KJ : Cemerlang Dengan Al-Quran

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ

.

Khutbah Jumaat: “Sempena Rejab dan Musabaqah Tilawah Al-Quran”    

.

.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Di kesempatan berada pada hari Jumaat dan pada bulan Rejab yang mulia ini, saya berpesan kepada diri saya dan kepada sidang Jumaat sekalian marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita memperolehi keberkatan dan keredhaan serta perlindungan Allah SWT di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah bertajuk: “CEMERLANG DENGAN  AL-QURAN. ”

.

.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Allah SWT  telah mengurniakan nikmat dan rahmat dengan mengutuskan Rasul-Nya dan menurunkan kitab al-Quran yang tidak ada sebarang keraguan dalam kandungan dari dahulu sehingga kini. Kitab wahyu yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Rasul-Nya ini  dipenuhi mukjizat dan keagongan yang tiada tolak bandingnya dengan kitab-kitab yang lain. Ianya juga sebagai sumber ilmu bagi umat Islam dan petunjuk jalan kebenaran serta kitab kecemerlangan.

Firman Allah SWT di dalam surah al Israa’ ayat 9:

17:9

Maksudnya: Sesungguhnya Al-Qur’an ini memberi petunjuk ke jalan yang betul, dan memberi berita gembira kepada orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal salih, bahawa mereka beroleh pahala yang besar. ”

.

Imam al-Qurtubi dalam kitab tafsirnya al-Jami’ il Ahkam al-Quran menyatakan bahawa kalimah aqwam bermaksud jalan yang paling benar, paling adil dan paling tepat. Mereka yang menjadikan al-Quran sebagai sumber rujukan, sudah pasti ia akan membuahkan kesejahteraan dan kecemerlangan. Justeru, bagi mengekalkannya al-Quran dalam kehidupan kita ianya perlu dijaga dengan sentiasa membaca dan menghafal serta memahami isi kandungannya agar berada di dalam jiwa dan hati setiap muslim. Firman Allah SWT dalam surah al-Hijr ayat 9:

15:9

Maksudnya: Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Qur’an, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.

 .

.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Kedatangan Islam yang bersumberkan al-Quran telah mengubah pola kehidupan masyarakat sehingga berjaya membina sebuah tamadun yang gilang gemilang. Perubahan dan kecemerlangan yang diraih ini tidak lain kerana disuluhi oleh al-Quran. Atas sebab itu, sekiranya kita sebagai umat Islam ingin mencipta kejayaan samada dari sudut kehidupan, kerjaya, keperibadian dan masa depan hendaklah menjadikan al-Quran sebagai kunci kejayaan. Al-Quran mampu membentuk jati diri yang teguh, menjadikan manusia terdidik dengan akhlak dan budi pekerti tinggi,  rajin berusaha dan berilmu tinggi. Segala-gala ini dapat dicapai apabila mereka bertadabbur  memahami al-Quran dan beramal dengannya.

.

Kecemerlangan al-Quran bukan hanya terbukti dari sudut kerohanian semata-mata bahkan dari sudut saintifik. Al-Quran tidak hanya dikagumi oleh orang Islam, bahkan  ia juga dikagumi oleh orang bukan Islam.Sebahagian daripada mereka yang bukan Islam memeluk Islam selepas memahamai dan meniliti maksud ayat-ayat al-Quran. Sebagai contoh Dr Gary Miller adalah seorang pakar matematik di samping seorang tokoh dalam bidang teologi agama Kristian. Pada tahun 1978  beliau dihadiahkan sebuah al-Quran terjemahan dalam bahasa Inggeris, selepas membaca terjemahan tersebut dan memahami beliau memeluk Islam. Demikian juga dengan Dr. Maurice Bucaille, seorang pakar bedah terkenal di Perancis. Semasa membicarakan berkenaan al-Quran dan Bible dalam konteks ilmu astrofizik, beliau berkata: Tidak dapat sebarang percanggahan antara al-Quran dan ilmu-ilmu moden berhubung asal usul kejadian alam.

.

.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Sebagai umat yang beriman maka sewajarnya al-Quran dijadikan panduan dan sumber rujukan yang utama dalam apa juga kegiatan hidup samada dari sudut akidah, syariat dan akhlak, khususnya dalam menangani pelbagai permasalahan, cabaran semasa untuk mencapai kehidupan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.  Namun persoalannya pada hari ini terdapat segelintir umat Islam yang lemah iman, goyah pegangan akidah dan akhlaknya menjadi kaku bibir dan kelu lidahnya  untuk menyebut ayat-ayat Allah SWT dan keras hati apabila terdengar ayat al-Quran. Mereka lebih gemar mengalungkan dan mendengar nyanyian lagu-lagu yang melalaikan berbanding ayat al-Quran. Tidak kurang pula ada dikalangan kita yang hanya berbangga dengan menggantung ayat-ayat al-Quran yang mahal-mahal sebagai hiasan. Bahkan ada juga yang menjadikan al-Quran sebagai “kitab berkat”, Mereka membaca al-Quran bertujuan mendapat berkat tidak lebih dari itu, maka dibacanyalah beberapa potong ayat al-Quran untuk tujuan tertentu seperti murah rezeki, mencepatkan jodoh dan lain-lain tujuan tertentu.

.

Justeru itu, mimbar menyeru marilah sama-sama kita menjadikan budaya al-Quran sebagai gaya hidup. kita mesti yakin bahawa al-Quran sahajalah yang mampu membawa kecemerlangan, menjadi ubat dan penawar kepada segala jenis penyakit samada rohani atau jasmani yang sedang melanda masyarakat masa kini. Janganlah kita hanya merujuk kepada al-Quran pada perkara perkara tertentu sahaja atau membacanya pada masa-masa tertentu seperti ketika dalam kesusahan, ketika sakit, ketika menghadapi saat kematian ataupun pada hari tertentu.

Firman Allah SWT di dalam surah al Furqan ayat 30:

 25:30

Maksudnya: Dan berkatalah Rasul: Wahai Tuhanku sesungguhnya kaumku telah menjadikan Al-Qur’an ini satu yang tidak diacuhkan, diabaikan.

 .

Berdasarkan kepada beberapa pandangan ulama’ bahawa ada tiga golongan manusia yang mengabaikan al-Quran.

Pertama: mereka yang mengabaikan al-Quran dengan meninggalkan dari membacanya.

Kedua: mereka yang mengabaikan dari sudut tadabbur maknanya serta memahami maksud al-Quran dan

Ketiga: mereka yang mengabaikan al-Quran dengan mengabaikan hukum hakam dan beramal dengannya. Mereka membaca al-Quran, menghafalnya, mengetahui tafsir dan makna ayat yang dibaca tetapi tidak beramal dengan apa yang difahaminya.

.

.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Mimbar mengambil kesempatan dengan sempena dengan Majlis Tilawah al-Quran peringkat Kebangsaan  kali ke 55 yang diadakan di Kompleks Persada, Johor Baharu, Johor bermula dari 4 hingga 8 Jun 2012, mimbar menyeru para jamaah sekalian marilah sama-sama kita membudayakan al-Quran dalam kehidupan. Didiklah ahli keluarga dan anak-anak agar menjadi orang yang mencintai al-Quran. Memprogramkan penghayatan al-Quran dalam keluarga terutama kepada anak-anak dengan memperuntukkan masa seperti selepas solat magrib sebagai waktu membaca, mempelajari dan mentadabbur al-Quran. Mengambil usaha dengan menghantar anak-anak ke kelas pengajian al-Quran samada di surau dan masjid atau di kelas yang telah disediakan.

.

Di samping itu mempelajari al-Quran juga boleh dilakukan dengan cara mendengar bacaan di radio, kaset dan di media-media elektronik dan sebagainya. Terangilah hati kita dengan memahami isi al-Quran, dan teguhkanlah keimanan dengan beramal dengan isi kandungannya. Yakinlah bahawa al-Quran yang memberi petunjuk ke arah kecemerlangan hidup dunia dan akhirat. Ingatlah  sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang membaca satu huruf dari al-Quran, maka bagi-nya diberi sepuluh pahala dan ditambah sepuluh lagi kewajiban seumpamanya, tidak aku katakan( alif, lam, mim ) itu satu huruf, akan tatapi alif satu huruf dan lam satu huruf dan mim satu huruf.”  (Riwayat Tirmizi).

Mengakhiri khutbah pada minggu ini marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalm surah al-Israa ayat 45:

17:45

Maksudnya: Dan apabila kamu membaca Al-Qur’an, Kami jadikan antaramu dan orang yang tidak beriman kepada hari akhirat itu, suatu dinding yang tertutup.

.

.

.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

“Cemerlang Dengan Al-Quran”                                                              

(8 Jun 2012 / 18 Rejab 1433H)


.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

Posted by; shafiqolbu

.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: