KJ: Guru Pembina Negara Bangsa

بِسۡـــــــــمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِـــــــيمِ

اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ

Selamat Hari Guru 2013 .

Khutbah Jumaat: “Guru Pembina Negara Bangsa”

kj pembuka 1

kj guru 1

kj pembuka 3

.

Muslimin yang dirahmati Allah,

 

Marilah kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah SWT. dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita tergolong di kalangan orang yang mendapat keberkatan di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah bertajuk: “GURU PEMBINA NEGARA BANGSA”.

.

Muslimin Yang Berbahagia,

 

Islam mengajar umatnya supaya memandang tinggi jasa dan pengorbanan seseorang. Antara jasa dan pengorbanan ialah tugas seorang guru yang mana sangat besar baktinya dalam membangun dan mendidik generasi ke arah menjadikan generasi berpendidikan dan berakhlak mulia.

.

Pada 16 Mei setiap tahun, negara kita akan menyambut Hari Guru. Sambutan ini bertujuan untuk meraikan para pendidik di negara kita khususnya yang telah bertungkus-lumus menggunakan kudrat yang ada, mencurahkan ilmu pengetahuan kepada anak-anak didik mereka. Mereka lakukan demi melahirkan generasi yang berilmu pengetahuan dalam membina sebuah negara yang maju dan makmur.

.

Sesungguhnya ilmu pengetahuan adalah suatu yang sangat penting dalam kehidupan manusia. Oleh sebab itu, Allah SWT telah mewajibkan kita menuntut ilmu sebagaimana diriwayatkan oleh Ibnu Majah bahawa Rasulullah SAW  telah bersabda:

kj guru 2Mafhumnya: Menuntut ilmu adalah satu kefardhuan ke atas setiap muslim. (Riwayat Ibn Majah)

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

 

Tidak dapat dinafikan lagi bahawa guru merupakan orang yang memainkan peranan penting dalam penyebaran ilmu pengetahuan. Merekalah yang pertama yang mengenalkan huruf abjad dan segala ilmu pengetahuan kepada kita. Daripada hasil usaha merekalah, lahirnya bangsa yang berilmu dan berpengetahuan luas, tugas mereka tidak terbatas hanya mengajar di bilik darjah sahaja, malah mempunyai tanggungjawab dalam membentuk akhlak masyarakat.

.

Yakinlah tanpa ilmu pengetahuan, hidup manusia pasti dalam kegelapan kerana ilmu itu cahaya yang menerangi kehidupan. Bayangkanlah tanpa ilmu, kehidupan manusia tidak akan maju dan tanpanya juga manusia tidak dapat membezakan antara kebenaran dengan kebatilan. Paling penting, dengan ilmu sahajalah seseorang itu akan terselamat daripada tipu daya syaitan.

.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 269:

يُؤْتِى ٱلْحِكْمَةَ مَن يَشَآءُ ۚ وَمَن يُؤْتَ ٱلْحِكْمَةَ فَقَدْ أُوتِىَ خَيْرًۭا كَثِيرًۭا ۗ وَمَا يَذَّكَّرُ إِلَّآ أُو۟لُوا۟ ٱلْأَلْبَٰبِ

Maksudnya: Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan sesiapa yang diberikan Hikmat itu maka sungguh ia telah berikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang yang menggunakan akal fikirannya”.

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

 

Sebagai seorang guru bukan sahaja menjadi tanggungjawab menyampaikan ilmu kepada anak didiknya, malah yang lebih penting ialah membina negara bangsa. Persoalan besar timbul di sini apakah yang di maksudkan dengan pembinaan  negara bangsa. Secara ringkasnya, mimbar ingin menyatakan bahawa pembina negara bangsa berkait rapat dengan pendidikan yang menitikberatkan semangat patriotik, jati diri dan  perasaan cinta yang kuat terhadap tanah air.

.

Lihatlah kepada sirah Rasulullah SAW sebagai contoh yang terbaik. Baginda sangat terkenal sebagai seorang negarawan yang bersemangat patriotisme yang sentiasa menyeru umatnya agar cintakan kepada negara. Rasulullah SAW sendiri sebagai pemimpin umat dan bertindak pula sebagai ketua negara telah memberi penekanan khusus dalam membimbing umatnya dengan cara menggesa mereka sentiasa berakhlak mulia, taat beribadah kepada Allah, taat kepada pemimpin dan mencintai negara. Inilah contoh pimpinan yang sebenar kerana bimbingan ini akan menentukan mereka menjadi manusia yang berguna dan bertanggungjawab kepada agama, bangsa dan negara.

 

Sabda Rasulullah SAW:

kj guru 3Maksudnya: Sebaik-baik manusia ialah orang-orang yang bermanfaat kepada orang lain. (Riwayat Al-Tabarani)

.

Hadith ini menjelaskan bahawa manusia yang baik menurut pandangan Islam ialah orang yang hidupnya menggunakan sepenuhnya potensi yang ada untuk memajukan keluarga, masyarakat, bangsa, agama dan negara kerana inilah jalan hidup yang dituntut oleh Allah. Mimbar amat yakin bahawa gurulah yang berperanan besar dalam membentuk generasi ini kerana setiap didikan dan teguran senantiasa dipatuhi dan dihormati oleh masyarakat.

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

 

Sudah pasti di dalam membina negara bangsa  ianya sangat berkait rapat dengan jati diri, perasaan kasih kepada negara serta pemimpin secara menyeluruh. Berasaskan kepada dalil-dalil yang jelas daripada al-Quran dan hadith Rasulullah SAW, para ulama telah bersepakat mengatakan bahawa taat kepada pemerintah adalah fardu kepada setiap muslim manakala menderhaka merupakan satu dosa besar.

.

Rasulullah SAW bersabda dengan maksudnya: ”Taatlah kepada pemerintah kamu walau bagaimana keadaannya, jika mereka perintahkan kamu melakukan perkara yang sesuai dengan ajaran-Ku, maka mereka beroleh pahala, dan kamu juga diberi pahala dengan mentaati mereka. Jika mereka perintahkan kamu melakukan perkara yang tidak sesuai dengan ajaran-Ku, maka dosanya ke atas mereka dan kamu terlepas daripada dosa.” (Riwayat at-Tabarani)

.

Berdasarkan kepada pandangan ulama’ antaranya al-Mawardi di dalam kitabnya al-Ahkam al-Sultaniah bahawa perintah mentaati pemerintah termasuk di dalamnya mentaati para petugas yang dilantik untuk menjalankan tanggungjawab bagi pihak pemerintah seperti tugas menjaga keamanan dan keselamatan yang diamanahkan kepada pasukan polis negara.

.

Menurut pandangan ulama’ seperti Imam Nawawi bahawa: ”Menderhaka kepada pemerintah dan memerangi mereka, maka hukumnya haram.

 

Termasuk dalam perbuatan derhaka ialah membantah tanpa mengikut saluran yang sah keputusan pemerintah yang dibuat berasaskan kuasa yang diberikan kepada mereka dalam menjalankan urusan pentadbiran negara. Sedarlah jika ada antara kita yang telah tersasar, kembalilah ke pangkal jalan. Percayalah bantahan yang berterusan kepada pemerintah negara yang telah terbukti mampu memelihara agama Islam dan keamanan dibimbangi hanya akan mengundang bala dan murka dari Allah SWT.

.

Justeru, menjadi tanggungjawab mimbar mengingatkan sidang jumaat dan umat  Islam sekalian bahawa semangat membina negara bangsa khususnya kepada  golongan pelajar merupakan cerminan masa depan sesebuah negara. Wahai jemaah dan umat Islam sekalian, Ingatlah bahawa golongan ini meliputi kumpulan sasar yang besar dan meluas. Oleh itu, mereka begitu penting dalam membawa perubahan masa depan sesebuah negara daripada negatif kepada positif, lemah kepada kuat, mundur kepada maju dan terbaik kepada cemerlang.

.

Jika mereka tidak dididik dan diasuh dengan betul dan diberikan maklumat yang tepat dan benar, pastinya sesebuah negara itu akan menempah kehancuran. Justeru, kepada para guru mereka dituntut segala jiwa dan raga demi membina negara bangsa dengan bertindak sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Ingatlah bahawa amanah dan peranan guru bukan hanya sekadar mengajar, malah turun berperanan untuk melahirkan pelajar bukan sahaja hebat inteleknya, malah mempunyai jati diri dan semangat patriotik yang jitu. Itulah antara perkara yang ditekankan di dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

 

Mengakhiri khutbah, bersempena dengan sambutan Hari Guru pada tahun ini yang bertemakan; “Guru Malaysia: Satu Aspirasi Satu Agenda”, mimbar menyeru marilah kita sama-sama berdoa mudah-mudahan anak bangsa kita sentiasa diberikan taufik hidayah oleh Allah SWT dan seterusnya berjaya memainkan peranannya yang sebenar dalam memacu pembangunan negara bangsa yang maju dan dihormati lagi dikasihi Allah SWT.

 

Marilah sama-sama kita menghargai jasa dan pengorbanan guru-guru melalui tindakan berikut;

 

Pertama: Mendoakan kebahagian buat guru-guru, sama ada yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia.

Kedua: Menziarahi guru-guru untuk mengeratkan silaturrahim.

Ketiga: Menghulurkan apa juga bentuk sumbangan mengikut kemampuan masing-masing kepada institusi pendidikan.

Keempat: Berkatalah dengan lemah-lembut dan jangan sekali-kali menyakiti hati guru.

Kelima: Ucapkanlah terima kasih kepada guru-guru dan semua insan yang pernah menabur bakti dan budi kepada kita.

.

Buat para guru pula, mimbar berpesan teruslah beristiqomah dengan penuh keikhlasan dan kesabaran dalam menyampaikan ilmu kepada anak bangsa, mudah-mudahan akan diberi ganjaran oleh Allah SWT. Sempena dengan sambutan Hari Guru ini, boleh diibaratkan sebagai satu cara untuk para guru bermuhasabah dan menilai kembali apa yang telah dilakukan di sepanjang perkhidmatan, adakah telah mencapai matlamat dengan sempurna atau pun tidak.

.

Marilah kita sama-sama  memanjatkan doa kehadrat Allah SWT supaya matlamat pemerintah untuk melihat kita dan generasi akan datang memahami tanggungjawab dalam membina negara bangsa terlaksana dengan sempurna melalui pendidikan berkualiti yang disampaikan oleh para guru yang mengaplikasikan semangat pembina negara bangsa dalam diri mereka.

.

Mengakhiri khutbah pada minggu ini marilah kita merenung firman Allah SWT di dalam surah al-Mujadalah ayat 11:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِذَا قِيلَ لَكُمْ تَفَسَّحُوا۟ فِى ٱلْمَجَٰلِسِ فَٱفْسَحُوا۟ يَفْسَحِ ٱللَّهُ لَكُمْ ۖ وَإِذَا قِيلَ ٱنشُزُوا۟ فَٱنشُزُوا۟ يَرْفَعِ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ مِنكُمْ وَٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْعِلْمَ دَرَجَٰتٍۢ ۚ وَٱللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌۭ

Maksudnya:Wahai orang yang beriman! Apabila kamu diminta memberi lapang dalam majlis, maka lapangkanlah, nescaya Allah akan melapangkan untuk kamu. Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan orang yang beriman di antara kamu, dan juga orang yang diberi ilmu pengetahuan akan darjat. Dan Allah Maha Mengetahui tentang apa yang kamu lakukan.

 .

.

.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

“Guru Pembina Negara Bangsa”

(17 Mei 2013/7 Rejab 1434H)

.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

.

Posted by; shafiqolbu

sign s.

.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: