Beristiqamah Beramal Soleh Selepas Ramadhan

بِسۡـــــــــمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِـــــــيمِ

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

images (5) .

Beristiqamah Beramal Soleh ~ Nasihat Selepas Ramadhan

.

Bulan yang penuh keberkatan telah berlalu. Bulan yang akan menjadi saksi yang akan membela setiap insan yang bersungguh-sungguh dalam mengerjakan ketaatan kepada Allah سبحانه وتعالى atau bakal menjadi saksi yang akan menghina sesiapa yang memandang remeh bulan Ramadhan.

Oleh kerana itu, hendaknya kita secara individu membuka pintu muhasabah terhadap diri kita masing-masing.

• Amalan apakah yang kita lakukan di bulan tersebut?

• Apakah faedah dan hasil yang kita ambil pada bulan Ramadhan tersebut?

• Apakah pengaruh bulan Ramadhan tersebut terhadap jiwa, akhlak dan perilaku kita?

.

.

Keadaan Salafus Soleh Selepas Ramadhan

.

Soalan yang sukar dijawab oleh kebanyakan orang adalah, “Setelah Ramadhan berlalu, sudahkah kita menunaikan ibadah-ibadah yang akan memudahkan amalan kita di bulan Ramadhan diterima di sisi-Nya dan sudahkah kita bertekad untuk meneruskan berbagai amalan ibadah yang telah kita giatkan di bulan Ramadhan?”

.

Tidakkah kita meneladani generasi sahabat (salafus soleh), di mana hati mereka merasa sedih, seiring berlalunya Ramadhan. Mereka merasa sedih kerana khuatir bahawa amalan yang telah mereka lakukan di bulan Ramadhan tidak diterima oleh Allah سبحانه وتعالى . Sebahagian ulama salaf mengatakan,

كَانُوا يَدْعُوْنَ اللهَ سِتَّةَ أَشْهُرٍ أَنْ يَبْلُغَهُمْ شَهْرَ رَمَضَانَ ثُمَّ يَدْعُوْنَ اللهَ سِتَّةَ أَشْهُرٍ أَنْ يَتَقَبَّلَهُ مِنْهُمْ

“Mereka (para sahabat) berdoa kepada Allah selama 6 bulan agar mereka dapat bertemu bulan Ramadhan. Kemudian mereka pun berdoa selama 6 bulan agar amalan yang telah mereka kerjakan diterima oleh-Nya.”

(Lathaaiful Ma’arifhal. 232).

.

Oleh kerana itu, para salafus soleh sentiasa menumpukan perhatian dalam menyempurnakan dan menekuni amalan yang mereka lakukan kemudian selepas itu mereka memfokuskan perhatian agar amalan mereka diterima kerana khuatir amalan tersebut ditolak.

‘Ali bin Abi Talib radliallahu’ anhu mengatakan,

كُوْنُوْا لِقَبُوْلِ اْلعَمَلِ أَشَدَّ اهْتِمَامًا مِنْكُمْ بِاْلعَمَلِ أَلَمْ تَسْمَعُوْا اللهَ عَزَّ وَ جَلَّ يَقُوْلُ : إِنَّمَا يَتَقَبَلُ اللهُ مِنَ اْلمُتَّقِيْنَ

“Hendaklah kamu lebih memperhatikan bagaimana agar amalan kamu diterima daripada hanya sekadar beramal. Tidakkah kamu menyemak firman Allah ‘azza wa jalla,

[إِنَّمَا يَتَقَبَلُ اللهُ مِنَ اْلمُتَّقِيْنَ ] “Sesungguhnya Allah hanya menerima (amalan) dari orang-orang yang bertaqwa.” (Al Maaidah: 27).”

(Lathaaiful Ma’arif: 232).

.

Demikianlah sifat yang tertanam dalam diri mereka. Mereka bukanlah golongan yang merasa puas dengan amalan yang telah dilakukan dan mereka tidaklah termasuk ke dalam golongan yang tertipu akan pelbagai amalan yang telah dilakukan. Akan tetapi mereka adalah kaum yang sentiasa merasa bimbang dan takut bahawa amalan yang telah mereka lakukan justeru akan ditolak oleh Allah سبحانه وتعالى kerana adanya kekurangan. Demikianlah sifat seorang mukmin yang mukhlis dalam beribadah kepada Tuhannya.

Allah سبحانه وتعالى telah menyebutkan ciri-ciri ini dalam firman-Nya;

وَالَّذِينَ يُؤْتُونَ مَا آتَوْا وَقُلُوبُهُمْ وَجِلَةٌ أَنَّهُمْ إِلَى رَبِّهِمْ رَاجِعُونَ ٦٠

“Dan orang-orang yang memberi apa yang mereka berikan sedang hati mereka gementar kerana mereka yakin akan kembali kepada Tuhan mereka.”

(Surah Al Mukminun: Ayat 60).

.

Ummul Mukminin, ‘Aisyah radliallahu’ anha ketika mendengar ayat ini, beliau berasa hairan kerana tabiat semulajadi manusia selepas melakukan suatu amal soleh, jiwa mereka merasa senang. Namun dalam ayat di atas, Allah سبحانه وتعالى menyatakan sesuatu kaum yang melakukan amalan soleh tetapi hati mereka tetap merasa takut.

Maka ‘Aisyah radliallahu’ anha pun bertanya kepada Rasulullah ﷺ;

أَهُمُ الَّذِينَ يَشْرَبُونَ الْخَمْرَ وَيَسْرِقُونَ

“Apakah mereka orang-orang yang meminum arak dan mencuri?”

Lalu Rasulullah ﷺ pun menjawab;

لَا يَا بِنْتَ الصِّدِّيقِ وَلَكِنَّهُمْ الَّذِينَ يَصُومُونَ وَيُصَلُّونَ وَيَتَصَدَّقُونَ وَهُمْ يَخَافُونَ أَنْ لَا يُقْبَلَ مِنْهُمْ أُولَئِكَ الَّذِينَ
 يُسَارِعُونَ فِي الْخَيْرَاتِ

“Tidak! Wahai ‘Aisyah. Mereka adalah orang-orang yang berpuasa, menegakkan solat dan bersedekah akan tetapi mereka merasa takut amalan yang telah mereka kerjakan tidak diterima di sisi Allah. Mereka itulah golongan yang sentiasa berlumba-lumba dalam mengerjakan kebajikan.”

(Hadis Riwayat At-Tirmidzi dan Imam Al Albani).

.

.

Beristiqamah Dalam Beramal Soleh

.

Sebahagian orang bijak mengatakan,

مِنْ ثَوَابِ الْحَسَنَةِ اَلْحَسَنَةُ بَعْدَهَا وَمِنْ عُقُوْبَةِ السَّيِّئَةِ اَلسَّيِّئَةُ بَعْدَهَا

“Di antara balasan bagi amalan kebaikan adalah amalan kebaikan yang ada sesudahnya. Manakala hukuman bagi amalan yang buruk adalah amalan buruk yang ada sesudahnya.”

(Al Fawaa-id hal. 35)

.

“Oleh kerana itu sesiapa mengerjakan kebaikan kemudian meneruskannya dengan kebaikan lain, maka hal itu merupakan tanda atas terkabulnya amal pertama. Demikian juga sebaliknya, jika seorang melakukan suatu kebaikan lalu diikuti dengan amalan yang buruk, maka hal itu merupakan tanda tertolaknya amal yang pertama.” (Lathaaiful Ma’arif hal. 244).

.

Meneruskan pelbagai amalan yang telah digalakkan di bulan Ramadhan, menandakan diterimanya puasa Ramadhan kerana apabila Allah سبحانه وتعالى menerima amal seorang hamba, pasti Dia menolongnya dalam meningkatkan perbuatan baik sesudahnya.

Firman Allah سبحانه وتعالى ;

فَأَمَّا مَنْ أَعْطَىٰ وَاتَّقَىٰ ﴿٥﴾ وَصَدَّقَ بِالْحُسْنَىٰ ﴿٦﴾ فَسَنُيَسِّرُهُ لِلْيُسْرَىٰ ﴿٧ 

“Adapun orang yang memberikan apa yang ada padanya ke jalan kebaikan dan bertaqwa (mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan segala laranganNya); Serta ia mengakui dengan yakin akan perkara yang baik; Maka sesungguhnya Kami akan memberikannya kemudahan untuk mendapat kesenangan (Syurga).​​”

 (Surah Al-Lail: Ayat 5-7).

.

Termasuk sebahagian ungkapan rasa syukur seorang hamba atas berbagai nikmat yang telah dianugerahkan kepadanya adalah dengan terus menggalakkan pelbagai amalan soleh yang telah ia lakukan setelah Ramadhan. Tetapi jika ia menggantinya dengan perbuatan maksiat, maka ia termasuk kelompok orang yang membalas kenikmatan dengan kekufuran. Apabila ia berniat ketika melakukan puasa untuk kembali melakukan maksiat lagi, maka puasanya tidak akan terkabul, ia bagaikan orang yang membina sebuah bangunan megah lantas menghancurkannya kembali.

Allah سبحانه وتعالى  berfirman;

وَلا تَكُونُوا كَالَّتِي نَقَضَتْ غَزْلَهَا مِنْ بَعْدِ قُوَّةٍ أَنْكَاثًا 

“Dan janganlah kamu seperti seorang perempuan yang menguraikan satu persatu benangnya yang sudah dipintalnya, sesudah ia selesai memintalnya kuat teguh.”

(Surah An-Nahl: Ayat 92).

.

.

Amalan Soleh Selepas Ramadhan

.

Walaupun bulan Ramadhan al-Mubarak telah berakhir, namun amalan seorang mukmin tidak akan berakhir sebelum ajal datang menjemput.

Allah سبحانه وتعالى  berfirman,

وَاعْبُدْ رَبَّكَ حَتَّىٰ يَأْتِيَكَ الْيَقِينُ ﴿٩٩

“Dan sembahlah Tuhanmu, sehingga datang kepadamu (perkara yang tetap) yang diyakini (ajal).”

(Surah Al-Hijr: Ayat 99).

.

Jika bulan Ramadhan telah berlalu, maka seseorang mukmin tidak akan terputus dalam melakukan ibadah puasa, kerana sesungguhnya puasa itu terus disyari’atkan sepanjang tahun. Seorang mukmin masih boleh melakukan pelbagai macam amalan puasa selepas Ramadhan. Diantaranya adalah puasa enam hari di bulan Syawal.

Rasulullah ﷺ bersabda;

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ

“Sesiapa yang mengerjakan puasa Ramadhan, kemudian dilanjutkan dengan enam hari puasa di bulan Syawwal, maka itu adalah seperti puasa sepanjang tahun.”

(Hadis Riwayat Muslim r.a.).

.

Demikian jugs, seseorang mukmin masih boleh mengerjakan puasa sunat sebanyak tiga hari di setiap bulan. Rasulullah ﷺ bersabda,

ثَلاَثٌ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ ، وَرَمَضَانُ إِلىَ رَمَضَانَ فَهَذَا صِيَامُ الدَّهْرِ

“Tiga hari (puasa) setiap bulan, puasa Ramadhan ke Ramadhan berikutnya, maka ini adalah seperti puasa sepanjang zaman.”

(Hadis Riwayat Al Baihaqi).

.

Begitu juga seseorang mukmin masih boleh mengerjakan puasa Isnin-Khamis. Dan masih banyak puasa sunat yang lain yang boleh dilakukan seorang mukmin.

Jika amalan solat malam atau Solat Tarawih di malam Ramadhan telah berlalu, maka ketahuilah bahawa solat malam masih terus disyari’atkan pada setiap malam sepanjang tahun. Tidakkah kita mencontohi Rasulullah ﷺ yang sentiasa mengerjakan solat malam hingga kedua telapak kaki Baginda bengkak. Semua itu Baginda lakukan untuk bersyukur kepada Tuhan-nya.

Rasulullah ﷺ bersabda,

يَا أَيُّهَا النَّاسُ ! أَفْشُوْا السَّلاَمَ وَ أَطْعِمُوْا الطَّعَامَ وَ صَلُّوْا اْلأَرْحَامَ وَ صَلُّوْا بِاللَّيْلِ وَ النَّاسُ نِيَامٌ تَدْخُلُوْا الْجَنَّةَ بِسَلاَمٍ

“Wahai manusia, sebarkanlah salam, berikanlah makanan, sambunglah kekerabatan dan tunaikanlah solat malam di kala manusia tengah tertidur, nescaya kamu akan memasuki syurga dengan damai.”

(Hadis Riwayat Hakim r.a.).

.

Rasulullah ﷺ juga bersabda,

أَفْضَلُ الصَّلَاةِ بَعْدَ الْفَرِيضَةِ صَلَاةُ اللَّيْلِ

“Solat yang paling utama setelah solat wajib adalah solat malam.”

(Hadis Riwayat Muslim r.a.).

.

Di samping itu ada juga pelbagai amalan solat sunat Rawatib yang berjumlah dua belas rakaat, iaitu empat rakaat sebelum solat Zuhur dan dua rakaat sesudahnya, dua rakaat sesudah Maghrib, dua rakaat sesudah Isyak dan dua rakaat sebelum Subuh.

Rasulullah ﷺ bersabda,

مَا مِنْ عَبْدٍ مُسْلِمٍ يُصَلِّي لِلَّهِ كُلَّ يَوْمٍ ثِنْتَيْ عَشْرَةَ رَكْعَةً تَطَوُّعًا غَيْرَ فَرِيضَةٍ إِلَّا بَنَى اللَّهُ لَهُ بَيْتًا فِي الْجَنَّةِ

“Seorang hamba yang sentiasa mengerjakan solat kerana Allah pada setiap harinya sebanyak dua belas rakaat dalam bentuk solat sunat dan bukan termasuk solat wajib, maka nescaya Allah akan membangunkan baginya sebuah rumah di dalam syurga.”

(Hadis Riwayat Muslim r.a.).

.

Seorang yang beriman juga akan sentiasa berzikir kepada Allah سبحانه وتعالى  dengan pelbagai zikir yang dituntut oleh Rasulullah ﷺ di setiap kesempatan masa. Begitu juga dengan berbagai amalan kebajikan yang lain seperti bersedekah, membaca Al Qur-an, dan lain sebagainya, selayaknya dilakukan oleh seorang mukmin di luar bulan Ramadhan.

.

Janganlah kita menjadi orang-orang yang merayakan Aidil Fitri dengan penuh gembira kemudian melupakan dan meninggalkan berbagai amalan yang telah digalakkan di bulan Ramadhan.

Wahb ibnul Wardi pernah melihat sekumpulan orang yang bersuka ria dan ketawa gembira di Hari Raya Aidil Fitri. Beliau lalu berkata,

إِنْ كَانَ هَؤُلاَءِ تَقَبَلَ مِنْهُمْ صِيَامَهُمْ فَمَا هَذَا فِعْلُ الشَّاكِرِيْنَ وَ إِنْ كَانَ لَمْ يَتَقَبَّلْ مِنْهُمْ صِيَامَهُمْ فَمَا هَذَا فِعْلُ الْخَائِفِيْنَ

“Apabila puasa mereka diterima di sisi Allah, apakah tindakan mereka tersebut adalah gambaran orang yang bersyukur kepada-Nya. Dan jika ternyata puasa mereka tidak diterima, apakah tindakan mereka itu adalah gambaran orang yang takut akan siksa-Nya.”

(Hadis Riwayat Al Baihaqi dan Lathaaiful Ma’arif).

 .

“Ya Allah! Teguhkanlah kami di atas iman dan amal soleh, hidupkan kami dengan kehidupan yang baik dan sertakan diri kami bersama golongan orang-orang yang soleh.”

.

.

والله أعلم بالصواب

Wallahu A’lam Bish Shawab

 (Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)

.

.

Artikel Berkaitan:

Puasa Enam Bulan Syawal  (Klik Di Sini)

Semangat Ramadhan Bantu Beristiqamah Di Bulan Syawal  (Klik Di Sini)

.

وَالسَّلاَمْ

.

Posted by; shafiqolbu

sign s

.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: