KJ: Kesahihan Pemerintah

بِسۡـــــــــمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِـــــــيمِ

اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ

khutbah.

Khutbah Jumaat: “Kesahihan Pemerintah 

kj pembuka 1

kj sahih 1

kj pembuka 3

 


 

 

 

 

Sidang Jemaah Yang Berbahagia,   

Saya berpesan kepada diri saya dan tuan-tuan sekalian, marilah kita berusaha sepenuh daya meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh mengerjakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita berjaya memperolehi kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan membincangkan tajuk: “KESAHIHAN PEMERINTAH”.

.

.

Sidang Jemaah Yang di Rahmati Allah,

Allah SWT telah mengurniakan kepada kita agama Islam yang diakui sebagai agama yang diredhai di sisi-Nya. Agama yang lengkap (syumul) dan relevan sepanjang masa dan zaman ini telah disusun begitu sempurna termasuk tatacara mengenai urusan hidup manusia dalam konteks bermasyarakat dan bernegara. Begitu juga dalam menentukan kesahihan pemerintah, Islam telah menyebutnya dengan jelas tentang konsep yang merangkumi pemilihan ketua negara, undang-undang, rubuwwah, ketaatan, umat dan sebagainya.

Menurut Imam al-Mawardi di dalam kitab Nizam al-Hukm fi al-Islam bahawa: “Ketua negara digelar sebagai khalifah dalam urusan agama dan urusan dunia, pemilihan orang yang menjalankan tugas ini adalah wajib mengikut ijmak.”

Justeru, sebagai sebuah negara yang berdaulat dan merdeka yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen. Maka pembentukan dan pemilihan seseorang pemimpin itu ditentukan melalui proses yang dipanggil demokrasi melalui pilihanraya. Pemimpin yang dipilih dengan jumlah majoriti, bertanggungjawab memegang amanah sebagai wakil kepada rakyat yang memilihnya. Sistem ini memberi hak dan kuasa kepada rakyat dalam menentukan masa depan dan martabat negara sentiasa dipelihara di bawah kerajaan yang mereka yakini mampu mengurus, mentadbir dan membangunkan negara serta memastikan kedaulatan agama terus terpelihara. Namun, pastikanlah pemimpin yang bakal dipilih itu ialah orang yang boleh dipercayai, amanah, berilmu, mampu melaksanakan kewajipan untuk mentadbir negara.

Ini bertepatan dengan ingatan Rasulullah SAW melalui sabdanya yang bermaksud: “Apabila sesuatu urusan diserahkan kepada bukan ahlinya, maka tunggulah saat kehancurannya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

.

.

Sidang Jemaah Yang di Rahmati Allah,

Bagi memastikan demokrasi pilihanraya ini tidak pincang, mimbar ingin menyatakan bahawa agama Islam telah meletakkan prinsip keimanan yang tinggi kepada Allah SWT sebagai asas utama dan mengangkat manusia sebagai khalifah. Jelasnya, amalan-amalan di dalam demokrasi itu hendaklah sejajar dengan anjuran Islam yang merujuk kepada al-Qur’an dan as-Sunnah. Dalam konteks ini, kita sebagai khalifah ditegah daripada melaksanakan sesuatu tanpa merujuk kepada syariat Islam terlebih dahulu agar mendapat keredhaan Allah SWT di dunia dan akhirat.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Araaf 7; ayat 3:

اتَّبِعُوا مَا أُنزِلَ إِلَيْكُم مِّن رَّ‌بِّكُمْ وَلَا تَتَّبِعُوا مِن دُونِهِ أَوْلِيَاءَ ۗ قَلِيلًا مَّا تَذَكَّرُ‌ونَ

Maksudnya: “Turutlah apa yang telah diturunkan kepada kamu dari Tuhanmu, dan janganlah kamu menurut pemimpin yang lain dari Allah; (tetapi sayang) amatlah sedikit kamu mengambil peringatan.”

.

Dalam pelaksanaan sistem demokrasi ini, Islam menjadikan Rasulullah SAW sebagai contoh terbaik kepada kita. Demokrasi yang didukung oleh Rasulullah SAW tidak pernah mengenepikan hak rakyat selagi tidak bertentangan dengan Islam. Manakala isu-isu berkaitan pentadbiran dan yang ditetapkan oleh syariat diselesaikan melalui musyawarah di kalangan ulama’ dan umara’. Alhamdulilah, konsep inilah yang telah digunapakai di dalam sistem pentadbiran negara sehingga segenap rakyat dapat merasai nikmat kemakmuran, kestabilan dan keamanan hingga ke hari ini.

Demokrasi ini menunjukkan wujudnya kesepakatan antara rakyat dan pemerintah yang dipilih dalam menentukan masa depan mereka dan cara sebegini menghindarkan rakyat daripada tersalah pilih pemimpin yang tidak mereka kehendaki dan mengakibatkan mereka menjadi umat yang lemah dan menderita pada masa hadapan.

Firman Allah SWT dalam surah an-Nisa’ 4, ayat 9:

وَلْيَخْشَ الَّذِينَ لَوْ تَرَ‌كُوا مِنْ خَلْفِهِمْ ذُرِّ‌يَّةً ضِعَافًا خَافُوا عَلَيْهِمْ فَلْيَتَّقُوا اللَّـهَ وَلْيَقُولُوا قَوْلًا سَدِيدًا

Maksudnya: “Dan hendaklah takut (kepada Allah) orang yang jika ditakdirkan mereka meninggalkan anak-anak yang daif di belakang mereka akan merasa bimbang terhadap anak-anak mereka; oleh itu hendaklah mereka bertakwa kepada Allah, dan hendaklah mereka mengatakan perkataan yang betul.”

.

Berdasarkan ayat ini, jelas menunjukkan kepada kita betapa pentingnya pemerintah yang dilantik itu berkemampuan, bertanggungjawab, menepati janji serta berlaku adil terhadap rakyat. Dalam menentukan keadilan ini, mimbar ingin menyatakan beberapa syarat yang perlu dilaksanakan antaranya:

Pertama: Hendaklah tegas dan berani dalam membuat keputusan yang memberi manafaat kepada rakyat berdasarkan pertimbangan yang wajar dan waras.

Kedua: Bersedia menerima pandangan dan kritikan yang membina,

Ketiga: Membuat perubahan terhadap sebarang rancangan yang didapati merugikan rakyat dan negara seperti proses transformasi yang sedang dijalankan.

Keempat: Mengutamakan kebajikan dan keperluan rakyat melebihi daripada keperluan peribadi.

Kelima: Bijak mengurus masa dengan berkesan.

 

Keenam: Menggalakkan rakyat supaya berusaha dalam mencapai keperluan negara dengan memberi bantuan kewangan dan sokongan, ketujuh: Melaksanakan rancangan pembangunan negara mengikut keutamaan serta mendahulukan rakyat dalam segala aspek.

.

.

Sidang Jemaah Yang di Kasihi Allah,

Pendekatan pemerintah melalui sistem demokrasi telah memperlihatkan keupayaan kita sebagai khalifah Allah SWT untuk mentadbir dan pada masa yang sama menghormati hak rakyatnya. Ini membuktikan bahawa Islam sangat mementingkan prinsip kedaulatan rakyat dan menjadi gaya pemikiran politik kebanyakan pemerintahnya.

Oleh itu, mimbar ingin menyatakan bahawa demokrasi yang diamalkan di negara ini dalam pemilihan ialah sepertimana yang berlaku di zaman khalifah Abu Bakar al-Siddiq RA dan Umar al-Khattab RA, dimana mereka diputuskan oleh Jawatankuasa Syura dan kemudiannya diadakan pemilihan umum untuk mendapat sokongan rakyat. Percayalah, inilah bukti jelas bagaimana sistem demokrasi dan pilihanraya di Malaysia telah menggunakan sistem yang diamalkan pada zaman khalifah dan sahabat Rasulullah SAW.

Konsep ini menghimpunkan antara dua prinsip, iaitu musyawarah (demokrasi) dan kekuasaan sejajar dengan firman Allah SWT dalam surah Ali ‘Imran 3, ayat 159:

فَبِمَا رَ‌حْمَةٍ مِّنَ اللَّـهِ لِنتَ لَهُمْ ۖ وَلَوْ كُنتَ فَظًّا غَلِيظَ الْقَلْبِ لَانفَضُّوا مِنْ حَوْلِكَ ۖ فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاسْتَغْفِرْ‌ لَهُمْ وَشَاوِرْ‌هُمْ فِي الْأَمْرِ‌ ۖ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّـهِ ۚ إِنَّ اللَّـهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ 

Maksudnya: “Maka dengan sebab rahmat dari Allah, engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka, dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka, dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu. Maka apabila engkau telah berazam maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang yang bertawakal kepada-Nya.”

.

.

Sidang Jemaah Yang di Kasihi Allah,

Mengakhiri khutbah pada minggu ini, mimbar menyeru marilah kita sama-sama berdoa mudah-mudahan umat Islam negara kita sentiasa diberikan taufik hidayah oleh Allah SWT dan seterusnya berjaya memainkan peranannya yang sebenar dalam memacu pembangunan negara bangsa yang maju dan dihormati lagi dikasihi Allah SWT.

.

Ingatlah bahawa sistem demokrasi yang dilaksanakan di negara ini hendaklah diterima oleh semua pihak kerana ianya sebahagian daripada saluran untuk mendapatkan kuasa bagi kepentingan memartabatkan Islam dan umatnya dan bukannya sebagai unsur untuk memecahbelahkan umat.

Ingatlah pesan Rasulullah SAW melalui sabdanya yang bermaksud: “Akan datang kepada kalian masa yang penuh dengan tipu daya; ketika itu orang akan mempercayai kebohongan dan mendustakan kebenaran. Mereka mempercayai pengkhianat dan tidak mempercayai pembawa kebenaran. Pada masa itu, ruwaibidhah akan berbicara. Rasulullah SAW ditanya: Apakah itu ruwaibidhah? Lalu Rasulullah menyebut: Ruwaibidhah adalah orang bodoh yang turut campur dalam urusan masyarakat luas.” (Hadis riwayat Ibnu Majah dari Abu Hurairah)

.

Oleh itu, langkah-langkah berikut perlu diberi perhatian iaitu:

 

Pertama: Tidak mudah menerima hasutan dan fitnah daripada musuh-musuh Islam dan pengkhianat negara bahkan semakin kuat kita bersatu mempertahankan dasar, kedaulatan dan prinsip demokrasi negara.

Kedua: Memelihara akhlak sebagai seorang muslim agar tidak mencaci maki, melakukan fitnah, menjatuhkan maruah lawan, menyakiti hati dan perasaan orang lain.

Dan ketiga: Menjauhi isu-isu sensitif yang boleh menimbulkan huru hara dan kekacauan yang akhirnya pasti menghancurkan agama negara tercinta

.

Dengan yang demikian, insya Allah kita pasti berjaya mencipta suatu umat yang terbaik demi kedaulatan negara tercinta dan untuk kelangsungan hidup anak cucu kita. Oleh itu, marilah kita menghayati prinsip demokrasi bernegara dan bermasyarakat berdasarkan nilai-nilai yang dituntut oleh Islam ke arah kesejahteraan agama, bangsa dan negara.

.

Mengakhiri khutbah pada minggu ini marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah Ali ‘Imran 3, ayat 103:

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّـهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّ‌قُوا ۚ وَاذْكُرُ‌وا نِعْمَتَ اللَّـهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُم بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنتُمْ عَلَىٰ شَفَا حُفْرَ‌ةٍ مِّنَ النَّارِ‌ فَأَنقَذَكُم مِّنْهَا ۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّـهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ

Maksudnya: “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya.”

.

 .

.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

“Kesahihan Pemerintah”

(26 April 2013 / 15 Jamadilakhir 1434H)

.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

.

Posted by; shafiqolbu

sign s

.

.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: