KJ : Belia Patriotisme Penyelamat Negara

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ

.

Khutbah Jumaat: Belia Patriotisme Penyelamat Negara”

 

Muslimin yang di Rahmati Allah,

Marilah kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT  dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya, di samping kita mempertingkatkan usaha dalam mendidik anak-anak dan ahli keluarga agar menyempurnakan kewajipan masing-masing. Mudah-mudahan kita memperolehi keberkatan dan keredhaan serta perlindungan Allah SWT di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah bertajuk:

BELIA PATRIOTISME PENYELAMAT NEGARA”.

.

.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Belia adalah harta yang amat berharga menjadi tonggak kekuatan generasi dan pewaris kepimpinan masa depan negara. Menurut Kementerian Belia dan Sukan golongan belia adalah merujuk kepada mereka yang berumur diantara 15 hingga 40 tahun. Berdasarkan besarnya potensi belia ini dalam memacu pembangunan satu ummah dan satu Malaysia, maka amat wajar sekali golongan belia ini diasuh, dididik dan dibimbing menjadi generasi yang mempunyai semangat patriotisme, cintakan negara, dan berjiwa besar. Kehebatan generasi belia inilah yang diharapkan selari dengan tema sambutan Hari Belia Kebangsaan pada tahun ini iaitu ’Esok lebih baik dari hari ini’. Persoalan timbul ialah bagaimana usaha untuk melahirkan generasi belia yang bersifat patriotisme ini?.

.

Berdasarkan kepada pengertian kamus dewan patriotisme bolehlah ditakrifkan sebagai perasaan cinta yang kuat terhadap tanah air. Ia membawa maksud keterikatan kepada kumpulan rakan senegara dan tanah air. Dalam Bahasa Arab ia diwakili dengan perkataan wataniah. Begitu juga jika di tinjau dari sudut pandangan Islam pun, ianya boleh dihubungkait dengan sifat cintakan tanah air. Jika kita menyusuri sirah Rasulullah SAW sebagai contoh yang terbaik. Baginda sangat terkenal sebagai seorang negarawan yang bersemangat patriotisme, sayang dan setia kepada tanah air.

Rasulullah SAW sendiri pernah mengungkapkan perasaan kasihnya sewaktu tiba di Madinah dalam peristiwa hijrah dengan sabdanya yang bermaksud: “ Ya Allah, berikanlah kecintaan kami kepada Madinah sebagaimana Engkau berikan kecintaan kepada Makkah atau lebih dari itu ”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

.

Rasulullah SAW sendiri sebagai pemimpin umat dan bertindak pula sebagai ketua negara telah memberi penekanan khusus  dalam membimbing para belia dengan cara menggesa mereka sentiasa berakhlak mulia, taat beribadah kepada Allah, taat kepada pemimpin dan mencintai negara. Bimbingan ini akan menentukan belia menjadi pemimpin masa depan yang bertanggungjawab kepada agama, bangsa dan negara.

Sabda Rasulullah SAW:

Mafhumnya:  Sesungguhnya Allah sangat kagum kepada pemuda yang tidak ada padanya kelakuan pelik dan menyeleweng”. (Riwayat Ahmad)

Mimbar ingin menegaskan bahawa patriotisme bukanlah satu ideologi, ia merupakan satu semangat dan gagasan dalam mendidik dan memberi kefahaman kepada umat manusia agar mencintai kehidupan dan tanah air. Mimbar ingin menyatakan bahawa dalam semua aspek umat manusia perlulah membina semangat patriotik kerana ianya menjamin kesejahteraan dan perpaduan rakyat. Agama Islam sebenarnya telah menggariskan dengan jelas tentang patriotisme khususnya berhubung kait dengan kepentingan untuk mempertahankan keselamatan dan maruah negara.

.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Anfal ayat 60:

8:60

Maksudnya: Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya, sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya .

.

.

 Muslimin Yang Dirahmati Allah,

Dalam membina semangat patriotisme ini ianya sangat berkait rapat dengan jati diri,  perasaan kasih, kesetian rakyat terhadap negara serta pemimpin secara menyeluruh. Berasaskan kepada dalil-dalil yang jelas daripada al-Quran dan hadith Rasulullah SAW, para ulama telah bersepakat mengatakan bahawa taat kepada pemerintah adalah fardu kepada setiap muslim manakala menderhaka merupakan satu dosa besar.

.

Rasulullah SAW bersabda dengan maksudnya: Tiga golongan Allah SWT tidak menegurnya pada hari kiamat, tidak melihat kepada mereka, tidak membersih dosa mereka dan mereka menerima azab yang pedih, seorang yang mengaku setia kepada pemerintah, ia berbuat demikian kerana keduniaan, jika diberi ia tunaikan kesetiaanya tetapi jika tidak diberi, ia menderhaka.” (Riwayat al-Bukhari)

.

Menurut pandangan Ibnu Hajar al Makky al Haitamy seorang ulama yang terkenal bahawa: Yang dimaksudkan dengan dosa-dosa besar ialah mensyirikkan Allah SWT, membunuh manusia, makan harta anak yatim, menuduh seseorang berzina, menderhaka kepada kedua ibu bapa makan riba dan membatalkan kesetiaan kepada pemerintah.

Imam Nawawi dalam kitabnya Syarh Sahih Muslim menyatakan: Menderhaka kepada pemerintah dan memerangi mereka, maka hukumnya haram.

Termasuk dalam perbuatan derhaka ialah membantah tanpa mengikut saluran yang sah apa-apa keputusan pemerintah yang dibuat secara sah berasaskan kuasa yang diberikan kepada mereka dalam menjalankan urusan pentadbiran negara.

Justeru, menjadi tanggungjawab mimbar mengingatkan sidang Jumaat dan umat  Islam sekalian bahawa semangat patriotisme dan cintakan tanah air khusunya kepada  golongan belia masakini merupakan cerminan masa depan sesebuah negara.

.

.

Wahai jemaah dan umat Islam sekalian,

Golongan belia meliputi kumpulan sasar yang besar dan meluas. Oleh itu golongan ini begitu penting dalam membawa perubahan daripada negatif kepada positif, lemah kepada kuat, mundur kepada maju dan terbaik kepada cemerlang. Kepada para belia mereka dituntut segala jiwa dan raga demi menjamin kemajuan dan keamanan sebuah negara dan hendaklah bertindak sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Ingatlah apa yang telah dipesan oleh Syeikh Yusof Al-Qaradhawi seorang tokoh ulama semasa yang amat berpengaruh “Apabila kita hendak melihat wajah sesebuah negara pada masa hadapan, lihatlah generasi mudanya pada hari ini.  Sekirannya golongan muda hari ini adalah daripada kalangan berakhlak, tentunya sesebuah negara itu akan datang adalah sebuah negara yang aman makmur, tetapi jika keadaan adalah sebaliknya, maka bersedialah untuk berhadapan dengan kemungkinan buruk yang akan berlaku.

.

.

Sidang Jumaat dan umat Islam sekalian,

Kebangkitan golongan belia pada akhir-akhir ini amat mengembirakan kita, namun terdapat juga kes-kes dimana idealisme kebebasan dan hak yang diperjuangkan oleh mereka samada melalui persatuan atau pertubuhan perlu diberi arah tujuan selaras prinsip-prinsip Islam. Kegelojohan menyuarakan pandangan dan memperjuangkan hak menyebabkan ada segelintir mereka ini terjebak dengan aktiviti ektrem, demotrasi jalanan, melakukan kekacauan dan huru-hara. Pada pemerhatian mimbar ada juga di kalangan golongan ini telah diambil kesempatan oleh sesetengah pihak untuk dijadikan perisai politik demi mengejar kuasa.

.

Golongan belia sebenarnya mempunyai idealisme tetapi dalam masa yang sama masih mentah pengalaman hidup dan terbawa bawa dengan jiwa muda yang bergelora. Ingatlah bahawa Islam telah menetapkan, setiap insan tidak memiliki kebebasan yang hakiki, bahkan setiap tindak-tanduknya dibimbing oleh prinsip dan peraturan yang telah ditetapkan oleh syarak yang bersumberkan wahyu daripada Allah SWT. Hak dalam agama Islam sudah pastinya tidak sama sekali bertentangan dengan hak-hak Allah yang menjamin kepentingan dan kemaslahatan umum. Justeru, para belia diseru supaya berpegang kepada ajaran agama dan akidah yang sentiasa dipertahankan agar umat Islam di negara ini dapat menuju al-falah. Ambillah contoh dan tauladan apa yang telah ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim AS dari segi semangat dan keazamannya, ketakwaan Nabi Yusuf AS, keberanian Ashab al-kahf dan keimanan para sahabat Rasulullah SAW.

.

.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Sesungguhnya agama Islam berkehendakan supaya setiap umatnya menjadi sebaik-baik manusia yang sempurna keperibadiannya, mulia budi pekertinya dan menjadi teladan yang baik kepada orang lain. Rasulullah SAW pernah menasihatkan kita dalam sabdanya:

Maksudnya: Sebaik-baik manusia ialah orang-orang yang bermanfaat kepada orang lain.  (Riwayat Al-Tabarani)

 

.

Hadis ini menjelaskan bahawa manusia yang baik menurut pandangan Islam ialah orang yang hidup menggunakan sepenuhnya potensi yang ada untuk memajukan keluarga, masyarakat, bangsa, agama dan negara. Mimbar amat yakin generasi belia patriotik inilah yang menjadi cita-cita negara kita  untuk membentuk tamadun Islam yang dihormati dan disegani oleh masyarakat dunia. Rebutlah peluang yang ada ini selagimana kita mempunyai kekuatan samada fizikal dan mental.

Ibnu Abbas RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah mengingatkan sabdanya,

Mafhumnya: “ Rebutlah lima perkara sebelum kamu didatangi oleh lima perkara lain. Masa mudamu sebelum tua, masa sihatmu sebelum sakit, masa kayamu sebelum miskin, masa lapangmu sebelum sempit, dan masa hidupmu sebelum mati. (Riwayat  Hakim dan Ibnu Majah).

.

.

 Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Mengakhiri khutbah, mimbar menyeru marilah kita sama-sama berdoa mudah-mudahan generasi belia negara kita sentiasa diberikan taufik hidayah oleh Allah SWT dan seterusnya berjaya memainkan peranannya yang sebenar dalam memacu pembangunan negara bangsa yang maju dan dihormati lagi dikasihi Allah SWT. Marilah sama-sama kita merenung firman Allah dalam surah Al-Kahfi ayat 10:

18:10

Maksudnya: Ingatkanlah ketika serombongan orang-orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: “ Wahai Tuhan kami! kurniakanlah kami rahmat dari sisimu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami”.

.

.

.

.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Belia Patriotisme Penyelamat Negara”

(25 Mei 2012 / 4 Rejab 1433H)

.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

Posted by; shafiqolbu

.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: