Mengenai Brother Shah Kirit Kalkulal Govidji

بِسۡـــــــــمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِـــــــيمِ

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

.

Mengenali Brother Shah Kirit Kalkulal Govidji

.

Brother Shah Kirit  pada asalnya adalah seorang  penganut Hindu yang telah memeluk Islam pada tahun 1996. Pada mulanya, niat Shah Kirit Kakulal Govindji ingin memeluk agama Islam hanyalah dengan satu tujuan iaitu untuk berkahwin dengan seorang gadis Melayu. Namun kini, setelah lebih 17 tahun menganut Islam, Brother Shah bukan sahaja menjadi seorang Muslim yang soleh tetapi pada masa sama menjadi pendakwah sehingga ke peringkat antarabangsa.

 

Gaya, penampilan dan penyampai Brother Shah Kirit mirip pendakwah terkenal dari India, Dr Zakir Naik. Beliau yang pernah berkrusus dengan Dr Zakir Naik telah banyak terlibat dalam kursus intensif perbandingan agama antaranya ialah; ‘International Da’wa Training Program’ di IRF Mumbai yang dianjurkan Dr Zakir Naik. Dan “Training the Trainer” course di Nigeria yang dianjurkan oleh Nuruddeen Lemu & Asiya Rodrigo dari Islamic Education Trust.

Kini, Brother Shah Kirit  merupakan antara tenaga pengajar dan penasihat kepada program Kelas Peradaban Nabawi USMKK. Beliau yang bertugas sebagai Pengurus Saba’ Islamic Media Maju Junction turut bertugas sebagai Ketua Pegawai Dakwah Islamic Information & Services Foundation (IIS), sebuah organisasi dakwah untuk memberi informasi mengenai agama Islam yang terletak di Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur.

.

.

Penceramah Dan Pendakwah

.

Brother Shah berpengalaman menyampaikan ceramah mengenai Islam di gereja-gereja sekitar Kuala Lumpur dan sering dijemput untuk memberikan ceramah-ceramah perbandingan agama dan terlibat dalam Dialog antara agama di seluruh tanah air. Beliau juga kini  merupakan tenaga pengajar bagi program perbandingan agama “Friendly Comparative Religion”.

Tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa orang yang suka dipanggil ‘Brother Shah’ ini, mungkin salah seorang penceramah utama dan yang paling popular di Perbandingan Agama Islam dan bukan Islam di Malaysia dan nusantara kini.

Sebagai pegawai dakwah yang terkemuka di IIS, beliau telah menyampaikan ceramah dan memberi kursus Perbandingan Agama untuk sekian lama. Beliau juga merupakan Duta Dakwah di SABA Islamic Media Sdn Bhd, setelah menyertai organisasi pada tahun 1999.

.

Brother Shah seorang yang ikhlas, sederhana dan sentiasa merendah diri serta mudah mesra. Sesuai dengan tujuan utama dalam kehidupan bagi menjelaskan Islam kepada sesiapa sahaja dengan cara yang paling langsung dan mudah yang mungkin, dengan itu menjadikan mesej yang jelas Islam yang aman dan diharapkan membuat perbezaan untuk Peace & Harmony seluruh negara dan dunia.

Secara ringkas, ia adalah sesuatu yang mustahil bagi sesiapa sahaja untuk tidak menyukainya Brother Shah, walaupun seseorang tidak bersetuju dengan pandangan beliau. Sebagai seorang peguam bela yang sukakan kebenaran dan keadilan, beliau tidak teragak-agak untuk membetulkan tindakan dan keadaan di sekelilingnya, sama ada di kalangan orang Islam atau bukan Islam.

.

.

.

Brother Shah Kongsi Kisah Hidup

..

Bagaimanakah Shah Kirit, seorang yang berketurunan India boleh berubah sepenuhnya daripada kehidupan asalnya berbanding kini?

“Saya bersekolah sehingga tingkatan enam di sebuah sekolah menengah di Kuala Lumpur. Sebaik sahaja menamatkan pengajian, saya bekerja di sebuah syarikat pemasaran swasta yang mempunyai pekerja berbilang kaum termasuk Melayu.”

“Saya tertarik dengan seorang gadis Melayu di tempat kerja saya itu kerana kecantikannya. Namun, pada masa yang sama saya sering mengingatkan diri supaya jangan bercinta dan berkahwin dengan gadis berlainan kaum.”

“Tapi saya amat mencintainya sehingga pernah terfikir ingin berhijrah ke egara lain untuk berkahwin dengan gadis tersebut. Buntu dengan perkara ini saya berjumpa dengan beberapa orang ustaz.”

“Tetapi sebilangan daripada mereka menggalakkan saya untuk memeluk agama Islam yang mana saya dituntut supaya solat lima waktu, berpuasa dan membayar zakat hingga menyebabkan saya takut dan gusar,” katanya.

Menurutnya lagi, pendekatan bagi orang bukan Islam memeluk agama Islam perlu diubah kerana mereka memerlukan masa untuk mendalami Islam dan mengamalkan cara hidup agama itu dengan sempurna.

“Hati saya bagaimanapun ketika itu masih belum tergerak sepenuhnya untuk memeluk Islam sehinggalah saya berjumpa dengan pendakwah dari Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) cawangan Perak, Ustaz Ali Chin.”

“Ustaz Ali sanggup mengorbankan masanya untuk berjumpa dengan saya setiap hari sambil menceritakan soal akidah dan ketuhanan menyebabkan hati ini tersentuh dengan Islam.”

“Selain itu, Ustaz Ali turut menceritakan bagaimana Allah mencipta manusia di samping menasihatkan saya belajar secara beransur-ansur untuk memahami Islam,” ujar anak sulung daripada lima beradik itu.”

.

.

Tidak Berani Berterus-Terang

.

“Keluarga dapat menghidu hasrat saya untuk memeluk Islam dan langsung tidak bersetuju dengan hasrat saya itu tetapi berkat kesabaran Ustaz Ali berdakwah kepada saya serta hidayah Allah, akhirnya pada bulan Ramadhan 1996 semasa berusia 30 tahun saya sah memeluk Islam.”

“Tetapi saya sembunyikan perkara itu daripada keluarga. Apabila balik ke rumah keluarga, saya solat secara bersembunyi dan mengamalkan ajaran Islam dengan agak terhad.”

“Bagi adik-adik saya, mereka menerima keadaan saya masa itu kerana hormatkan saya sebagai abang sulung. Tetapi saya tidak berani memberitahu ibu dan bapa saya,” katanya yang enggan mendedahkan nama isterinya itu.

.

Keadaan itu membuat Shah Kirit agak tertekan sehingga pernah terfikir untuk bersolat di bilik mandi rumah keluarganya itu.

“Tidak lama selepas itu, saya mengambil keputusan untuk berkahwin dengan gadis pilihan walaupun tidak dipersetujui keluarga selain memberitahu saya telah menjadi penganut agama Islam.”

“Tentunya keluarga agak marah semasa itu tetapi Allah memberikan akal fikiran untuk kita berfikir. Sebelum saya membawa isteri berjumpa keluarga, saya ajar dia serba sedikit bahasa Tamil, memakai baju Punjabi tetapi bertudung, budaya serta makanan orang India.”

“Gementar saya sewaktu membawa isteri saya berjumpa keluarga buat pertama kali. Tetapi syukur penerimaan mereka amat baik dan cukup terkejut apabila isteri saya tahu serba sedikit kebudayaan dan cara hidup kami sekeluarga.”

“Malah, sepanjang tiga hari berada di rumah keluarga saya, isteri saya dilayan dengan sepenuh kasih sayang sehingga mereka lebih sayangkan dia menyebabkan saya berasa iri hati pula,” katanya diiringi ketawa.

.

.

Transformasi Hidup

.

Shah Kirit yang lebih senang mengekalkan nama asalnya kini sibuk dengan undangan berceramah mengenai al-Quran dan sains, wanita dan soal akidah Islam sehingga pernah dalam sehari menerima tiga jemputan berceramah pada waktu yang sama.

“Dulu hidup saya kosong tetapi kini saya hidup semata-mata untuk mencapai keredaan Allah. Jika dulu saya menganggap kematian itu satu perkara menakutkan tetapi apabila saya bersungguh-sungguh mempelajari Islam, barulah saya sedar sebenarnya perkara itu akan dilalui semua orang,” tuturnya yang turut menerima jemputan berceramah di Indonesia, Singapura, dan Bangladesh.

Dia juga bersyukur kerana sepanjang berceramah lebih lapan tahun, terdapat beberapa orang peserta ceramahnya yang menganut agama Islam kerana tertarik dengan isi ceramahnya.

“Hidayah itu Allah sendiri yang beri tetapi dalam masa sama kita tidak boleh berdiam diri tanpa berusaha kerana usaha dakwah itu wajib bagi setiap individu Islam.”

“Walaupun saya pernah menerima surat layang menuduh saya ingin mengejar pangkat, nama dan glamor seperti penceramah agama terkenal sedia ada, namun saya tidak mempedulikannya, Ini kerana saya yakin Islam itu hadir sebagai penyelesaian kepada setiap masalah umat manusia,” mengakhiri bicaranya.

.

.

والله أعلم بالصواب

Wallahu A’lam Bish Shawab

 (Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)

.

.

Artikel Berkaitan:

Brother Shah Kirit: Mematah Helah Orang Kristian Nak Guna Kalimah Allah  (Klik Di Sini)

.

وَالسَّلاَمْ

.

Posted by; shafiqolbu

sign s

.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: