KJ : Tuntutan Hidup Bersederhana

بِسۡـــــــــمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

Berkat Hidup Sederhana 1.

Khutbah Jumaat: “Tuntutan Hidup Bersederhana”

 

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقاَئِل:

وَالَّذِينَ إِذَآ أَنفَقُوا لَمْ يُسْرِفُوا وَلَمْ يَقْتُرُوا وَكَانَ بَيْنَ ذَٰلِكَ قَوَامًا.

أَشْهَدُ أَن لآ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ، إِتَّقُوا اللهَ، أُوْصِيكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُونَ. 

.

.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

 

Saya berpesan kepada tuan -tuan dan diri saya sendiri marilah sama- sama kita bertakwa kepada Allah SWT dengan memperkukuhkan pengabadian diri kita kepada-Nya dengan melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan pada hari yang penuh berkat ini menjadikan kita insan yang berjaya di dunia dan akhirat. Tajuk khutbah pada hari ini ialah: ” TUNTUTAN HIDUP BERSEDERHANA “ .

 .

.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

 

Islam menganjurkan agar setiap umatnya mengamalkan sikap bersederhana di dalam setiap tindakan iaitu tidak berlebihan dan tidak pula melampau terutama di dalam berbelanja. Dalam hal ini agama Islam telah menetapkan beberapa peringkat keperluan bagi umatnya :

 

Pertama: Al-Dharuriat iaitu keperluan yang mendesak,

Kedua: Al-Hajiaat iaitu keperluan yang dihajati,

Ketiga: Al-Thasiniat iaitu keperluan yang lebih baik dan yang

Keempat: Al-Kamaliat iaitu keperluan yang lebih lengkap.

 

Namun begitu, dalam mengurus kehidupan kita, Islam mewajibkan kita mengatur perbelanjaan kepada perkara-perkara asas dan keperluan yang benar -benar mendesak iaitu al-Dharuriat.

 

Menurut Imam as-Syatibi bahawa: al-Dharuriat adalah sesuatu yang harus dilakukan agar mendapat kemaslahatan di dunia dan akhirat, jika al-Dharuriat ini tidak dilaksanakan maka kemaslahatan itupun tidak akan ada tetapi yang akan timbul adalah kerosakan, kesengsaraan dan kerugian yang besar.

 

Dalam hal ini Prof. Dr. Yusuf Qardhawi ada mengatakan bahawa: sebahagian umat Islam kini kerap mendahulukan perkara yang kurang penting berbanding perkara yang penting. Perkara penting adalah urusan -urusan wajib yang termaktub dalam syariat Islam. Antara perkara tersebut ada yang besar, penting dan utama dan ada pula yang kecil, ringan, kurang penting dan kurang utama iaitu asasi, cabang ( furu ‘), dan rukun.

 .

.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

 

Sebagai seorang Islam tentunya kita menyedari bahawa dalam menjalani kehidupan ini Allah SWT telah mengurniakan berbagai- bagai nikmat yang tidak terhitung banyaknya samada dalam bentuk keamanan, kesejahteraan, kesihatan, kebahagian, kekayaan, umur yang panjang dan sebagainya. Firman Allah SWT di dalam surah an-Nahl ayat 18:

وَإِن تَعُدُّوا۟ نِعْمَةَ ٱللَّهِ لَا تُحْصُوهَآ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَغَفُورٌۭ رَّحِيمٌۭ

Bermaksud: “Dan jika kamu menghitung nikmat Allah , tiadalah kamu dapat menghitungnya ; sesungguhnya Allah Maha Pengampun , lagi Maha Mengasihani.”

 

Namun begitu, kadang kala dengan nikmat yang melimpah ini menyebabkan seseorang itu lupa dan lalai bahawa sebahagian itu adalah ujian dari Allah SWT kepada hamba-hambanya. Sebagai umat Islam kita dituntut agar mensyukuri segala pemberian dari Allah SWT. Kita hendaklah mengurus segala pembelanjaan untuk keperluan hidup dengan sebaik-baiknya setiap masa samada di waktu senang, lebih-lebih lagi di waktu susah. Sekiranya kita mengabaikan perkara tersebut dikhuatiri kesan daripada kelalaian kita menguruskan perbelanjaan hidup boleh menyebabkan kita meninggalkan generasi yang mundur di kemudian hari serta menyebabkan negara kita berada dalam mundur dan terkebelakang.

Bayangkanlah, jika fenomena ini berterusan ia pasti mendatangkan beban kewangan pada diri dan keluarga umat Islam yang seterusnya akan melahirkan sejumlah besar penghutang-penghutang di kalangan umat Islam. Akhirnya, kadar kemiskinan makin bertambah dan ini membuka ruang kepada mereka yang tidak bertanggungjawab untuk mengambil kesempatan seterusnya menindas umat Islam. Justeru, tidak mustahil boleh tergadainya agama, bangsa dan tanahair tercinta jika umat Islam terus dibelenggu oleh hutang.

 .

Mimbar yang mulia ini ingin mengingatkan sidang jemaah dan umat Islam sekalian bahawa agama Islam tidak melarang umatnya daripada berbelanja, tetapi hendaklah secara berhemah iaitu dengan memberi keutamaan dan mendahului kepada perkara-perkara yang penting sahaja. Perlu difahami gaya hidup berhemah berkait rapat dengan sifat berjimat cermat dan tidak membazir.

Islam melarang dan menegah umatnya daripada membazir kerana ianya perbuatan keji. Islam menyifatkan perbelanjaan boros dan pembaziran adalah perbuatan keji kerana ia tidak memberi faedah kepada masyarakat dan menjauhkan lagi jurang golongan kaya dan miskin. Jika dasar berhemah ini diambil kira, maka hak-hak serta kebajikan orang-orang fakir dan miskin dapat ditunaikan sepanjang masa. Sesungguhnya orang yang membazir adalah saudara syaitan dan syaitan amat suka kepada orang yang boros dan berbelanja mengikut kehendak nafsu.

Firman Allah SWT di dalam surah al- Israk ayat 27:

 

إِنَّ ٱلْمُبَذِّرِينَ كَانُوٓا۟ إِخْوَٰنَ ٱلشَّيَٰطِينِ ۖ وَكَانَ ٱلشَّيْطَٰنُ لِرَبِّهِۦ كَفُورًۭا

Maksudnya: “Sesungguhnya orang yang boros itu adalah saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya”.

 

Ibn Mas’ud dan Ibn Abbas RA mentafsirkan ayat ini, bahawa pembaziran itu bermaksud perbelanjaan atau mengunakan harta benda bukan pada tempatnya yang sebenar. Begitu juga dengan pandangan Imam Syafie bahawa pembaziran itu ialah membelanjakan harta benda bukan pada jalannya.

 

Renungilah kisah hidup Rasulullah SAW yang amat bersederhana dalam semua keadaan, walaupun bukit dan gunung- ganang yang ada di sekitarnya pernah ditawarkan agar ia dijadikan emas dan perak, akan tetapi Rasulullah SAW menolaknya. Diriwayatkan juga bahawa dapur Rasulullah SAW hampir enam puluh hari tidak berasap, Baginda dan isteri-isteri hanya menjamah buah tamar dan air. Bukan kerana tidak mampu akan tetapi Rasulullah SAW suka untuk hidup dalam keadaan sederhana dan tidak melakukan pembaziran serta berbelanja mengikut hawa nafsu. Sabda Rasulullah SAW:

 kj sederhana

Bermaksud: “Dari Abdullah katanya: Rasulullah SAW tidur di atas tikar dan bangun selepas itu dalam keadaan badannya berbekas, maka kami katakan kepadanya, Ya Rasulullah, sekiranya kami bawakan kepada kamu hamparan yang lembut, Rasulullah menjawab: Apakah kedudukan aku dan dunia ini, Tidakkah aku di dunia ini melainkan seumpama pengembara yang berteduh di bawah pokok kemudian berlalu meninggalkannya. (Riwayat at-Tirmizi)

 .

.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

 

Berdasarkan kepada kajian Bank Negara Malaysia mendapati peratusan rakyat negara ini yang terlibat dengan masalah kewangan semakin meningkat. Kebanyakan masalah yang dihadapi ini berpunca daripada kegagalan membuat perancangan yang bijak di samping kurangnya pengetahuan berhubung teknik pengurusan berhemah serta kurang peka kepada akibat yang bakal ditanggung apabila seseorang itu gagal menguruskan kewangan dengan baik. Ia sering berlaku apabila individu itu mengambil pinjaman yang berlipat kali ganda dari jumlah pendapatan dan gagal membuat bayaran balik pinjaman yang akhirnya boleh membawa kepada kemuflisan.

 

Sehubungan dengan itu, beberapa saranan telah dinyatakan oleh Bank Negara antaranya ialah:

 

Pertama: Bebelanjalah mengikut kemampuan.

Kedua: Berurusan dengan institusi yang sah seperti bank, koperasi dan juga pemberi pinjaman yang berlesen yang disahkan oleh Kementerian. Umat ​​Islam juga dinasihatkan agar berhati-hati di dalam membuat pelaburan dengan menyemak dahulu dengan pihak berwajib bagi mempastikan skim pelaburan yang dipilih itu adalah sah dan selamat.

Ketiga: Minta nasihat dan khidmat jika mengalami masalah kewangan antaranya melalui BNMLINK, unit aduan di setiap agensi kewangan, Biro Pengantaran Kewangan dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit.

 .

.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

 

Menamatkan khutbah pada minggu ini, mimbar yang mulia ini ingin mengingatkan umat Islam dan para jemaah sekalian, marilah sama -sama kita mengamalkan tuntutan hidup bersederhana dan berjimat cermat sepanjang masa. Sebagai manusia yang beriman dan berintegriti hendaklah kita menjauhi sifat membazir agar mendapat keberkatan hidup dari Allah SWT.

Malahan dengan mengamalkan sikap berjimat cermat ia akan mendatangkan banyak faedah kepada diri kita dalam banyak perkara di antaranya, kita akan mendapat ganjaran pahala dari Allah SWT, terselamat dari muflis akibah hutang dan berbelanja berlebihan menurut hawa nafsu serta kita juga akan mempunyai simpanan yang dapat menjamin hidup kita di saat menghadapi kesusahan.

 

Percayalah, sikap berjimat cermat ini bukan sahaja dapat memberi kebaikan kepada diri, keluarga dan masyarakat bahkan kita akan mendapat ganjaran pahala serta keberkatan dari Allah SWT kerana sikap sebegini pasti menjadi contoh dan ikutan terbaik buat anak-anak dan generasi muda. Janganlah kita menunggu hanya apabila hidup susah dan gawat baru kita hendak memulakan hidup bersederhana dan berjimat cermat.

Mimbar juga mengambil kesempatan pada hari ini, menyeru sidang jumaat dan umat Islam sekalian agar senantiasa mempertahankan hak-hak istimewa umat Islam dari dicerobohi oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab dan cuba memperlekehkan ummah. Marilah kita bersatu padu dalam hal ini tanpa mengira kedudukan dan fahaman demi memertabatkan Islam dan umatnya.

 

Menamatkan khutbah marilah sama -sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah Luqman ayat 20:

 أَلَمْ تَرَوْا۟ أَنَّ ٱللَّهَ سَخَّرَ لَكُم مَّا فِى ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَمَا فِى ٱلْأَرْضِ وَأَسْبَغَ عَلَيْكُمْ نِعَمَهُۥ ظَٰهِرَةًۭ وَبَاطِنَةًۭ ۗ وَمِنَ ٱلنَّاسِ مَن يُجَٰدِلُ فِى ٱللَّهِ بِغَيْرِ عِلْمٍۢ وَلَا هُدًۭى وَلَا كِتَٰبٍۢ مُّنِيرٍۢ

Bermaksud: “Tidakkah kamu memperhatikan bahawa Allah telah memudahkan untuk kegunaan kamu apa yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan telah melimpahkan kepada kamu nikmat-Nya yang zahir dan yang batin? Dalam pada itu, ada di antara manusia orang yang membantah mengenai (sifat-sifat ) Allah dengan tidak sebarang pengetahuan atau petunjuk; dan tidak berdasarkan Kitab Allah yang menerangi kebenaran.”

.

.

بَارَكَ اللهُ لِي وَلَكُمْ فِى الْقُرْءَانِ الْعَظِيمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُم تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيمَ لِي وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، والْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوهُ فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَعْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.

.

.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

” Tuntutan Hidup Bersederhana “

(4 Oktober 2013 /28 Zulkaedah 1434H )

.

.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

.

Posted by; shafiqolbu

sign s

.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: