KJ: Ulama Pembina Ummah

بِسْـــــــــمِ ٱللهِ ٱلرَّحْـمَـٰنِ ٱلرَّحِـــــــيمِ

اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ

.

Khutbah Jumaat: “Ulama’ Pembina Ummah”

.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Marilah kita sama-sama mempertingkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala suruhan-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Mudah-mudahan dengan keimanan dan ketakwaan, kita beroleh rahmat dan keredhaan hidup di dunia dan di akhirat. Bersempena dengan Majlis Perasmian Yayasan Pembangunan Pondok 1Malaysia (YPP1M) oleh YAB Perdana Menteri Malaysia pada 8 November 2012, khutbah hari ini akan membicarakan tajuk: ULAMA’ PEMBINA UMMAH”.

.

.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Sejarah membuktikan bahawa pengajian pondok di negara kita telah melahirkan golongan ulama’ yang hebat serta berpengaruh di dalam masyarakat. Golongan ini menjadi perhatian dan mendapat pengiktirafan masyarakat. Pengiktirafan yang begitu tinggi ini bertepatan dengan prinsip Islam yang menjunjung kedudukan ulama’ dan selaras dengan hadith Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Anas bin malik RA:

Maksudnya: Sesungguhnya perumpamaan orang-orang yang berilmu pengetahuan di muka bumi ini seperti bintang-bintang di langit yang menjadi petunjuk dan menerangi di dalam kegelapan sama ada di daratan mahupun di lautan, apabila ia terbenam atau hilang dikhuatiri akan hilang arah tujuan.

.

Pada hakikatnya kejayaan pengajian pondok telah melahirkan wajah sebenar ulama’ sebagai pembina ummah. Namun, persoalan besar timbul di sini siapakah sebenarnya yang dikatakan ulama’ ini?. Secara ringkasnya dalam konteks umat Islam di rantau ini, ulama’ adalah merujuk kepada mereka yang mengetahui dan memahami agama secara mendalam yang kita namakan mereka sebagai ustaz, tuan guru dan kiyai. Tanpa ulama’ semua orang akan menjadi jahil dan akan bertindak mengikut hawa nafsu semata-mata. Kerana itu para ulama’ merupakan anugerah besar buat umat manusia bagi membimbing mereka ke jalan yang benar. Kata katanya menjadi penawar kepada penyakit sosial, nasihatnya menjadi pendamai kepada pertelingkahan ummah, senyumannya mampu menyuluh sinar cahaya dari kegelapan masyarakat.

.

Menjelaskan betapa besar  peranan ulama’ ini Imam al-Ghazali pernah berkata bahawa: Adalah menjadi kebiasaan bagi ulama’ untuk melakukan kerja amar makruf dan nahi munkar tanpa mengira sangat tentang kekejaman pemerintah. Mereka percaya bahawa Allah akan menjaga mereka. Mereka rela menjadi syahid kalau ditakdirkan begitu oleh Allah. Oleh kerana mereka itu ikhlas, bersikap jujur dan menyumbangkan tenaga semata-mata untuk menegakkan ilmu, maka orang ramai mudah menerima nasihatnya. Tetapi sekarang lidah para ulama’ telah menjadi kelu kerana diikat oleh kepentingan. Kalaupun mereka bercakap, tidak akan berjaya kerana pembawaan hidup mereka sendiri berbeza dengan apa yang dicakapkan. Sesungguhnya rakyat rosak kerana pemerintah dan pemerintah rosak kerana ulama’. Sementara ulama’ pula rosak kerana tamak harta dan pangkat.

.

.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Berdasarkan hadith-hadith dan pandangan tokoh-tokoh ulama’ ternyata kedudukan ulama’ merupakan tunjang kepada pembinaan ummah dan menentukan hala tuju umat Islam pada masa hadapan. Merekalah yang berada di barisan hadapan yang menentukan kejayaan atau kejatuhan sesebuah ummah itu. Lihatlah sebagai contoh kejayaan tamadun Islam terdahulu yang bertonggakkan kekuataan ulama’ telah menjadi pusat perkembangan Islam yang paling penting dan berpengaruh. Tokoh ulama’ seperti Tok Kenali, Al-Marbawi di Malaysia. Di Mesir seperti Hassan Al-Bana, Syed Qutb sanggup menulis dan berkorban jiwa raga yang akhirnya mati syahid. Sebaliknya, apabila golongan ini menjadi jahat, bermusuhan, maka ummah tidak terbela, negara kucar kacir dan akan ditimpa kehancuran. Menurut hadith yang diriwayatkan daripada Abu Naim bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Mafhumnya: “Ada dua kelompok manusia, jika kedua-duanya baik, maka masyarakat akan jadi baik, dan jika kedua-duanya rosak, maka masyarakat akan rosak, mereka itu ialah ulama’ dan  pemerintah.”

.

Sekali lagi persoalan besar timbul disini ialah apakah peranan ulama’ di dalam pembinaan ummah?. Mimbar ingin menegaskan bahawa antara peranan ulama’ mereka mestilah menjadi qudwatun hasanah yang diletakkan di tempat yang tinggi dalam masyarakat. Setiap ulama’ mestilah berintergriti, bersifat ikhlas, jujur, jatidiri, berpandangan luas serta tidak fanatik di dalam setiap tindakannya dan hendaklah memberi nasihat dan teguran berlandaskan kepada kebenaran tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak atau fahaman tertentu. Dengan ini mereka akan dihormati dan akan memartabatkan kedudukannya dalam sistem pemerintahan negara.

Imam al-Turtusyi di dalam kitabnya siraj al-Muluk berkata: “Manusia yang paling utama taat kepada pemerintah dan menasihatinya ialah ahli agama dan mereka yang mendapat nikmat serta golongan yang bermaruah kerana agama tidak boleh tegak tanpa kuasa pemerintah.

.

.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Islam adalah agama yang mewujudkan sistem cara hidup menyeluruh kepada manusia dari segi akidah, syariah, akhlak, politik, ekonomi, dan sosial yang berkait rapat satu sama lain. Sistem cara hidup ini mempengaruhi pembangunan duniawi dan ukhrawi manusia. Dengan demikian peranan dan kerjasama serta hubungan harmoni ulama’ dengan ummah akan menjadi tunjang kekuatan dan menentukan negara berada di landasan yang selari dengan Siasah Shar’iyah.

Mimbar menyedari bahawa bidang kuasa ulama’ di negara ini adalah terbatas berbanding bidang kuasa pemerintah, namun selari dengan tanggungjawab ulama’, mimbar mengingatkan bahawa ulama’ tidak boleh berdiam diri dalam memperjuangkan hak-hak kepentingan Islam dan menyelesaikan masalah ummah. Suara ulama’ sentiasa ditunggu dan diperhatikan oleh masyarakat Islam yang cintakan agamanya.

Firman Allah SWT dalam surah Faathir ayat 28:

Maksudnya: Sebenarnya yang takut kepada Allah dari kalangan hamba-Nya hanyalah ulama’ (orang yang berilmu).”

.

.

 Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Mengakhiri khutbah, mimbar menyeru sidang jemaah dan umat Islam sekalian, bersempena dengan majlis perasmian Yayasan Pembangunan Pondok 1Malaysia (YPP1M) oleh YAB Perdana Menteri Malaysia pada 8 November 2012, marilah sama-sama kita memperkasa pendidikan Islam di negara kita denganmemberi pengiktirafan kepada sumbangan institusi pengajian pondok terhadap pembangunan pendidikan agama di negara ini. Ia juga bagi mengiktiraf jasa dan bakti para ulama dantok guru dalam melahirkan generasi pelajar yang mahir dalam ilmu agama dan pengajian al-Quran. Disinilah lahirnya proses dalam menyemarakkan ilmu dan pembinaan ummah dan melahirkan golongan ulama’ yang gemilang pada satu ketika dahulu.

.

Marilah kita sama-sama mengembeleng tenaga menyepadukan peranan ulama’ agar negara dan ummah terus dirahmati. Percayalah bahawa tanggungjawab membangunkan negara bukan hanya terletak pada pemerintah semata-mata tetapi perlu penglibatan semua pihak lebih-lebih lagi golongan ulama’ yang semestinya memberi kefahaman dan kesedaran kepada masyarakat. Inilah kunci utama pembangunan ummah yang menjadi prinsip asas kejayaan generasi sahabat dalam menegakkan syariat Islam. Kepada golongan ulama’, mimbar ingin menyatakan mereka mestilah berani menyatakan kebenaran sekalipun pahit dan mampu memberi penyelesaian terhadap permasalahan ummah hari ini.

Mimbar juga ingin mengingatkan kepada para jemaah dan umat Islam sekalian, bahawa kita kini berada di penghujung bulan Zulhijjah, bermakna tahun 1433H akan meninggalkan kita dan kedatangan tahun baru 1434H dalam beberapa hari lagi, Justeru, mimbar menyeru marilah sama-sama kita bermuhasabah tentang apa yang telah kita lakukan sepanjang tahun yang dilalui ini, samada dari segi amalan dan sumbangan kita kepada agama, bangsa dan negara.

Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT di dalam surah Hud ayat 15-16:

Maksudnya: Sesiapa yang berkehendakkan kehidupan dunia dan perhiasannya, maka Kami penuhi usaha mereka di dunia, dan mereka tidak dikurangkan daripadanya. Mereka tidak beroleh di akhirat kelak selain daripada neraka, dan gugurlah apa yang mereka lakukan di dunia, dan batallah apa yang mereka telah kerjakan).

.

.

.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Ulama’ Pembina Ummah

(9 November 2012 / 24 Zulhijjah 1433H)

.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

.

Posted by; shafiqolbu

.

 

Leave a comment