KJ : Angkatan Tentera Malaysia ~ Komitmen Kami, Keyakinan Anda

 بِسۡـــــــــمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِـــــــيمِ

اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ

Khutbah Jumaat: Angkatan Tentera Malaysia: Komitmen Kami, Keyakinan Anda

.

Sidang Jumaat Yang Di Muliakan,

Pada hari Jumaat yang berkat dan di dalam masjid yang mulia ini, saya berpesan kepada diri saya dan kepada sidang Jumaat yang menjadi tetamu Allah sekalian marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi umat yang terbaik, umat contoh dan memperolehi kebahagian di dunia dan di akhirat. Sempena dengan sambutan ulangtahun penubuhan Angkatan Tentera Malaysia ke-79, mimbar Jumaat pada hari akan memperkatakan mengenai tajuk: ANGKATAN TENTERA MALAYSIA: KOMITMEN KAMI, KEYAKINAN ANDA”.

.

.

Sidang Jumaat Yang Di Rahmati Allah,

Alhamdulillah, marilah sama-sama kita merafakkan kalimah puji dan syukur ke hadrat Allah SWT kerana dapat meraikan hari ulang tahun Angkatan Tentera Malaysia. Sehubungan dengan itu sebagai warga negara yang beriman dan bertanggungjawab, sewajarnya kita sama-sama menghargai dan tidak melupakan jasa dan pengorbanan yang telah dilakukan oleh seluruh warga Angkatan Tentera Malaysia bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara.

          Justeru, marilah kita dengan penuh rasa rendah diri dan tawwaduk memanjatkan doa dan penghargaan yang tidak bernoktah ke hadrat ilahi agar Angkatan Tentera Malaysia dan warganya secara khusus dan seluruh kaum muslim secara umum akan sentiasa terpelihara dari sebarang mehnah keburukan dan bencana. Biarlah Angkatan Tentera Malaysia terus abadi sebagai imej kekuatan, keutuhan, lambang keteguhan negara dan perpaduan populasinya. Semoga golongan warga yang sanggup berkorban demi mencari keredhaan Allah SWT termasuk di dalam golongan mereka yang mendapat pujian dan kasih sayang Allah sebagimana yang telah dirakamkan di dalam al-Quran melalui firman Allah SWT di dalam surah at-Taubah ayat 111:

Bermaksud: Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah, maka di antara mereka ada yang membunuh dan yang terbunuh.

.

.

 Sidang Jumaat Yang Dihormati Sekalian,

‘ANGKATAN TENTERA MALAYSIA: KOMITMEN KAMI KEYAKINAN ANDA’ adalah merupakan satu perlambangan bagi membuktikan bahawa Angkatan Tentera Malaysia akan sentiasa menentukan keamanan dan kedaulatan negara tercinta ini akan tetap terpelihara dan dijaga dengan penuh tanggungjawab. Menangkis segala bentuk pencerobohan dengan segala kekuatan yang ada biarpun sampai ke titisan darah yang terakhir. Oleh itu, Angkatan Tentera Malaysia akan memastikan aspek kesiapsiagaan sentiasa berada di tahap yang maksimum, ini bertepatan dengan firman Allah SWT di dalam surah al-Anfal ayat 60:

Bermaksud: dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya, sedang Allah mengetahuinya”.

 

Keberkesanan Angkatan Tentera Malaysia tidak hanya diukur dari sudut kecanggihan persenjataan semata-mata, tetapi ia juga bergantung kepada tahap penerimaan masyarakat terhadap perkhidmatan yang diberi. Penerimaan masyarakat adalah amat penting, yang antara lain mampu mengekalkan kesinambungan pelaksanaan operasi ketenteraan. Dengan sokongan, kerjasama serta pengorbanan semua masyarakat, Angkatan Tentera Malaysia akan berupaya untuk menempa kejayaan yang berterusan ke arah memartabatkan integriti pertahanan demi mempertahankan kedaulatan, keselamatan dan kepentingan strategik negara.

          Pertahanan menyeluruh merupakan dasar kerajaan yang bertujuan untuk mempertahankan negara dari musuh sama ada musuh luaran mahupun dalaman dengan melibatkan seluruh anggota masyarakat. Semua anggota masyarakat bertanggungjawab untuk mempertahankan negara daripada sebarang bentuk ancaman yang boleh menggugat keselamatan negara. Pada masa yang sama, Angkatan Tentera Malaysia dan pihak keselamatan yang lain akan bekerjasama dengan masyarakat untuk memastikan kestabilan dan kemakmuran yang dinikmati pada masa sekarang akan terus dikecapi. kesepakatan ini amat penting berdasarkan firman Allah SWT di dalam surah as-Soff ayat 4:

Maksudnya: Sesungguhnya allah swt amat suka orang-orang yang berperang untuk membela agamanya dalam barisan yang teratur rapi seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh”.

.

.

Sidang Jumaat Yang Dihormati Sekalian

Mimbar ingin menegaskan bahawa imej angkatan tentera sebagai benteng pertahanan negara dan pelindung masyarakat harus dipupuk melalui keterampilan yang meyakinkan dengan tingkahlaku yang terpuji. Ketelusan serta integriti dalam setiap pengurusan perlu diterapkan di dalam setiap diri. Transformasi yang dilalui oleh Angkatan Tentera Malaysia antaranya adalah melalui kepimpinan yang berwibawa bagi menentukan sebarang perubahan yang berlaku menjana impak yang positif. Kepimpinan berwibawa dalam pengurusan akan dapat menentukan pencapaian yang tinggi dan sistematik. Malah pendekatan kepimpinan yang berkesan akan mampu memberi kepuasan serta memperkasa semangat juang warga Angkatan Tentera Malaysia untuk berkorban demi agama dan negara.

Sejarah Islam telah membuktikan, generasi terdahulu, walaupun daripada kumpulan minoriti, malah turut berjaya menghancurkan dua kuasa gergasi iaitu empayar Rom dan Parsi. Kesemuanya bertunjangkan kekuatan rohani atau spiritual melebihi dan mendasari persiapan fizikal dan teknologi. Walaupun tentera Islam tidak punya kekuatan material yang menggerunkan berbanding musuh. Namun di medan Badar, tentera Islam beroleh kemenangan besar lantaran mereka mempunyai kekuatan rohani yang sarat dengan iman dan takwa yang memangkin semangat juang yang tinggi dan tulus kerana Allah SWT.

Allah SWT berfirman di dalam al-Quran melalui  surah al-Anfal ayat 9:

Maksud: (Ingatlah) ketika kamu memohon pertolongan kepada tuhan kamu, lalu ia perkenankan permohonan kamu (dengan firmannya): “sesungguhnya aku akan membantu kamu dengan seribu (bala tentera) dari malaikat yang datang berturut-turut”.

 

     Walau bagaimanapun, kita tidak boleh leka dengan suasana hari ini, malah kita hendaklah sentiasa bersedia pada sebilang masa untuk menghadapi apa jua cabaran yang mungkin berlaku. Ini kerana, isu-isu semasa yang sedia wujud, walaupun sekecil mana sekalipun, boleh meledak jika tidak ditangani dengan baik berdasarkan senario semasa yang melanda dunia melalui pelbagai perancangan halus para musuh untuk memperkotak-katikkan umat dan negara-negara Islam, seluruh masyarakat khususnya Angkatan Tentera Malaysia sentiasa berwaspada untuk menghadapinya. Cabaran-cabaran ini sama ada berbentuk fizikal mahupun mental jika tidak dibendung boleh melemahkan dan menggoyahkan kredibiliti Angkatan Tentera Malaysia dalam menggalas  tanggungjawab mempertahankan kedaulatan negara.

.

.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mengakhiri khutbah pada minggu ini, mimbar menyeru sidang Jumaat dan seluruh warga Malaysia agar marilah kita sama-sama berkongsi perasaan dengan rakan-rakan perwira negara yang sedang melaksanakan amanah walau di mana mereka bertugas sama ada di dalam mahupun di luar negara, juga tidak lupa kepada para pejuang tanahair yang telah menumpahkan keringat bakti setia tanpa goyah sehingga mengalami kecacatan, begitu juga balu-balu serta anak-anak yatim yang kehilangan tempat bergantung. Kita doakan semoga mereka akan lebih kuat dan tabah di dalam kehidupan kerana sesungguhnya setiap pengorbanan yang dilakukan akan dinilai oleh Allah SWT walaupun manusia melupakannya.

          Marilah kita sama-sama berganding bahu dengan Angkatan Tentera Malaysia untuk memastikan negara kita selamat, sejahtera dan sentiasa di bawah keampunan Allah sebagaimana yang dirakam oleh Allah SWT “baldatun taiyyibatun wa rabbun ghafur”.Sesungguhnya semua lapisan warga Angkatan Tentera Malaysia sentiasa melafazkan ikrar taat setia yang tidak berbelah bagi kepada Seri Paduka Baginda yang diPertuan Agong selaku pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Malaysia.Sesungguhnya Angkatan Tentera Malaysia memegang teguh sumpah setia untuk mempertahankan kedaulatan dan kepentingan tanahair sehingga ke titisan darah yang terakhir.

Mimbar juga mengambil kesempatan pada hari ini untuk memaklumkan sempena dengan Karnival dan Seminar Pembelajaran Sepanjang Hayat peringkat kebangsaan yang di adakan pada 22 dan 23 September ini, menyeru kepada umat Islam dan para jemaah sekalian untuk sama-sama kita meningkatkan pengetahuan dengan mengisi peluang dan ruang masa dengan menambah ilmu dan sebagainya. Mudah-mudahan kita menjadi umat yang terbaik dunia dan akhirat. Ingatlah bahawa pesan Rasulullah SAW yang menyifatkan pembelajaran adalah perjuangan fi sabilillah sebagaimana sabdanya yang bermaksud: “Sesiapa yang keluar menuntut ilmu maka ia berjuang fisabilillah hingga ia kembali.” (Riwayat at-Tirmizi).

Allah SWT berfirman di dalam al-Quran melalui  surah at-Taubah ayat 20:

 Maksudnya:(sesungguhnya) orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan allah dengan harta benda dan jiwa mereka, adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi allah; dan mereka itulah orang-orang yang berjaya”.

 .

.

.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

“ Angkatan Tentera Malaysia: Komitmen Kami, Keyakinan Anda ”

( 21 September 2012 / 5 Zulkaedah 1433H )

.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

Posted by; shafiqolbu

.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: