KJ : Gagasan / Kepentingan Israk Mikraj

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ

.

Khutbah Jumaat: “Gagasan Israk Mikraj”    

.

.

Muslimin yang di Rahmati Allah,

Di kesempatan berada pada hari Jumaat dan pada bulan Rejab yang mulia ini, saya berpesan kepada diri saya dan kepada sidang Jumaat sekalian marilah sama-sama kita mengukuhkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita dan keluarga kita berjaya menjadi insan soleh serta mendapat perlindungan Allah SWT di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah bertajuk: “GAGASAN ISRA’ MIKRAJ”.

.

.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Kini kita berada dipenghujung bulan Rejab, mengingatkan kita satu mukjizat teragong iaitu peristiwa Isra’ Mikraj yang berlaku pada 27 Rejab setahun sebelum Nabi Muhammad SAW berhijrah ke Madinah. Dalam peristiwa ini, atas kekuasaan dan kehendak Allah SWT, Nabi Muhammad SAW diiringi Malaikat Jibril diperjalankan pada waktu malam hari berangkat dari masjidil Haram di Makkah menuju ke masjidil Aqsa di Baitul Muqadis di Palestin dan kemudiannya di angkat mengadap Allah SWT di Sidratul Muntaha. Kalau mengikut perkiraan moden hari ini, peristiwa ini berlaku dalam tempoh satu malam iaitu kira-kira 12 jam.

Firman Allah SWT  dalam surah al-Israa’ ayat 1:

17:1

Bermaksud: Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang Kami berkati sekelilingnya, untuk diperlihatkan kepadanya tanda kekuasaan Kami. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

 .

.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Tugas utama Nabi Muhammad SAW dan rasul adalah untuk membina diri manusia supaya berakhlak mulia dan beramal soleh. Pembangunan diri manusia, pembangunan insan adalah menjadi tonggak segala pembangunan yang lain. Persoalan besar timbul ialah bagaimanakah manusia itu boleh membangunkan akhlak yang mulia ?. Inilah yang perlu difahami dan dipelajari dalam peristiwa Isra’ Mikraj . Dalam peristiwa Isra’ Mikraj Nabi Muhammad SAW telah dibawa untuk melihat setiap kelakuan manusia samada yang nyata atau ghaib yang terdapat di bumi dan di tujuh lapis langit serta bertemu dengan Allah SWT. Menurut ahli tafsir seperti Ibnu Kathir, menyatakan Nabi Muhammad melihat Allah SWT secara mata hati dan menerima perintah melaksanakan program solat fardhu 5 waktu sehari semalam secara terus dari Allah SWT. Inilah gagasan terbesar Allah SWT memanggil mengadap Rasulullah SAW di Sidratul Muntaha. Manakala perintah melakukan ibadah-ibadah wajib yang lain disampaikan Allah SWT melalui malaikat Jibril.

.

Berdasarkan gagasan Isra’ Mikraj ini jelas bahawa solat fardhu lima waktu adalah program utama yang Allah fardhukan kepada umat Islam. Solat fardhu menjadi perintah utama kerana ia menjadi ibu segala amal ibadah, wajib dilaksanakan samada semasa sihat atau sakit, menjadi tonggak kekuatan agama, menggugurkan segala dosa dan menyelamatkan azab kubur. Selain itu kualiti solat ini juga akan menentukan  kualiti pelaksanaan ibadah-ibadah yang lain.

.

Terdapat perkaitan yang kuat bahawa jika seseorang itu lemah melaksanakan solat, maka ibadah yang lain pun mempunyai tahap yang sama. Berdasarkan perkaitan inilah maka amalan solat adalah amalan yang dapat mencegah berlakunya kemungkaran kepada seseorang itu.

Firman Allah dalam surah al-Ankabut Ayat 45 :

 29:45

Maksudnya: Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan .

.

Jika solat itu dibuat secara lalai maka ia boleh mendatangkan musibah dan memberi kesan buruk terhadap kelakuan seseorang. Firman Allah dalam surah al-Maa’un, ayat 5,

107:5

Maksudnya: Maka kecelakaan besar bagi orang yang Sembahyang. (Iaitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya.

 .

Apa yang dimaksudkan lalai di sini ialah, mereka yang melakukan solat tidak menyedari bilangan rakaatnya, malas melakukan solat sehingga bertangguh-tangguh kerana mengutamakan pekerjaan lain, terburu-buru melakukan solat dan tidak merasai nikmat melakukan solat di awal waktu. Memandangkan solat ini adalah perintah Allah SWT, maka pelaksanaan solat hendaklah dilaksanakan secara khusyuk mengikut peraturan tertentu. Solat yang hakiki akan melindungi seseorang daripada melakukan perbuatan berdosa. Solat yang hakiki adalah solat yang dilakukan secara khusyuk.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Perbezaan antara manusia dan perbezaan antara syirik dan kufur ialah meninggalkan solat. (Riwayat Muslim)

.

.

Sidang Jumaat Yang dirahmati Allah,

Walaupun kita tidak dapat bertemu dengan Allah SWT seperti yang dialami oleh Nabi Muhammad SAW tetapi berdasarkan gagasan Isra’ Mikraj ini kita dapat bertemu dan berhadapan dengan Allah SWT di dalam solat dengan syarat, pertama: hati kita sepenuhnya mengingati Allah dengan menghindari dari penyakit syahwat atau bisikan duniawi kedua: hati kita sentiasa mengagungkan Allah SWT dan merasa Allah sentiasa melihat diri kita dan ketiga: hati kita sentiasa meresapi makna-makna ayat al-Quran yang di baca dalam solat.

.

Menurut Imam Ghazali, antara amalan untuk membentuk solat yang khusuk ialah;

Pertama: memastikan sumber rezeki itu adalah halal,

Kedua: mendirikan solat seolah-olah akan menghadapi kematian pada esok hari,

Ketiga: mendirikan solat pada awal waktu,

Keempat: memahami pengertian bacaan dalam solat,

Kelima: mengambil wudhu’ dengan sempurna dan pakaian bersih dan

Keenam: memiliki sifat malu kepada Allah SWT jika perlaksanaan solat itu tidak sempurna.

Berdasarkan pemerhatian mimbar, akhlak yang kurang baik dan keruntuhan moral yang dideritai oleh segolongan umat Islam kini berpunca daripada solatnya tidak khusyuk menyebabkan mereka masih melakukan perbuatan keji dan maksiat. Mereka ini melakukan solat tetapi masih juga melakukan perbuatan berdosa.

.

.

Sidang Jumaat Yang dirahmati Allah,

Serangan gejala sosial dalam pelbagai bentuk di negara ini menyebabkan kita kadangkala hilang pedoman untuk mengatasinya. Isu-isu seperti pelacuran, pembuangan bayi, dadah, arak dan yang terkini LGBT semakin menjadi-jadi dan membimbangkan. Mimbar amat yakin pelaksanaan solat yang khusyuk berupaya menjadi benteng, mengukuhkan kekuatan akidah dan akhlak umat Islam dalam menghadapi serangan gejala sosial ini. Gagasan dan kebenaran dalam Isra’ Mikraj ini hendaklah kita tauladani dan dipelajari serta dihayati sebaik mungkin, insyaallah kita mampu mengelakkan diri daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan dan kemungkaran serta terjerumus dengan gaya hidup berdosa.

.

Oleh itu Sempena memperingati peristiwa Isra’ Mikraj sebagai mukjizat yang besar ini, maka mimbar menyeru para jemaah dan umat Islam sekalian, marilah kita melaksanakan ibadah solat dengan khusyuk dan sempurna agar ia mampu membangunkan generasi dan keluarga kita menjadi insan yang soleh selari dengan gagasan Isra’ Mikraj. Mimbar juga menyeru para jemaah sekalian bersempena dengan bulan Rejab yang mulia ini marilah sama-sama kita memperbanyakkan amal ibadat kita seperti melakukan ibadat puasa, bersedekah dan sebagainya, mudah-mudahan segala amalan kita diterima sebagai amal soleh.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Hendaklah kamu memuliakan bulan Rejab, nescaya Allah SWT akan muliakan kamu dengan seribu kemuliaan di hari kiamat.”  

.

Sebagai renungan, marilah sama-sama kita menghayati firman Allah SWT dalam surah an-Nisaa’, ayat 142:

4:142

Maksudnya: Sesungguhnya orang munafik itu melakukan tipu daya terhadap Allah, dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka. Mereka pula apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri dengan malas. Mereka riak kepada manusia, dan mereka pula tidak mengingati Allah melainkan sedikit sekali.

.

.

.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

  “Gagasan Isra’ Mikraj”

 (15 Jun 2012/25 Rejab 1433H)

.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

Posted by; shafiqolbu

.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: