KJ: Paksi Perpaduan Ummah

بِسۡـــــــــمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِـــــــيمِ

اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ

.

Khutbah Jumaat: Paksi Perpaduan Ummah

kj pembuka 1

kj ma

kj pembuka 3

.

Sidang Jumaat Yang di Rahmati Allah,    

Marilah kita sama-sama mempertingkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala suruhan-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Mudah-mudahan dengan keimanan dan ketakwaan, kita beroleh rahmat dan keredhaan hidup di dunia dan di akhirat.  Tajuk khutbah pada hari ini ialah ” PAKSI PERPADUAN UMMAH “ .

.

.

Sidang Jumaat Yang di Rahmati Allah,

 

Kita amat beruntung kerana pemilihan kepimpinan yang menjadi paksi kekuatan ummah di negara ini berlaku secara aman dan licin. Pemilihan kepimpinan secara aman dianggap sebagai langkah bijak demi menjaga maslahah negara dan masa depan umat Islam. Proses yang telah selesai secara aman dan kita sebagai rakyat telahpun menunaikan tanggungjawab untuk memilih pemimpin melalui amalan demokrasi berlandaskan undang-undang.

 

Dalam proses pemilihan pemimpin pastinya ada yang menang dan ada yang kalah, yang menang bersyukur kegembiraan dan yang kalah akan kecewa seketika. Namun, harus diingat bagi yang menang mereka berkewajipan memikul tanggungjawab yang besar sebagai amanah untuk menunaikan  segala janji dengan adil dan saksama.

 

Manakala bagi pihak yang kalah semestinya bermuhasabah secara rasional serta tidak cuba mencetuskan perkara-perkara negatif di luar batas undang-undang negara. Percayalah sesebuah negara memerlukan kepada pemimpin bagi memimpin negara dan rakyatnya untuk kesempurnaan pentadbiraan agar menjadi lebih teratur dan berjaya dalam setiap bidang.

.

Dalam Islam kedudukan seseorang pemimpinitu terlalu mulia dan terlalu tinggi kerana merekalah paksi kepada perpaduan ummah. Percayalah bahawa sesuatu umat tidak akan terselamat daripada angkara perpecahan dan pertelagahan melainkan apabila mereka menyerahkan kepimpinan kepada seorang ketua yang dapat menyatukan mereka berdasarkan kebijaksanaannya.

 

Seorang ulama, Abu Abdullah menyatakan di dalam kitabnya Tahzib al-Risalah bahawa: ”Teraturnya urusan agama dan dunia adalah sesuatu yang dituntut dan ia tidak akan berlaku tanpa kewujudan pemerintah. kalaulah tidak wujudnya pemerintah, nescaya keadaan manusia akan menjadi kacau- bilau dan mereka akan saling bunuh membunuh antara satu sama lain.”

 

Justeru, sebagai orang yang beriman kita dituntut untuk mentaati pemimpin yang dipilih secara sah yang telah kita laksanakan semasa proses pilihanraya yang telah berlalu. Firman Allah SWT di dalam surah An-Nisa’ ayat 59:

 

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّـهَ وَأَطِيعُوا الرَّ‌سُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ‌ مِنكُمْ ۖ فَإِن تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُ‌دُّوهُ إِلَى اللَّـهِ وَالرَّ‌سُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ‌ ۚ ذَٰلِكَ خَيْرٌ‌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا ﴿٥٩﴾

 

Maksudnya: Wahai orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan Rasul dan kepada Ulil-Amri (pemerintah) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih dalam sesuatu perkara, maka kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul-Nya jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.

.

.

Sidang Jumaat Yang di Rahmati Allah,

 

Pemimpin sebagai paksi perpaduan ummah dapat dilihat  dalam  pendekatan yang telah dibawa oleh Rasulullah SAW semasa pemerintahannya. Baginda telah menunjukkkan kaedah dan cara menunaikan kewajipan terhadap agama, masyarakat dan negara dengan mengukuhkan perpaduan warga negara Madinah yang terdiri daripada pelbagai kaum, bangsa, agama dan keturunan.  

 

Baginda mengambil langkah mempersaudarakan umat Islam menerusi ikatan ukhuwwah sesama Islam. Kaum Aus dan Khazraj yang begitu lama bersengketa telah berjaya didamaikan. Rasulullah SAW  memperteguhkan kewajipan memelihara hubungan persaudaraan yang menjana kepada perpaduan dan kesatuan ummah.

Ini terbukti apabila Baginda ditanya oleh seorang sahabat sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Ayub al-Ansari dalam hadithnya yang bermaksud: …Ya!, Rasulullah SAW bersabda kepadaku, amal yang akan memasukkan aku ke dalam syurga. Maka sabda Rasulullah SAW: ‘Engkau beribadah kepada Allah SWT  dan tidak menasyrikkannya dengan sesuatu, mendirikan solat, membayar zakat dan menghubungkan persaudaraan.’”

 

Baginda  juga berupaya menukar gaya hidup masyarakat jahiliah daripada kufur kepada beriman, permusuhan kepada persaudaraan, kekejaman kepada kasih sayang, pemalas kepada bangsa yang rajin dan sebagainya.

.

.

Sidang Jumaat Yang di Rahmati Allah,

 

Berdasarkan kepada pemerhatian mimbar dengan senario politik semasa ini, maka kesimpulannya,  mimbar yang mulia ini ingin menyatakan bahawa umat Islam berkewajipan  menghayati semangat pepatah Melayu:  ’Bersatu teguh, Bercerai roboh’. Jangan kita merasa selesa di bumi sendiri sebagai pewaris kepada tanah air, kaum majoriti bersandarkan kepada kuasa  politik yang disifatkan semakin terhakis di sebabkan perbalahan sesama sendiri.

 

Ingatlah bahawa mimpi kita bukannya selalu bahagia tanpa kita mengambil langkah-langkah stategik dan langkah berani tanpa perpaduan sejati. Umat Islam di bimbangi sedang menghitung hari, berada di ambang untuk menghadapi nasib menjadi bangsa yang hina di negara sendiri.

.

Mungkin ada sesetengah daripada kita yang ingin melihat menang sorak tanpa memikirkan kampung lamanya mungkin tergadai. Janganlah kita memilih untuk ‘Berpatah Arang, Berkerat Rotan’, bergembira melihat yang kalah menjadi abu dan berpuas hati walaupun yang menang akan menjadi arang.

Kita seharusnya menghayati semangat Biduk Berlalu Kiambang Bertaut’.  Sebagai umat Islam juga  mimbar menyeru, marilah sama-sama kita menghayati wasiat Raja-Raja Melayu yang telah di sampaikan kepada kita sebelum merdeka dahulu,  yang menyeru agar umat Islam Melayu senantiasa  berpegang teguh dan bersatu padu jika ingin  hidup aman damai dan selamat sejahtera.

.

Umat Islam juga wajib mengambil iktibar dari peristiwa penyatuan yang di cerminkan oleh bangsa- bangsa lain dalam mempertahankan maruah dan kepentingan mereka.

 

Renungilah peristiwa Perang Ahzab yang  berlaku pada 7 Syawal  tahun ke 5 Hijrah,  telah memberi pengajaran yang besar  kepada kita dengan menyaksikan penyatuan golongan yang menentang Islam dalam memerangi Rasulullah SAW. Pengajaran besar  perang Ahzab menunjukkan kepada kita bahawa umat Islam pasti akan menghadapi pakatan musuh untuk menghancurkan Islam dengan apa cara sekalipun. 

 

Jika dahulu Madinah diserang daripada segenap arah, maka kita hari ini juga diserang dari pelbagai arah, samada daripada serangan fizikal hinggalah kepada serangan pemikiran, politik, ekonomi, budaya dan sebagainya. Ingatlah pahatan sejarah telah membuktikan kejatuhan kesultanan Melayu Melaka pada tahun 1511 di tangan Portugis adalah berpunca daripada perpecahan dan pengkhainatan umat Melayu, orang Islam yang bersekongkol dengan pihak musuh.

 

Oleh itu, mimbar merayu kepada sidang jemaah dan umat Islam sekalian untuk terus berfikir secara matang, jadikanlah sejarah bangsa kita sebagai tauladan, perkasakanlah perpaduan ummah melalui persaudaraan sesama Islam.

.

Yakinlah kekuatan utama umat Islam ialah dengan mengekalkan perpaduan antara kita. Walaupun kita diciptakan oleh Allah SWT dengan kriteria dan watak yang berbeza-beza.Kita berbeza dari segi adat, budayadan cara hidup serta amalan politik. Namun kita dituntut untuk bersatu padu demi agama, bangsa dan negara.

Allah SWT memerintahkan kita untuk bersatu dan berpegang teguh dengan agama Allah sebagaimana firman-Nya dalam surah Ali-Imran ayat 103:

 

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّـهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّ‌قُوا ۚ وَاذْكُرُ‌وا نِعْمَتَ اللَّـهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُم بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنتُمْ عَلَىٰ شَفَا حُفْرَ‌ةٍ مِّنَ النَّارِ‌ فَأَنقَذَكُم مِّنْهَا ۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّـهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ ﴿١٠٣﴾

 

Maksudnya : “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang Islam yang bersaudara. dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya.”

.

Dan Sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya : “Dan demi nyawaku dalam genggaman-Nya, kamu tidak akan masuk syurga sehingga kamu beriman sepenuhnya dan kamu tidak beriman sehingga kamu sayang menyayangi antara kamu, apakah kamu suka aku tunjukkan sesuatu yang mana jika kamu membuatnya nescaya kamu akan berkasih sayang, ia adalah memberi salam di kalangan kamu.” (Riwayat Muslim)

.

.

Sidang Jumaat Yang di Rahmati Allah,

 

Selari dengan keputusan pilihanraya ini yang memberi ruang besar untuk kita berfikir dan bermuhasabah tentang masa depan umat Islam dan negara yang tercinta ini, Justeru, mimbar  menyeru umat Islam sekalian, marilah kita mengukuhkan perpaduan dengan memulihkan dan mengeratkan hubungan sesama kita serta mengamalkan sikap bersederhana dalam apa jua perkara dan tindakan. 

 

Buanglah yang keruh ambillah yang jernih. Elakkan daripada terlibat dengan sebarang tindakan yang boleh mengugat atau mencemar perpaduan rakyat di negara ini. Ingatlah bahawa agenda utama kita ialah menumpukan kembali kepada pembangunan bangsa dan negara, dengan tanpa sebarang ganguan yang boleh menjejaskan kestabilan negara.Imej Malaysia sebagai sebuah negara Islam contoh perlulah dipelihara dan diperkasa agar himpunan rahmat dan nikmat yang Allah SWT anugerahkan kepada kita dapat dikongsi bersama.

.

Marilah kita memikul tanggungjawab bersama mempertahan, memelihara dan menjaga maruah agama dan tanah air dengan menanam rasa kasih dan setia kepada pemimpin yang kita pilih ini secara sah ini. Percayalah bahawa agama Islam sentiasa menuntut umatnya agar mentaati  kepada pemimpin dan negara kerana ia sebahagian daripada cabang keimanan.

.

Al-Imam Abu Bakar al-Turtusyi pernah menyatakan:  ”Taat kepada pemerintah adalah petunjuk bagi orang yang menjadikan cahayanya sebagai penyuluh, tempat berlindung bagi mereka yang memeliharanya. Orang yang terkeluar dari sempadan taat, tersingkir ia daripada perlindungan Allah, terlepas daripada jaminannya. Taat kepada pemerintah adalah tali Allah yang kukuh, agamanya yang lurus, perisai yang melindungi dan pemeliharaan yang tinggi.”

.

Ingatlah pesan Imam al-Ghazali bahawa:  ”Sesuatu umat itu perlu mantap pegangan agamanya. Tidak sempurna agama melainkan seiring dengan dunia. Agama itu tiang utama, sementara kekuasaan itu adalah penjagaannya. Sesuatu yang tidak bertiang, pasti akan runtuh dan sesuatu yang tiada penjaga, pasti akan musnah dan hilang.”

.

Sedarlah bahawa Malaysia adalah negara berdaulat dan rakyatnya amat bertuah. Oleh itu, menjadi kewajipan kita sebagai rakyat memelihara kedaulatan negara ini. Ingatlah, inilah tanah air dan tanah tumpah darah kita ini yang menjadi tempat tinggal, punca rezeki, dan nadi kehidupan.  Wujudkanlah perpaduan  antara kita, mudah-mudahan dengan cara ini agama dan negara kita senantiasa terbela dan terpelihara.  Semoga Malaysia yang tercinta ini terus maju, aman dan damai, dan menjadi payung serta pelindung kepada Islam dan umatnya.

.

Mengakhiri khutbah, marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-Hujuraat ayat 10:

 

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ ۚ وَاتَّقُوا اللَّـهَ لَعَلَّكُمْ تُرْ‌حَمُونَ ﴿١٠﴾

 

Maksudnya : Sebenarnya orang yang beriman itu bersaudara maka damaikanlah di antara dua saudara kamu itu; dan bertakwalah kepada Allah agar kamu beroleh rahmat.”

.

penutup khutbah jumaat

.

.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Paksi Perpaduan Ummah

(10 Mei 2013 / 29 Jamadilakhir 1434H)

.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

.

Posted by; shafiqolbu

sign s.

.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: