KJ : Tonggak Perpaduan Ummah

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ

.

Khutbah Jumaat:  “Yang Di Pertuan Agong Tonggak Perpaduan Ummah” 

 .

.

.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,        

Marilah kita sama-sama mempertingkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala suruhan-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Mudah-mudahan dengan keimanan dan ketakwaan, kita beroleh rahmat dan keredhaan hidup di dunia dan di akhirat. Sempena dengan pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong yang ke 14 pada 11 April 2012 maka tajuk khutbah pada hari ini ialah “Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong Tonggak Perpaduan Ummah”.

.

.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Firman Allah SWT di dalam surah Al-An’am ayat 165:

6:165

Maksudnya:  “Dan Dialah yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan meninggikan setengah kamu atas setengahnya yang lain beberapa darjat, kerana Ia hendak mengujimu pada apa yang dikurniakan-Nya kepadamu. Sesungguhnya Tuhanmu amat cepat azab seksa-Nya, dan sesungguhnya Ia Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

.

Al-Imam al-Mawardi dalam kitabnya Al-Ahkam As-Sultaniah wawilayatu ad-Diniyah dalam menghuraikan tugas dan tanggungjawab khalifah telah menggariskan beberapa dasar yang wajib dipikul dan dilaksanakan oleh setiap yang bernama pemimpin sesuai dengan kedudukan masing-masing antaranya:

Pertama: Memelihara Din al-Islam, mengenai asasnya yang tetap dan juga tentang perkara-perkara yang telah disepakati oleh ulama’.

Kedua: Melaksanakan hukum di antara pihak-pihak yang bertelagah serta menyelesaikan setiap perselisihan yang timbul.

Ketiga: Melindungi kehormatan wanita supaya masyarakat terus hidup aman damai.

Keempat: Menjalankan setiap hukum dan perintah yang Allah SWT amanahkan kepada manusia agar hak Allah tidak diabaikan dan dapat pula melindungi hak manusia dari kerosakan dan kemusnahan.

.

.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Sebagai umat Islam di Malaysia, kita bersyukur kerana struktur kepimpinan di Negara kita berada dalam keadaan stabil dan jauh lebih baik dari sesetengah Negara umat Islam lain yang sentiasa bergolak dan sebahagiannya dalam keadaan huru-hara. Sistem pemerintahan Raja berperlembagaan yang menjadi tonggak kepada kekuatan dan perpaduan ummah telah sebati dikalangan rakyat di Negara ini. Raja berperlembagaan bukan sahaja menjadi lambang sebuah Negara yang berdaulat, bebas dan merdeka tetapi ia juga merupakan lambang perpaduan rakyat yang berbilang kaum. Justeru berdasarkan kepada Perlembagaan Persekutuan bahawa di Negara kita, Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong merupakan pemerintah tertinggi, sebagai Ketua Negara dan Baginda juga sebagai Ketua Agama Islam.

Jawatan Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong bukanlah satu jawatan yang diwarisi turun temurun. Dalam perlembagaan Persekutuan urusan pemilihan dan perlantikan Seri Paduka Baginda Yang di- Pertuan Agong terletak pada Majlis Raja-Raja yang telah ditubuhkan mengikut perkara 38 Perlembagaan Persekutan. Justeru pemilihan Baginda sebagai ketua Negara dan agama menuntut kepada penyempurnaan tanggungjawab yang amat besar. Ini terkandung di dalam lafaz sumpah jawatan Baginda  Wallahi, Wabillahi, Watallahi yang dapat dirungkaikan dalam lima kata kunci iaitu undang-undang, perlembagaan Negeri, Agama Islam, adil dan aman. Sebagai Ketua Negara Baginda hendaklah melaksanakan pemerintahan dengan berlaku adil kepada semua rakyat  tanpa memandangkan status seseorang. Usaha mewujudkan keadilan kepada manusia sejagat adalah sebahagian sifat ketakwaan. Firman Allah dalam surah al-Maaidah ayat 8:

5:8

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan janganlah kebencian kamu terhadap suatu kaum itu mendorong kamu untuk tidak berlaku adil. Berlaku adillah kerana ia lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu lakukan.”

.

.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Mimbar ingin menyatakan bahawa secara tersiratnya pengekalan Institusi Raja di Negara ini adalah satu penerusan mengekalkan identiti sebuah kerajaan melayu Islam di tanah air sebagai warisan bangsa. Institusi ini merupakan sumber kekuatan rakyat dan tempat rakyat mencari perlindungan, keadilan, memberikan kesetian, kecintaan dan taat setia. Walaupun  Negara kita begitu unik dengan berlatar belakang penduduk yang berbilang kaum dan agama, namun proses perpaduan ummah telah memberikan impak besar kepada pembentukan masyarakat. Mimbar percaya bahawa proses mengurus krisis  dan pertelagahan dalam masyarakat yang berlangsung dengan pantas lagi tersusun ini adalah berdasarkan kekebalan dan kebijaksanaan pemerintahan Raja-Raja Melayu. Baginda dalam menyempurnakan amanah tersebut akan memastikan perpaduan ummah tidak ternoda, kesucian Agama Islam terjaga, syiar Islam terus dikembangkan dan umat Islam terus dilndungi dari sebarang bentuk pencerobohan.

Bagaimanapun pada akhir-akhir ini terdapat pihak-pihak tertentu cuba memecah-belahkan ummah, menuntut kebebasan secara melampau yang melanggari cara tabi’i manusia, mempertikaikan apa yang termaktub dalam Perlembagaan dan menyokong musuh-musuh Islam. Persoalan besar timbul ialah mengapa keadaan ini berlaku?. Berdasarkan pemerhatian, mimbar yang mulia ini berpendapat keadaan ini berlaku kerana antaranya ialah terdapat dikalangan umat Islam sendiri yang sanggup menggadai maruah dan kepentingan agama dan bangsa kerana kepentingan diri dan ideologi masing-masing serta ada yang sanggup bersubahat dengan pihak-pihak tertentu untuk mempertikaikannya atas alasan bagi mempertahankan hak asasi pihak lain. Oleh itu, mimbar ingin menegaskan kepada jemaah dan umat Islam sekalian bahawa mereka yang menyokong pihak memusuhi umat Islam sebenarnya meletakkan dirinya sebagai musuh Islam, ini disebabkan pengaruh musuh Islam yang mampu mengawal pemikiran dan tindakan mereka demi untuk mendapat apa yang diingini.

Ingatlah bahawa  musuh-musuh Islam senantiasa berusaha memecah-belahkan umat Islam, mereka sedar kekuatan Islam selama ini banyak bergantung kepada perpaduan yang terbina erat. Konsep pecah dan perintah menjadi alat musuh Islam untuk berkuasa, mengeksploitasi, menjajah dan menindas mana-mana umat yang lemah. Jika umat Islam hilang integriti, hilang maruah dan diperalatkan pihak lain, maka akhirnya umat Islam akan menerima nasib yang malang lagi hina di negara sendiri. Justeru, bagi mengekalkan keadaan dan suasana ini mimbar menyeru kepada semua jemaah dan umat Islam sekalian, marilah kita sebagai rakyat jelata bersatu padu mendokong dan menjunjung institusi Raja Berpelembagaan. Elakkan diri daripada terlibat dengan sebarang tindakan yang boleh mengugat atau mencemar institusi Raja- Raja serta mempertikai perkara-perkara yang telah termaktub di dalam perlembagaan yang telah dipersetujui termasuklah kesucian Agama Islam sebagai Agama Rasmi di Negara ini

.

.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Mimbar ingin menegaskan kepada jemaah dan seluruh umat Islam sekalian bahawa kedaulatan Islam dan perpaduan ummah menjadi tonggak kepada kekuatan kepimpinan. Oleh itu, Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong sebagai Ketua Negara samada dari segi keperibadiannya atau dalam menjalankan bidang kuasa untuk menjaga Negara dan kesucian Agama Islam amatlah dikagumi oleh rakyat jelata.

Rakyat menjunjung  kasih dan merafak sembah atas keprihatinan Baginda  dalam memartabatkan agama, memajukan Negara dan membantu kehidupan rakyat jelata agar dapat hidup dengan aman dan harmoni. Maka, menjadi tanggungjawab rakyat jelata memberikan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Baginda sebagai pemerintah Negara. Lebih-lebih lagi kita sebagai umat Islam telah diajar supaya taat dan patuh kepada pemerintah sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah an-Nisa’ ayat 59:

4:59

Maksudnya: Wahai orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan Rasul dan taatlah kamu kepada Ulil-Amri dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih dalam sesuatu perkara, maka kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul-Nya jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.”.

.

Dan sabda Rasulullah SAW  :

Mafhumnya: Barangsiapa yang mentaatiku, maka sesungguhnya dia telah mentaati Allah. Dan sesiapa yang mengingkariku, maka sesungguhnya dia telah mengingkari Allah. Juga sesiapa mentaati pemerintahku, maka sesungguhnya dia juga mentaatiku, dan sesiapa yang mengingkari pemerintahku, maka sesungguhnya dia telah mengingkariku.” (Hadith al- Bukhari)

.

.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Akhir sekali, mimbar Jumaat pada hari ini menyeru para jemaah dan rakyat Malaysia bersempena dengan pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong ke 14 Al-Mu’tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Al-Haj Abdul Halim Mu’adzam Shah ibni AlMarhum Sultan Badalishah dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah pada 11 April 2012.

Marilah sama-sama kita merafak sembah, menjunjung kasih taat setia kepada Baginda sepanjang takhta pemerintahan dan marilah juga kita sama-sama mendoakan semoga Seri Paduka Baginda Yang d-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong serta kerabat-kerabat Baginda sentiasa dibawah payung rahmat Ilahi, diteguh keimanan, dilanjutkan usia, dikurniakan kesihatan dan kesejahteraan.

Semoga Baginda dikurniakan taufik dan hidayah serta kekuatan untuk meneruskan pemerintahan Negara. Kita doakan juga agar Negara dikekalkan nikmat kestabilan politik dan keamanan, dijauhkan dari segala perbuatan jahat dan fitnah yang boleh membawa malapetaka dan kehancuran. Tanamkanlah rasa kasih sayang di antara rakyat yang berbilang kaum, kukuhkan perpaduan di kalangan mereka semoga sentiasa hidup aman damai, menikmati keadilan, kemakmuran dan keselamatan sepanjang zaman.

.

.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

 (13 April 2012 / 21 Jamadilawwal 1433h)

.

.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

.

Posted by; shafiqolbu

.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: