Khutbah Hari Raya Aidil Adha: Lambang Perpaduan Hakiki

بِسۡـــــــــمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

jenis Haji SQ.

 Iduladha: “Lambang Perpaduan Hakiki”


.

Adha 1Adha 2Adha 3   .

Muslimin Muslimat Yang Di Rahmati Allah,

.

Marilah kita perkasakan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan mengerjakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita mendapat keberkatan dan keredhaan-Nya di dunia dan di akhirat. Pada pagi yang berbahagia ini mimbar akan membicarakan tajuk “IDULADHA LAMBANG PERPADUAN HAKIKI ”.

.

اللهُأَكْبَرُ،اللهُأَكْبَرُ،اللهُأَكْبَرُ،وَلِلهِالْحَمْدُ

.

Alhamdulillah, hari ini seluruh umat Islam menyambut Idul Adha atau hari raya Korban. Pada hari ini juga jutaan umat Islam yang berada di Kota Makkah menunaikan ibadah Haji. Bagi kita yang tidak berkesempatan untuk ke tanah suci, maka pada hari ini kita berhimpun, bertakbir, bertahmid dan menunaikan solat sunat iduladha. Seterusnya pada hari ini juga, umat Islam diperintah dan disunatkan berkorban binatang ternakan sebagai korban untuk disedekahkan dagingnya kepada fakir misikin semata-mata kerana Allah SWT. 

 

Sabda Rasulullah SAW :

 Adha 4

Mafhumnya: “Sesungguhnya pertama-tama amalan yang kita lakukan pada hari ini (iduladha) ialah supaya kita solat kemudian kembali ke rumah lalu kita menyembelih korban, maka barangsiapa yang mengerjakan sedemikian ia telah mengikut sunnahku. Adapun orang yang menyembelih sebelum melakukan solat, maka itu hanyalah merupakan daging yang hendak dipergunakan untuk keluarganya sahaja, tidak termasuk amalan ibadah penyembelihan korban.” (Riwayat Muslim dan al Bukhari)

.

اللهُأَكْبَرُ،اللهُأَكْبَرُ،اللهُأَكْبَرُ،وَلِلهِالْحَمْدُ

.

Muslimin Muslimat Yang Di Rahmati Allah,

.

Iduladha yang kita rayakan ini melambangkan perpaduan hakiki umat Islam yang menerima keesaan Allah SWT sebagai tuhan, Rasulullah SAW sebagai satu-satu pemimpin dan ikutan,  al-Quran sebagai pedoman dan jihad serta pengorbanan sebagai satu dorongan. Namun, persoalan besar timbul pada hari ini, sejauh manakah kita berpegang dengan ajaran Islam dalam semua aspek kehidupan?. Sejauh manakah kita benar-benar menghayati setiap ibadah yang disyariatkan kepada kita?, atau hanya sekadar suatu amalan yang diwarisi turun temurun dari ibu bapa dan nenek moyang kita?.

.

Inilah persoalan-persoalan yang perlu difahami dengan sejelas-jelasnya agar ibadah yang dilakukan tidak hanya secara ibadah dan budaya tanpa memahami hakikat pensyariatan sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah SWT. Yakinlah bahawa pengabdian diri kepada Allah SWT mestilah diterjemahkan melalui pelaksanaan syariat Allah yang terkandung dalam al-Qur’an dan as-Sunnah. Perlu kita insafi bahawa timbulnya pelbagai isu dan permasalahan dalam masyarakat seperti gejala ocial, keruntuhan moral, jenayah rompakan, rogol, bunuh, penagihan dadah, kes-kes rasuah, pecah amanah, murtad dan sebagainya adalah kerana belum menyeluruhnya penghayatan kita kepada tuntutan-tuntutan syariat Allah SWT. Hal ini dinyatakan oleh Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 85:

أَفَتُؤْمِنُونَ بِبَعْضِ ٱلْكِتَٰبِ وَتَكْفُرُونَ بِبَعْضٍۢ ۚ فَمَا جَزَآءُ مَن يَفْعَلُ ذَٰلِكَ مِنكُمْ إِلَّا خِزْىٌۭ فِى ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا ۖ وَيَوْمَ ٱلْقِيَٰمَةِ يُرَدُّونَ إِلَىٰٓ أَشَدِّ ٱلْعَذَابِ ۗ وَمَا ٱللَّهُ بِغَٰفِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ

Maksudnya: “Sesudah itu maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain?. Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu selain dari kehinaan ketika hidup di dunia; dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat, dan (ingatlah) Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan.”

.

Ketahuilah bahawa ibadah Haji yang sedang dilaksanakan pada saat ini, perlulah dihayati dengan sedalam-dalamnya supaya kita dapat menjiwai ruh atau semangat Iduladha yang kita sambut ini. Umat Islam hari ini dengan laungan kalimah yang sama, pakaian ihram serba putih, dengan niat yang satu, tidak mengira apa bangsa dan keturunan adalah melambangkan kesamaan antara kita sebagai hamba Allah SWT. Ianya juga merupakan perhimpunan tahunan yang disyariatkan oleh Allah dalam bentuk yang amat berkesan iaitu mengikat perpaduan melalui pegangan akidah dan bukannya melalui fahaman bangsa dan material.

.

Yakinlah bahawa Iduladha yang kita rayakan ini jika benar dihayati pasti dapat memupuk semangat perpaduan sesama kita sebagai umat Islam, menjaga hubungan persaudaraan, sanggup berkorban, bersatu hati, menghindari sikap mementingkan diri sendiri demi perpaduan ummah. Prinsip-prinsip yang membentuk perpaduan inilah yang perlu difahami dan dijunjung oleh setiap individu muslim. Umat Islam yang longgar atau mengenepikan prinsip-prinsip yang membentuk perpaduan sebenarnya akan membuka ruang dan peluang kepada musuh-musuh Islam menerobos untuk melemahkan serta menghancurkan Islam dan umatnya.

.

Lihatlah, bukti nyata gerakan mereka telahpun dizahirkan dihadapan kita melalui jarum NGO’s, parti politik dan media baru yang digerakkan oleh mereka. Bayangkanlah, mereka dengan beraninya menghina, mencabar dan mempersendakan umat Islam dari pelbagai sudut termasuklah mahu menggunakan kalimah Allah, mempertikaikan bacaan al-Quran di masjid dan membantah laungan Azan dengan pembesar suara. Fenomena ini makin menjadi-jadi disebabkan perpecahan umat Islam. Oleh itu perpaduan adalah agenda ummah yang penting yang mesti diperjuangkan jika kita mahu mengembalikan kekuatan ummah.

.

اللهُأَكْبَرُ،اللهُأَكْبَرُ،اللهُأَكْبَرُ،وَلِلهِالْحَمْدُ

.

Muslimin Muslimat Yang Di Rahmati Allah,

.

Begitu juga ibadah sembelihan yang disyariatkan pada Iduladha dan juga hari-hari tasyriq perlulah dihayati dengan sebenar-benarnya. Iduladha dengan pensyariatan ibadah korban adalah isyarat yang jelas daripada Allah mengenai keperluan berkorban tenaga, masa dan harta benda demi agama Allah SWT. Tanpa pengorbanan agama, fikiran dan harta benda, tidak mungkin syariat Allah SWT dapat ditegakkan.

.

Renungkanlah sejarah pengorbanan agong Nabi Ibrahim AS yang sanggup menyembelih Nabi Ismail AS, kepatuhan seorang isteri yang bernama Hajar kepada suaminya Nabi Ibrahim AS untuk tinggal keseorangan di tanah gersang Mekah, Demikian juga kerelaan seorang anak iaitu Nabi Ismail AS untuk disembelih oleh bapanya, semata-mata kerana perintah Allah.

.

Inilah sikap dan prinsip yang sewajarnya dimiliki oleh umat Islam hari ini. Yakinlah bahawa umat Islam perlu bersedia untuk berkorban apa sahaja demi tertegaknya akidah tauhid dan terlaksananya syariat Allah SWT. Inilah intipati pengajaran daripada pengorbanan agong yang diterokai oleh Nabi Ibrahim AS, isteri dan anaknya alahimussolatuwassalam. Firman Allah SWT dalam surah As-Saafaat ayat 103-108:

فَلَمَّا أَسْلَمَا وَتَلَّهُ لِلْجَبِينِ ﴿١٠٣﴾ وَنَادَيْنَاهُ أَن يَا إِبْرَاهِيمُ ﴿١٠٤﴾ قَدْ صَدَّقْتَ الرُّؤْيَا ۚ إِنَّا كَذَٰلِكَ نَجْزِي الْمُحْسِنِينَ ﴿١٠٥﴾ إِنَّ هَـٰذَا لَهُوَ الْبَلَاءُ الْمُبِينُ ﴿١٠٦﴾ وَفَدَيْنَاهُ بِذِبْحٍ عَظِيمٍ ﴿١٠٧﴾ وَتَرَكْنَا عَلَيْهِ فِي الْآخِرِينَ ﴿١٠٨﴾

 Maksudnya: “Setelah keduanya berserah diri, dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah. Serta Kami menyerunya: Wahai Ibrahim! Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi itu. Demikianlah sebenarnya kami membalas orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata. Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar. Dan Kami kekalkan baginya nama yang harum dalam kalangan orang yang datang kemudian.”

.

اللهُأَكْبَرُ،اللهُأَكْبَرُ،اللهُأَكْبَرُ،وَلِلهِالْحَمْدُ

.

Muslimin Muslimat Yang Di Rahmati Allah,

.

Mimbar hari ini ingin mengingatkan kita semua bahawa kedudukan umat Islam semakin dicabar oleh mereka yang tidak bertanggungjawab dan pihak yang tiada kaitan dengan Islam. Cahaya kebenaran Islam sentiasa cuba dipadamkan oleh mereka dengan pelbagai cara demi memesongkan manusia daripada menerima kebenaran Islam. Pelbagai fahaman, ideologi moden seperti kapitalisme, materialisme, liberalisme, plurarisme dan komunisme serta unsur-unsur negatif yang mempengaruhi umat Islam telah melanda dengan mudahnya. Kita juga digemparkan dengan isu murtad dan cubaan memurtadkan umat Islam. Kita dihimpit dengan budaya songsang seperti black metal, budaya punk, gejala gay, seks bebas dan sebagainya.

.

Akhir-akhir ini kita juga dikejutkan dengan gerakan golongan yang berfahaman Syiah. Fahaman Syiah ini semakin meruncing apabila ada dari kalangan mereka yang berpendidikan tinggi dan berlatarbelakang agama serta mempunyai pengaruh politik telah memainkan peranan untuk menyebarkan fahaman ini secara serius terutama kepada golongan muda dan para pelajar di universiti serta menular kepada masyarakat awam. Banyak penyelewengan yang telah dilakukan oleh golongan ini yang menyentuh samada dari sudut akidah, syariah dan kepentingan umum. Gerakan mereka berlaku terutamanya dengan penyebaran kitab-kitab utama Syiah ke seluruh pelusuk tempat di negara kita. Inilah antara beberapa siri cabaran yang terpaksa dihadapi oleh umat Islam yang memerlukan kekuatan iman, ketinggian ilmu dan kesatuan fikrah.

.

Justeru, mimbar menyeru kepada para jemaah dan semua umat Islam agar sentiasa berwaspada serta  bersedia mempertahankan kesucian akidah Islam daripada sebarang bentuk penyelewengan dan pencemaran yang boleh menggugat akidah umat Islam, perpaduan ummah dan keharmonian hidup yang selama ini berpegang teguh dengan pegangan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah. Semua gejala keruntuhan akidah ini sebenarnya telah menjatuhkan kemuliaan dan darjat manusia. Akibat yang lebih buruk ialah azab siksa yang pedih di akhirat yang menanti golongan yang ingkar lagi kufur.

 

Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 72:

لَقَدْ كَفَرَ ٱلَّذِينَ قَالُوٓا۟ إِنَّ ٱللَّهَ هُوَ ٱلْمَسِيحُ ٱبْنُ مَرْيَمَ ۖ وَقَالَ ٱلْمَسِيحُ يَٰبَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ ٱعْبُدُوا۟ ٱللَّهَ رَبِّى وَرَبَّكُمْ ۖ إِنَّهُۥ مَن يُشْرِكْ بِٱللَّهِ فَقَدْ حَرَّمَ ٱللَّهُ عَلَيْهِ ٱلْجَنَّةَ وَمَأْوَىٰهُ ٱلنَّارُ ۖ وَمَا لِلظَّٰلِمِينَ مِنْ أَنصَارٍۢ

Bermaksud: “Sesungguhnya telah kafirlah orang yang berkata: Bahawasanya Allah ialah Al-Masih Ibni Maryam. Padahal al-Masih sendiri berkata: Wahai Bani Israil!. Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu, bahawasanya sesiapa yang mempersekutukan Allah, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya Syurga, dan tempat kembalinya ialah neraka; dan tiadalah seorang penolong pun bagi orang yang berlaku zalim.”

 

Mimbar yang mulia ini ingin mengingatkan umat Islam janganlah kita membiarkan mana-mana pihak bertindak sesuka hati memesong akidah dan menghina Islam. Sedarlah tentang ancaman yang sedang berlaku saat ini dan marilah kita bergandingan dan terus mempertahankan kesucian Islam ini sesuai dengan semangat cinta kepada Allah SWT berdasarkan peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim AS, Nabi Ismail AS dan Hajar.

 

Insaflah bahawa, ibadah haji dan ibadat korban mengingatkan kita agar jangan lupa bahawa kita berada dalam satu perpaduan kemanusiaan dan jangan pula kita hancur menjadi mangsa korban kepada musuh-musuh Islam. Ingatlah,musuh Islam sentiasa bersatu demi kepentingan dan agenda mereka.

 

Namun, bagaimana pula dengan umat Islam apabila agama dan bangsa kita sedang diserang? Adakah kita semakin bersatu atau semakin berpecah? Adakah kita sanggup menggadaikan agama Islam hanya kerana fahaman politik dan kepentingan peribadi?.

.

اللهُأَكْبَرُ،اللهُأَكْبَرُ،اللهُأَكْبَرُ،وَلِلهِالْحَمْدُ

.

Muslimin Muslimat Yang Di Rahmati Allah,

.

Marilah kita gunakan kesempatan hari yang mulia ini, untuk membina keutuhan tali persaudaraan diantara kita dengan amalan ziarah-menziarahi dan bermaaf-maafan. Buang yang keruh, ambillah yang jernih. lebih-lebih lagi dalam menangani isu yang membabitkan agama dan masa depan umat Islam, maka sewajarnya kita sama-sama bangkit bersatu hati tanpa mempedulikan perbezaan latar belakang, ekonomi, miskin atau kaya, berbeza latar belakang fahaman atau politik. Kita ketepikan segala perbezaan-perbezaan tersebut. Inilah masanya kita wajib bergandingan dalam satu barisan atas nama agama Allah dan bertindak mengikut kemampuan masing-masing agar kesucian Islam terus terpelihara dan dipertahankan.

.

Ingatlah bahawa pengorbanan yang sebenarnya adalah pengorbanan yang berasaskan perpaduan. Inilah pengorbanan yang mesti dilakukan oleh setiap kita, demi membela dan menyelamatkan Islam dan umatnya. Kesemua ini menuntut pengorbanan jiwa raga dan harta benda berlandaskan ketakwaan dan keikhlasan. Tanpa dua elemen ini, maka tidak tercapai matlamat pengorbanan seperti mana yang dituntut oleh Allah SWT.

 

Firman Allah SWT dalam surah al-Hajj ayat  37:

لَن يَنَالَ ٱللَّهَ لُحُومُهَا وَلَا دِمَآؤُهَا وَلَٰكِن يَنَالُهُ ٱلتَّقْوَىٰ مِنكُمْ ۚ كَذَٰلِكَ سَخَّرَهَا لَكُمْ لِتُكَبِّرُوا۟ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَىٰكُمْ ۗ وَبَشِّرِ ٱلْمُحْسِنِينَ

Maksudnya: “Daging dan darah binatang korban itu tidak akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah ketaqwaan kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang itu bagimu supaya kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya kepadamu. Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang yang berusaha supaya baik amalnya.”

.

اللهُأَكْبَرُ،اللهُأَكْبَرُ،اللهُأَكْبَرُ،وَلِلهِالْحَمْدُ

.

Muslimin Muslimat Yang Di Rahmati Allah,

.

Mengakhiri khutbah mimbar ini menyeru, marilah kita menghayati tuntutan-tuntutan syarak yang terkandung dalam amalan ibadah haji dan ibadah korban yang berpaksikan hubungan kita yang erat dengan Allah SWT dan hubungan kita sesama kita. Mimbar juga ini berpesan bahawa Iduladha yang dirayakan tanpa perpaduan hakiki antara kita ianya tidak akan memberi apa-apa makna dan kesan kepada kehidupan samada di dunia dan akhirat. Semoga semangat pengorbanan Nabi Ibrahim AS yang suci, Nabi Ismail AS yang berani dan bondanya Hajar yang begitu tabah hati, mampu menyuntik semangat kepada kita semua.

Marilah sama-sama kita menghayati firman Allah SWT dalam surah al-Kauthar ayat 1-3:

إِنَّا أَعْطَيْنَاكَ الْكَوْثَرَ ﴿١﴾ فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ ﴿٢﴾ إِنَّ شَانِئَكَ هُوَ الْأَبْتَرُ ﴿٣﴾

Maksudnya: “Sesungguhnya kami telah mengurniakan kepadamu(wahai Muhammad) kebaikan-kebaikan yang banyak( di dunia dan akhirat). Oleh itu kerjakanlah sembahyang kerana tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, dialah yang terputus (dari mendapat sebarang perkara yang diingininya).”

.

بَارَكَ اللهُ لِي وَلَكُمْ فِى الْقُرْءَانِ الْعَظِيمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُم تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيمَ لِي وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، والْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوهُ فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَعْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.

.

اَللَّهُ أَكْبَرُ اَللَّهُ أَكْبَرُ وَاللَّهُ أَكْبَرُ، لآ إِلَهَ إِلاَّ اَللَّهُ وَاللَّهُ أَكْبَرُ، اَللَّهُ أَكْبَرُ وَالِلَّهِ الْحَمْدُ.

.

.

.

KHUTBAH KEDUA IDULADHA

 

.

Adha 2aاَللَّهُ أَكْبَرُ اَللَّهُ أَكْبَرُ وَاللَّهُ أَكْبَرُ، اَللَّهُ أَكْبَرُ وَالِلَّهِ الْحَمْدُ.

.

.

Muslimin Muslimat Yang Di Rahmati Allah,

.

Marilah kita pada hari yang penuh berkat ini, kita mensyukuri segala nikmat yang diberikan oleh Allah SWT kepada kita. Sesungguhnya disekeliling kita masih terdapat golongan yang kurang bernasib baik dan memerlukan bantuan daripada kita. Sebahagian daripada bantuan itu adalah mengagihkan daging korban. Pengagihan daging korban dapat membantu meringankan beban, mempertingkatkan kualiti hidup dan mengeratkan silaturahim umat Islam itu sendiri.

.

Selain daging korban, umat Islam juga boleh menghantar sumbangan yang pelbagai bentuk, tanda kasih sayang sesama kita. Walaupun harga sebahagian binatang korban itu semakin meningkat, namun ia tidak menjadi penghalang bagi yang mampu kerana ganjaran pahalanya yang besar. Ingatlah bahawa setiap pengorbanan yang kita lakukan hendaklah disertakan dengan niat dan amalan yang ikhlas. Seandainya ibadat korban yang kita lakukan dicemari dengan sifat riak, takabbur dan menunjuk-nunjuk, maka akan tertutuplah rahmat Allah SWT dan sia-sialah amalan yang kita lakukan.

.

اللهُأَكْبَرُ،اللهُأَكْبَرُ،اللهُأَكْبَرُ،وَلِلهِالْحَمْدُ

.

Muslimin Muslimat Yang Di Rahmati Allah,

.

Mimbar menyambut baik usaha yang telah dijalankan oleh pihak-pihak tertentu seperti masjid-masjid, surau-surau, NGO dan pertubuhan Islam lain yang menjalankan program ibadah korban di negara-negara minoriti Islam seperti Kemboja, Mindanao, dan Vietnam bagi menyahut seruan ini. Paling penting adalah mereka yang menggorbankan harta dan binatang ternakan bagi tujuan suci ini. Mimbar amat menghargai sumbangan jemaah dan umat Islam sekalian yang menghidupkan ibadah korban sama ada diperingkat kampung, taman perumahan, mahu pun di luar negara. Inilah yang akan menaikan imej izzah umat Islam di sini dan negara Malaysia yang kita cintai di mata dunia serta akan mendapat pahala ganjaran dari Allah SWT.

.

Marilah kita suburkan perpaduan antara kita kerana akhir-akhir ini bibit perpecahan di kalangan masyarakat mencetuskan reaksi yang kurang menyenangkan. Renungkan sejenak tentang nasib saudara seagama kita yang kini hidup diburu ketakutan, kelaparan, sengsara di negara masing-masing. Saban hari ada sahaja nyawa yang hilang tanpa mengenal kanak-kanak atau orang tua. Hari ini kita menangis kerana kematian orang tersayang samada sakit atau kemalangan, tetapi di negara-negara lain mereka menangis disebabkan kematian yang berpunca daripada persengketaan dan kekacauan. Sesungguhnya keamanan adalah nikmat yang sangat berharga dan wajib dipertahankan.

.

Justeru, dengan nikmat keamanan ini, kita dapat berhimpun dan bertemu saudara mara, sahabat handai juga jiran tetangga. Dengannya juga, kita dapat menunaikan ibadah korban serta berziarah tanpa sebarang halangan. Tidak hairan ramai pengunjung yang datang ke negara ini merasa tenang, gembira di atas keselamatan diri mereka. Walau bagaimanapun keadaan ini perlu dipertingkatkan sejajar dengan pembangunan negara berasaskan prinsip keimanan dan ketakwaan yang lebih teguh.

.

اللهُأَكْبَرُ،اللهُأَكْبَرُ،اللهُأَكْبَرُ،وَلِلهِالْحَمْدُ

.

Muslimin Muslimat Yang Di Rahmati Allah,

.

Pada hari ini marilah kita memperbanyakkan ucapan salawat dan salam ke atas Baginda Nabi Muhammad SAW kerana telah menyampaikan Islam kepada kita melalui berbagai bentuk pengorbanan dan jihad. Tanda kasih kita kepada Baginda hendaklah dirakamkan dalam bentuk ucapan selawat dan salam sebagaimana firman Allah SWT di dalam Surah al-Ahzab ayat 56:

إِنَّ ٱللَّهَ وَمَلَٰٓئِكَتَهُۥ يُصَلُّونَ عَلَى ٱلنَّبِىِّ ۚ يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ صَلُّوا۟ عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا۟ تَسْلِيمًا

Bermaksud: “Sesungguhnya Allah SWT dan malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW); Wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.”

 

.

Adha 2a1

Adha 2a2

Adha 2akhir1

Adha 2akhir2

Adha 2akhir3

 

Adha 2akhir4

.

 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

“Iduladha: Lambang Perpaduan Hakiki”

(15 Oktober 2013 / 10 Zulhijjah 1434H)

.

.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

.

Posted by; shafiqolbu

sign s

.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: