Khutbah Khas Idulfitri: Perpaduan ~ Asas Keutuhan Idulfitri

KHUTBAH KHAS IDULFITRI:

Perpaduan: Asas Keutuhan  Idulfitri 

01 Syawal 1433H / 19 Ogos 2012M

.

 .

Sidang Jemaah Muslimin dan Muslimat Yang dirahmati Allah,

Di pagi hari yang mulia dan penuh berkat ini, marilah sama-sama kita perbanyakkan rasa syukur dan meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa. Ketakwaan yang bersungguh-sungguh sehingga membawa kita kepada rasa bertanggungjawab untuk  kita mentaati segala perintah Allah SWT dan meninggalkan segala larangan-Nya, mudah-mudahan kita dikasihi Allah, mendapat perlindungan-Nya di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah yang bertajuk: “PERPADUAN: ASAS KEUTUHAN  IDULFITRI ”.

.

.

Sidang Jemaah muslimin dan muslimat  yang dirahmati Allah,

Kini berakhirlah bulan Ramadhan yang kita hayatinya selama sebulan. Pemergiannya amat terasa oleh sesiapa sahaja dari kalangan kita yang berpeluang mendapat sentuhan barakahnya yang tersimpan rapi di antara malam dan siang melalui siyam dan qiyam. Pemergian Ramadhan banyak menjana pengajaran  dan iktibar yang sungguh bermakna sebagai persiapan dan bekalan bagi menjalani kehidupan selepas Ramadhan. Apa yang kita perolehi dari Ramadhan adalah bingkisan pahala bersekala besar yang di janjikan Allah SWT sebagai  bonus lumayan yang merupakan rahmat, keampunan dan pembebasan dari api neraka. Firman Allah SWT di dalam surah Ali- Imran ayat 185:

 

Maksudnya: “Maka sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke Syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan tiadalah kehidupan di dunia ini melainkan kesenangan yang memperdayakan”.

.

.

Sidang Jemaah muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah,

Pada hari ini, dengan kedatangan 1 Syawal adalah saat umat Islam di seluruh dunia dari pelbagai bangsa dan peringkat umur, bersama-sama melafazkan takbir, tahmid, dan tasbih sebagai tanda mengagungkan kebesaran Allah SWT, tanda kejayaan mendidik nafsu dan menginsafi bulan Ramadhan yang berkat ini telah meninggalkan kita dan tanda kesyukuran kepada Allah SWT kerana berkesempatan merayakan Idulfitri pada hari ini serta tanda perpaduan antara kita sebagai umat yang berasaskan kepada akidah yang sama.

.

Gema takbir dengan memuji Allah SWT ini menggegar jiwa, perasaan, fikiran dan memberi keinsafan kepada kita kerana sambutan Idulfitri yang ditetapkan oleh agama kita dimulai dengan mentauhidkan Allah SWT. Mimbar berharap sambutan di seluruh negara pada hari ini dipenuhi dengan amalan-amalan yang sihat, tidak bercanggah dengan ajaran Islam, tidak menghina Islam dan tidak mencemarkan keberkatan Ramadhan yang baru saja berlalu dan Syawal yang mulia ini. Idulfitri bererti merayakan kemenangan kerana menundukkan hawa nafsu dan membolehkan  kita kembali kepada jati diri sebagai hamba Allah SWT yang bertakwa, hamba Allah SWT yang cintakan keamanan dan keharmonian.

.

Kemuncaknya maka pada saat dan di pagi yang syahdu ini, kita berkumpul di rumah Allah bagi menunaikan solat Idulfitri. Dalam detik sebeginilah kita merasa begitu teruja kerana dapat bersama-sama dan menjalinkan tautan kasih antara kita dalam pelbagai golongan samada fakir, miskin, anak-anak yatim dan golongan yang lemah. Justeru, menjadi tanggungjawab bagi kita untuk melaksanakan tanggungjawab sosial dengan menyuburkan kasih sayang, mahabbah, mawaddah serta mengikis perasaan kebencian dan permusuhan.

.

Kekuatan utama sambutan Idulfitri ialah memulihkan dan mengekalkan perpaduan. Perpaduan bermaksud penggabungan samada bergabung menjadi satu atau persatuan. Dalam maksud yang lain, perpaduan bererti hubungan erat yang bersifat toleransi bagi mencapai matlamat secara jujur dan ikhlas. Perpaduan juga adalah proses menyatupadukan seluruh ummah agar membentuk satu identiti dan menanamkan perasaan cinta dan banggakan negara. Perpaduan umat Islam iaitu berasaskan kepada kesatuan dalaman yang terzahir sebagai pautan kejiwaan dan kerohanian. Firman Allah SWT di dalam surah al-Hujurat ayat 10:

Maksudnya: “Sebenarnya orang yang beriman itu bersaudara maka damaikanlah di antara dua saudara kamu itu; dan bertakwalah kepada Allah agar kamu beroleh rahmat”.

.

Menjelang sambutan Idulfitri ini kita dapat melihat perpaduan dan toleransi yang erat di kalangan umat Islam dengan berduyun-duyun pulang menuju ke kampung halaman masing-masing samada melalui jalan darat, laut dan udara  menemui keluarga dan kaum kerabat yang di sayangi untuk bersama menyambut Idulfitri. Seluruh umat Islam tanpa mengira latar belakang, kedudukan, fahaman politik, warna kulit, bangsa, pangkat serta darjat bergerak dengan niat dan semangat yang satu berasaskan kesamaan demi mengukuhkan perpaduan umat Islam. Allah SWT memerintahkan kita untuk bersatu dan berpegang teguh dengan agama Allah sebagaimana firman-Nya dalam surah Ali-Imran ayat 103:

Maksudnya: “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang Islam yang bersaudara. dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya.

.

.

Sidang Jemaah muslimin dan muslimat  yang dirahmati Allah,

Islam ialah agama yang mengemukakan sistem kehidupan terunggul untuk masyarakat manusia. Islam juga membawa risalah yang mendukung kemajuan manusia dan tamadunnya yang luhur. Justeru, perpaduan dikalangan umatnya menjadi agenda terpenting dalam pembentukan masyarakat menerusi pengukuhan jaringan sosial yang berteraskan kepada persaudaraan. Dalam Islam tiada masyarakat tanpa persaudaraan sebagaimana tiada ketakwaan tanpa keimanan. Persaudaraan dalam Islam adalah teras bagi pembentukan negara dan perkembangan masyarakat yang maju lagi bertamadun. Sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: “Seorang mukmin terhadap seorang mukmin yang lain adalah seperti sebuah bangunan di mana sebahagiannya menguatkan sebahagian yang lain. (Riwayat Muslim)

 .

Dan sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: “bandingan orang-orang mukmin yang berkasih aying dan berkasihan belas dan menaruh simpati adalah  tak ubah seperti satu jasad, di mana kalau salah satu anggota mengalami kesakitan maka seluruh badan akan turut berjaga malam dan berdemam.(Riwayat Muslim)

.

Sebenarnya keutuhan perpaduan sesama umat Islam tidak akan tercapai, kecuali dengan terlaksananya  beberapa prinsip asas antaranya sikap tolong-menolong dalam menggalakkan kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Ianya perlulah dimantapkan lagi melalui aspek moral yang baik, berakhlak mulia seperti sayang-menyayangi antara satu sama lain. Umat Islam seharusnya menjadikan junjungan besar Nabi Muhammad SAW  sebagai contoh tauladan yang terbaik. Kejayaan Baginda SAW dalam menyatukan bangsa Arab yang bersifat asabiyah melalui ajaran Islam yang mantap telah melahirkan bangsa yang hebat dan kuat dalam sejarah tamadun dunia. Hubungan antara umat Islam yang terjalin diatas nama persaudaraan seharusnya mampu melahirkan umat yang bersatu- padu dan bukannya umat yang berpecah belah. Sejarah membuktikan bahawa pendekatan Rasulullah SAW melalui tindakannya, seperti pembinaan masjid sebagai institusi sosial dalam menjana institusi ummah. Masjid bukan setakat berfungsi sebagai tempat menunaikan solat semata-mata, malah berperanan sebagai lokasi strategik untuk  Baginda menyusun dan membentuk masyarakatnya, membangunkan aqidah umat Islam, melaksanakan urusan syariah dan menjalinkan hubungan sesama rakyat melalui akhlak yang mulia.

.

Dalam pada itu, Baginda  juga mengambil langkah mempersaudarakan umat Islam menerusi ikatan ukhwah sesama Islam. Kaum Aus dan Khazraj yang begitu lama bersengketa telah berjaya didamaikan. Rasulullah SAW  memperteguhkan kewajipan memelihara hubungan persaudaraan yang menjana kepada perpaduan dan kesatuan ummah. Ini terbukti apabila Baginda ditanya oleh seorang sahabat sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Ayub al-Ansari dalam hadithnya yang bermaksud: “ Ya! Rasulullah SAW bersabda kepadaku, amal yang akan memasukkan aku ke dalam syurga. Maka sabda Rasulullah SAW: ‘Engkau beribadah kepada Allah SWT  dan tidak menasyrikkannya dengan sesuatu, mendirikan solat, membayar zakat dan menghubungkan persaudaraan.

.

Persoalan besar timbul ialah apakah penyebab utama kepada perpaduan ummah ini?. Mimbar ingin menyatakan  bahawa sikap saling hormat menghormati, bertoleransi,bersikap terbuka dan berlaku adil sesama manusia adalah dasar utama yang hakikatnya berperanan dalam menangani isu perpaduan dalam sesebuah negara.  Ingatlah bahawa Islam meletakkan  toleransi dan keadilan di tempat yang penting dalam sistem pemerintahan dan kemasyarakatannya. Dalam Islam, hak untuk mendapat keadilan bukan hanya semata-mata untuk umat Islam tetapi ianya merupakan keperluan semua manusia. Firman Allah SWT di dalam surah al-Maidah ayat 8:

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan janganlah kebencian kamu terhadap suatu kaum itu mendorong kamu untuk tidak berlaku adil. Berlaku adillah kerana ia lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu lakukan”.

.

Menurut Syeikh Muhammad Abu Zuhrah bahawa: Sesungguhnya setiap sifat kemanusiaan sama ada bertolak ansur atau kebebasan semuanya tertakluk kepada prinsip keadilan. Sifat bertolak ansur yang keterlaluan sehingga menghilangkan hak-hak bukanlah dinamakan tolak ansur atau kasihan belas, tetapi ia merupakan satu kezaliman yang boleh membawa kepada ketiakadilan sesama manusia. Berdasarkan kepada kata-kata bijaksana hukama’ bahawa dunia tertegak dengan empat perkara, Pertama:ilmu para ulama dan pengetahuan para cendekiawan, Kedua: keadilan para pemimpin, Ketiga: sifat pemurah para hartawan dan keempat: doa orang-orang fakir yang soleh.Justeru,  Allah SWT  telah menggariskan satu panduan di dalam kita menyelesaikan sesuatu perselisihan yang berlaku dalam sesebuah masyarakat atau negara sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah an-Nisa ayat 59:

Maksudnya:“Wahai orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan Rasul dan kepada Ulil-Amri dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih dalam sesuatu perkara, maka kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul-Nya jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya”.

.

.

Sidang Jemaah muslimin dan muslimat  yang dirahmati Allah,

Peristiwa Perang Ahzab yang berlaku pada 7 Syawal tahun ke 5 Hijrah telah memberi pengajaran yang besar  kepada kita. Peristiwa ini menyaksikan penyatuan golongan yang menentang Islam dalam memerangi Rasulullah SAW. Pengajaran besar  perang Ahzab menunjukkan kepada kita bahawa perjuangan Islam pasti akan menghadapi pakatan musuh untuk menghancurkan Islam dengan apa cara sekalipun.  Jika dahulu Madinah diserang daripada segenap arah, maka kita hari ini juga diserang dari pelbagai arah, samada daripada serangan fizikal hinggalah kepada serangan pemikiran, politik, ekonomi, budaya dan sebagainya.

.

Pada hari yang mulia ini mimbar sekali lagi ingin mengingatkan bahawa  musuh-musuh Islam senantiasa berusaha menghancurkan umat Islam, mereka sedar kekuatan Islam selama ini banyak bergantung kepada perpaduan yang dibina. Konsep pecah dan perintah menjadi alat musuh Islam untuk berkuasa, mengeksploitasi, menjajah dan menindas mana-mana umat yang lemah. Jika umat Islamhilang integriti, hilang maruah, berada dalam kedegilan atau kejahilan terhadap ajaran Islam yang sebenar, kekotoran jiwa dalam memuja hawa nafsu dan mengutamakan kemaslahatan peribadi serta diperalatkan pihak lain, maka akhirnya umat Islam akan menerima nasib yang malang lagi hina di negara sendiri.

.

Ingatlah bahawa penyerapan aliran yang berkuasa tinggi ini mampu memusnahkan daya tahan  umat Islam dalam kehidupan beragama, mampu memusnahkan daya fikir yang selari dengan tradisi ilmu. Gerakan ini sebenarnya ialah gerakan jahiliah keberhalaan yang datang semula dalam wajah barunya, jahiliah jelmaan yang membawa mesej yang sama iaitu menjauhkan manusia dengan tuhan yang Maha Esa dan menghancurkan perpaduan umat Islam. Lihat sajalah apa yang berlaku di luar sana seperti di negara Syria, Libya, Iraq dan lain-lain lagi, apabila rakyat berpecah belah, pemimpin di pengaruhi pemikiran dan tindakannya oleh musuh musuh Islam untuk mendapat apa yang diingini, maka negara berada dalam huru-hara dan kehancuran.

          .

Justeru, mimbar menyeru kepada umat Islam agar bersatu padu dan bertoleransi dalam semua perkara serta janganlah kita melampaui batas dalam perkara yang telah dipersetujui. Semangat melampau sebenarnya akan menjadi pemangkin terhadap ketidaksepaduan masyarakat dan seterusnya akan melemahkan kestabilan sesio-politik negara. Mimbar ingin berpesan usahlah kerana ideologi politik yang sempit, kita sanggup membakar jambatan perpaduan yang telah lama terbina. Usahlah hanya kerana kepentingan jangka pendek untuk berkuasa, kita sanggup mengadai kuasa yang ada. Ingatlah bahawa umat Islam yang menjiwai makna perpaduan adalah mereka yang sentiasa bersikap terbuka dan saling menghormati antara satu sama lain. Mereka yang mengerti mahalnya harga perpaduan tidakakan membuat tuntutan yang bukan-bukan atau mencetuskan riak-riak permusuhan. Sebaliknya, mereka yang cintakan perpaduan dan keamanan akan meletakkan kepentingan negara melebihi kepentingan kelompok dan kepartian. Sedarlah  bahawa Rasulullah SAW telah meninggalkan dana besar kepada kita untuk membina kekuatan dan perpaduan ummah, selagi kita berpegang dengannya, insyaallah  kita tidak akan sesat buat selama-lamanya iatu al-Quran dan al-sunnah.

.

.

Muslimin dan muslimat yang di Rahmati Allah,

Sebulan kita bersama syarul al-Quran banyak mendorong kita untuk berfikir dan bermuhasabah. Sebenarnya telah terbukti bahawa al-Quran yang telah ditinggalkan kepada kita berjaya membentuk hati-hati ummah sehingga bergelar mereka yang berjaya. Berdasarkan kepada penelitian ini , maka tiada sebab dan alasan mengapa umat Islam gagal bangkit membawa perubahan, gagal bangkit memain peranan bagi memertabatkan Islam sebagai addin dan bangkit untuk membebaskan ummah dari ancaman kemusnahan. Justeru mimbar menyeru umat Islam sekalian marilah kita bersatu padu untuk menangani isu-isu yang mencemarkan  nama baik Islam dari segenap sudut samada dari ancaman ajaran sesat, anti Hadith, Islam Liberal, fahaman sekular, syiah dan lain lain lagi.

.

.

Muslimin dan muslimat yang di Rahmati Allah,

Perpaduan adalah roh kekuatan Islam kerana ia mewujudkan perasaan kasih sayang, persaudaraan, kedamaian dalam hubungan kekeluargaan  dan masyarakat serta saling bantu membantu di antara satu sama lain. Ia juga merupakan nikmat yang dapat mengeratkan lagi hubungan sesama manusia dan dapat menghimpunkan perasaan serta semangat sehati sejiwa untuk kita sama-sama berganding bahu bagi memakmurkan sesebuah masyarakat dan negara. Sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: “Orang-orang yang penyayang akan disayangi Allah Yang Maha Penyayang. Sayangilah siapa yang ada di atas muka bumi, niscaya kalian akan disayangi oleh siapa yang ada di langit.” (Riwayat at-Tirmizi)

.

.

Muslimin dan muslimat yang di Rahmati Allah,

Ketika kita sedang bergembira menyambut Idulfitri ini, kita perlu insaf dan sedar bahawa terdapat saudara mara, kaum kerabat, jiran, sahabat-kenalan dan saudara seagama kita yang menyambut Idulfitri dalam keadaan sukar, bersendirian, daif dan sebagainya. Mereka ini terdiri daripada orang miskin, anak-anak yang terbiar dan mereka yang berada  di pusat-pusat Serenti, Penjara,  rumah orang tua, rumah anak yatim, rumah kebajikan dan sebagainya. Justeru, mimbar menyeru marilah sama-sama kita menghidupkan suasana Idulfitri ini dengan amalan ziarah-menziarahi, kunjung mengunjungi dan menghubungkan silaturahim terutama sekali terhadap kedua ibu bapa kita dengan memohon kemaafan atas kesalahan, perbuatan zalim dan perbuatan dosa yang telah dilakukan samada yang disedari ataupun yang tidak disedari. Dengan demikian jiwa kita dapat merasai ketenangan,kebahagiaan yang sejati. Sabda rasulullah SAW:

Bermaksud: “Tiga perkara adalah diantara budi pekerti yang mulia disisi Allah SWT; Hendaklah engkau memaafkan orang yang telah menganiaya dirimu. Hendaklah engkau menolong orang yang telah memutuskan pemberiannya kepadamu. Hendaklah engkau menghubungkan dengan orang yang telah memutuskan perhubungan denganmu.” (Riwayat al-Khattib)

 .                             

Selari dengan keberkatan Ramadhan dan takbir keinsafan yang memberi ruang besar untuk mengukuhkan perpaduan ini, maka mimbar mengambil kesempatan marilah kita memulihkan dan mengukuhkan hubungan sesama kita dengan saling hormat menghormati, bertimbang rasa, mengamalkan sikap bersederhana dalam apa jua tindakan, tidak melampau, saling bermaafan, mendoakan dan mengeratkan hubungan silaturrahim. Buanglah yang keruh ambillah yang jernih. Ingatlah wahai muslimin dan muslimat sekalian, bahawa amalan ibadah kita tidak akan diterima oleh Allah SWT sekiranya kita hanya mementingkan diri sendiri dan tidak menghormati hak-hak orang lain. Ambilah kesempatan pada hari yang mulia ini untuk sama-sama kita mewujudkan perpaduan antara kita, mudah-mudahan dengan cara ini hidup kita sentiasa berada dalam keberkatan dan negara kita sentiasa dalam suasana harmoni dan aman damai. Mengakhiri khutbah, marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-Hujuraat ayat 9:

Maksudnya:“ Dan jika dua puak dari orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah keduanya dengan adil, dan berlaku adillah kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil”.

 

.

.

.

KHUTBAH KEDUA IDULFITRI

 

.

Sidang Jemaah muslimin dan muslimat yang di Rahmati Allah,

Marilah pada hari yang penuh bahagia  ini kita melafazkan rasa kesyukuran di atas nikmat Iman dan Islam yang dikurniakan oleh Allah SWT. Sesungguhnya Idulfitri  yang disyariatkan oleh Islam adalah untuk memperbaharui kehidupan kita sebagaimana yang digariskan bagi orang yang beriman dengannya, iaitu kehidupan persaudaraan, kesatuan dan kekuatan menghadapi musuh. Merayakan Idulfitri ialah merayakan hari kemenangan dalam jihad nafsu ketika melakukan ibadah puasa di bulan Ramadhan dan berjaya melaksanakannya dengan sempurna. Justeru jihad melawan hawa nafsu ini perlulah diteruskan pula di bulan Syawal ini dengan melakukan puasa enam yang mana pahalanya menyamai dengan puasa sepanjang tahun. Puasa ini boleh dilakukan berturut-turut atau berselang. Sabda Rasulullah  SAW dalam hadithnya:

Maksudnya: “barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan, dan kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, maka seolah-olah dia telah berpuasa selama setahun”. (Riwayat Muslim)

.

Idulfitri juga hari perdamaian kerana pada hari ini dinyatakan perdamaian hidup dalam rumah tangga, hubungan kaum kerabat dan sanak saudara. Seluruh umat Islam sama ada dalam lingkungan desa mahupun kota, wajah berseri-seri, hati riang ria, tangan bersalam-salaman mengucapkan salam Idulfitri serta ampun dan maaf sebagai  tanda keakraban dan silaturrahim.

.

.

Sidang Jemaah muslimin dan muslimat yang di Rahmati Allah,

Mimbar mengingatkan sekali lagi bahawa  perpaduan asas keutuhan Idulfitri. Melalui zakat fitrah dan zakat harta yang telah kita bayar di bulan Ramadhan telah memberi kecerian dan keriangan kepada golongan fakir miskin untuk sama-sama menyambut hari kemenangan ini. Keberkatan Ramadhan juga mengingatkan kita bahawa perpaduan  yang ditetapkan Islam adalah melangkaui sempadan negara dan benua. Umat Islam di mana mereka berada adalah sama, kita sama dari segi makan minum, kita sama dari segi peraturan,  halal dan haram  dan kita  juga sama dari sudut akidah. Namun kehidupan umat Islam hanya teristimewa dengan iman  kepada Allah SWT. Kita perlu insaf terdapat saudara-saudara kita di luar negara hidup dalam keadaan sukar sepanjang hayat, membesar dalam keadaan perang, generasi silih berganti  terus hidup menderita terutama saudara kita di Palestin, pelarian muslim Rohingya dan lain-lain umat Islam yang sedang mengalami musibah.

.

Berdasarkan pemerhatian mimbar terdapat umat Islam yang menjadi penduduk minoriti di beberapa buah negara terutama di rantau ini juga menghadapi keperitan hidup. Mimbar ingin menarik perhatian jemaah sekalian cuba bayangkan bagaimana umat Islam di negara yang mengalami peperangan dan kehidupan yang  sukar menjalani puasa dan sambutan Idulfitri. Selari dengan dasar perpaduan, maka mimbar pada hari ini, menyeru marilah kita bersama-sama membantu saudara seagama yang hidup daif dan menderita. Keberkatan Ramadhan mengingatkan kita supaya mengulurkan bantuan yang diadakan dari masa kesemasa melalui masjid-masjid, akhbar-akhbar dan sebagainya, mudah-mudahan rezeki kita ditambah, umur dipanjangkan Allah SWT dan kasih sayang di kalangan masyarakat dapat ditingkatkan.

.

.

Sidang Jemaah Yang di Rahmati Allah,

Pada hari ini marilah kita memperbanyakkan ucapan salawat dan salam ke atas Baginda Nabi Muhammad SAW kerana telah menyampaikan Islam kepada kita melalui berbagai bentuk pengorbanan dan jihad. Tanda kasih kita kepada Baginda hendaklah dirakamkan dalam bentuk ucapan selawat dan salam sebagaimana Firman Allah SWT di dalam Surah al-Ahzab ayat 56:

Bermaksud: “Sesungguhnya Allah SWT dan malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW); Wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.”

.

.

Sumber:

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

Posted by; shafiqolbu

.

 

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: