KJ : Kebajikan Dalam Pembangunan Islam

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ

.

Khutbah Jumaat:  “Kebajikan Dalam Pembangunan Islam”  

.

.

Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,

Marilah kita suburkan benih-benih ketaqwaan dan keimanan kepada Allah SWT dengan menjunjung tinggi perintahNya serta bersungguh-sungguh meninggalkan setiap tegahanNya, mudah-mudahan kita beroleh rahmat kasih sayangNya di dunia mahupun di akhirat.

Bersempena Perhimpunan Perdana Warga Agama / Qaryah Wilayah Persekutuan Bersama YAB Perdana Menteri Malaysia yang berlangsung di PICC, Putrajaya pada petang ini 6 April 2012, khutbah hari ini akan membicarakan tajuk: “Agenda Islam dan Kebajikan Dalam Pembangunan Negara”.

.

.

Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,

Islam adalah agama syumul yang mementingkan konsep wasatiyah atau kesederhanaan dalam kehidupan umat manusia. Aspek ini mencakupi semua nilai-nilai terkandung dalam akidah, syariah, akhlak, politik dan sosio ekonomi yang saling memerlukan antara satu sama lain. Sistem yang terbina berasaskan penurunan wahyu al-quran dan sunnah Rasulullah SAW telah banyak mempengaruhi pembangunan duniawi dan ukhrawi ummah. Justeru, kesepaduan konsep wasatiyah dan gagasan 1 Malaysia yang diilhamkan oleh YAB Perdana Menteri perlu diterjemahkan oleh segenap lapisan masyarakat demi memastikan agenda Islam yang dibawa menjadi teras transformasi ummah yang dinamik dan progresif.

Hakikat ini wajar difahami terutama kepada semua agensi agama sama ada di peringkat persekutuan mahupun negeri, perlu memperkasakan hala tuju, perancangan dan tindakan masing-masing agar selaras dengan konsep yang dicanangkan pihak pemerintah. Ironinya, tanggungjawab membangunkan Negara bukan hanya terletak pada pemerintah semata-mata tetapi perlu penglibatan semua pihak lebih-lebih lagi golongan agama yang semestinya memberi kefahaman dan kesedaran kepada masyarakat. Inilah kunci utama pembangunan ummah yang menjadi prinsip asas kejayaan generasi sahabat dalam menegakkan syariat Islam. Betapa besarnya amanah yang perlu dipikul oleh pemerintah telah ditegaskan melalui hadis riwayat Ibnu Umar R.A daripada Imam al-Bukhari, sabda Rasulullah SAW:

 

Bermaksud: “Setiap orang adalah pemimpin dan akan diminta pertanggungjawaban atas kepemimpinannnya. Seorang ketua negara akan diminta pertanggungjawaban  perihal rakyat yang dipimpinnya”.

.

.

 

Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,

Marilah kita renungi bersama intipati hadis yang dibacakan sebentar tadi. Tanggungjawab dan amanah besar yang dipikul oleh setiap yang bernama pemimpin wajar dijadikan iktibar bersama kerana bukan mudah sebenarnya bergelar pemimpin, apatah lagi berdepan dengan pelbagai permintaan dan harapan rakyat yang perlu ditunaikan. Bertepatan dengan Perhimpunan Perdana Warga Agama Wilayah Persekutuan bersama YAB Perdana Menteri pada hari, sebenarnya memberi sinar baru khususnya kepada pembangunan ummah agar dapat berkembang selari dengan dasar dan aspirasi kerajaan. Buktinya amat jelas di sini, peruntukan yang disalurkan oleh kerajaan khususnya pembangunan sektor agama di Negara ini wajar dihargai dan disokong pelaksanaannya. Apa tidaknya, melalui agensi agama seperti Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) bertindak sebagai mata rantai kerajaan dalam menyalurkan bantuan dan sumbangan untuk pembangunan masyarakat Islam. Berdasarkan maklumat yang dikeluarkan oleh MAIWP melalui Baitulmal, hampir menjangkau RM 200 juta telah diperuntukkan kerajaan untuk pembangunan dan perkembangan agama Islam khususnya di Wilayah Persekutuan.

Peruntukan besar ini semestinya memberikan rahmat yang bermakna kepada masyarakat Islam kerana difahamkan dana ini diperuntukkan terhadap pelbagai aspek pembangunan. Ia jelas mencerminkan usaha kerajaan untuk menjayakan agenda Islam dan kebajikan yang selari dengan perkembangan ummah.

.

.

Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,

Mimbar ingin menarik perhatian Jemaah sekalian agar memahami bahawa setiap bantuan yang diberikan untuk memenuhi tuntutan agenda Islam dan bukannya retorik semata-mata, malah hakikatnya “Negara Berkebajikan” yang selalu diwar-warkan kebanyakan pihak sebenarnya telah pun dilaksanakan. Justeru, bukanlah menjadi omongan kosong sahaja tetapi dengan semangat keadilan dan perpaduan ummah, pemerintah sedia ada melaksanakan setiap agenda tersebut dengan penuh rasa tanggungjawab demi membela agama yang tercinta ini. Antara peruntukan tersebut, institusi masjid, surau dan sekolah agamalah yang paling bertuah. Masakan tidak, kerajaan dilihat begitu komited untuk memperuntukkan dana yang besar kepada pembinaan dan naik taraf baru institusi tersebut sebagi nadi denyutan ummah. Bukan setakat itu, warga qaryah yang terdiri di kalangan imam, bilal dan jawatankuasa masjid serta surau turut mendapat manfaat melalui bantuan kebersihan, keceriaan dan pengimarahan bagi merancakkan lagi program dan aktiviti. Sewajarnya, peruntukkan ini memberi dimensi baru kepada golongan agama yang berkhidmat di masjid dan surau untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat Islam seluruhnya. Selain itu, anak qaryah turut mendapat jaminan tetap dengan usaha membangunkan tanah perkuburan Islam yang wujud di Wilayah persekutuan agar lebih efisen dan teratur.

Ini semua tidak lain, adalah isyarat jelas bahawa keprihatinan kerajaan kepada perkembangan agama tidak pernah luntur dan tetap utuh. Tidak dilupakan juga, warga pendidik yang sentiasa berdiri teguh meyokong dasar dan visi kerajaan turut mendapat bantuan kenaikan elaun KAFA dan SRA yang amat bertepatan dengan sumbangan serta jasa mereka mendidik anak bangsa, agama dan Negara. Sesungguhnya, semua peruntukan ini adalah satu motivasi dan cabaran terbesar khususnya kepada golongan agama yang terlibat bagi membuktikan betapa kesungguhan kerajaan ini akan membuahkan hasil demi menaikkan syiar Islam.

.

.

Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,

Kerajaan yang beramanah dan telus sentiasa memerlukan pandangan serta panduan dari kalangan agamawan terlibat bagi merealisasikan hasrat ummah agar konsep wasatiyah seperti yang direncanakan akan tercapai. Misi agama yang luhur dan murni ini diharap akan diteruskan kelegasiannya agar bukan sahaja terhad kepada beberapa institusi sahaja malah disebarluas kepada bidang-bidang lain. Contoh yang nyata, penstrukturan semula Mahkamah Syariah dengan menaikkan had umur hakim syariah daripada 58 tahun kepada 66 tahun bakal melicinkan lagi fungsi dan peranan golongan ini.

Paling membanggakan, posisi hakim-hakim syariah turut dibuka kepada golongan wanita yang memberi pengiktirafan tinggi kepada kaum hawa. Sejajar dengan itu juga, gagasan 1 Malaysia yang menjadi asas perpaduan ummah turut diperluaskan kepada bidang ekonomi dengan usaha MAIWP sendiri yang menyahut seruan kerajaan mewujudkan Kedai Rakyat MAIWP selari dengan peranan Kedai Rakyat 1 Malaysia (KR1M) untuk memberi kemudahan kepada rakyat seluruhnya. Mengakhiri khutbah pada minggu ini, marilah kita sama-sama menyusuri plan tindakan berikut agar agenda Islam dan kebajikan yang dijana akan memberi impak kepada pembangunan ummah dalam segenap aspek:

.

Pertama:    Memperkasakan Institusi agama dengan penerapan nilai-nilai wasatiyah.

Umat Islam perlu menjadikan Institusi agama tempat melahirkan masyarakat minda kelas pertama yang tidak terlalu taksub, beremosi dan mudah terpengaruh dengan anasir luar dengan penerapan nilai wasatiyah iaitu bersederhana dalam pemikiran dan tingkah laku.

.

Kedua:        Membangunkan masyarakat insani dan teguh pendirian

Pembangunan perlu diseimbangkan dari sudut fizikal mahupun rohani kerana ummah yang cemerlang perlu diterapkan nilai-nilai insani yang menjunjung tinggi al-quran dan as-sunnah sebagai perlembagaan utama serta berpendirian teguh mendepani isu-isu agama seperti murtad, penyongsangan akhlak, fahaman-fahaman jahiliyah serta terbaru Islamaphobia.

.

Ketiga:        Mengenepikan agenda atau fahaman yang tidak sehaluan demi kekuatan ummah dan agama.

Elemen peneguhan yang paling perlu dimuhasabah setiap pihak yang ingin melihat Islam kembali di landasan yang sebenar. Apalah guna kita berbangga dengan kemajuan yang dikecapi andai ada di situ racun yang memakan dari dalam. Begitulah umat Islam perlu mengikis semua fahaman demi membina sebuah perpaduan agama.

.

Firman Allah SWT dalam surah al A`raf ayat 96:

 7:96

Bermaksud:“Dan (Tuhan berfirman lagi): sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. tetapi mereka mendustakan (Rasul kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan ”.

 .

.

.

JAWI

“ Agenda Islam Dan Kebajikan Dalam Pembangunan Negara ”

(6 April 2012 / 14 Jamadilawwal 1433h)

.

.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

Posted by; shafiqolbu

.

Advertisements

2 responses to this post.

  1. Posted by safie on 07/04/2012 at 11:34 am

    hidup 1malaysia!!! not.

    Reply

    • Salam…
      Walau siapa pun kita, adalah wajib berterima kasih dan bersyukur atas nikmat-Nya…

      Suwaid menceritakan kepada kami, Abdullah memberitahukan kepada kami dari Al-Mutsanna bin Ash Shabah dari Amr bin Syuaib dari datuknya iaitu Abdullah bin Amr berkata : Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda : “Dua macam perilaku, siapa yang kedua perkara tersebut ada pada dirinya, maka Allah mencatatnya sebagai orang yang bersyukur dan orang sabar, dan barang siapa yang kedua perilaku tersebut tidak ada pada dirinya, maka Allah tidak mencatatnya sebagai orang bersyukur dan tidak pula orang sabar : iaitu barang siapa melihat dalam hal agamanya kepada orang yang berada di atasnya lalu ia mengikutinya, dan barang siapa melihat dalam hal dunianya kepada orang yang berada di bawahnya lalu ia memuji Allah atas sesuatu yang dianugerahkan kepadanya, nescaya Allah mencatatnya sebagai orang bersyukur dan orang sabar, dan barang siapa melihat dalam hal agamanya kepada orang yang berada di bawahnya dan melihat dalam hal dunianya kepada orang yang berada di atasnya, lalu ia sedih atas suatu yang lepas dari padanya, maka Allah tidak mencatatnya sebagai orang bersyukur dan tidak pula orang sabar”. Hadis Sunan At-Termizi Jilid 4. Hadis Nombor 2630.

      Reply

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: