KJ : Satu Ummah Memerangi Dadah

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ 

.

Khutbah Jumaat: “Satu Ummah Memerangi Dadah”

 

.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Pada hari Jumaat yang berkat dan di dalam masjid yang mulia ini, saya berpesan kepada diri saya dan kepada sidang Jumaat yang menjadi tetamu Allah sekalian marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi umat yang terbaik, umat contoh dan memperolehi kebahagian di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah bertajuk: “SATU UMMAH MEMERANGI DADAH”.

.

Muslimin yang di Rahmati Allah,

Kedaulatan negara dan bangsa di negara ini terletak di tangan kita sebagai orang Islam yang menjadi teras kepada pemerintahan di negara ini. Namun berdasarkan senario semasa dan pemerhatian mimbar, ternyata kekuatan bangsa semakin terancam dan merungsingkan. Dengan suasana politik umat Islam dan orang Melayu yang semakin berpecah belah, maka pada masa yang sama juga orang Islam paling ramai terjebak dalam gejala sosial terutamanya gejala penagihan dadah. Justeru mimbar pada hari ini menyeru kepada jemaah sekalian bersempena dengan sambutan Hari Antidadah Antarabangsa yang disambut pada 24 Jun yang lepas, marilah sama sama kita satu ummah memerangi dadah.

.

Menurut Statistik Agensi Anti Dadah Kebangsaan dalam tempoh antara 1988-2010, jumlah penagih dalam negara kita adalah seramai 325,075 orang yang merangkumi penagih lama dan baru dan secara umumnya 68.11% penagih dadah adalah umat Melayu. Apa yang membimbangkan, sebahagian besar yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah adalah daripada golongan belia. Sedangkan golongan inilah pewaris meneruskan kesinambungan kepimpinan pada masa hadapan.  Mimbar amat bimbang, sebilangan orang Islam yang hidup bergelomang dengan dadah, HIV dan AIDS ini kerana dari segi jangka panjangnya akan melemahkan kekuatan ummah dan kedaulatan bangsa di negara ini.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah Ayat 195 :

 2:195

Maksud: Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan dan berbuat baiklah kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berusaha memperbaiki amalannya.

 .

.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Hakikatnya bukan hanya dadah, penagih dan pengedarnya sahaja, malah gejala lain seperti ketagihan arak, ketagihan seks juga adalah sebahagian daripada gejala yang menjadi musuh utama negara dan agama Islam. Pada prinsipnya mereka yang terlibat dengan gejala penagihan dadah telah hilang kewarasaan akal kerana merosakkan nama baiknya dan menimbulkan kegelisahaan dalam masyarakat. Perbuatan-perbuatan ini sebenarnya semakin menjauhkan diri seseorang daripada Allah SWT.

.

Kadangkala dengan hanya sekali terlibat sahaja boleh menghancurkan nilai kehidupan dan menyebabkan kerugian sepanjang hayat di dunia dan akhirat. Oleh itu, usaha membanteras, memerangi dadah dan segala perbuatan berdosa tidak boleh dibuat berdasarkan kes-kes terhad atau oleh agensi tertentu tetapi perlu dibuat secara menyeluruh di seluruh negara selari dengan kehendak syariat Allah SWT. Selari dengan Islam sebagai Agama Persekutuan dan kebimbangan kita terhadap perkembangan gejala ini setiap hari, maka amat wajar sekali mimbar menyeru Satu ummah, seluruh ibu bapa dan anggota masyarakat berusaha dengan ikhlas memerangi gejala dadah.

Sabda Rasulullah SAW:

Bermaksud: Sesiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, maka hendaklah ia mengubahnya dengan tangan, jika sekiranya ia tidak mampu, maka hendaklah ia mengubahnya dengan lidah, jika sekiranya tiada juga mampu,  maka hendaklah dia mengubahnya dengan hati dan yang demikian itu adalah selemah-lemah iman. ( Riwayat Muslim)

 .

Sejajar dengan peringatan Rasulullah SAW ini, maka mimbar menyeru jemaah dan umat Islam sekalian untuk bertindak iaitu:

Pertama: Sebagai pemimpin  perlu memperhebatkan program turun padang bagi membantu membimbing, mendekati dan memberi keyakinan hidup keluarga yang menghadapi krisis ini. Perbuatan mencerca, dan menghina mereka yang menghadapi ujian Allah SWT adalah bercanggah dengan ajaran Islam dan membebankan lagi penderitaan mereka.

Kedua: Ibu bapa sebagai tunjang keluarga mesti bertanggungjawab memastikan agar diri dan ahli keluarga sentiasa melaksanakan perintah Allah dengan sempurna dan istiqamah. Ketahuilah bahawa beristiqamah dalam ibadah sahaja mampu menghindarkan anak-anak dari ancaman dadah dan  gejala sosial lain.

Ketiga: Adalah menjadi tanggungjawab kita bersama memburu pengedar-pengedar dadah dan mereka yang bersyubhat.

.

.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Sebenarnya persoalan dadah sehingga ke hari ini tiada kesudahannya dan ianya masih menjadi bebanan atau liabiliti kepada negara. Banyak wang negara terpaksa diperuntukkan untuk membasmi gejala ini. Sebagai contohnya melalui Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Kerajaan telah menubuhkan Sukarelawan Antidadah atau SKUAD 1 Malaysia. Kesemuanya ini atas dasar keperihatinan dan rasa tanggungjawab pihak Kerajaan bagi membasmi gejala ini serta memulihkan mereka yang terjebak dan merealisasikan masyarakat bebas dadah.

.

Mimbar ingin mengingatkan bahawa kerosakan yang dibawa oleh gejala dadah sangat besar. Sedarlah, bukan hidup penagih sahaja yang terjejas. Bukan setakat kesihatan, kewangan si penagih, tetapi yang paling malang gejala ini akan menghilangkan ketawa riang dari anak-anak dan isteri serta akan diwarnai dengan tangisan yang berpanjangan. Kerosakan dadah tidak terkongkong hanya pada seorang individu sahaja, akan tetapi, kerosakan ini akan dirasai oleh ahli keluarga dan siapa yang menyayanginya. Akan ranap harapan ibu bapa, akan musnah impian saudara-mara dan akan hancur masa depan anak-anak dan isteri di bawah tanggungannya serta akan musnah sesebuah bangsa dan negara.

.

.

Muslimin Yang Di Rahmati Allah,

Mengakhiri khutbah mimbar menyeru jemaah dan umat Islam sekalian, ingatlah dan insaflah semasa masih sihat, masih berkuasa dan bertenaga, marilah kita sebagai satu ummah memerangi gejala dadah, Satu ummah mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan terus kekal bertaqwa kepada-Nya. Marilah kita sekalian mempertebalkan keimanan kepada Allah, memperbanyakan amal kebajikan, menjalankan tugas dengan jujur, menjauhi segala perbuatan berdosa dan maksiat. Mimbar menyeru kepada jemaah sekalian agar memberi perhatian kepada anak-anak kita agar hidup mereka tidak terjebak dengan gejala yang tidak sihat. Ajaklah mereka untuk berkongsi pandangan, masalah dan disiplinkan hidup mereka seperti dengan cara solat secara berjamaah, mesrakan hidup mereka dengan aktiviti yang berfaedah. Di samping itu berilah sedikit perhatian dengan memastikan siapa mereka berkawan, kemana mereka pergi dan sebagainya. Didiklah mereka dengan didikan agama, mudah-mudahan mereka sentiasa berada dalam landasan yang benar dan di redai Allah SWT.

Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-Isra’ ayat 7:

 17:7

Maksud: “Jika kamu berbuat kebaikan, maka faedahnya adalah untukmu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka berbalik kepada diri kamu juga. Oleh itu, apabila sampai masa janji kali kedua, Kami datangkan musuh-musuh kamu untuk memuramkan muka kamu; dan untuk memasuki masjid sebagaimana mereka telah memasukinya pada kali pertama; dan untuk menghancurkan apa sahaja yang mereka telah kuasai, dengan sehancur-hancurnya.

 .

.

.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

“Satu Ummah Memerangi Dadah”

(6 Julai 2012/ 16 Syaaban 1433H)


.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

Posted by; shafiqolbu

.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: