KJ: Harmonikan Masyarakat

بِسۡـــــــــمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِـــــــيمِ

اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ

Khutbah Jumaat: Harmonikan Masyarakat

.

Sidang Jumaat yang di Rahmati Allah,

Saya berpesan kepada diri saya dan menyeru kepada sidang Jumaat yang dikasihi sekalian, marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa serta melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita berbahagia di dunia dan di akhirat.Mimbar pada hari ini akan membincangkan khutbah bertajuk: HARMONIKAN MASYARAKAT ”.

 .

Sidang Jumaat yang di Rahmati Allah,

Sejak kebelakangan ini menjadi kerisauan ramai di kalangan rakyat mengenai perkembangan politik semasa di negara kita. Berdasarkan pemerhatian mimbar, pertelagahan di kalangan pemimpin dalam mengejar kuasa dan pangkat akan menghilangkan keyakinan orang bawahan terhadap kepimpinannya. Perlu disedari bahawa, pemimpin adalah golongan yang  bertanggungjawab memenuhi keperluan masyarakat samada dari segi jasmani iaitu hal-hal yang berkaitan dengan pendidikan, kebajikan, kesihatan, ekonomi dan pengurusan dan dari segi rohani iaitu hal yang berkaitan dengan akidah, syariah, akhlak dan kemanusiaan. Mimbar juga ingin menegaskan bahawa sikap sebegini, sebenarnya telah membuktikan pemimpin yang  tidak bermoral dan akan menimbulkan perpecahan di kalangan masyarakat serta menghancurkan sesebuah negara. Apabila pemimpin asyik dengan pertelengkahan serta lupa dengan tanggungjawab membela nasib rakyat menyebabkan rakyat merasa bosan. Keadaan bosan yang berterusan ini mampu mengugat sistem bernegara kerana rakyat sudah hilang kepercayaan kepada kepimpinan.

Kita juga  perlu insaf dan sedar bahawa pertelagahan di kalangan pemimpin Islam merupakan satu kerugian besar kepada agama, negara dan rakyat jelata. Kita perlu ingat bahawa kelemahan kepimpinan Islam menyebabkan pihak tertentu mengambil peluang memperhebatkan tekanan dengan mencabar kedudukan keistemewaan orang-orang Melayu, institusi Raja sebagai ketua agama Islam serta mempertikai Islam dalam perlembagaan di negara ini.

.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Dalam sejarah tamadun Islam, telah terbukti bagaimana pemimpin yang bertelagah sesama sendiri dengan menabur janji serta melempar fitnah adalah penyebab utama tumbangnya sesebuah kerajaan. Lihat sajalah apa yang berlaku kepada kerajaan Umaiyah, Abbasiah dan Uthmaniah, apabila kepimpinan bertelagah untuk merebut kuasa, maka kerajaan itu akan hancur.  Ingatlah bahawa Rasulullah SAW dalam sebuah hadithnya pernah menegah umat Islam daripada meminta-minta untuk menjadi pemimpin dalam urusan pentadbiran negara.

Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan bahawa satu ketika Abdul Rahman bin Samurah telah ditegur oleh Rasulullah SAW: Wahai Abdul Rahman bin Samurah, janganlah engkau meminta diangkat menjadi penguasa di suatu wilayah. Kerana jika yang demikian diberikan kepada engkau lantaran permintaan, nescaya engkau dibiarkan, tidak diberi pertolongan. Tetapi jika diberikan kepada engkau bukan kerana engkau memintanya, nescaya engkau diberi pertolongan”.

 

Hadith ini menjelaskan bahawa dalam Islam, jawatan pemimpin adalah satu tanggungjawab yang berat. Ia bukan suatu status yang direbut bagi mendapatkan sanjungan dan keistimewaan tertentu. Oleh sebab itu, Islam menegaskan bahawa jawatan kepimpinan tidak boleh ditagih-tagih mengikut desakan naluri dan nafsu semata-mata. Bahkan, dalam proses pemilihan pemimpin atau pentadbir hendaklah dilakukan dengan adil yang berasaskan kepada kelayakan, karisma dan ciri kepimpinan seperti bertakwa, berakhlak tinggi, bertanggungjawab, sabar, boleh merancang dan bijak melaksanakan tugas.

Imam al-Baihaqi meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya: “Sesungguhnya pemimpin  yang adil itu adalah bayangan Allah di bumi yang menjadi tempat berlindung bagi setiap orang yang dizalimi.”

 .

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Allah SWT telah mengingatkan bahawa kepimpinan yang paling berkesan ialah kepimpinan melaui teladan sebagaimana yang dicontohi oleh Rasulullah SAW. Firman Allah SWT dalam surah at-Taubat ayat 128:

لَقَدْ جَاءَكُمْ رَ‌سُولٌ مِّنْ أَنفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِ‌يصٌ عَلَيْكُم بِالْمُؤْمِنِينَ رَ‌ءُوفٌ رَّ‌حِيمٌ ﴿١٢٨

Maksudnya: Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri, yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahanmu, yang sangat inginkan kebaikan bagimu, (dan) amat belas lagi penyayang kepada orang yang beriman.

Ayat ini menjelaskan kepada kita bahawa pemimpin yang bersikap belas kasihan, penyayang, prihatin terhadap kebajikan rakyat adalah bukti ketinggian iman mereka. Justeru, Mimbar amat yakin, kepimpinan yang beramanah dan bertanggungjawab dalam masyarakat mencerminkan suasana kepimpinan yang dapat diterima oleh rakyat.

Ini ditegaskan oleh Allah SWT dalam surah al-Baqarah 2; Ayat 124:

وَإِذِ ابْتَلَىٰ إِبْرَ‌اهِيمَ رَ‌بُّهُ بِكَلِمَاتٍ فَأَتَمَّهُنَّ ۖ قَالَ إِنِّي جَاعِلُكَ لِلنَّاسِ إِمَامًا ۖ قَالَ وَمِن ذُرِّ‌يَّتِي ۖ قَالَ لَا يَنَالُ عَهْدِي الظَّالِمِينَ ﴿١٢٤

Maksudnya: Dan (ingatlah), ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa Kalimah (suruhan dan larangan), maka Nabi Ibrahim pun menyempurnakannya. (Setelah itu) Allah berfirman: “Sesungguhnya Aku melantikmu menjadi imam (Pemimpin ikutan) bagi umat manusia”. Nabi Ibrahim pun memohon dengan berkata: “(Ya Tuhanku!) Jadikanlah juga (apalah jua kiranya) dari keturunanku (pemimpin-pemimpin ikutan)”. Allah berfirman: “(Permohonanmu diterima, tetapi) janjiKu ini tidak akan didapati oleh orang-orang yang zalim.

Apa yang jelas, terdapat dua perkara asas dalam ayat ini.

Pertama, kepimpinan bukan sekadar perjanjian antara pemimpin dengan rakyat, tetapi ia juga merupakan ikatan perjanjian dengan Allah SWT.

Kedua, kepimpinan hendaklah mementingkan keadilan dalam melaksanakan sesuatu tanggungjawab yang di amanahkan. Mimbar yang mulia ini ingin mengingatkan kepada para pemimpin sekalian bahawa memegang kuasa melalui jalan yang salah dan tidak beretika seperti salahguna kuasa, rasuah, dan sebagainya hanya memberi keseronokan sementara waktu untuk diri  sendiri tetapi ianya memberi kesan penderitaan jangka panjang kepada negara dan rakyat jelata, dan ingatlah  sewajarnya mereka yang mengamalkan budaya ini tidak diberi ruang sebagai pemimpin di negara kita ini.

.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Mengakhiri khutbah pada minggu ini, mimbar menyeru kepada para pemimpin yang ada pada hari ini, marilah sama-sama kita merapatkan sof, mengeratkan perpaduan antara kita, demi masa depan rakyat dan negara. Elakkan dari berlakunya pertelagahan sesama sendiri bagi mencapai kejayaan di dalam perjuangan.  Marilah kita bertindak selari dengan apa yang dikata atau yang dijanjikan supaya kita menjadi pemimpin yang disayangi dan dihormati. Hendaklah bertanggungjawab menjaga kebajikan dan kesejahteraan orang  yang dipimpin di dunia dan di akhirat. Kita juga perlu menginsafi bahawa mengkhianati amanah kepimpinan adalah satu dosa  besar yang akan menerima hukuman Allah di akhirat nanti. Ingatlah bahawa pemimpin bertelagah, rakyat akan berpecah.

Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah asy- Syu’araa’ 26; Ayat 215-217:

وَاخْفِضْ جَنَاحَكَ لِمَنِ اتَّبَعَكَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ ﴿٢١٥﴾ فَإِنْ عَصَوْكَ فَقُلْ إِنِّي بَرِ‌يءٌ مِّمَّا تَعْمَلُونَ ﴿٢١٦﴾ وَتَوَكَّلْ عَلَى الْعَزِيزِ الرَّ‌حِيمِ ﴿٢١٧

“Dan hendaklah engkau merendah diri kepada pengikut-pengikutmu dari orang yang beriman. Kemudian jika mereka berlaku ingkar kepadamu, maka katakanlah: Sesungguhnya aku berlepas diri dari apa yang kamu lakukan! Dan berserahlah kepada Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani.”

 .

.

.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Harmonikan Masyarakat

(30 November 2012 / 16 Muharram 1434H)

.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

.

Posted by; shafiqolbu

.

Leave a comment