Makanan Mempengaruhi Akhlak Anda

بِسۡـــــــــمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِـــــــيمِ

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

 .

Rezeki Haram, Hati Kelam, Hidup Tidak Tenteram

.

Betapa ramai umat Islam terperangkap dalam dilema pemilihan makanan. Bukan sekadar makanan daripada unsur haram tetapi cara untuk mendapatkan makanan juga haram tanpa disedari secara sengaja atau tidak.

Tidak ada orang Islam yang sanggup memakan babi, justeru ia dielakkan tetapi masih ramai yang makan makanan dibeli dengan wang hasil daripada menipu, memeras ugut, curi tulang, rasuah dan menzalimi hak orang lain.

.

Kadang-kadang, perkara seumpama ini masih tidak memberi apa-apa kesan buat si pencari nafkah dalam sesebuah keluarga. Mereka merasakan sumber sebegitu langsung tidak akan menjejaskan kesihatan yang nampak secara zahirnya.

Walhal aspek itu yang patut didahulukan kerana ia bakal membentuk peribadi dan akhlak seseorang. Keberkatan itu tidak akan nampak secara zahir, tidak dapat dirasakan oleh hati yang telah dikotori sifat mazmumah dan dosa pahala tidak dapat dimengertikan kerana tiada sebarang kesan kelihatan.

.

Hati yang lalai akan berterusan dikotori dengan sumber rezeki haram tanpa sedikit pun penyesalan.

Imam Ghazali berkata, “Jika kita ingin anak menjadi soleh, bijaksana dan berguna, berilah mereka makan daripada rezeki yang halal sejak dilahirkan. Makanan yang halal selain menjadikan anak kita berguna, boleh menjadikan fikiran mereka cerdas dan pintar. Sebaliknya, anak akan menjadi derhaka kepada kita jika diberikan makanan yang kotor.”

.

Hati akan rosak jika memakan makanan haram sedangkan ia umpama raja dalam kerajaan diri kita. Jika baik hati, maka kebaikannya akan menyerlahkan seluruh jasad namun, jika hati jahat maka jahatlah seluruh diri manusia.

Justeru, berhati-hatilah dengan apa yang kita makan dan berwaspadalah dengan cara bagaimana kita mendapatkan makanan. Apa yang kita makan dan cara kita mendapatkannya akan menentukan secara dasarnya persoalan hidup serta nasib di akhirat kelak.

.

Makanan yang haram akan memberi kesan langsung kepada kehidupan. Tidak dapat dinafikan pembangunan akhlak seseorang turut dipengaruhi makanan yang diambil. Jika diambil daripada sumber haram, maka akan terbentuklah individu Muslim yang tidak mengikut acuan Islam sebenar.

Akhirnya, akan lahir masyarakat yang sarat dengan masalah sosial akibat hidup tiada keberkatan berpunca daripada susur galur pemakanan yang menjadi darah daging.

.

Diriwayatkan oleh Ibnu Mardawaihi daripada Ibnu Abbas, seorang sahabat terkenal iaitu Saad bin Abu Waqash meminta Rasulullah SAW memohon kepada Allah supaya apa saja doa permohonannya dikabulkan.

Rasulullah SAW bersabda: “Wahai Saad! Perbaikilah makanan engkau, nescaya engkau akan dijadikan Allah seorang yang makbul doanya. Demi Tuhan, yang jiwa Muhammad ada dalam tangan-Nya, sesungguhnya seorang lelaki yang melemparkan suatu suapan yang haram ke dalam perutnya, maka tidaklah akan diterima amalnya selama empat puluh hari. Dan barang siapa di antara hamba Allah yang tumbuh dagingnya daripada harta yang haram dan riba, maka api neraka lebih baik baginya.”

.

Kesedaran yang timbul mampu membantu kita memperbaiki usaha mencari nafkah supaya diri dan keluarga tidak berterusan menjadi mangsa sikap tidak peka kita membezakan halal dan haram sumber rezeki.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang berusaha mencari rezeki atau nafkah untuk keluarganya daripada cara mendapatkan hasil yang halal, maka ia seperti berperang di jalan Allah. Dan sesiapa yang mencari sesuatu yang halal dan menjaga diri daripada sesuatu yang haram, maka dia akan mendapat darjat orang yang syahid.”

.

Makanan bukan sekadar perlu dinilai berdasarkan khasiat dan kelazatannya, yang lebih penting adalah keberkatannya. Di samping berpegang kepada konsep ‘halalan toyyibah’, perlu juga dihiasi dengan adab makan yang digalakkan dalam Islam.

Dengan itu, keberkatan dapat diraih. Gabungan sumber halal, konsep dan adab makan tersebut melambangkan kesyumulan dan keindahan Islam itu sendiri dalam melahirkan generasi yang berkeperibadian mulia serta beradab tinggi.

.

Sumber

.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

.

Posted by; shafiqolbu

.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: