Nabi Benci Manusia Tak Kahwin

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ

Segera Kahwin…

.
Bagi yang mempunyai kemampuan kesihatan, cukup perbelanjaan dan bersedia menjalankan kewajipan sebagai suami dan isteri digalakkan berkahwin.

Ada di kalangan lelaki bujang yang meningkat umurnya memilih untuk hidup membujang padahal memiliki kemampuan yang ‘hampir’ sempurna; kedudukan dan pekerjaan yang baik.

Malah, kajian Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mendapati daripada 2.5 juta atau 16.7 peratus rakyat negara ini berusia 25 tahun yang belum berkahwin, 60.4 peratus adalah lelaki.

Antara alasan lelaki tidak berkahwin ialah masalah kewangan, tiada calon sesuai, kerjaya dan komitmen keluarga.

Keengganan untuk berkahwin membawa kesan tidak baik kepada perkembangan manusia. Bagi Islam, ia menyebabkan umat semakin berkurangan dan menjadi lemah.

.

Sememangnya hidup membujang mereka ‘bebas’ serba-serbi. Namun adakah ia menjamin ketenangan? Allah menjelaskan orang yang berkahwin akan dikurniakan rezeki, ketenangan serta kasih-sayang.

Kebebasan bukanlah ertinya mendapat kebebasan mutlak. Orang bujang mungkin tidak mempunyai bebanan dan tanggungan tetapi mereka tetap diharamkan melakukan hubungan dengan orang yang bukan mahramnya.

Islam meletakkan perkahwinan itu salah satu perkara terpenting dalam peradaban kemanusiaan sehingga ia dapat memenuhi separuh iman dan agama seseorang Muslim.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Apabila berkahwin seseorang hamba itu, maka dia pun melengkapi separuh daripada agamanya. Maka bertakwalah ia kepada Allah di separuh yang belum lagi.” (Riwayat Baihaqi).

.

Memang tiada siapa berhak menyekat kehendak seseorang untuk hidup membujang. Mereka tidak perlu pening-pening memikirkan keperluan isteri dan anak.

Mereka juga tidak perlu menjaga hati atau melaksanakan tanggungjawab sebagai suami, isteri, ibu atau bapa kepada seorang anak dan perlu juga menjaga banyak ‘hati’ seperti keluarga mentua serta ipar duai.

Nabi Muhammad s.a.w tidak menyukai orang yang membujang seumur hidup, kecuali orang itu mempunyai masalah yang tidak mengizinkannya untuk berkahwin.

Galakan supaya berkahwin memang jelas ditekankan dalam Islam. Dalam hadis yang diriwayatkan Abu Daud dan Al-Hakim:

“Berkahwinlah kamu dan beranak pinaklah kamu dengan banyaknya, sesungguhnya aku akan berbangga dengan kamu berbanding umat-umat lain pada hari akhirat nanti.”

.

Pensyarah Pusat Kajian Pembangunan Pengurusan Islam (ISDEV) Universiti Sains Malaysia, (USM), Dr Mohd Shukri Hanapi berkata, perkahwinan adalah sunnah Rasulullah s.a.w dan menjadi fitrah yang sesuai dengan naluri manusia.

“Mereka yang mahu hidup membujang jelas bertentangan dengan sunnah Rasulullah s.a.w serta mensia-siakan nikmat dunia kurniaan Allah itu.

Islam melarang umatnya yang tidak mahu berkahwin dengan tujuan menjauhkan diri daripada mengecapi kenikmatan dunia, mengelakkan diri merasai kehidupan berkeluarga serta tidak ingin mempunyai zuriat. 

Hal itu boleh melemahkan umat Islam. Melalui perkahwinan, umat dan pengikut Nabi Muhammad s.a.w akan terus berkembang. Baginda juga merasa bangga dan gembira umatnya ramai.” 

Ini dinyatakan Rasulullah s.a.w dalam hadisnya yang diriwayatkan daripada Sa’ad bin Abi Waqqas bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud, “Berkahwinlah kamu. Sesungguhnya aku pada hari kiamat kelak akan bergembira dengan sebab ramainya umatku. Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang Nasrani bertapa hidup membujang”. 

“Nabi Muhammad s.a.w dan rasul terdahulu terdiri daripada golongan orang yang berkahwin dan mempunyai zuriat keturunan. Kebanyakannya mereka beristeri lebih daripada seorang,” katanya.

.

Allah SWT berfirman yang bermaksud,

 13:38

“Dan sesungguhnya Kami mengutuskan rasul-rasul sebelummu dan Kami jadikan untuk mereka isteri-isteri dan zuriat keturunan” (Surah al-Ra’d, ayat 38).

.

Beliau berkata, sesiapa yang enggan berkahwin padahal mereka mampu dari segi zahir dan batin bermakna mereka mengharamkan sesuatu perkara halal terhadap diri mereka.

“Ia boleh dianggap orang yang menentang hukum Allah dan sunnah Rasulullah. Ibnu Jarir al-Tabariy menjelaskan, salah seorang daripada sahabat Rasulullah bernama ‘Uthman bin Maz’un mengharamkan ke atas dirinya seorang perempuan, benda-benda yang baik dan semua benda yang sedap dan lazat.

“Ekoran pengharaman itu, Allah menurunkan firman-Nya yang bermaksud,

 5:87

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu haramkan benda-benda yang baik yang dihalalkan Allah bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas pada apa yang ditetapkan halalnya itu, kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.” (Surah al-Ma’idah ayat 87).

.

“Ibnu ‘Abbas meriwayatkan seorang lelaki mengadu dan bertanya kepada Rasulullah mengenai orang yang membujang (tidak berkahwin) selama-lamanya dengan berkata, “Bolehkah aku berkasi?” Baginda menjawab dengan bersabda yang bermaksud, “Tidak ada dalam agama kita orang yang berkasi .” (Riwayat al-Tabrani).

.

Mohd Shukri berkata Allah berjanji akan meluaskan rezeki bagi sesiapa yang berkahwin.

“Allah berfirman yang bermaksud,

 24:32

“Dan kahwinkanlah orang-orang yang sendirian di antara kamu, dan orang-orang yang layak (berkahwin) daripada hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan hamba-hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya. Dan Allah Maha luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui” (Surah al-Nur ayat 32).

.

“Berdasarkan ayat itu, pintu rezeki orang yang berkahwin cukup luas. Mereka tidak perlu bimbang dan risau menjadi miskin jika berkahwin.

“Anas bin Malik meriwayatkan, terdapat tiga orang sahabat datang berkunjung ke rumah isteri-isteri Rasulullah untuk menanyakan ibadat yang dikerjakan Baginda.

Setelah tiga orang sahabat tadi mendapat jawapan daripada isteri-isteri Baginda, mereka merasakan ibadat mereka itu jika dibandingkan dengan ibadat Rasulullah s.a.w terlalu sedikit. Lalu ketiga-tiga orang sahabat itu berkata sesama mereka: “Bagaimana dengan ibadat kita, padahal Baginda adalah orang yang maksum (tidak sedikit pun mempunyai dosa dan Allah mengampunkan dosanya yang lalu dan akan datang?”

Maka salah seorang daripada mereka itu berkata, “Aku akan Solat Tahajud setiap malam.” ; seorang yang lain berkata, “Aku akan berpuasa sepanjang tahun, dan tidak akan berbuka”; dan seorang yang lain berkata, “Aku akan mengasingkan diri daripada orang perempuan, dan aku tidak akan berkahwin selama-lamanya (hidup membujang)” 

Sebaik Rasulullah s.a.w datang, lalu baginda bersabda yang bermaksud, “Kenapa kamu semua berkata begitu? Ingat dan ketahuilah, demi Allah aku adalah orang yang sangat takut terhadap Allah, dan sangat takwa kepada-Nya, tetapi aku berpuasa dan kadangkala aku (tidak berpuasa), dan aku sembahyang, dan aku tidur, dan aku juga berkahwin dengan perempuan. Maka sesiapa yang tidak suka dengan sunnahku, mereka itu bukanlah pengikutku (bukan daripada kalangan ummahku).” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

.

“Perkahwinan adalah salah satu tanda membuktikan kekuasaan Allah. Seorang dapat menyalurkan kehendak fitrahnya seperti berkasih sayang, keinginan mempunyai zuriat, memenuhi tuntutan nafsu seks, dapat mengadakan perbincangan atau berkongsi buah fikiran, berhak mewarisi harta antara satu sama lain dan dapat mengukuhkan ekonomi bagi pasangan yang bekerja, “katanya.

Menurutnya, kemampuan berkahwin merujuk kepada kesihatan, cukup perbelanjaan dan sudah bersedia menjalankan kewajipan sebagai suami dan isteri.

“Semua perkara itu penting supaya rumah tangga yang dibina bahagia dan harmoni.
Nabi Muhammad tidak menyukai umatnya membujang seumur hidup, kecuali orang yang mempunyai masalah yang tidak membolehkannya berkahwin.

“Namun, baginda menyedari setiap orang mempunyai masalah tersendiri antaranya tidak sempurna kesihatan fizikalnya, masalah penyakit batin, tidak mampu menjalankan kewajipan selepas berkahwin, gangguan emosi dan mental dan perkara yang menghalangnya mendirikan rumah tangga,” katanya.

.

والله أعلم بالصواب

Wallahu A’lam bishowab

(Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)

.

Sumber: Di Sini

.

.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: