KJ : Persefahaman Teras Perpaduan

بِسۡـــــــــمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

Persefahaman Teras Perpaduan.

Khutbah Jumaat: “Persefahaman Teras Perpaduan”

 

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقاَئِل:

قُلِ ٱللَّهُمَّ مَٰلِكَ ٱلْمُلْكِ تُؤْتِى ٱلْمُلْكَ مَن تَشَآءُ وَتَنزِعُ ٱلْمُلْكَ مِمَّن تَشَآءُ وَتُعِزُّ مَن تَشَآءُ وَتُذِلُّ مَن تَشَآءُ ۖ بِيَدِكَ ٱلْخَيْرُ ۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍۢ قَدِيرٌۭ

أَشْهَدُ أَنْ لاَ ِإِلَــهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ،اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلى ءَالــِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ.أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللَّهِ ! إتَّقُوْا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَتَمُوْتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ.

.

.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

 

Pada hari Jumaat yang diberkati ini, saya berpesan kepada diri saya dan sidang jemaah sekalian, marilah kita sama-sama bertakwa kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menikmati kesejahteraan dan keberkatan hidup serta berbahagia di dunia dan di akhirat. Bersempena dengan Sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini, maka mimbar yang mulia akan membincangkan khutbah bertajuk: “Persefahaman Teras Perpaduan”.

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

 

Islam menggalakkan umat manusia sentiasa mewujudkan perpaduan dalam masyarakat dan negara. Ia merupakan satu nilai dalaman yang penting untuk menghadapi rintangan serta pelbagai cabaran dari luar kerana perpaduan mampu menjadi benteng pertahanan kukuh.

 

Manakala kehancuran boleh berlaku jika benteng menjadi longgar, begitu juga rakyat dan negara bakal berhadapan dengan kehancuran jika semangat bersatu padu sudah hilang terutama di kalangan masyarakat pelbagai bangsa.

.

Di negara kita Perjanjian Kontrak Sosial di kalangan masyarakat telah dipersetujui semenjak tahun 1948 lagi dan ianya telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan hingga ke hari ini.

 

Memahami Perlembagaan dan Kontrak Sosial ini akan mengambarkan seseorang itu mempunyai kekuatan diri untuk menjadi warganegara yang setia, bangsa yang mahu bersama dalam membina persefahaman antara satu sama lain.

 

Percayalah, persefahaman hanya boleh dicapai seandainya seluruh rakyat memahami, kontrak sosial yang menjadi teras kepada kehidupan bermasyarakat yang berbilang kaum.

 

Mimbar ingin menyatakan di sini bahawa prinsip keadilan sosial yang menjadi salah satu teras persefahaman adalah amat bertepatan dengan firman Allah SWT dalam surah al-Maa’idah ayat 8:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ كُونُوا۟ قَوَّٰمِينَ لِلَّهِ شُهَدَآءَ بِٱلْقِسْطِ ۖ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَـَٔانُ قَوْمٍ عَلَىٰٓ أَلَّا تَعْدِلُوا۟ ۚ ٱعْدِلُوا۟ هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ ۖ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرٌۢ بِمَا تَعْمَلُونَ.

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan janganlah kebencian kamu terhadap suatu kaum itu mendorong kamu untuk tidak berlaku adil. Berlaku adillah kerana ia lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu lakukan!.”

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

 

Nabi Muhammad SAW telah membawa pendekatan yang lebih baik dalam mewujudkan persefahaman antara masyarakat. Budaya yang dahulunya berteraskan ketaksuban kepada kabilah yang diwarisi dari nenek moyang bertukar menjadi lebih islamik dan mempunyai ciri-ciri nilai sejagat.

 

Dalam piagam Madinah, Rasulullah SAW telah menetapkan kepada semua penduduk Madinah agar menyayangi dan menghormati bumi Madinah. Antara yang termaktub dalam Piagam tersebut ialah: “Sesiapa yang cenderung atau melakukan perkara-perkara yang menjejaskan perpaduan di kalangan warga Madinah, maka orang itu dikira sebagai mencabul kesejahteraan Madinah”.

.

Sejarah juga memaparkan ketika di zaman khalifah Umar al-Khattab RA, kerajaan Islam amat kuat dan ajarannya berkembang dengan begitu pesat sehingga menaungi dua pertiga dunia. Kejayaan pemerintahan mereka diasaskan kepada kemampuan mereka menghayati prinsip pengendalian negara berpandukan al-Quran, iaitu prinsip “al-adl wal-ihsan” iaitu memupuk keadilan dan kasih sayang di kalangan umat manusia sebagaimana yang dinukilkan di dalam Surah An-Nahl, ayat 90:

إِنَّ ٱللَّهَ يَأْمُرُ بِٱلْعَدْلِ وَٱلْإِحْسَٰنِ وَإِيتَآئِ ذِى ٱلْقُرْبَىٰ وَيَنْهَىٰ عَنِ ٱلْفَحْشَآءِ وَٱلْمُنكَرِ وَٱلْبَغْىِ ۚ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ.

Bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi bantuan kepada kerabat, dan Dia melarang (melakukan) perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil pelajaran.”

.

Persoalan besar timbul bagaimanakah untuk merealisasikan persefahaman seluruh rakyat Malaysia agar semua dapat menerimanya?. Antaranya ialah mengamalkan sikap toleransi antara masyarakat dengan saling menerima antara satu sama lain. Senantiasa sedar dan tahu tanggungjawab sebagai anak bangsa serta berkerjasama ke arah mewujudkan persefahaman.

 

Berdasarkan kepada perkara ini maka, sikap emosional, keterlaluan, fanatisme dan terlalu mementingkan diri perlu dibatasi dengan kewarasan dan rasionalisme yang bertunjangkan keadilan untuk semua. Sekiranya menghadapi masalah, semua pihak harus memilih perundingan dalam menyelesaikannya bukannya memilih jalan konfrontasi dan bertindak diluar batas kemanusiaan seperti melakukan keganasan dan rusuhan.

 

Bayangkanlah perbuatan seperti ini jika diteruskan pasti menyebabkan negara menjadi kucar kacir, terjejasnya ekonomi, bertambahnya jenayah seterusnya mewujudkan masyarakat yang saling bermusuhan. Sesungguhnya, perkara seperti ini harus dielakkan bagi menjamin keutuhan dan kemakmuran sebuah masyarakat dan negara.

.

Percayalah bahawa perbezaan agama, bangsa dan budaya bukanlah penghalang terjalinnya kerukunan dan kedamaian di antara sesama manusia. Meskipun kita bergaul dengan orang yang berbeza iktikad keyakinan, tetapi kedamaian hidup tetap menjadi keutamaan.

 

Ternyata bahawa Allah SWT mengizinkan umat-Nya untuk menjalin kerjasama dan berbuat baik kepada orang yang berbeza akidah sebagaimana sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Daud dengan maksudnya: “Barangsiapa menyakiti orang bukan Islam (Ahli Zimmah) yang berada di bawah perlindungan Islam, maka sesungguhnya ia telah menyakiti aku, dan barangsiapa yang menyakiti aku, maka sesungguhnya ia telah menyakiti Allah.”(Riwayat at-Tabrani).”

.

Firman Allah SWT berfirman dalam Surah Al-An’am ayat 108:

وَلَا تَسُبُّوا۟ ٱلَّذِينَ يَدْعُونَ مِن دُونِ ٱللَّهِ فَيَسُبُّوا۟ ٱللَّهَ عَدْوًۢا بِغَيْرِ عِلْمٍۢ ۗ كَذَٰلِكَ زَيَّنَّا لِكُلِّ أُمَّةٍ عَمَلَهُمْ ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّهِم مَّرْجِعُهُمْ فَيُنَبِّئُهُم بِمَا كَانُوا۟ يَعْمَلُونَ.

Maksudnya: “Dan janganlah kamu caci benda yang mereka sembah selain dari Allah, kerana mereka kelak akan mencaci Allah secara melampaui batas tanpa pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan.”

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

 

Bersempena dengan sambutan Hari Malaysia pada tahun ini, mimbar menyeru para jemaah dan seluruh ummah, marilah sama-sama kita membina persefahaman di kalangan kita dan bertoleransi dalam kehidupan serta janganlah kita melampaui batas dalam perkara yang telah dipersetujui. Sikap melampau sebenarnya akan menjadi pemangkin terhadap ketidaksepaduan masyarakat dan seterusnya akan melemahkan kestabilan sosio-politik negara. Maka dengan itu, persefahaman boleh wujud melalui :

 

(1) Memupuk kasih sayang antara anggota masyarakat.

(2) Mengamalkan sikap tolong menolong dan bekerjasama.

(3) Memelihara hak orang lain dan menghormati maruah dan budaya mereka dan

(4) saling ziarah menziarahi di antara satu sama lain.

.

Mimbar ingin berpesan usahlah kerana kepentingan diri yang sempit, kita sanggup meruntuh tembok perpaduan yang telah lama terbina dan menggadai kuasa dan maruah yang ada. Ingatlah bahawa umat Islam yang menjiwai makna persefahaman adalah mereka yang sentiasa bersikap terbuka, berbaik sangka dan saling menghormati antara satu sama lain atas dasar Ukhwah Islamiah tanpa mengira sebarang fahaman kelompok tertentu.

 

Sesungguhnya kesucian agama dan maruah umat Islam pasti tidak akan dihina mahupun diperlekehkan jika semua umat Islam terus mengukuhkan perpaduan dan sentiasa bersatu dalam menangani sebarang ancaman terhadap agama dan ummah.

.

Sedarlah, kita tidak mempunyai tempat lain selain tanah air dan tanah tumpah darah kita yang menjadi tempat tinggal, punca rezeki, dan nadi kehidupan kita. Janganlah ada dikalangan rakyat bersikap mementingan diri sendiri sehingga keharmonian di negara kita terancam, retak dan hancur.

 

Sekali lagi mimbar mengingatkan bahawa persefahaman merupakan sebahagian daripada tuntutan Islam. Pendekatan ini wajar diteruskan kerana kita meyakini gesaan Allah SWT yang meletakkan persoalan iman sebagai syarat utama kejayaan umat Islam di dunia ini dan di akhirat kelak.

 

Oleh itu, sentiasalah berfikir dengan mendalam sebelum melakukan sesuatu tindakan dan bertindaklah dengan hati yang ikhlas, fikiran yang waras supaya setiap tindakan kita mendatangkan kebaikan pada agama Islam, bangsa dan negara. Semoga Malaysia yang tercinta ini terus maju, aman damai, dan menjadi payung serta pelindung kepada Islam dan umatnya.

.

Mimbar mengambil kesempatan pada hari Jumaat yang mulia ini, menyeru sidang Jumaat dan seluruh umat Islam sekalian agar terus berusaha memelihara kalimah Allah sebagai hak eksklusif umat Islam dan mempertahankan kemuliaannya daripada disalahgunakan oleh pihak yang tidak berkelayakan.

 

Marilah sama-sama kita merujuk kepada firman Allah SWT dalam al-Quran, surah al-Ikhlas ayat 1-4:

بِسْمِ ٱللَّـهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

قُلْ هُوَ ٱللَّـهُ أَحَدٌ ﴿١﴾ ٱللَّـهُ ٱلصَّمَدُ ﴿٢﴾ لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ ﴿٣﴾ وَلَمْ يَكُن لَّهُۥ كُفُوًا أَحَدٌ ﴿٤﴾

Maksudnya:  “Katakanlah (wahai Muhammad): (Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa. Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat. Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan. Dan tidak ada sesiapapun yang setara dengan-Nya.”

.

Maksud ayat satu (1) cukup jelas bahawa Allah SWT adalah yang Maha Esa yakni tiada sekutu bagiNya, ditambah pula ayat empat (4) dengan terang menyatakan bahawa tiada sesiapapun yang setara denganNya. Dalam ayat tiga (3) pula mengukuhkan lagi penolakan kepelbagaian tuhan seperti wujudnya konsep triniti dalam agama Kristian adalah jelas bercanggah dengan sifat keEsaan Allah SWT.

 

Oleh itu, sidang Jumaat yang dirahmati sekalian, bukti jelas kalimah Allah adalah untuk umat Islam sahaja. Ingatlah bahawa umat Islam mesti bersatu dalam soal akidah kerana kita semuanya bertuhankan Allah yang Maha Esa dan berkiblatkan arah yang sama. Hindarkanlah segala perselisihan faham demi agama Islam yang tercinta.

.

Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-A’raf ayat 96:

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ ٱلْقُرَىٰٓ ءَامَنُوا۟ وَٱتَّقَوْا۟ لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَٰتٍۢ مِّنَ ٱلسَّمَآءِ وَٱلْأَرْضِ وَلَٰكِن كَذَّبُوا۟ فَأَخَذْنَٰهُم بِمَا كَانُوا۟ يَكْسِبُونَ.

Maksudnya: “Dan Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami bukakan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami) lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.”

.

بَارَكَ اللهُ لِي وَلَكُمْ فِى الْقُرْءَانِ الْعَظِيمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُم تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيمَ لِي وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، والْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوهُ فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَعْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَائِبِيْنَ.

.

.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

“Persefahaman Teras Perpaduan”

(13 September 2013 / 7 Zulkaedah 1434H)

.

.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

.

Posted by; shafiqolbu

sign s

.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: