KJ: Agihan Tepat, Zakat Berkat

بِسۡـــــــــمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِـــــــيمِ

اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ

Bayar  Zakat .

Khutbah Jumaat:   Agihan Tepat , Zakat Berkat

kj zakat 1.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa serta melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita mendapat keberkatan hidup di dunia dan di akhirat. Bersempena dengan sambutan Bulan Zakat Kebangsaan 2012, mimbar jumaat hari ini akan memperkatakan khutbah bertajuk: “Agihan Tepat, Zakat Berkat”.

.

.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Zakat dari segi syarak ialah mengeluarkan sebahagian harta tertentu diberikan kepada asnaf-asnaf yang berhak menerimanya setelah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh syarak. Mengeluarkan zakat adalah termasuk dalam rukun Islam yang lima. Oleh itu, setiap orang Islam yang memiliki harta yang telah memenuhi syarat-syaratnya adalah wajib menunaikannya sebagaimana  firman Allah SWT di dalam surah al-Nur ayat 56:

وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ وَأَطِيعُوا الرَّ‌سُولَ لَعَلَّكُمْ تُرْ‌حَمُونَ ﴿٥٦

Bermaksud : “Dan dirikan oleh kamu akan sembahyang serta berilah zakat; dan taatlah kamu kepada Rasul Allah; supaya kamu beroleh rahmat.”

.

Rasulullah SAW pula memberikan peringatan dan ancaman yang tegas kepada mereka yang enggan mengeluarkan zakat sebagaimana sabdanya :

kj zakat 2Maksudnya : “Sesiapa yang Allah berikan kepadanya harta, tetapi dia tidak mengeluarkan zakatnya, maka pada hari kiamat kelak hartanya itu dijadikan berupa Syuja’ Aqra’ (Ular jantan yang botak, kepalanya mengandungi banyak racun) yang memiliki dua titik hitam di atas dua matanya melilit lehernya. Kemudian ia menggigit kedua tulang rahangnya sambil berkata, ‘Aku adalah hartamu, aku adalah simpananmu. Lalu baginda SAW membaca (ayat 180 surah Ali Imran): ’Sekali-kali janganlah orang-orang yang bakhil menyangka….” (Riwayat al- Bukhari)

.

Al-Hafiz Imam Ibnu Katsir RA di dalam kitab tafsir Ibnu Katsir. Ketika mentafsirkan ayat 180 surah al-Baqarah yang dimaksudkan oleh Baginda SAW ini, berkata: Janganlah sekali-kali orang yang bakhil menyangka bahawa dia mengumpulkan harta itu akan baik dan bermanfaat baginya. Sebaliknya hal itu akan membahayakannya dalam (urusan) agamanya dan kemungkinan juga dalam (urusan) dunianya. Allah memberitakan tentang hartanya pada hari kiamat dengan firman-Nya: “Harta yang mereka bakhilkan itu akan dikalungkan di leher mereka, kelak pada hari kiamat.

Begitu juga dengan pandangan Dr. Yusof al-Qaradawi yang merumuskan di dalam kitabnya Fiqh al-Zakah dengan mengatakan :  “Seorang muslim yang mengingkarinya (yakni kewajipan zakat) adalah dihukum kafir (murtad), fasik jika ia melarikan diri (enggan menunaikannya), diizinkan (kepada ulil amri) mengambil secara paksa (yakni melalui tindakan undang-undang) orang yang menegahnya, dan diisytiharkan perang dengan tujuan menunaikannya kepada sesiapa yang enggan dan berkeras.”

.

.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Antara hikmah ibadah zakat ialah “barakah” atau keberkatan yang dikurniakan Allah SWT kepada pembayar dan penerima zakat termasuk juga pada harta yang telah dizakatkan itu sendiri. Barakah adalah suatu nikmat Allah yang tidak dapat dilihat dan disentuh tetapi dapat dirasai dan dinikmati kesannya dalam kehidupan seharian. Setiap orang muslim pasti bercita-cita inginkan keberkatan dalam kehidupan dan urusan sehariannya. Kerana dengan keberkatan jiwa menjadi tenang, hati menjadi lapang, nafsu dapat dikawalkan, setiap urusan sentiasa mendapat panduan, mudah dan senang, kekurangan harta tidak menjadi kerisauan.

Firman Allah SWT di dalam surah at-Taubah ayat 103:

خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُ‌هُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْ ۖ إِنَّ صَلَاتَكَ سَكَنٌ لَّهُمْ ۗ وَاللَّـهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ ﴿١٠٣

Maksudnya : “Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan menyucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.

.

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili ketika mentafsirkan ayat ini di dalam kitab Tafsir al-Munir berkata : Al-tazkiah bermaksud kata nama keterangan yang menunjukkan penyucian sesuatu yang bersangatan dan menambah kebaikan pada harta, ataupun ianya juga bermaksud menyuburkan dan memberikan keberkatan pada harta kerana sesungguhnya Allah swt menjadikan kekurangan yang terhasil dengan sebab mengeluarkan zakat sebagai faktor berlakunya penyuburan harta sepertimana yang disebutkan di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Muslim dan al-Tirmizi daripada Abu Hurairah RA bahawa Baginda SAW bersabda : Sedekah (yakni zakat) tidak akan mengurangkan harta.”

 .

Justeru, nas ini jelas memerintahkan Rasulullah SAW dan juga pemerintah Islam agar menguatkuasakan kutipan zakat ke atas sebahagian daripada orang-orang Islam yang berharta dan cukup syarat-syaratnya dengan kadar tertentu bagi tujuan membersihkan diri mereka daripada segala sifat buruk dan keji serta menyuburkan harta mereka.Hasilnya, di dunia, harta kekayaan yang dimiliki mereka akan bertambah subur dan berkembang, manakala di akhirat kelak pula harta kekayaan ini menjadi aset dan penyelamat diri mereka daripada azab dan kemurkaan Allah SWT.

.

.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Mimbar ingin menyatakan bahawa zakat hendaklah diagihkan kepada mereka yang berhak menerimanya. Justeru, menjadi tanggungjawab pemerintah untuk melaksanakannya dengan  memperkenalkan pelbagai bentuk skim bantuan zakat untuk diagihkan kepada asnaf zakat. Sebagai contoh melalui Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang mempunyai sebanyak 27 skim bantuan zakat yang dilaksanakan, manakala Lembaga Zakat Selangor (LZS) sebanyak 81 skim bantuan. Perlu diketahui bahawa setiap jenis bantuan zakat yang diperkenalkan oleh Majlis Agama Islam Negeri perlu melalui keputusan dan kelulusan Jawatankuasa Fatwa Negeri agar menepati kehendak maqasid syariyyah dan hukum hakam syarak.

.

Berdasarkan kepada keperluan tersebut, pihak kerajaan persekutuan melalui Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri-Negeri seluruh Malaysia sentiasa bekerjasama dan berusaha gigih menganjurkan program dan aktiviti-aktiviti bagi mempromosi kesedaran dan kefahaman mengenai zakat. Pada tahun ini, Sambutan Bulan Zakat Kebangsaan yang dilaksanakan pada bulan Disember 2012 dengan pelbagai pengisian aktiviti dan program di peringkat kebangsaan dan negeri dengan tema “Agihan Tepat, Zakat Berkat”.

.

Penganjuran program dan aktiviti seumpama ini adalah diharap dapat meningkatkan lagi kefahaman dan kesedaran umat Islam mengenai kewajipan berzakat. Seterusnya bersama-sama terlibat memberikan sokongan dan menjunjung tinggi syariat Allah SWT ini.

Dalam masa yang sama, seluruh umat Islam di egara ini seharusnya meyakini keikhlasan, ketelusan dan komitmen Majlis Agama Islam Negeri dalam mengurus dan mentadbir hal ehwal zakat dan hal-hal lain dalam Islam. Semoga segala usaha murni ini akan menghasilkan natijah keberkatan daripada Allah SWT di dunia dan di akhirat.

Kita juga mendoakan kepada mereka yang mengeluarkan zakat diberkati kehidupannya, dimurahkan rezeki, dibersihkan segala hartanya dari perkara syubahah serta mendapat keampunan dan kerahmatan di akhirat kelak.

.

Mengakhiri khutbah pada minggu ini marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT di dalam surah al-A’raf ayat 96:

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَ‌ىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَ‌كَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْ‌ضِ وَلَـٰكِن كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ ﴿٩٦

Maksudnya : “Dan sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami bukakan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami) lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.”

 .

Penutup khutbah

.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

  “Agihan Tepat, Zakat Berkat

 (14 Disember 2012 / 30 Muharam 1434H)

.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

.

Posted by; shafiqolbu

.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: