KJ : Berbuat Baik Kepada Wajah Terindah

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ

.

Khutbah Jumaat: “Wajah Terindah”

.

Muslimin yang di Rahmati Allah,

Marilah kita sama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita tergolong di kalangan orang yang mendapat keberkatan di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah bertajuk: “WAJAH TERINDAH”.

.

.

Muslimin yang di Rahmati Allah,

Islam  mengajar  umatnya supaya menghormati dan berbuat baik kepada ibu bapa. Segala jasa dan pengorbanan yang mereka curahkan sejak di alam rahim sehingga kita dilahirkan begitu besar pengorbanannya. Merekalah yang bertanggungjawab mencari nafkah dan mendidik kita sehingga dewasa. Mereka juga sanggup mengorbankan nyawa dan kepentingan diri demi mengharungi pelbagai cabaran untuk masa depan anak-anak.

Kepayahan dan pengorbanan ibu bapa dalam mendidik dan membesar anak-anaknya sekurang-kurangnya dalam tiga keadaan:

Pertama: ketika mengandung,

Kedua: Saat melahirkan dan

Ketiga: ketika kita masih kecil sehingga dewasa.

.

Marilah kita merenung kembali wajah terindah ibu bapa kita, mungkin ada di antara kita ini, ibu bapanya telah pergi buat selama-lamanya dan mungkin ada yang masih lagi bersama kita di dunia. Cuba kita hayati seketika mungkin pada saat dan ketika ini wajahnya telah kedut ditelan usia, telah lesu kerana keletihan, namun diwajahnya tetap tersimpul senyuman yang mengambarkan kasih sayang yang terpahat dihati  mereka kepada kita.

.

Ingatkah kita semasa kecil dulu apa yang telah dilakukan oleh kedua ibu bapa, merekalah yang memberi susu, menyuap makanan, memandikan, memakai pakaian, mendodoi dan menidurkan kita, membersihkan najis dan segala kotoran di badan,  menghantar kita ke sekolah demi melihat anaknya ini menjadi insan berguna di kemudian hari. Ingatlah wahai muslimin sekalian bahawa kasih ibu bapa kepada anak-anak berpanjangan sepanjang hayat, pengorbanan dan kudrat dicurah siang-malam, hanya tahu memberi dan tidak mengharapkan apa-apa balasan dari anak kerana menginsafi anak itu adalah lahir dari kandungannya yang dijaga selama sembilan bulan.

.

.

Muslimin yang di Rahmati Allah,

Mimbar menyeru ingatlah apa yang kita miliki pada hari ini, harta, pekerjaan, pangkat, kesenangan  dan keluarga kita adalah hasil dari pengorbanan mereka. Tanpa mereka kita tidak dapat melihat dunia ini dan tanpa nasihat dan pengorbanan mereka kita tidak akan memiliki semua ini. Sehubungan itu, kita sebagai anak wajib menghormati, mentaati dan berbuat baik terhadap mereka. Ini sebagai suatu penghormatan tertinggi daripada anak dan membalas jasa ibu bapa mereka.

.

Firman Allah SWT dalam surah al-Israk ayat 23-24:

Maksudnya:Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada keduanya sekalipun perkataan ‘ah’, dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah: Wahai Tuhanku! Kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka telah memelihara dan mendidikku semasa kecil.

.

Muslimin yang di Rahmati Allah,

Tidak dapat dinafikan bahawa kasih sayang seorang ibu mengatasi segalanya. Tidak hilang dihati seorang ibu perasaan rindu terhadap anak-anaknya walaupun sesaat, kadang-kala ibu tidak dapat menyuap makanan ke mulutnya dan melelapkan matanya kerana teringatkan anak-anaknya ini dan ada ketikanya air mata berlinangan mengalir membasahi dipipinya kerana mengenang dan merindui akan anak-anak.

.

Mimbar mengingatkan, bilakah kali terakhir kita bertemu dengan ibu, menatap wajah dan mencium tangan ibu?. Rebutlah kesempatan yang ada semasa hidup sebelum mereka pergi buat selama-lamanya. Berdasarkan kepada pemerhatian mimbar, pada hari ini ada di kalangan anak-anak yang sibuk dengan jawatan, mengejar kuasa dan pangkat tiada kesempatan masa untuk menziarahi ibu bapanya walaupun kepulangannya senantiasa dinanti-nanti dengan penuh kerinduan. Ingatlah menziarahi kedua ibu bapa merupakan satu tuntutan kepada seorang anak.

.

Mimbar ingin menegaskan bahawa kebiasaan kita sebagai anak akan lebih mengingati dan menyebut nama ibu. Jika kita ada masalah kita akan luahkan kepada ibu, kita lebih suka berkongsi perasaan dengan ibu, jika kita sakit, kita lebih suka ibu yang jaga. Oleh itu, wajarlah Allah SWT memuliakan ibu sesuai dengan pengorbanannya.

.

Firman Allah SWT dalam surah Luqman ayat 14:

31:14

Maksudnya:Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan atas kelemahan dan menceraikan susunya dalam masa dua tahun; bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu; dan kepada Akulah tempat kembalimu.

.

Rasulullah SAW ketika menjawab pertanyaan seorang sahabat bersabda :

 Maksudnya: Siapakah yang paling berhak saya pergauli dangan baik? Nabi bersabda “Ibumu”, Orang itu bertanya kemudian siapa lagi? Nabi bersabda “Ibumu”, Orang itu bertanya kemudian siapa lagi, Nabi bersanda “Ibumu”. Orang itu bertanya kemudian siapa lagi, Nabi bersabda : Ayahmu.  (Riwayat al- Bukhari)

.

Betapa besarnya pengorbanan ibu-bapa, namun persoalannya kini, bagaimana pula pengorbanan anak untuk menghargai dan membalas balik jasa serta pengorbanan ibu yang tidak terhitung ini. Inilah persoalan yang perlu direnung oleh kita semua sebagai seorang anak, apakah mereka sudah menunaikan kewajipan terhadap ibunya.

Imam Muslim meriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud  RA berkata bahawa beliau pernah bertanya Rasulullah SAW tentang amalan paling utama. Baginda bersabda: “Solat pada waktunya.” Beliau bertanya lagi: “Kemudian apa lagi?” Baginda bersabda: “Berbakti kepada kedua ibu bapa.” Beliau bertanya lagi: “Kemudian apa lagi?” Baginda bersabda: “Berjuang pada jalan Allah”.

.

.

Muslimin yang di Rahmati Allah,

Islam menganjurkan agar setiap anak menghormati dan berbakti kepada ibu bapa selagi suruhan tersebut tidak melanggari syariat Islam. Jika anak-anak mengingkari perintah ibu bapa, maka itu adalah derhaka dan satu dosa besar walau hanya menyebut ungkapan ‘uuh’ atau ‘aah’ dikira sebagai menyakiti dan menderhaka, apatah lagi jika ada antara anak mencerca, memaki dan memukul ibu bapa mereka.

Hadis Rasulullah SAW : Ada tiga jenis manusia yang terkena laknat Allah SWT iaitu: Seorang yang membenci kedua ibu bapanya, seseorang yang berusaha menceraikan sepasang suami isteri, kemudian setelah isteri tersebut dicerai ia menggantikannya sebagai suaminya dan seseorang yang berusaha agar orang-orang mukmin saling membenci dan saling mendengki antara sesamanya dengan hasutan-hasutannya.” (Riwayat Ad Dailami)

.

Imam Bukhari meriwayatkan bahawa Abdullah bin Amru bin al-‘As RA bertanya Rasulullah SAW tentang dosa besar. Sabda Baginda: “Antara dosa besar ialah seorang lelaki mencerca ibu bapanya.” Tanyanya lagi: “Wahai Rasulullah! Adakah akan berlaku seorang lelaki memaki-hamun ibu bapanya?” Jawab Nabi SAW: “Ya. Seorang lelaki memaki hamun bapa seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu memaki kembali bapanya, begitu juga sekiranya seorang lelaki memaki hamun ibu seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu juga akan memaki hamun ibunya.

Ambillah iktibar dalam cerita si tanggang, seorang anak yang melupai ibunya dan durhaka setelah mendapat kedudukan yang tinggi akibatnya si anak itu diberi balasan oleh Allah SWT di dunia ini.

.

Mimbar mengingatkan jemaah dan umat Islam sekalian, bahawa menyayangi ibu bapa bukan sekadar ketika keduanya masih hidup sahaja tetapi sebenarnya berpanjangan ketika mereka berada di alam arwah atau alam kubur. Roh orang mati tetap hidup di sisi Allah. Setiap hari amalan kita diangkat ke langit dan segala amalan tersebut dipertonton kepada roh ibu bapa kita. Oleh itu gembirakanlah roh ibu bapa kita dengan amalan soleh semasa kita masih hidup di duna ini. Roh–roh ibu bapa akan sakit, tersiksa dan menderita jika melihat amalan anak-anak mereka terlibat melakukan maksiat seperti berzina, berkhalwat, berjudi, minum arak, rasuah, memfitnah orang, bersubahat melakukan kezaliman, penganiayaan dan lain lain.

Perbuatan anak di dunia menjadi ukuran dan bukti adakah kita yang masih hidup ini sebenar-benar menyayangi ibu-bapa kita. Apalah gunanya anak-anak berpangkat besar, berjawatan tinggi, memiliki harta yang banyak  sedangkan perbuatan harian mereka penuh dengan maksiat, kejahatan dan melakukan dosa besar.

.

Rasulullah SAW bersabda:

Mafhumnya: Sesungguhnya amal-amal kamu dibentangkan kepada keluarga dan kaum kerabat kamu yang telah mati; maka kalau amal perbuatan kamu itu baik mereka gembira mengetahuinya, dan kalau sebaliknya, mereka (berdoa untuk kamu dengan) berkata : ‘ Ya Allah Ya Tuhan kami, berilah kaum kerabat kami yang hidup itu hidayah petunjuk, sebagaimana engkau telah member hidayah petunjuk kepada kami (sehingga kami mati dalam iman). (Riwayat Imam Ahmad dan al-Tirmizi)

.

 .

Muslimin yang di Rahmati Allah,

Mengakhiri khutbah pada minggu ini, sempena HARI IBU mimbar menyeru, marilah sama-sama kita menzahirkan perasaan kasih sayang terhadap ibu setiap masa. Memberi kasih sayang kepada mereka bukan sekadar memberi hadiah dan wang ringgit bahkan seluruh jiwa dan raga kita serahkan kepada ibu. Mimbar menyeru jemaah dan umat Islam sekalian, gembirakanlah mereka dan carilah keredhaan mereka serta perbanyakkanlah doa keampunan kepada mereka. Jangan biarkan mereka kesepian dengan linangan airmata yang sayu lagi pilu.  Budayakanlah amalan memuliakan dan menghormati ibu-bapa di sepanjang kehidupan kita dan janganlah hanya dibuat pada masa-masa tertentu sahaja.  Ambillah kesempatan yang ada ini untuk menyayangi sebelum mereka didatangi ajal.

.

Sebagai renungan hayatilah firman Allah SWT dalam surah al-Israa ayat 24:

17:24
Maksudnya: Dan rendahkanlah dirimu kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah: Wahai Tuhanku! Kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka telah memelihara dan mendidikku semasa kecil.”  (Surah al-Israa’:24)

.

.

 .

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Wajah Terindah

(18 Mei 2012 / 26 Jamadilakhir 1433H)

.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

Posted by; shafiqolbu

.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: