KJ: DYMM Di Pertuan Agong Paksi Kekuatan Ummah

بِسۡـــــــــمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِـــــــيمِ

اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ

DYMM Di Pertuan Agong.

Khutbah Jumaat: “Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong Paksi Kekuatan Ummah”

kj agong 1

.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Marilah kita sama-sama mempertingkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala suruhan-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Mudah-mudahan dengan keimanan dan ketakwaan, kita beroleh rahmat dan keredhaan Allah SWT di dunia dan di akhirat. Sempena dengan Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong pada 1 Jun 2013 maka tajuk khutbah pada hari ini ialah, “ Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong Paksi kekuatan Ummah”.

.

.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Sebagai umat Islam di Malaysia, kita bersyukur kerana struktur kepimpinan di Negara kita berada dalam keadaan stabil dan jauh lebih baik dari sesetengah Negara umat Islam lain yang sentiasa bergolak dan sebahagiannya dalam keadaan huru-hara. Sistem pemerintahan Raja berperlembagaan yang menjadi paksi kepada kekuatan dan perpaduan ummah telah sebati di kalangan rakyat di Negara ini. Raja berperlembagaan adalah menjadi lambang sebuah Negara yang berdaulat, bebas dan merdeka serta merupakan lambang perpaduan rakyat yang berbilang kaum. Justeru berdasarkan kepada Perlembagaan Persekutuan bahawa di Negara kita, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong merupakan pemerintah tertinggi, sebagai Ketua Negara dan Baginda juga sebagai Ketua Agama Islam.

.

Pemilihan dan perlantikan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong terletak pada kuasa Majlis Raja-Raja yang telah ditubuhkan mengikut perkara 38 Perlembagaan Persekutuan. Justeru pemilihan Baginda sebagai ketua Negara dan agama menuntut kepada penyempurnaan tanggungjawab yang amat besar. Ini terkandung di dalam lafaz sumpah jawatan Baginda Wallahi, Wabillahi, Watallahi yang dapat dirungkaikan dalam lima kata kunci iaitu undang-undang, perlembagaan Negeri, Agama Islam, adil dan aman. Sebagai Ketua Negara Baginda hendaklah melaksanakan pemerintahan dengan berlaku adil kepada semua rakyat tanpa memandang kepada status seseorang. Usaha mewujudkan keadilan kepada manusia sejagat adalah sebahagian sifat ketakwaan.

Firman Allah dalam surah al-Maaidah ayat 8:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ كُونُوا۟ قَوَّٰمِينَ لِلَّهِ شُهَدَآءَ بِٱلْقِسْطِ ۖ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَـَٔانُ قَوْمٍ عَلَىٰٓ أَلَّا تَعْدِلُوا۟ ۚ ٱعْدِلُوا۟ هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ ۖ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرٌۢ بِمَا تَعْمَلُونَ

Maksudnya: Wahai orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan janganlah sekali-kali kebencian kamu terhadap suatu kaum itu mendorong kamu untuk tidak berlaku adil. Hendaklah kamu berlaku adil kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan mendalam akan apa yang kamu lakukan.

.

.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Mimbar ingin menyatakan bahawa secara tersiratnya pengekalan Institusi Raja di Negara ini adalah satu penerusan mengekalkan identiti sebuah kerajaan melayu Islam di tanah air sebagai warisan bangsa. Institusi ini merupakan sumber kekuatan rakyat dan tempat rakyat mencari perlindungan, keadilan, memberikan kesetiaan, kecintaan dan taat setia. Walaupun Negara kita begitu unik dengan berlatar belakang penduduk yang berbilang kaum dan agama, namun proses perpaduan ummah telah memberikan impak besar kepada pembentukan masyarakat.

Mimbar percaya bahawa proses mengurus krisis dan pertelagahan dalam masyarakat yang berlangsung dengan pantas adalah berdasarkan kewibawaan dan kebijaksanaan pemerintahan Raja-Raja Melayu.  Baginda dalam menyempurnakan amanah tersebut akan memastikan perpaduan ummah terpelihara, kesucian Agama Islam terjaga, syiar Islam terus dikembangkan dan umat Islam terus dilindungi dari sebarang bentuk pencerobohan .

.

Bagi mengekalkan suasana aman damai ini, marilah kita sebagai rakyat Malaysia hidup penuh mahabbah serta bersatupadu dengan menjunjung institusi Raja berperlembagaan. Elakkan daripada terlibat dengan sebarang tindakan yang boleh menggugat atau mencemar institusi Raja-Raja serta mempertikai kesucian Islam sebagai agama rasmi di negara ini. Janganlah ada dari kalangan kita yang sanggup menggadai maruah dan kepentingan agama dan bangsa kerana kepentingan diri dan ideologi masing-masing serta ada yang sanggup bersubahat dengan pihak-pihak tertentu untuk mempertikaikannya atas alasan bagi mempertahankan hak asasi pihak lain.

.

Ingatlah bahawa musuh-musuh Islam senantiasa berusaha memecah-belahkan umat Islam, mereka sedar kekuatan Islam selama ini banyak bergantung kepada perpaduan yang terbina erat. Konsep pecah dan perintah menjadi alat musuh Islam untuk berkuasa, mengeksploitasi, menjajah dan menindas mana-mana umat yang lemah. Jika umat Islam hilang integriti, hilang maruah dan diperalatkan pihak lain, maka akhirnya umat Islam akan menerima nasib yang malang lagi hina di negara sendiri.

Justeru, bagi mengekalkan keadaan dan suasana ini mimbar menyeru kepada semua jemaah dan umat Islam sekalian, marilah kita sebagai rakyat jelata bersatu padu mendokong dan menjunjung institusi Raja Berperlembagaan. Elakkan diri daripada terlibat dengan sebarang tindakan yang boleh menggugat atau mencemar institusi Raja-Raja serta mempertikai perkara-perkara yang telah termaktub di dalam perlembagaan yang telah dipersetujui termasuklah kesucian Agama Islam sebagai Agama Rasmi di Negara ini.

.

.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Mimbar ingin menegaskan kepada jemaah dan seluruh umat Islam sekalian bahawa kedaulatan Islam dan perpaduan ummah menjadi tonggak kepada kekuatan kepimpinan. Oleh itu, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara dalam menjalankan bidang kuasa untuk menjaga Negara dan kesucian Agama Islam amatlah dikagumi oleh rakyat jelata. Sekalian rakyat merafak sembah dan menjunjung setinggi tinggi kasih atas keprihatinan Baginda dalam memartabatkan agama, memajukan Negara dan membantu kehidupan rakyat jelata agar dapat hidup dengan aman dan harmoni. Maka, menjadi tanggungjawab rakyat jelata memberikan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Baginda sebagai pemerintah Negara. Lebih-lebih lagi kita sebagai umat Islam telah diajar supaya taat dan patuh kepada pemerintah sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah an-Nisa’ ayat 59:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ أَطِيعُوا۟ ٱللَّهَ وَأَطِيعُوا۟ ٱلرَّسُولَ وَأُو۟لِى ٱلْأَمْرِ مِنكُمْ ۖ فَإِن تَنَٰزَعْتُمْ فِى شَىْءٍۢ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلْءَاخِرِ ۚ ذَٰلِكَ خَيْرٌۭ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا

Maksudnya: Wahai orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul dan juga taatlah kamu kepada Ulil-Amri dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul-Nya jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.

Dan sabda Rasulullah SAW:

kj agong 1a

Mafhumnya: Sesiapa yang mentaatiku, maka sesungguhnya dia telah mentaati Allah. Dan sesiapa yang mengingkariku, maka sesungguhnya dia telah mengingkari Allah. Juga sesiapa mentaati pemerintahku, maka sesungguhnya dia juga mentaatiku, dan sesiapa yang mengingkari pemerintahku, maka sesungguhnya dia telah mengingkariku.” (Hadith al- Bukhari)

.

.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Akhir sekali, mimbar Jumaat pada hari ini menyeru para jemaah dan rakyat Malaysia bersempena dengan Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Mu’tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Al-Haj Abdul Halim Mu’adzam Shah ibni Al-Marhum Sultan Badalishah pada 1 Jun 2013, marilah sama-sama kita memberi sepenuh ketaatan dan menjunjung setinggi tinggi kasih kepada Baginda sepanjang takhta pemerintahan. Marilah sama-sama kita mendoakan semoga Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong serta Putri-Putri dan Kerabat-Kerabat Di Raja sekalian sentiasa di bawah payung rahmat Ilahi, diteguh keimanan, dilanjutkan usia, dikurniakan kesihatan dan kesejahteraan.

.

Semoga Baginda dikurniakan taufik dan hidayah serta kekuatan untuk meneruskan pemerintahan Negara. Kita doakan juga agar Negara dikekalkan nikmat kestabilan politik dan keamanan, dijauhkan dari segala perbuatan jahat dan fitnah yang boleh membawa malapetaka dan kehancuran. Tanamkanlah rasa kasih sayang di antara rakyat yang berbilang kaum, kukuhkan perpaduan di kalangan mereka semoga sentiasa hidup aman damai, menikmati keadilan, kemakmuran dan keselamatan sepanjang zaman. Justeru kita sebagai rakyat Negara ini perlulah bersatu padu dan berpegang teguh bahawa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong adalah paksi kekuatan ummah di Negara ini.

 .

kj agong 2

.

.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

“Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong Paksi Kekuatan Ummah”

( 31 Mei 2013 / 21 Rejab 1434H )

.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

.

Posted by; shafiqolbu

sign s

.

.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: