KJ : Celik Di Dunia Buta Di Akhirat

بِسۡـــــــــمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِـــــــيمِ

اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ

celik buta.

Khutbah Jumaat:  Celik Di Dunia Buta Di Akhirat”

 

.

 KJ CELIK

.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Saya berpesan kepada tuan-tuan dan diri saya sendiri marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah SWT dengan memperkukuhkan pengabadian diri kita kepada-Nya dengan melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan pada hari yang penuh berkat ini menjadikan kita insan yang berjaya di dunia dan akhirat. Tajuk khutbah pada hari ini ialah: “CELIK DI DUNIA BUTA DI AKHIRAT”.

.

Ramai manusia yang diciptakan oleh Allah SWT dalam keadaan celik, tidak buta, mata boleh melihat dengan sempurna, boleh melihat ciptaan Allah SWT, boleh makan dan minum, berjalan dan lain-lain lagi. Tetapi di hari akhirat nanti mereka yang celik di dunia ini dibangkitkan oleh Allah SWT dalam keadaan menjadi buta.

Persoalan besar timbul di sini kenapakah mereka ini dibangkitkan dalam keadaan sedemikian? Jawapannya ialah kerana  mereka ini berpaling daripada ajaran Allah yang sebenar, tidak melakukan aturan-aturan Allah, melakukan maksiat dan membuat dosa-dosa besar serta menzalimi orang lain, matanya tidak digunakan untuk melihat kebenaran, sebaliknya digunakan untuk melihat kebatilan akibatnya hidup di dunia akan disempitkan, tidak tenang, menderita dan ditimpa musibah. Malahan di akhirat pula, mereka menjadi buta sebagai balasan keengkaran semasa di dunia.

.

Firman Allah SWT di dalam Surah Taha ayat 124-125;

وَمَنْ أَعْرَضَ عَن ذِكْرِي فَإِنَّ لَهُ مَعِيشَةً ضَنكًا وَنَحْشُرُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَعْمَىٰ ﴿١٢٤﴾قَالَ رَبِّ لِمَ حَشَرْتَنِي أَعْمَىٰ وَقَدْ كُنتُ بَصِيرًا ﴿١٢٥

Maksudnya: Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjuk-Ku, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari Kiamat dalam keadaan buta. Ia berkata: Wahai Tuhanku, mengapa Engkau himpunkan daku dalam keadaan buta, padahal aku dahulu celik?.”

.

Bayangkan betapa azabnya golongan ahli neraka yang diseksa fizikalnya dengan seksaan yang dahsyat, ditambah pula dengan mata yang dibutakan, tidak melihat kawasan sekeliling. Ini adalah satu bentuk seksaan piritual yang amat dahsyat daripada Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya yang ingkar.

.

Firman Allah SWT di dalam Surah al Hud ayat 106-107:

فَأَمَّا الَّذِينَ شَقُوا فَفِي النَّارِ لَهُمْ فِيهَا زَفِيرٌ وَشَهِيقٌ ﴿١٠٦﴾ خَالِدِينَ فِيهَا مَا دَامَتِ السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْضُ إِلَّا مَا شَاءَ رَبُّكَ ۚ إِنَّ رَبَّكَ فَعَّالٌ لِّمَا يُرِيدُ ﴿١٠٧ 

Maksudnya: Adapun orang-orang yang celaka (disebabkan keingkaran dan maksiatnya), maka di dalam nerakalah tempatnya. Bagi mereka di situ, hanyalah suara memekik-mekik dan mendayu-dayu (sepaerti suara keldai). Mereka kekal di dalamnya selagi ada langit dan bumi, kecuali apa yang dikehendaki oleh Tuhanmu. Sesungguhnya Tuhanmu, Maha Kuasa melakukan apa yang dikehendakiNya.”

.

.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Ingatlah, sebagai seorang Islam kita mestilah bijak melayarkan bahtera kehidupan ke arah yang benar mengikut petunjuk yang telah digariskan oleh al-Quran dan al-Hadith. Bukannya mengikut hawa nafsu atau kepentingan diri dan lebih malang lagi jika sanggup tunduk dan mengikut kehendak musuh Islam.

Ingatlah bahawa dalam menuju ke akhirat maka hendaklah kita mencari dan mengumpul seberapa banyak  bekalan  pahala kebajikan dan kebaikan semasa hidup di dunia. Sebagaimana pesan Saidina Ali: “Seharusnya manusia yang berakal tidak bersungguh-sungguh melainkan dalam tiga perkara: Berusaha untuk keperluan hidupnya, beramal untuk hari kemudian dan bersuka-suka di dalam perkara yang tidak haram.”

.

Mimbar ingin menegaskan bahawa perbuatan kita semasa di dunia menentukan kedudukan kita di sisi Allah SWT di akhirat dan begitulah sebaliknya. Jika kita benar benar taat dan akrabnya di dunia dengan Allah SWT , maka di akhirat pastinya Allah SWT akan mendampingi kita.

Seorang sahabat Nabi yang bernama Samurah bin Jundab pernah berkata: “Sesiapa yang ingin mengetahui kedudukannya di sisi Allah SWT, maka periksalah kedudukan Allah di sisinya. Barangsiapa yang menghormati perintah Allah, lalu bersegera melakukannya, menjauhkan diri daripada larangan Allah,  juga berusaha menghiasi diri dengan adab-adab Islam, maka kedudukan di sisi Allah pun terhormat.”

.

Satu riwayat menceritakan bahawa suatu hari tiga orang lelaki berjalan di depan masjid ketika Rasulullah SAW sedang berceramah menyampaikan wahyu Allah SWT kepada manusia. Salah seorang daripada tiga orang itu berjalan begitu sahaja, ia tidak tertarik untuk mendengar apa yang disampaikan oleh Rasulullah SAW, sementara dua daripadanya memutuskan untuk singgah, mendatangi majlis Nabi SAW. Salah seorang memilih tempat kosong di celah-celah majlis dan seorang lagi memilih untuk duduk di belakang.

Apabila selesai daripada ceramah, Rasulullah SAW bersabda, “Mahukah aku beritahu perihal ketiga-tiga orang ini? Salah satu daripada mereka ating kepada Allah SWT, maka Allah SWT menyambutnya. Salah seorang merasa malu-malu, maka Allah pun malu kepadanya. Adapun seorang yang berpaling daripada Allah SWT, maka Allah berpaling daripadanya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

.

Ingatlah bahawa segala amalan kita di dunia ini  akan dibentangkan di akhirat, tidak terkecuali walaupun ianya sekecil zarah. Pada ketika itu kita akan melihat segala amalan semasa hidup ini dalam suratan amal, ada yang berpahala, ada juga yang berdosa. Mereka yang berdosa itu akan merasa takut dengan keadaan sedemikian. Janganlah demi untuk mendapatkan sesuatu yang dihajati, kita sanggup melakukan tindakan yang ternyata boleh mendatangkan musibah pada bangsa dan agama serta  mengundang dosa dan kemurkaan Allah SWT.

.

Firman Allah SWT dalam surah al-Kahfi ayat 49:

وَوُضِعَ الْكِتَابُ فَتَرَى الْمُجْرِمِينَ مُشْفِقِينَ مِمَّا فِيهِ وَيَقُولُونَ يَا وَيْلَتَنَا مَالِ هَـٰذَا الْكِتَابِ لَا يُغَادِرُ صَغِيرَةً وَلَا كَبِيرَةً إِلَّا أَحْصَاهَا ۚ وَوَجَدُوا مَا عَمِلُوا حَاضِرًا ۗ وَلَا يَظْلِمُ رَبُّكَ أَحَدًا ﴿٤٩

Maksudnya: Dan Kitab-kitab Amal dibentangkan, maka engkau akan melihat orang yang berdosa itu merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya; dan mereka berkata: Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau besar, melainkan semua dihitungnya! Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu ada tertulis di dalamnya. dan ingatlah Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorang pun.”

.

.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Dalam pergaulan hidup sehari-hari sudah tentu berlaku kesilapan sama ada disengajakan atau tidak. Kesilapan itu boleh mengundang dosa terutama jika ia menyentuh pelanggaran hak yang berkaitan dengan tubuh, maruah diri dan harta benda.

Dalam banyak-banyak anggota, lidah dan matalah yang paling banyak kesalahan yang melibatkan sesama manusia. Mata jika tidak dihalakan kepada kebaikan ianya akan mendatangkan kemaksiatan dan dosa lidah dan mata boleh menyebabkan seseorang itu menerima azab di akhirat.

.

Hujatul Islam Imam al-Ghazali pernah berkata: “Menerusi lidah akan berlakulah pendustaan atau pembohongan, buruk sangka, permusuhan, fitnah, mencarut, mencela, mengutuk, bertelingkah, mengumpat, melaknat dan membicarakan sesuatu dalam keadaan kesat, kasar dan penuh dengan kesombongan.”

.

Percayalah, walaupun sewarak mana seseorang itu, banyak solat, puasa, akan tetapi apabila tidak mampu menjaga lidah dan akhlaknya dari memfitnah, berbohong, hasad dengki dan dendam, pasti dia akan tergolong dalam golongan orang yang rugi.

.

Oleh itu, mimbar ingin berpesan, untuk hidup dalam suasana yang tenteram, aman dan damai, hendaklah diawasi lidah kerana melalui lidah tutur kata akan menjadi lebih benar, beradab dan bahasanya lebih bersopan.

Sikap tidak menjaga lidah bukan sahaja menimbulkan kemarahan orang yang mendengarnya, malah menimbulkan implikasi buruk kepada hubungan sesama manusia yang mengakibat keadaan menjadi huru hara dan kacau bilau.

.

Berkatalah perkara yang benar dengan penuh keberanian walaupun ianya sangat pahit untuk ditelan, lebih lebih lagi jika kita sebagai pemimpin kerana ianya mengambarkan pendirian dan sikap kita sebagai seorang yang beriman.

 

Berwaspadalah kita akan setiap tutur kata kerana bahayanya lidah bukannya hanya pada individu tertentu tetapi kesannya juga boleh meruntuhkan sesebuah negara dan bangsa.

.

.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Mengakhiri khutbah pada minggu ini marilah sama-sama kita menghitung diri kita, adakah kita ini sudah cukup amalan untuk bertemu dengan Alllah SWT di akhirat kelak, adakah segala amalan kita di dunia ini dijamin pahala di akhirat. Ingatlah segala amalan kita akan diperhitungkan samada ia berpahala atau berdosa dan semuanya terserah kepada neraca keadilan yang telah ditentukan oleh Allah SWT.

.

Ingatlah wahai  muslimin sekalian bahawa setiap pergerakan kita sentiasa diawasi oleh dua malaikat iaitu Raqib dan Atid. Elakkan daripada terjerumus ke dalam dosa termasuk melemparkan tuduhan, mengeluarkan kata-kata yang boleh membangkitkan kebencian pada individu tertentu, prasangka buruk serta bercakap bohong.

Setiap apa yang diucapkan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Hanya perkataan-perkataan yang diredai Allah akan dicatat, manakala perkataan-perkataan yang mendatangkan kebencian Allah akan dicatat atas kemurkaan-Nya sampai hari kiamat. Janganlah kita tergolong dalam golongan mereka yang celik di dunia tapi buta di akhirat.

.

Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-Zalzalah ayat 7 dan 8:

فَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُ ﴿٧﴾ وَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ شَرًّا يَرَهُ ﴿٨

Bermaksud: “Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarrah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarrah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!”

.

.

.

.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

“Celik Di Dunia Buta Di Akhirat”

(22 Februari 2013 / 11 Rabiulakhir 1434H)

.

.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

.

Posted by; shafiqolbu

sign s

.

.

Advertisements

3 responses to this post.

  1. ” Janganlah demi untuk mendapatkan sesuatu yang dihajati, kita sanggup melakukan tindakan yang ternyata boleh mendatangkan musibah pada bangsa dan agama serta mengundang dosa dan kemurkaan Allah SWT.”…nape plak ada ‘bangsa’ tu?

    Reply

  2. اَلسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ الله ِوَبَرَكَاتُه

    ‘Bangsa Malaysia’

    Sayangilah negara yang selama ini tempat kita membesar dengan aman dalam hakikat masyaakat majmuk di samping mengecapi nikmat kemewahan dan segala kemudahan untuk beribadah kepada Allah Azza wa Jalla sebagai bekalan akhirat kelak.

    Setiap Muslim hendaklah tidak kufur nikmat dan sentiasa menginsafi dan mensyukuri nikmat Allah Subhanahu Wata’ala sebagaimana firman-Nya yang bermaksud;

    بِسْمِ اللَّـهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ.. أَلْهَاكُمُ التَّكَاثُرُ ﴿١﴾ حَتَّىٰ زُرْتُمُ الْمَقَابِرَ ﴿٢﴾ كَلَّا سَوْفَ تَعْلَمُونَ ﴿٣﴾ ثُمَّ كَلَّا سَوْفَ تَعْلَمُونَ ﴿٤﴾ كَلَّا لَوْ تَعْلَمُونَ عِلْمَ الْيَقِينِ ﴿٥﴾ لَتَرَوُنَّ الْجَحِيمَ ﴿٦﴾ ثُمَّ لَتَرَوُنَّهَا عَيْنَ الْيَقِينِ ﴿٧﴾ ثُمَّ لَتُسْأَلُنَّ يَوْمَئِذٍ عَنِ النَّعِيمِ ﴿٨

    “Kamu telah dilalaikan (dari mengingati Allah kerana perebutan kuasa) hingga kamu masuk ke dalam kubur. Sebenarnyalah kelak kamu akan mengetahui, kemudian sebenarnyalah kelak kamu akan mengetahui. Sebenarnya, sekiranya kamu mengetahui dengan pengetahuan yang yakin. Sungguh kamu akan melihat neraka itu, kemudian sungguh kamu akan melihatnya dengan penglihatan yang yakin, kemudian sesungguhnya kamu akan ditanya pada hari itu, tentang segala nikmat (yang kamu telah menikmatinya)!” [Surah At-Takaatsur.]

    Reply

  3. […] menghendaki kebajikan pada seorang hamba, nescaya dizuhudkannya di dunia, digemarkannya akan akhirat dan diperlihatkan akan kekurangan dirinya.” […]

    Reply

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: