KJ: Pengawal Keamanan

بِسۡـــــــــمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِـــــــيمِ

اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ

 .

Khutbah Jumaat: “Pengawal Keamanan”

https://shafiqolbu.files.wordpress.com/2012/12/kj-pembuka-1.jpg

kj polis 1 kj polis 1a

.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Saya berpesan kepada diri saya dan menyeru kepada sidang Jumaat yang dikasihi sekalian, marilah sama-sama kita meningkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga ketaqwaan yang ditambah nilai itu, membentuk kita menjadi insan soleh dan mulia di dunia dan di akhirat. Oleh itu, sempena  Hari Ulang Tahun Polis di Raja Malaysia (PDRM) yang ke 206 pada 25 Mac ini, mimbar akan membincangkan khutbah bertajuk: “PENGAWAL KEAMANAN”.

.

.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Keamanan dan keselamatan di negara kita adalah berlandaskan kepada konsep ‘Rule of law’ dan kedaulatan undang-undang. Oleh itu apabila keamanan dan kedaulatan negara di ganggu gugat, maka setiap inci tanahair ini perlulah dipertahankan mengikut undang-undang negara. Sedarlah, peristiwa pencerobohan di Lahad Datu sebenarnya telah memberi satu pengajaran yang amat besar kepada kita semua khususnya kepada umat Islam bahawa kedaulatan dan keamanan negara merupakan satu perkara yang perlu dipertahankan kerana ianya membabitkan maruah tanah air dan merupakan nikmat yang paling besar dari Allah SWT.

.

Allah SWT menjadikan nikmat ini sebagai medium untuk kita berfikir dan mengambil iktibar agar dengannya dapat meningkatkan keimanan kita kepada Allah SWT. Keamanan bererti kita bebas dari segala bentuk ancaman yang menggugat keharmonian. Alhamdulillah, kita amat bersyukur bahawa suasana harmoni ketika ini dapat dikawal dengan sebaiknya walaupun ada sedikit api-api perpecahan yang dilakukan oleh tangan-tangan gatal. Dengan keamanan, keselamatan akan terus terpelihara, keharmonian terbina dan yang paling utama agama Islam pasti akan terus dilindungi.

.

Keamanan adalah asas utama dalam usaha untuk menegakkan agama Islam, memaju dan memakmurkan sesebuah negara. Bangun dan sedarlah seluruh rakyat Malaysia. Percayalah, kedaulatan agama Islam pasti tercalar jika keamanan negara kita tergugat dan mustahil untuk menegakkan syariat dan syiar Islam jika negara kacau bilau dan huru hara.

Ingatlah, betapa pentingnya keamanan dalam kehidupan manusia, sehingga Nabi Ibrahim AS pernah berdoa kepada Allah SWT agar bumi Mekah dikurniakan dengan keamanan dan kemakmuran.

Peristiwa ini telah berlaku ketika pembukaan kota Mekah sebagai pusat ibadah dan tanah suci dan telah dinyatakan melalui firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 126:

وَإِذْ قَالَ إِبْرَ‌ٰ‌هِـۧمُ رَ‌بِّ ٱجْعَلْ هَـٰذَا بَلَدًا ءَامِنًا وَٱرْ‌زُقْ أَهْلَهُۥ مِنَ ٱلثَّمَرَ‌ٰ‌تِ مَنْ ءَامَنَ مِنْهُم بِٱللَّهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلْءَاخِرِ‌ ۖ قَالَ وَمَن كَفَرَ‌ فَأُمَتِّعُهُۥ قَلِيلًا ثُمَّ أَضْطَرُّ‌هُۥٓ إِلَىٰ عَذَابِ ٱلنَّارِ‌ ۖ وَبِئْسَ ٱلْمَصِيرُ‌ ﴿١٢٦

Bermaksud: Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdo’a dengan berkata: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah (negeri Mekah) ini, negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki dari berbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya, iaitu orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat di antara mereka”. Allah berfirman: “(Permohonanmu itu diterima) tetapi sesiapa yang kufur dan ingkar maka Aku akan beri juga ia bersenang-senang menikmati rezeki itu bagi sementara (di dunia), kemudian Aku memaksanya (dengan mengheretnya) ke azab neraka, dan (itulah) seburuk-buruk tempat kembali.

.

.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah

Lihatlah, sejarah ketamadunan manusia menunjukkan kepada kita bahawa nikmat keamanan mampu memberi sumbangan besar ke arah kemakmuran dan kesejahteraan hidup manusia sejagat. Dengan keamanan kita dapat melakukan urusan kehidupan dunia  tanpa merasa takut, gerun dan dengannya juga boleh membawa banyak kebaikan serta rezeki kepada manusia dan negara.

.

Namun terfikirkah kita, bagaimanakah keamanan ini terus terpelihara sehingga dapat kita kecapi sehingga ke hari ini?

Harus diingat, suasana aman yang dinikmati ketika ini sebahagian besar datangnya dari penat jerih usaha perjuangan dan pengorbanan pasukan keselamatan khususnya Polis Diraja Malaysia. Mereka berusaha menjalankan tugas yang diamanahkan dengan penuh komited dan bertanggungjawab. Kita sedia maklum, sejak tahun 1807 hingga sekarang kita mempunyai pasukan polis yang berkemampuan menjaga keselamatan bangsa, agama dan negara daripada segala ancaman musuh yang boleh menggugat kedaulatan negara.

.

Sebagai orang Islam, kita seharusnya berbangga kerana sejarah telah membuktikan bahawa institusi penting ini telahpun wujud sejak zaman Khulafa’ ar-Rashidin lagi. Sebagai contoh, sewaktu zaman pemerintahan Khalifah Saidina Umar al-Khattab, baginda telah mewujudkan sebuah pasukan keselamatan bagi menjaga keamanan orang awam. Bahkan baginda sendiri turut serta menjalankan rondaan pada waktu malam melihat keadaan rakyatnya demi semata-mata untuk memastikan keselamatan dan kebajikan mereka terpelihara.

.

.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah

Yakinlah, fungsi pasukan keselamatan dalam mempertahankan kedaulatan dan keamanan negara tidak dapat dinafikan, apabila ia menjadi tunjang berdasarkan prinsip Maqassid Syar’iah yang lima, iaitu memelihara agama, akal, keturunan, nyawa dan harta benda.

Peranan mereka di negara kita amat membantu umat Islam untuk mencapai kelima-lima matlamat itu. Namun persoalan besar timbul disini, bagaimanakah cara untuk memastikan keamanan akan terus terpelihara? Adakah memadai dengan usaha pasukan keselamatan yang mempunyai kuasa di sisi undang-undang sahaja? Atau usaha ini memerlukan kerjasama daripada kita yang bergelar rakyat?

.

Jawapannya, Sebagai masyarakat, kita seharusnya saling bekerjasama dalam membanteras kegiatan jenayah. Janganlah bersikap lepas tangan dan menyerah bulat-bulat kepada pasukan keselamatan untuk menangani jenayah. Keadaan ini akan menyebabkan gejala jenayah terus berleluasa yang akhirnya akan merugikan kita sendiri. Mungkin ketika ini perbuatan jenayah tidak berlaku ke atas diri kita, tapi tidak mustahil suatu hari nanti musibah tersebut terkena pada diri kita atau ahli keluarga kita. Nauzubillah. Moga-moga dijauhkan.

.

Amalkanlah sikap “cakna” atau sikap ambil peduli pada keadaan sekeliling kita. Justeru, mimbar ingin mengingatkan, kita mesti bersatu untuk membolehkan kita hidup dalam keadaan yang aman dan selamat sejahtera. Semua pihak menyedari betapa pentingnya keluhuran undang-undang dipelihara dengan baik.

Orang ramai dengan pasukan keselamatan umpama aur dengan tebing, mestilah sentiasa bantu-membantu bersama berganding bahu menjaga keamanan dan menghapuskan jenayah yang membawa padah. Ini terbukti dengan penurunan indeks kadar jenayah hasil daripada komitmen dan kerjasama masyarakat dengan pasukan polis. Kita juga mesti menolak apa sahaja unsur yang boleh menghancurkan pemerintahan dan kedaulatan negara kita yang telah terbukti membela agama Islam.

 Firman Allah SWT di dalam Surah al-Maidah ayat 2:

وَتَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلْبِرِّ‌ وَٱلتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلْإِثْمِ وَٱلْعُدْوَ‌ٰنِ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلْعِقَابِ 

Bermaksud: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. dan bertaqwalah kepada Allah, kerana Sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya (bagi sesiapa Yang melanggar perintahNya).

.

Hal ini juga bertepatan dengan saranan Rasulullah SAW melalui hadith yang diriwayat Imam al-Tabrani Rahimahullah daripada Huzaifah bin al-Yaman RA:

kj polis 2Bermaksud: Sesiapa yang tidak mengambil tahu tentang urusan orang-orang Islam, maka ia tidak termasuk dari kalangan mereka. Sesiapa yang ada pada pagi dan petangnya tidak ikhlas kepada Allah dan RasulNya dan KitabNya dan pemimpinnya dan kepada umat Islam, maka ia tidak termasuk dari kalangan mereka (umat Islam)(Riwayat at- Tabarani).

.

Dan Sabda Rasulullah SAW lagi:

kj polis 3Bermaksud: Apabila orang ramai melihat seorang zalim, tetapi tidak merubah kemungkaran yang dilakukannya, hampir-hampir Allah SWT menimpakan mereka dengan balasan dari sisinya. ” (Riwayat al-Tirmizi)

.

.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Mengakhiri khutbah, mimbar ingin berpesan kepada para jemaah dan umat Islam sekalian, marilah sama-sama kita bersatu mempertahankan negara kita, menyokong  dan mempercayai segala usaha yang dilaksanakan oleh anggota keselamatan demi mempertahankan keamanan dan kedaulatan negara.

Berapa ramaikah antara kita terutamanya golongan muda yang pernah mengucapkan rasa syukur dan berusaha mempertahankan keamanan yang dimiliki sekarang kerana telah ditakdirkan Allah lahir di dalam negara yang telahpun merdeka dan bebas dari penjajahan.

Cuba kita bayangkan sebentar, apakah nasib dan masa depan kita dan keluarga jika saat ini kita berada di bumi yang bergolak dan sentiasa berperang seperti sesetengah negara? Sudah pasti, setiap hari kita akan berada dalam ketakutan dan kesedihan dan mungkin bermandikan darah dan air mata. Berusahalah untuk mengekalkan keamanan kerana pilihan berada di tangan kita.

.

Kepada anggota keselamatan, mimbar ingin berpesan agar sentiasa berusaha mempertingkatkan keimanan dan memperbanyakkan tawakal kepada Allah SWT serta berkhidmat dengan penuh ikhlas dan amanah mengikut ajaran Islam. Insya-Allah, agama, kedaulatan, bangsa dan negara akan terpelihara serta mendapat perlindungan Allah SWT.

Ingatlah kekuatan pasukan keselamatan dan rakyat merupakan pemangkin kepada benteng keselamatan dan keamanan negara. Tanpa sokongan padu semua pihak, kesejahteraan dan kemakmuran negara tidak akan tercapai.

Ingatlah sebagai rakyat di negara ini kita hendaklah mengamalkan  hidup harmoni, toleransi dan dapat menerima pendekatan konsep ‘from tolerance to accceptance’ dalam setiap aktiviti kehidupan.

Marilah sama-sama merenung firman Allah dalam surah al-Anfal ayat 45:

 يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِذَا لَقِيتُمْ فِئَةً فَٱثْبُتُوا۟ وَٱذْكُرُ‌وا۟ ٱللَّـهَ كَثِيرً‌ۭا لَّعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ 

Maksudnya: Wahai orang yang beriman! Apabila kamu bertemu dengan satu pasukan maka teguhkanlah hatimu, dan ingatilah Allah banyak-banyak, supaya kamu berjaya.

.

.

.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

“ Pengawal Keamanan ”

(22 Mac 2013 / 10 Jamadilawwal 1434H)

.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

.

Posted by; shafiqolbu

sign s

.

.

 

 

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: