KJ : Jati Diri Asas Kemerdekaan Negara

بِسۡـــــــــمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِـــــــيمِ

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

merdeka.

Khutbah Jumaat: “Jati Diri Asas Kemerdekaan Negara”

 .

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقاَئِل:

أَشْهَدُ أَنْ لاَّ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لآ شَرِيْكَ لَهُ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكعَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ الْمَبْعُوْثِ رَحْمَةً لِّلْعَالَمِيْنَ، وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِِهِ أَجْمَعِيْنَ.أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! إتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَتَمُوْتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ.

.

Pada hari Jumaat yang diberkati dan penuh bersejarah ini, saya berpesan kepada diri saya dan sidang jemaah sekalian, marilah kita sama-sama bertakwa kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menikmati kesejahteraan dan keberkatan hidup serta berbahagia di dunia dan di akhirat. Bersempena dengan sambutan Hari Kemerdekaan Negara yang ke-56 bertemakan Malaysia Berdaulat, Tanah Tumpahnya Darahku, maka mimbar yang mulia ini akan membincangkan tajuk Khutbah: JATI DIRI ASAS KEMERDEKAAN  NEGARA ”.

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

Kemerdekaan dalam konteks kenegaraan ialah apabila sesebuah negara itu bebas daripada kuasa penjajahan. Kemerdekaan berdasarkan kepada pandangan Islam pula ialah sebuah bangsa atau umat manusia itu bebas untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT, bebas daripada  kezaliman kepada keadilan dan bebas dari kejahilan kepada berilmu.

Berdasarkan kepada pengertian tersebut dapatlah dinyatakan bahawa agama Islam melihat kemerdekaan meliputi soal kenegaraan dan masyarakat. Sekiranya masyarakatnya masih lagi terbelenggu dengan pelbagai masalah, dikuasai pemikiran dan cara hidup, sebenarnya ianya masih lagi belum merdeka.

.

Seorang sahabat Rub’i bin A’mir pernah menjelaskan ketika bertemu panglima tentera rom yang bernama Rustum tentang hakikat Kemerdekaan dengan katanya yang bermaksud: Allah mengutuskan kami (orang-orang Islam) untuk kami merdekakan manusia daripada mengabdikan diri sesama manusia kepada mengabdikan diri kepada Allah, daripada kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam dan daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat.

 

Justeru, mimbar jumaat ingin mengajak para jamaah dan umat Islam sekalian untuk mensyukuri nikmat kemerdekaan yang kita kecapi agar nikmat ini terus berkekalan dan kemakmuran negara akan sentiasa bertambah dengan pengisian-pengisian yang diredhai Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam surah Ibrahim ayat 7:

وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِن شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ ۖ وَلَئِن كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِى لَشَدِيدٌۭ

Maksudnya: Dan ingatlah tatkala Tuhanmu memberitahu: Sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya aku tambahi nikmatku kepadamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabku amatlah keras (sangat pedih).

.

Namun, persoalan besar timbul di sini bagaimanakah kemerdekaan dapat dikekalkan di negara ini?. Berdasarkan kepada pemerhatian mimbar bahawa semangat jati diri merupakan asas kepada kemerdekaan. Secara ringkasnya mimbar ingin menyatakan bahawa sifat jati diri sangat berkaitan dengan nilaipatriotisme yang bolehlah ditakrifkan sebagai perasaan cinta yang kuat terhadap tanah air. Begitu juga jika di tinjau dari sudut pandangan Islam pun, ianya boleh dihubungkait dengan sifat cintakan tanah air.

.

.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

 

Mimbar ingin menegaskan bahawa jati diri bukanlah satu ideologi, ia merupakan satu semangat dan gagasan dalam mendidik jiwa agar mempunyai semangat mencintai kehidupan dan tanah air. Mimbar ingin menyatakan bahawa dalam semua aspek umat manusia perlulah membina semangat jati diri kerana ianya menjamin kesejahteraan dan perpaduan rakyat. Ingatlah agama Islam sebenarnya telah menggariskan dengan jelas tentang jati diri khususnya berhubung kait dengan kepentingan untuk mempertahankan keselamatan dan maruah negara.

 

Firman Allah SWT di dalam surah al-Anfal ayat 60:

وَأَعِدُّوا۟ لَهُم مَّا ٱسْتَطَعْتُم مِّن قُوَّةٍۢ وَمِن رِّبَاطِ ٱلْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِۦ عَدُوَّ ٱللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ وَءَاخَرِينَ مِن دُونِهِمْ لَا تَعْلَمُونَهُمُ ٱللَّهُ يَعْلَمُهُمْ ۚ وَمَا تُنفِقُوا۟ مِن شَىْءٍۢ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ وَأَنتُمْ لَا تُظْلَمُونَ

Maksudnya: Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya, sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.

.

Bagi memungkinkan nilai jati diri ini berkembang, mimbar yang mulia ini ingin menyatakan bahawa unsur yang utama perlu ada dalam diri kita ialah sikap saling berkorban dan tidak mementingkan diri sendiri. Walaupun rakyat di negara kita dalam pelbagai bangsa dan agama, namun setiap daripada kita hendaklah bertanggungjawab dan sentiasa bersedia serta sanggup mengorbankan kepentingan diri demi negara yang kita cintai. Tidak mempertikai apa yang telah dipersetujui bersama dan menerima apa yang telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan. 

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

 

Umat Islam hari ini seolah-olah hilang panduan dan pedoman untuk membezakan mana yang benar dan mana yang salah, mana yang palsu dan mana yang tulen. Inilah permainan minda dan persepsi yang sedang dijalankan oleh musuh untuk mengelirukan umat Islam. Percayalah, bila umat Islam hilang pegangannya, rapuh pedomannya dan hilang sensitivitinya pada agama Islam, inilah saat yang dinanti-nantikan oleh musuh Islam.

 

Sedarlah, pelbagai cara sedang dilakukan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab untuk melemahkan jati diri ummah di antaranya melalui pembohongan fakta, pencemaran budaya, penyebaran racun akidah samada melalui media massa, internet, facebook, email, SMS dan sebagainya. Penjajahan minda di bawah inovasi baru yang canggih menjadikan ruang sosial tidak mempunyai sempadan lagi. Segala maklumat memenuhi ruang tanpa kawalan dan pemantauan yang berkesan. Proses pendemokrasian maklumat ini berjalan begitu pantas dan sebenarnya media massa mempunyai pengaruh yang besar dalam mencanai pemikiran rakyat.

.

Serangan musuh Islam ini hampir berjaya, sehinggakan pada hari inikita sedang mengalami suatu ketidaktentuan dalam masyarakat yang kita tidak pasti apakah puncanya sehingga umat Islam di cabar jiwa dan jati dirinya. Penghinaan kepada umat Islam secara berterusan seperti memperlekehkan hak-hak eksklusif ummah seperti kalimah Allah, Masjid dan sebagainya, mempersendakan ibadah umat Islam seperti menghina bulan Ramadhan dengan hidangan binatang yang haram di sisi Islam dan yang paling malang lagi ada yang sanggup menghina Rasulullah SAW. Kita juga dihidangkan dengan isu isu sosial yang tiada kesudahannya seperti isu remaja, pembunuhan, rompakan dan sebagainya.

.

Mimbar ingin menegaskan sebagai umat Islam maka kita menjadi kewajipan untuk meletakkan kepentingan agama dan akidah  ditempat yang teratas. Segala perkara yang merosakkan agama dan akidah wajib dihindarkan. Penyelewengan akidah wajib dibanteras. Umat Islam yang menjaga agama akan menjadi seorang yang berintegriti, tidak akan membenarkan sesuatu berlaku yang akan merosakkan akhlak dan moral. Mereka yang tidak beragama akan lemah akhlaknya dan hilang semangat patriotik dan jati dirinya, dan tidak mustahil akan menggadaikan kepentingan negaranya demi memenuhi tuntutan hawa nafsunya.

.

Justeru, sebagai umat Islam yang mempunyai jati diri, cintakan agama, bangsa dan negara, diseru agar bersatu padu dalam menangani isu-isu ini. Perpecahan berdasarkan ketaksuban dan fahaman kepartian yang sempit sebenarnya akan merugikan ummah itu sendiri bahkan akan terus melemahkan ummah sehingga tidak lagi dihormati oleh mereka yang bukan Islam. Cukup-cukuplah kita membicarakan tentang parti mana yang bagus dan pemimpin mana yang bersih kerana ia pasti tidak akan berkesudahan.

.

Di masa ini, perpaduan antara kita mestilah menjadi agenda utama demi memastikan Islam sebagai agama rasmi negara dipertahankan. Marilah sama-sama kita berganding bahu, bersatupadu, merapatkan saf, mengeratkan perpaduan dikalangan kita agar apa jua usaha mereka ini untuk menggugat keharmonian dan keamanan negara dapat digagalkan. Sesungguhnya kekuasaan dan  pertolongan Allah SWT sentiasa bersama jemaah dan mereka yang benar.

 

Firman Allah SWT dalam Surah Ali- Imran ayat 160:

إِن يَنصُرْكُمُ ٱللَّهُ فَلَا غَالِبَ لَكُمْ ۖ وَإِن يَخْذُلْكُمْ فَمَن ذَا ٱلَّذِى يَنصُرُكُم مِّنۢ بَعْدِهِۦ ۗ وَعَلَى ٱللَّهِ فَلْيَتَوَكَّلِ ٱلْمُؤْمِنُونَ

Maksudnya: Jika Allah menolong kamu maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu; dan jika ia mengecewakan kamu, maka siapakah yang akan dapat menolong kamu sesudah Allah (menetapkan yang demikian)? Dan (ingatlah), kepada Allah jualah hendaknya orang yang beriman itu berserah diri.

.

.

Sidang Jumaat Yang Dihormati,

 

Mengakhiri khutbah pada minggu ini, Bersempena dengan Sambutan Hari Kemerdekaan yang bertemakan: MALAYSIA BERDAULAT, TANAH TUMPAHNYA DARAHKU, adalah wajar bagi kita untuk mengenang kembali segala pengorbanan dan sudah payah para pejuang negara yang telah berjasa kepada agama, bangsa dan negara. Kita perlu sedar bahawa perjuangan kemerdekaan belum lagi selesai sekalipun kita pada hari ini tidak lagi dijajah secara fizikal. Masih banyak lagi perkara yang perlu dilakukan.

.

Kemerdekaan yang dikecapi lebih empat dekad yang lalu perlulah diisi dengan pembangunan dari segenap aspek sama ada fizikal, mental dan spiritual dan dibangunkan dengan memelihara kekuatan politik, ekonomi, sosial, agama, bahasa, budaya dan seni warisan bangsa. Kita sebagai rakyat tidak boleh berpeluk tubuh dan berasa puas hati dengan apa yang dikecapi selama ini. Janganlah kita menjadikan sambutan Hari kemerdekaan sebagai satu cuti umum sahaja ataupun sebagai satu pesta untuk bersuka ria.

.

Sebaliknya bagi memulakan agenda besar ini, marilah sama-sama kita mengisi Hari Kemerdekaan dengan nilai keimanan dan ketakwaan yang sejati.  Melaksanakan segala amanah yang diberikan kepada kita dengan sepenuhnya kerana ianya sebahagian daripada syahadah dan ikrar kita kepada Allah SWT. Pendekatan ini wajar diteruskan kerana kita menyakini gesaan Allah SWT yang meletakkan persoalan iman sebagai syarat utama kejayaan umat Islam di dunia ini dan di akhirat kelak.

.

Kepada generasi muda mimbar yang mulia ini menyeru agar menyelami erti kemerdekaan dengan menjadikan pengorbanan generasi terdahulu sebagai satu inspirasi untuk kita terus berusaha gigih menjadi bangsa yang maju. Kenangilah tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan seperti Mat Kilau, Datuk Bahaman, Tok Janggut, Haji Abdul Rahman Limbong, Leftenan Adnan, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj dan lain-lain lagi.

Bayangkanlah suasana di zaman mereka yang penuh dengan ancaman, jerit perit, susah payah namun tetap mereka teruskan perjuangan walau dengan air mata, keringat dan darah demi untuk mendapatkan sebuah kemerdekaan. Mereka ini sanggup menggadaikan nyawa semata-mata mahu memerdekakan negara ini dari penjajah sehingga orang Melayu mampu mentadbir sendiri negara ini dan terus mampu untuk memelihara kesucian Islam. Inilah semangat keramat yang dimiliki pejuang yang terdahulu..perjuangan yang ikhlas untuk bangsa, agama dan tanah air tercinta.

.

Kita doakan juga agar negara tercinta terus dikekalkan nikmat kestabilan politik dan keamanan, keteguhan ekonomi, dijauhkan dari segala perbuatan jahat dan fitnah yang boleh membawa malapetaka dan kehancuran negara. Tanamkanlah rasa kasih sayang di antara rakyat yang berbilang kaum, kukuhkan perpaduan di kalangan mereka semoga sentiasa hidup dalam kemakmuran dan keselamatan sepanjang zaman.

.

Tariklah nafas kesyukuran pasakkanlah niat dan berikrarlah di dalam hati kita dengan penuh keimanan bahawa sesungguhnya demi memelihara kesucian Islam dan kedaulatan negara, kita wajib mempertahankan kemerdekaan negara tercinta ini dengan  sedaya upaya walaupun sehingga ke titisan darah kita yang terakhir. Marilah kita sama-sama berganding bahu untuk memastikan negara kita selamat, sejahtera dan sentiasa dibawah keampunan Allah sebagaimana yang dirakam oleh Allah SWT di dalam al-Quran “baldatun taiyyibatun wa rabbun ghafur.

 

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ ٱلْقُرَىٰٓ ءَامَنُوا۟ وَٱتَّقَوْا۟ لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَٰتٍۢ مِّنَ ٱلسَّمَآءِ وَٱلْأَرْضِ وَلَٰكِن كَذَّبُوا۟ فَأَخَذْنَٰهُم بِمَا كَانُوا۟ يَكْسِبُونَ

Maksudnya: Dan Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami bukakan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami) lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan (perbuatannya). (Surah al-’Araf:96)

.

kj korban 6.

.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Jati Diri Asas Kemerdekaan Negara

 (30 Ogos 2013 / 23 Syawal 1434H)

.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

.

Posted by; shafiqolbu

sign s

.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: