KJ: Bersama Membasmi Jenayah Dadah

بِسۡـــــــــمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِـــــــيمِ

اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ

benci dadah.

Khutbah Jumaat: “Bersama Membasmi Jenayah Dadah”

kj pembuka 1

kj dadah 01

kj pembuka 3

.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Pada hari Jumaat yang berkat dan di dalam masjid yang mulia ini, saya berpesan kepada diri saya dan kepada sidang Jumaat yang menjadi tetamu Allah sekalian marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.

Mudah-mudahan kita menjadi umat yang terbaik, umat contoh dan memperolehi kebahagian di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah bertajuk: “BERSAMA MEMBASMI JENAYAH DADAH.”

.

.

Muslimin Yang Dikasihi Sekalian,

Bersempena dengan sambutan Hari Antidadah Peringkat Kebangsaan pada 19hb setiap tahun, mimbar ingin mengingatkan kepada jemaah bahawa dadah merupakan punca utama berlakunya jenayah dan maksiat serta menjadi ancaman kepada kesejahteraan masyarakat dan negara.

Percayalah, gejala dadah ini samalah bahayanya dengan penagihan arak atau khamar, ibu segala kejahatan. Lihat apa yang berlaku seperti jenayah  mencuri, merompak, rogol, bunuh, merempit dan lain-lain lagi adalah kebanyakan berpunca daripada penagihan dadah. Yakin dan ketahuilah bahawa setiap perkara yang boleh memabukkan, melemahkan anggota badan, merosakkan akal fikiran merupakan punca kepada berlakunya kemungkaran dan jenayah.

.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Maidah Ayat 90:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ‌ وَالْمَيْسِرُ‌ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِ‌جْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ ﴿٩٠

Maksud: Wahai orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah perbuatan keji dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”

.

Pada prinsipnya mereka yang terlibat dengan dadah merupakan satu jenayah dan perbuatan berdosa besar kerana telah merosakkan nama baiknya dan menimbulkan kegelisahaan dalam masyarakat. Ingatlah, perbuatan-perbuatan ini sebenarnya semakin menjauhkan diri seseorang daripada Allah SWT. Kadangkala dengan hanya satu perbuatan jenayah sahaja boleh menghancurkan nilai kehidupan kita dan keluarga tersayang serta menyebabkan kerugian sepanjang hayat di dunia dan akhirat.

Oleh itu, usaha membanteras, memerangi jenayah dan perbuatan berdosa tidak boleh dibuat secara perseorangan sahaja atau oleh agensi tertentu tetapi hendaklah dibuat secara menyeluruh anggota masyarakat sebagai satu tanggungjawab bersama umpama pepatah melayu yang buta meniup tepung, yang pekak membakar meriam, yang cepek menghalau ayam, yang kurap menyiang buluh. Ianya menggambarkan kerelaan dan kebanggaan setiap anggota masyarakat untuk memainkan peranan masing-masing ke arah pencapaian matlamat baik dan murni setiap kelompok masyarakat.

.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Maidah ayat 2:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ‌ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ وَاتَّقُوا اللَّـهَ ۖ إِنَّ اللَّـهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ ﴿٢

Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya.

.

Dan Sabda Rasullullah SAW:kj dadah 1Maksudnya: Kaitan antara seseorang beriman dengan yang lainya adalah sama seperti sebuah binaan yang menguatkan antara satu sama lain. (Hadith Muttafaqun ‘Alaih)

.

.

Muslimin Yang Dikasihi Sekalian,

Sebagaimana yang kita semua sedia maklum di negara kita, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) merupakan agensi yang dipertanggungjawabkan menangani permasalahan yang berkaitan dengan dadah. Peranan utama AADK ialah untuk menentukan segala usaha negara menangani ancaman dadah berjalan secara terancang, terarah dan selaras dengan matlamat akhirnya untuk mewujudkan satu masyarakat dan negara yang bebas daripada dibelenggu permasalahan dadah.

Dalam usaha untuk memastikan semua pihak merasakan bertanggungjawab untuk membanteras permasalahan dadah, maka AADK telah menubuhkan Sukarelawan Antidadah atau lebih dikenali sebagai (SKUAD 1MALAYSIA). Inilah antara bukti dan usaha yang telah dilaksanakan pihak pemerintah demi kesejahteraan rakyat.

Maka, dalam hal ini mimbar menyeru semua pihak agar sama-sama berganding bahu dan terlibat dalam aktiviti bagi memerangi penyalahgunaan dadah yang ada dalam komuniti masing-masing. Tidak kiralah sama ada masyarakat yang tinggal di bandar, pedalaman ataupun di perairan negara ini, kita hendaklah membantu dan bekerjasama dengan AADK dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti berkenaan. Sekurang-kurangnya kita sebagai umat yang prihatin dapat menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa mengenai apa-apa kegiatan penyalahgunaan dadah yang berlaku di tempat masing-masing.

Rasulullah SAW bersabda:

kj dadah 2

Maksudnya: Sesiapa di antara kamu yang melihat sesuatu kemungkaran, maka hendaklah ia mengubahnya (mencegahnya) dengan tangannya, dan jika ia tidak berkuasa maka dengan lidahnya, dan jika ia tidak berkuasa, maka dengan hatinya, yang demikian itu adalah selemah-lemah iman.

.

Mimbar ingin mengingatkan bahawa kerosakan yang dibawa oleh gejala dadah sangatlah besar. Ancamannya bukan hanya kepada diri si penagih, bahkan kepada seluruh ahli keluarga, kerana gejala ini akan menghilangkan kewarasan, keseronokan dan kegembiraan serta akan diwarnai dengan tangisan yang berpanjangan.

Bayangkanlah, pasti ranap harapan ibu bapa, pasti musnah impian saudara-mara dan pasti hancur masa depan anak-anak dan isteri di bawah tanggungannya malahan kesan yang lebih dahsyat lagi ialah musnahnya sesebuah bangsa dan negara. Inilah masanya semua umat Islam mesti bersatu untuk memerangi jenayah dadah dan mendokong segala usaha dan komitmen pemerintah demi memastikan jenayah dadah ini dapat dibasmi hingga ke akar umbi.

.

.

Muslimin Yang Dikasihi Allah,

Mengakhiri khutbah mimbar menyeru jemaah dan umat Islam sekalian, ingatlah dan insaflah semasa masih sihat, masih berkuasa dan bertenaga, marilah kita bekerjasama memerangi jenayah dadah dan menutup segala ruang gejalanya. Sebagai ibubapa mimbar menyeru ruangkanlah masa dengan memberi perhatian kepada anak-anak agar hidup mereka tidak terjebak dengan perkara yang tidak sihat yang pastinya sangat merugikan. Disiplinkan hidup mereka, ajaklah mereka untuk berkongsi pandangan dan masalah. Jadikanlah kesukarelaan kita dalam menangani gejala dadah sebagai satu tanggugjawab demi agama dan umat Islam.

.

Marilah sama-sama kita sedar dan memperkukuhkan keimanan kepada Allah SWT, memperbanyakkan amal kebajikan, menjalankan tugas dengan jujur, menjauhi segala perbuatan berdosa dan mungkar. Perbanyakkan beristiqfar semuga segala kesalahan yang dilakukan selama ini akan diampunkan oleh Allah SWT.

Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-Isra’ ayat 7:

إِنْ أَحْسَنتُمْ أَحْسَنتُمْ لِأَنفُسِكُمْ ۖ وَإِنْ أَسَأْتُمْ فَلَهَا ۚ فَإِذَا جَاءَ وَعْدُ الْآخِرَ‌ةِ لِيَسُوءُوا وُجُوهَكُمْ وَلِيَدْخُلُوا الْمَسْجِدَ كَمَا دَخَلُوهُ أَوَّلَ مَرَّ‌ةٍ وَلِيُتَبِّرُ‌وا مَا عَلَوْا تَتْبِيرً‌ا ﴿٧

Maksud: Jika kamu berbuat kebaikan, maka faedahnya adalah untukmu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka berbalik kepada diri kamu juga. Oleh itu, apabila sampai masa janji kali kedua, Kami datangkan musuh-musuh kamu untuk memuramkan muka kamu; dan untuk memasuki masjid sebagaimana mereka telah memasukinya pada kali pertama; dan untuk menghancurkan apa sahaja yang mereka telah kuasai, dengan sehancur-hancurnya.

.

 .

.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Bersama Membasmi Jenayah Dadah

(15 Februari 2013/ 4 Rabiulakhir 1434H)

.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

.

Posted by; shafiqolbu

sign s

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: