan melakukan kerja-kerja Umrah.

.

.

2.  Haji Tamattuk

Haji Tamattuk adalah melakukan Umrah dahulu, kemudian melakukan haji pada tahun yang sama. Iaitu mengerjakan umrah dahulu dalam bulan-bulan haji (Syawal, Zulqaedah, 10 hari pertama Zulhijjah).

Jamaah Haji perlu berniat dan berihram untuk mengerjakan Umrah secara berasingan seperimana dia hendaklah menyebut:

لبيك اللهم بعمرة متمتعا بها إلى الحج اللهم أني أريد العمرة فيسرها لي ,تقبلها مني, نويت العمرة وأحرمت بها لله تعالى (عز وجل)
“Daku telah menyahut seruanMu untuk menunaikan Umrah kerana ingin mengerjakan Haji Tamatuk, Ya Allah! Sesungguhnya daku ingin mengerjakan Umrah, maka permudahkanlah bagiku, maka terimalah ibadat Umrah daripadaku. Daku menunaikan ibadat Umrah dan berihram dengannya kerana Allah Ta’ala.”

.

Disertai lafaz bertalbiah. Kemudian Jamaah Haji lakukan ibadah Umrah sehingga selesai umrahnya (bertahallul). Iaitu ketika sampai di Makkah al-Mukarramah Jamaah Haji pergi ke Baitullah al-Haram lalu mengerjakan Tawaf mengelilingi Kaabah sebanyak tujuh pusingan, kemudian bersaie di antara Safa dan Marwah sebanyak tujuh kali, kemudian bertahallul dari Ihram dengan bercukur atau bergunting.

.

Kemudian dalam tahun yang sama, iaitu pada Hari Tarwiyah (tarikh 8 Zulhijjah) berniat Ihram Haji dari tempat kediaman di Makkah atau di dalam kenderaan sebelum bertolak ke Arafah dengan menyebut:

لبيك حجا اللهم أني أريد الحج فيسره لي، وتقبله مني، نويت الحج وأحرمت به لله تعالى (عز وجل) لبيك اللهم لبيك، لبيك لا شريك لك لبيك، أن الحمد والنعمة لك والملك، لاشريك لك.
اللهم أني أحرمت شعري وبشري، وجسدي وجميع جوارحي، من الطيب والنساء، ومن كل شيء حرمته على المحرم، وأبتغي بذلك وجهك الكريم، يا رب العالمين

“Daku telah menyahut seruanMu untuk menunaikan Haji, wahai Tuhanku! Sesungguhnya daku ingin mengerjakan Haji, maka permudahkanlah bagiku, maka terimalah ibadat Haji daripadaku. Daku menunaikan ibadat Haji dan berihram dengannya kerana Allah Ta’ala. Telah daku penuhi seruanMu, wahai Tuhanku, telah daku penuhi seruanMu, telah daku penuhi seruanMu wahai Tuhanku, tidak ada sekutu bagiMu. Telah daku penuhi seruanMu, sesungguhnya segala puji, segala nikmat dan segala pemerintahan adalah kepunyaanMu, tidak ada sekutu bagiMu. Ya Allah! Diharamkan olehMu rambutku dan diriku, jasadku dan semua anggotaku, daripada wangi-wangian dan perempuan serta dari semua perkara yang Dikau haramkan terhadap orang yang berihram, daku mengharapkan pertolonganMu, wahai Tuhan sekelian alam.”

.

Seterusnya dia mengerjakan Haji hingga sempurna. sebagaimana Jamaah Haji yang mengerjakan Haji Ifrad, cuma dia perlu membayar Dam kerana menikmati kemudahan semasa mengerjakan Umrah pada bulan-bulan Haji sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Maka sesiapa yang mahu menikmati kemudahan dengan mengerjakan.”

.

Orang yang telah mengerjakan Tawaf Umrah ketika mengerjakan Haji Tamatuk tidak perlu lagi mengerjakan Tawaf Qudum bagi Haji malah selepas Tahallul yang pertama dia hendaklah melakukan Tawaf Ifadhah dan bersaie di antara Safa dan Marwah bagi ibadat Haji mengikut pendapat jumhur ulama. Walau bagaimanapun bagi Mazhab Hanafi, bagi Jamaah Haji yang mengerjakan Haji Tamatuk yang tidak membawa (mendapatkan) binatang ternakan, tetapi jika telah membawa (mendapatkan) binatang tersebut, maka hukumnya sama seperti hukum Haji Qiran.

 .

 .

Dam

Bagi yang mengerjakan haji Tamatuk, sekiranya bukan penduduk Makkah, dia wajib dikenakan Dam dengan menyembelih haiwan korban (seekor kambing / sepertujuh dari lembu / sepertujuh dari unta) pada tarikh 10 Zulhijjah atau di hari-hari Tasyriq (tarikh 11,12,13 Zulhijjah).

.

Jika tidak mampu menyembelih, maka wajib berpuasa 10 hari; 3 hari di waktu haji (boleh dilakukan pada hari-hari Tasyriq. Namun yang lebih utama dilakukan sebelum tarikh 9 Zulhijjah / hari Arafah) dan 7 hari selepas pulang ke kampung halamannya.

Firman Allah SWT: “Maka sesiapa yang berumrah pada bulan2 haji kemudian dia melakukan haji pada tahun yang sama maka dia dikenakan denda iaitu seekor kambing yang di sembelih. Sesiapa yang tidak mampu melaksanakan denda tersebut maka hendaklah dia berpuasa selama tiga hari pada waktu haji dan tujuh hari setelah mana dia sampai di tanah airnya. Maka sempurnalah sepuluh hari. Denda tersebut dikenakan kepada mereka yang bukannya penduduk tanah haram Makkah. “ (196: Al-Baqarah)

.

.

.

3.  Haji Qiran

Haji Qiran ialah berniat menggabungkan atau menghimpunkan Umrah dan Haji pada satu perjalanan musafir (sekali pergi) dalam bulan-bulan Haji dengan berihram dari Miqat Haji.

.

Cara Haji Qiran

a.    Cara  1:  Berniat mengerjakan Haji dengan Umrah serentak dalam bulan haji dengan mengerjakan amalan haji saja.

b.    Cara  2:  Berniat mengerjakan Umrah saja tetapi sebelum Tawaf berniat mengerjakan Haji.

 .

Miqat Makani

Tempat Jamaah Haji dikehendaki berniat Ihram Haji / Umrah dan memakai pakaian ihram.

  1. Di Miqat Qarnul Manazil atau sebelum sampai Miqat, seperti di Kompleks atau dalam kapal terbang sebelum bertolak ke Makkah.Atau;
  2. Bir Ali atau sebelum sampai di Bir Ali seperti di tempat kediaman atau di dalam kenderaan sebelum bertolak ke Makkah.

.

Niat

Jamaah Haji berniat Haji dan Umrah dengan satu niat dari miqat yang ditetapkan dengan berkata: “Daku telah memenuhi seruanMu untuk menunaikan ibadat Haji dan Umrah.”

.

Perlaksanaan Haji Qiran

Kemudian lakukan kerja-kerja haji secara sempurna. Iaitu apabila Jamaah Haji yang mengerjakan Haji Qiran memasuki Kota Makkah, dia perlu melakukan Tawaf di Baitullah sebanyak tujuh pusingan secara berlari-lari anak pada tiga pusingan pertama kemudian diteruskan dengan bersaie di antara Safa dan Marwah.

.

Imam Hanafi berpendapat agar Jamaah Haji melakukan pekerjaan-pekerjaan Haji sebagaimana Haji Ifrad, manakala di sisi jumhur memadai bagi Jamaah Haji yang mengerjakan Haji Qiran melakukan satu Tawaf (tujuh pusingan) dan satu Saie (tujuh pusingan) sahaja kerana Tawaf dan Saie Umrah yang dilakukan itu juga dikira sebagai Tawaf dan Saie Haji sehinggalah dia bertahallul dari Umrah dan Haji secara serentak.

.

Maka termasuklah amalan Umrah dalam amalan Haji iaitu dengan menegerjakan satu Tawaf dan satu Saie. Ibnu Umar r.a. telah meriwayatkan: Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda:

من أحرم بالحج والعمرة أجزأه طواف واحد وسعي واحد

“Sesiapa yang berihram untuk menunaikan Haji dan Umrah sekali gus, cukuplah dengan satu Tawaf dan satu Saie.”

(Hr Tirmizi)

 .

Dam

Jamaah Haji tidak boleh bertahallul dari Ihram sebelum melontar Jamrah Aqabah serta bercukur atau bergunting. Dia dikenakan menyembelih Dam. Qiran juga dikenakan dam kerana diqiaskan dengan Tamatuk disebabkan kerja Haji Tamatuk lebih banyak dari kerja-kerja Haji Qiran.

.

.

Haji Paling Afdal

Ifrad adalah yang paling baik kerana ianya dilakukan oleh Rasulullah SAW sepertimana yang diriwayatkan oleh Jabir dan Aisyah dalam hadis yang diriwayatkan Bukhari dan Muslim.

.

Wallahu A’alam Bissowab



والسلام علبكم و رحمة الله و بركاته

.

https://shafiqolbu.wordpress.com/

.

.

One response to this post.

  1. Posted by zaenal musthofa on 13/06/2013 at 8:30 pm

    siieepp

    Reply

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: