KJ : Maqasid Al-Syariah Teras Kemakmuran Negara

 بِسۡـــــــــمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِـــــــيمِ

اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ

.

Khutbah Jumaat: “Maqasid Al-Syariah Teras Kemakmuran Negara”

 

.

 Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Pada hari Jumaat yang diberkati dan penuh bersejarah ini, saya berpesan kepada diri saya dan sidang jemaah sekalian, marilah kita sama-sama bertakwa kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menikmati kesejahteraan dan keberkatan hidup serta berbahagia di dunia dan di akhirat. Bersempena dengan sambutan Hari Kemerdekaan Negara yang ke-55 pada hari ini, maka mimbar yang mulia ini akan membincangkan tajuk:“MAQASID AL-SYARIAH  TERAS KEMAKMURAN NEGARA ”.

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

Pada hari ini, kita merasa amat bersyukur kehadrat Allah SWT kerana sekali lagi kita diberi kesempatan oleh-Nya untuk meraikan ulangtahun Kemerdekaan Negara kita Malaysia pada tahun ini. Sesungguhnya, kemerdekaan atau kebebasan dari belenggu penjajahan dan cengkaman asing yang kita kecapi ini adalah satu nikmat kurniaan Allah SWT yang amat besar ertinya kepada kita semua.  Justeru, mimbar jumaat ingin mengajak para jamaah dan umat Islam sekalian untuk mensyukuri nikmat kemerdekaan yang kita kecapi agar nikmat ini akan berkekalan dan kemakmuran negara akan sentiasa bertambah dengan pengisian-pengisian yang diredhai Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam surah Ibrahim ayat 7:

Maksudnya :  ”Dan ingatlah tatkala Tuhanmu memberitahu: Sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya aku tambahi nikmatku kepadamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabku amatlah keras.

.

Imam Al-Ghazali RA di dalam kitabnya Ihya Ulumuddin menggariskan bahawa bagi mensyukuri nikmat Allah itu perlulah ada 3 perkara berikut, iaitu:

Pertama: Hendaklah mengiktiraf bahawa nikmat tersebut datangnya daripada Allah SWT walaupun pada zahirnya ia datang melalui pelbagai sebab dan sumber.

Kedua: Hendaklah tidak mensia-siakan nikmat tersebut dengan mengabaikannya dan

Ketiga: Hendaklah menggunakan nikmat tersebut dengan cara yang diredhai oleh Allah SWT.

.

Namun, persoalan besar timbul di sini bagaimanakah kemerdekaan dapat di kekalkan di negara ini?. Berdasarkan kepada pemerhatian mimbar bahawa kebijaksanaan pemerintah di dalam melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang berteraskan maqasid al-Syariah demi kepentingan rakyat adalah teras kepada kemakmuran negara. Secara ringkasnya Maqasid al-Syariah ialah melakukan kebaikan bertujuan untuk menjaga tata susila, kepentingan dan sistem hidup  dengan kata lain mengurus sesuatu dan menjaganya dengan apa cara yang boleh membawa kepada kebaikan dan merupakan matlamat yang ingin di capai dalam melaksanakan sesuatu yang menyentuh mengenai perbincangan keutamaan dalam bersyariah, memberikan petunjuk yang jelas berhubung kaedah berfikir dan bertindak umat Islam terutama dalam kes-kes berkaitan dengan kemaslahatan ummah, iaitu, yang menyentuh secara langsung dalam soal kebajikan, kebaikan, manfaat dan faedah umat Islam. Seorang ulama terkenal Fathi Uthman mengatakan di dalam kitabnya al-Fikr al-Qanuni al-Islami bahawa Siasah al-Syariah merupakan hal berkaitan dengan undang-undang ketatanegaraan dan pentadbiran yang merangkumi soal-soal kekuasaan pemerintah, khalifah, hak-hak individu dan sebagainya. Manakala menurut Imam Ghazali di dalam kitabnya’ al-Mustashfa’ bahawa lima perkara pokok yang perlu dipelihara dalam maksud syariah itu sendiri; agama, diri, akal, keturunan dan harta.

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

Sesungguhnya pemimpin yang baik ialah pemimpin yang berilmu, mempunyai visi dan pandangan jauh untuk membina bangsa dan negara dan senantiasa menjaga kemakmuran serta  kepentingan rakyat. Dalam konteks ini, para ulama Islam telah menggariskan lima kepentingan yang wajib dijaga oleh pemerintah yang tiada tolak ansur untuk mengabaikannya agar umat Islam mampu bertahan menghadapi segala cabaran. Kepentingan tersebut mengikut keutamaan ialah:-

Pertama: Menjaga Agama, Sebagai pemerintah maka menjadi kewajipan untuk meletakkan kepentingan agama ditempat yang teratas. Segala perkara yang merosakkan agama hendaklah dihindarkan. Penyelewengan akidah wajib dibanteras. Pemimpin yang menjaga agama akan menjadi seorang yang adil dan berintegriti, tidak akan membenarkan sesuatu berlaku yang akan merosakkan akhlak dan moral. Mereka  yang tidak beragama akan lemah akhlaknya dan hilang semangat patriotik dan jati dirinya, dan tidak mustahil akan menggadaikan kepentingan negaranya demi memenuhi tuntutan hawa nafsunya. Namun perlu diingat di dalam kita menjaga agama pelbagai cabaran yang perlu di atasi antaranya aliran pemikiran pluralisme, liberalisme, LGBT dan lain-lain lagi.

Kedua: Menjaga nyawa, Islam mengharamkan penumpahan darah dengan jalan yang tidak benar. Apabila nyawa tidak terpelihara maka negara akan musnah, ketenteraman dan keamanan akan hilang. Hadith Rasulullah SAW yang bermaksud: Seseorang Islam itu ialah yang menyelamatkan kaum muslimin melalui lidah (bicara) dan tangannya (kuasa dan perlakuan), dan orang yang beriman pula ialah orang yang dipercayai oleh orang lain dalam menjamin nyawa dan harta benda mereka. (Riwayat al-Tirmizi)

Ketiga : Menjaga akal  Akal wajib dipelihara dan dipupuk dengan nilai-nilai mulia dan ilmu. Semua unsur-unsur yang menjurus kepada kehilangan akal seperti arak ,dadah wajib dibanteras dengan segera. Hanya generasi yang berakal yang mampu mempertahankan kemerdekaan negara.

Keempat: Menjaga maruah dan keturunan  Keturunan wajib dipelihara demi menjaga sistem sosial dalam masyarakat Islam. Apabila keturunan telah rosak dengan sebab menyalahi syariat dan tabie manusia seperti penzinaan, liwat, lesbian, gay, dwiseksual dan sebagainya maka struktur sosial akan menjadi kacau bilau dan akhirnya akan runtuh dengan sendirinya.

Kelima: Menjaga harta, Dalam menjaga harta Islam telah mengariskan prinsipnya iaitu  al-adl wal ihsan. Pendekatan Islam amat menitik berat soal keadilan dengan mengharamkan segala bentuk penindasan, amalan riba, penipuan, rasuah, monopoli yang tidak seimbang, manipulasi pasaran dan segala bentuk penyelewengan atau perkara-perkara yang menzalimi dan merugikan pihak-pihak tertentu.

Firman Allah SWT. dalam surah an-Nisaa’ ayat 29:

Maksudnya : ”Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa mengasihani kamu”.

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

Mimbar ingin menegaskan kepada para jemaah dan umat Islam sekalian bahawa maqasid al- Syariah menjadi asas utama pemerintah  di dalam melaksanakan sesuatu perkara. Dengan Gagasan 1Malaysia, rakyat di dahulukan dan pencapaian diutamakan, segala tanggungjawab dan janji dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat melalui kaedah pengukuhan seperti yang di kenali sebagai petunjuk Prestasi Utama (KPI), Bidang Keberhasilan Utama (NKRA), Program Tranformasi kerajaan (GTP) dan lain-lain lagi. Lihatlah apa yang dilaksanakan oleh pemerintah pada hari ini demi menjaga agama, nyawa, akal maruah dan keturunan serta harta semuanya berasaskan kepada kepentingan rakyat dan negara. Justeru sebagai rakyat, kita hendaklah bersyukur di atas segala nikmat ini dan berterima kasih kepada pihak pemerintah.  Maka, menjadi tanggungjawab kita sebagai  rakyat memberikan taat setia lebih-lebih lagi kita sebagai umat Islam telah diajar supaya taat dan patuh kepada pemerintah sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah an-Nisa’ ayat 59:

Maksudnya: Wahai orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan Rasul dan taatlah kamu kepada Ulil-Amri dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih dalam sesuatu perkara, maka kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul-Nya jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.” .

.

Dan sabda Rasulullah SAW  :

Mafhumnya: Barangsiapa yang mentaatiku, maka sesungguhnya dia telah mentaati Allah. Dan sesiapa yang mengingkariku, maka sesungguhnya dia telah mengingkari Allah. Juga sesiapa mentaati pemerintahku, maka sesungguhnya dia juga mentaatiku, dan sesiapa yang mengingkari pemerintahku, maka sesungguhnya dia telah mengingkariku.”

(Hadith al- Bukhari)

.

.

Sidang Jumaat Yang Dihormati,

Mengakhiri khutbah pada minggu ini, bersempena dengan Sambutan Hari Kemerdekaan yang bertemakan JANJI DI TEPATI, adalah wajar bagi kita untuk mengenang kembali segala pengorbanan dan sudah payah para pejuang negara yang telah berjasa kepada agama, bangsa dan negara. Kemerdekaan yang kita kecapi pada hari ini adalah hasil cetusan pemikiran dan semangat juang yang tinggi daripada tokoh-tokoh politik, para cendikiawan dan para alim ulama. Hasilnya, kita semua dapat hidup dengan aman dan makmur di bumi Malaysia yang bertuah ini. Sesungguhnya perjuangan mereka adalah perjuangan yang sangat mulia di sisi Allah SWT.

.

 Bagi memulakan agenda besar ini, mimbar menyeru marilah sama-sama kita mengisi Hari Kemerdekaan kali ini dengan nilai keimanan dan ketaqwaan yang sejati.  Melaksanakan dan menepati segala janji dan amanah yang diberikan kepada kita dengan sepenuhnya kerana ianya sebahagian daripada syahadah dan ikrar kita kepada Allah SWT. Pendekatan ini wajar diteruskan kerana kita menyakini gesaan Allah SWT yang meletakkan persoalan iman sebagai syarat utama kejayaan umat Islam di dunia ini dan di akhirat kelak. Semoga Malaysia yang tercinta ini terus maju, aman dan damai, dan menjadi payung serta pelindung kepada Islam dan umatnya. Kita doakan juga agar negara dikekalkan nikmat kestabilan politik dan keamanan, keteguhan ekonomi,  dijauhkan dari segala perbuatan jahat dan fitnah yang boleh membawa malapetaka dan kehancuran negara. Tanamkanlah rasa kasih sayang di antara rakyat yang berbilang kaum, kukuhkan perpaduan di kalangan mereka semoga sentiasa hidup dalam  kemakmuran dan keselamatan sepanjang zaman.

.Maksudnya: ”Dan Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami bukakan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami) lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.”

(Surah al-’Araf:96)

.

.

.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

“Maqasid Al-Syariah  Teras Kemakmuran Negara”

(31 Ogos 2012 / 13 Syawal 1433H)

.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

Posted by; shafiqolbu

.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: