Rasulullah SAW Berdagang Ke Syria

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ

.

Ketika Abu Talib mengetahui bahawa Khadijah sedang menyediakan barang dagangan yang akan dibawa dengan Kafilah Quraisy ke Syam, ia memanggil anak saudaranya Muhammad yang ketika itu sudah berusia dua puluh lima tahun. Abu Talib juga perihatin melihatkan keadaan kewangan  yang cukup sukar pada Muhammad  al-Amin ketika itu.

“Anakku,” kata Abu Talib, “Aku bukan orang berharta. Keadaan kita juga semakin susah. Aku mendengar, bahawa Khadijah hendak mengupah orang dengan dua ekor anak unta. Tapi aku tidak setuju jika akan mendapat upah seperti  itu. Setujukah kau kalau hal ini kubincangkan dengan dia?”

 “Terserah pakcik,”  Jawab Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.

Abu Talib pun pergi bertemu dan bertanya pada Khadijah: Khadijah, setujukah kau mengupah Muhammad?” tanya Abu Talib. “Aku mendengar engkau mengupah orang dengan dua ekor anak unta, tetapi untuk Muhammad aku tidak setuju kurang dari empat ekor.”

Kalau permintaanmu itu untuk orang yang jauh dan tidak kusenangi, akan kukabulkan, apatah lagi untuk orang yang rapat  dan kusukai.” Demikian jawab Khadijah.

Khadijah sangat gembira kerana Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang terkenal dengan kemuliaan rohani, keluhuran budi, keunggulan ahklaq dan dirinya yang amat dikenali dalam masyarakat sebagai seorang yang sangat jujur (al-Amin) akan menjadi salah seorang kafilah dagang Khadijah yang boleh dipercayai. Khadijah turut bersetuju memberikan upah dua kali ganda berbanding apa yang diberikannya kepada orang lain.

Abu Talib pun bertemu semula anak saudaranya dengan menceritakan peristiwa itu. “Ini adalah rezeki yang dilimpahkan Tuhan kepadamu,” katanya.

 

Membawa Dagangan Khadijah Ke Syria

Setelah mendapat nasihat bapa-bapa saudaranya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam pun pergi dengan Maisara, seorang hamba kepercayaan Khadijah. Kafilah Quraisy beserta barang dagangan Khadijah pun berangkat menuju Syam dengan mengambil jalan padang pasir. Kafilah melalui Wadi’l-Qura, Madyan dan Diar Thamud serta daerah-daerah yang dahulunya pernah dilalui oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersama bapa saudaranya Abu Talib ketika umurnya baru menginjak dua belas tahun.

Perjalanan kali ini telah menghidupkan kembali kenangannya terhadap perjalanan yang pertama dulu itu. Hal ini menyebabkan dia lebih banyak bermenung, lebih banyak berfikir mengenai segala yang pernah dilihat dan didengar sebelumnya, iaitu tentang peribadatan dan kepercayaan-kepercayaan di Syam serta pasar-pasar di sekeliling Makkah.

Di Bushra Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bertemu dengan penganut agama Nasrani Syam. Baginda berbual dengan rahib-rahib dan pendeta-pendeta agama tersebut, dan seorang rahib Nestoria turut mengajaknya berbincang. Barangkali dia atau rahib-rahib lain juga pernah mengajak Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam berdebat tentang agama Isa, agama yang waktu itu sudah berpecah-belah menjadi beberapa golongan dan mazhab-mazhab.

Kafilah Quraisy meneruskan perjalanan ke Destinasi dan setelah sampai mereka mula berniaga. Barangan yang dibawa berniaga oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam termasuklah herba, kain, wangian, kismis, kurma dan juga barangan mewah untuk dijual kepada orang-orang kaya dan berada di Syam.  Dengan kelembutan, kejujuran dan kemampuannya ternyata Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sangat berjaya memperdagangkan barang-barang perniagaan Khadijah.

Kesemua ahli rombongannya telah meraih keuntungan, namun dengan cara perdagangan berbeza yang dilakukan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah mendatangkan keuntungan lebih lumayan daripada mereka. Ini menunjukkan kehebatan Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam  dalam bidang perniagaan! Begitu juga dengan karakter yang manis dan penuh keikhlasan, Baginda telah dapat menarik kecintaan dan penghormatan Maisara kepadanya. Setelah tiba masanya Kafilah  pun kembali ke Makkah dan sebelumnya mereka telah membeli segala barang dagangan dari Syam yang dirasa akan disukai oleh Khadijah.

Dalam perjalanan pulang, mereka telahmelalui negeri ‘Ad dan Tsamud. Keheningan kematian yang menimpa kaum di situ telah mengundang perhatian dan menyentuh qolbu Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.  Apabila menghampiri Makkah, konvoi (Kafilah)  itu singgah di Marr’-Zahran. Ketika itu Maisara pun berkata kepada Muhammad Sallallahu Alaihi WasallamAlangkah baiknya jika tuan memasuki Makkah terlebih dahulu dan mengkhabarkan kepada Khadijah tentang kejayaan dagangan dan keuntungan besar yang kita perolehi.”

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam pun berangkat dan telah sampai di Makkah tengah hari itu juga. Ketika itu Khadijah sedang berada di ruang atas rumahnya. Apabila dilihatnya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam di atas unta sedang memasuki halaman rumahnya, beliau pun turun dan menyambut Baginda.

Didengarnya Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bercerita dengan bahasa yang begitu fasih tentang perjalanannya serta keuntungan besar yang diperolehnya, begitu juga dengan barang-barang Syam yang dibawanya. Khadijah amat gembira dan sangat tertarik mendengar dan melihatnya. Selepas itu Maisara pula tiba lalu bercerita kekagumanya tentang Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, betapa halusnya wataknya dan ketinggian budi-pekerti Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.

Maisara menceritakan tentang kebesaran jiwa Al-Amin sepanjang perjalanan dan semasa urusan perdagangan. Maisara menceritakan; Di Bushra, AlAmin duduk di bawah pokok untuk berehat. Seorang pendeta yang sedang duduk di biaranya, kebetulan melihatnya. Ia datang sambil menanyakan namanya kepada saya, kemudian ia berkata, Orang yang duduk di bawah naungan pokok itu adalah nabi yang tentangnya telah saya baca banyak khabar gembira di dalam Taurat dan Injil.”

Hal ini telah menambah pengetahuan Khadijah di samping apa yang sudah diketahuinya tentang pemuda Makkah yang sangat besar jasanya itu. Kemudian Khadijah menceritakan apa yang didengarnya dari Maisara kepada Waraqah bin Naufal, seorang yang ‘Hanif’ (lurus dan teguh agamanya) dari Arabia. Waraqah mengatakan, Orang yang memiliki sifatsifat itu adalah nabi berbangsa Arab.”

والله أعلم بالصواب

 (Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)

.

.

.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

.

Posted by; shafiqolbu

.


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: