KJ: Rakyat Sejahtera

بِسۡـــــــــمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِـــــــيمِ

اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ

.

Khutbah Jumaat: “Mensejahterakan  Rakyat”

.

.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Saya berpesan kepada tuan-tuan dan diri saya sendiri marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah SWT dengan memperkukuhkan pengabadian diri kita kepada-Nya dengan melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan pada hari yang penuh berkat ini menjadikan kita insan yang berjaya di dunia dan akhirat. Tajuk khutbah pada hari ini ialah: “MENSEJAHTERAKAN RAKYAT”.

.

.

Muslimin Yang dirahmati Allah,

Dalam membina sesebuah negara agar berada dalam kemakmuran dan dalam keampunan serta perlindungan Allah SWT, maka ianya memerlukan seorang pemimpin yang dapat mengurus khazanah harta negara dengan sebaik mungkin.

.

Berdasarkan syariat Islam harta merupakan hak mutlak Allah SWT dan merupakan satu anugerah daripada-Nya. Manusia perlu mensyukuri di atas anugerah ini kerana tidak semua manusia yang mendapat kepercayaan daripada Allah SWT untuk memikul amanah dan tanggungjawab menjaga harta. Kerana itulah falsafah kenegaraan Islam mengutamakan prinsip maqasid al-syariah dalam menguruskan harta dan khazanah rakyat agar setiap lapisan masyarakat mendapat hak yang sama rata.

.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Hasyr ayat 7:

Bermaksud:Apa yang Allah kurniakan kepada Rasul-Nya dari harta penduduk negeri dengan tidak berperang, maka adalah ia tertentu bagi Allah, dan Rasulullah, dan bagi kaum kerabat, anak-anak yatim, orang miskin serta orang musafir. Supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang kaya dari kalangan kamu.

Ayat ini menjelaskan bagaimana pengiktirafan Allah SWT terhadap dasar yang dilakukan oleh Rasulullah SAW di dalam peristiwa perang al-Fai’ bagi menangani masalah ketidakseimbangan ekonomi antara kaum Ansar dan Muhajirin. Malah banyak lagi peristiwa lain yang menunjukkan bahawa Rasulullah SAW memberi ruang dan peluang kepada pelbagai kelompok rakyat agar mendapat hak yang sama rata.

.

.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Bagi memastikan harta diagih secara adil dan saksama maka menjadi tanggungjawab pemerintah untuk mengurus dan memastikan setiap harta itu dapat memberi manafaat kepada rakyat demi keselesaan serta kesejahteraan.

Allah SWT berfirman dalam surat al-Hadid ayat 7:

Maksudnya: Berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan belanjakanlah sebahagian dari harta benda yang dijadikannya kamu menguasainya sebagai wakil. Maka orang yang beriman di antara kamu serta mereka membelanjakan (sebahagian dari harta itu); mereka tetap beroleh pahala yang besar.

.

Dalam hal ini, kesungguhan dan komitmen pemerintah untuk rakyat dan negara agar sentiasa maju dan terpelihara hendaklah dijadikan matlamat utama kerana negara yang makmur dan dirahmati itu nescaya Allah SWT akan sentiasa mengampuninya. Menurut pandangan beberapa ulama’ bahawa negara yang dikatakan baik ialah negara yang mempunyai ciri-ciri berikut:

Pertama: Sentiasa berada dalam keampunan, lindungan dan pertolongan Allah SWT dari  sebarang bentuk ancaman dalaman mahupun luaran.

Kedua: Sentiasa dilimpah kurnia rezeki oleh Allah SWT di mana kurniaan tersebut dapat dinikmati oleh rakyat secara adil dan saksama dan

Ketiga: Negara sentiasa berasa dalam keadaan aman, damai dan suasana penuh harmoni, hasil dari kerjasama antara pemerintah dan rakyat kerana masing-masing memikul tanggungjawab menjaga, membangun dan memakmurkan negara selari dengan ajaran Islam.

.

Firman Allah SWT di dalam surah Saba’ ayat 15:

Maksudnya: Sesungguhnya bagi penduduk Saba, ada tanda-tanda yang terdapat di tempat tinggal mereka, iaitu dua kebun, yang terletak di sebelah kanan dan kiri. Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepada-Nya. Negerimu adalah negeri yang baik dan Tuhan yang Maha Pengampun!

.

.

Muslimin Yang dirahmati Allah,

Berdasarkan kepada Bajet 2013 yang telah dibentangkan bertemakan Memakmurkan Negara, Mensejahtera Rakyat: Sebuah Janji Ditepati’, yang berjumlah RM251.6 bilion, maka mimbar berkeyakinan bahawa kerajaan telah mengambil kira pandangan rakyat dengan merasa denyut nadi rakyat kerana sebahagian besar intipatinya adalah cadangan dan pandangan daripada rakyat.

.

Perkara berkaitan kepentingan rakyat seperti pemberian Bantuan rakyat 1 Malaysia 2.0 (BRIM 2.0), bonus kepada kakitangan awam, bantuan bagi pelajar sekolah rendah dan menengah serta baucar buku mahasiswa, pelepasan kadar cukai dan lain lain lagi yang merangkumi seluruh lapisan masyarakat termasuklah anggota keselamatan.

 .

Mimbar amat yakin bahawa dalam kerajaan menyusun dan mengurus harta rakyat ini ianya dilaksanakan berdasarkan semangat Islam yang berpandukan panduan prinsip al-adl wal ihsan iaitu menghayati semangat keadilan dan muafakat di samping prinsip tidak memudaratkan. Amalan yang berasaskan prinsip ini akan sentiasa mengingati balasan daripada Allah SWT di atas setiap kesalahan seperti memonopoli kekayaan, menindas dan mengambil hak rakyat, mementingkan diri sendiri dan segala bentuk penyelewengan atau perkara-perkara yang menzalimi dan merugikan pihak-pihak tertentu.

.

Mimbar menyeru semua pihak sama-sama membantu dan berusaha untuk menjayakan bajet ini dengan memberi kerjasama secara serius dan teratur. Melakukan urus tadbir yang terbaik dalam perkhidmatan serta mengelak dari berlakunya rasuah, ketirisan dan penyelewengan. Ini selaras dengan tuntutan syarak dan hasrat kerajaan untuk melahirkan sebuah negara tanpa rasuah yang maju dan berpendapatan tinggi. Ingatlah wahai umat Islam sekalian bahawa tanggunjawab memakmurkan negara ini adalah amanah daripada Allah SWT dan amanah ini akan diperhitungkan di akhirat nanti.

.

.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Mimbar ingin berpesan bahawa menjadi tanggungjawab kita semua untuk mengurus harta secara bijak dan berhemah. Langkah mengurus harta secara berhemah dan berkesan dapat membimbing kita ke arah matlamat yang diidamkan dan membuktikan penghargaan kita kepada pemerintah selain menjamin keselamatan diri daripada kefakiran dan kekufuran. Maka persoalan besar timbul ialah bagaimanakah cara untuk kita mengurus kewangan dengan terbaik. Jawapannya ialah umat Islam mestilah berhati-hati dalam mengawal pengurusan harta mereka. Berbelanjalah mengikut kemampuan dan janganlah membazir serta kawal nafsu agar tidak berbelanja berlebihan.

.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Furqan ayat 67:

Maksudnya: Dan mereka yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan perbelanjaan mereka adalah betul sederhana.

.

Sifat boros dan membazir adalah ciri-ciri kekufuran hamba kepada Allah SWT. kita perlu mengawal keinginan nafsu supaya tidak boros. Tindakan mengawal nafsu ini boleh dikategorikan sebagai jihad paling utama masa kini kerana kemewahan boleh menjadikan seseorang itu lalai dan menjadi kufur nikmat. Kita mengakui wang dan harta amat diperlukan bagi menampung keperluan keluarga, masyarakat dan negara. Namun, Islam menetapkan hanya pengumpulan harta yang bersih sahaja dikira sebagai ibadah dan beroleh pahala. Selain dari itu akan mendatangkan bencana dan dosa di sisi Allah SWT.

.

.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Mengakhiri khutbah pada minggu ini, mimbar ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada pihak Kerajaan terutamanya Perdana Menteri di atas pembentangan bajet yang disifatkan dari rakyat untuk rakyat. Mimbar menyeru marilah sama-sama kita mengurus harta secara bijak dan berhemah. Langkah mengurus harta secara berhemah dan berkesan dapat membimbing kita ke arah matlamat yang diidamkan dan membuktikan penghargaan kita kepada pemerintah selain menjamin keselamatan diri daripada kefakiran dan kekufuran.

 .

Mimbar juga menyeru kepada para jemaah dan umat Islam sekalian, agar berbelanja mengikut keutamaan, kemampuan dan janganlah membazir serta kawal nafsu agar tidak berbelanja berlebihan dan sentiasa bersederhana dalam semua perkara. Mimbar berkeyakinan bahawa pemerintah yang bertanggunjawab akan senantiasa memilih jalan pertengahan iaitu bersederhana dengan mengimbangi antara keperluan jangka pendek dan jangka panjang demi kesejahteraan rakyat secara berterusan.

 .

Marilah sama sama kita merenung firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayt 148:

Maksudnya: Dan bagi setiap umat ada kiblat yang dihadapkannya;oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (pada hari Kiamat); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

 .

.

 .

.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

“Mensejahterakan  Rakyat”

(5 Oktober 2012 /19 Zulkaedah 1433H)

.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

.

Posted by; shafiqolbu

.

 

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: