KJ : Penjagaan Alam Sekitar Tanggungjawab Bersama

بِسۡـــــــــمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

pemuliharaan-alam-sekitar (1).

Khutbah Jumaat: “Penjagaan Alam Sekitar Tanggungjawab Bersama”

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقاَئِل:

وَالْأَرْضَ مَدَدْنَاهَا وَأَلْقَيْنَا فِيهَا رَوَاسِيَ وَأَنبَتْنَا فِيهَا مِن كُلِّ شَيْءٍ مَّوْزُونٍ ﴿١٩﴾ وَجَعَلْنَا لَكُمْ فِيهَا مَعَايِشَ وَمَن لَّسْتُمْ لَهُ بِرَازِقِينَ ﴿٢٠﴾

أَشْهَدُ أَن لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ،

اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ.

أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللَّهِ، إِتَّقُوا اللَّهَ، أُوْصِيكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللَّهِ، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُونَ.

.

Muslimin yang dirahmati Allah,

.

Saya berpesan kepada diri saya dan menyeru kepada sidang Jumaat yang dikasihi sekalian, marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa serta melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kehidupan kita diberkati di dunia dan di akhirat. Bersempena dengan sambutan Hari Alam Sekitar Malaysia (MASM) pada tahun ini, maka mimbar jumaat pada hari ini akan membicarakan tajuk khutbah Jumaat ialah: “PENJAGAAN ALAM SEKITAR TANGGUNGJAWAB BERSAMA”.

.

.

Muslimin yang dirahmati Allah,

.

Islam melarang umatnya dari melakukan sebarang bentuk kerosakan di atas muka bumi. Ini termasuk kerosakan jiwa, harta benda dan alam sekitar. Bahkan umat Islam wajib mencontohi akhlak junjungan besar Nabi Muhammad SAW dalam memastikan hubungan dengan alam terus terpelihara. Berdasarkan sifat rahmat yang dibawa oleh Baginda SAW adalah untuk sekalian alam, maka apa sahaja kehidupan di atas alam ini wajib diberikan hak kehidupannya mengikut sunatullah. Manusia yang bijak mengguna akal fikiran akan bertambah mulia martabat mereka sekiranya dapat memanfaatkan khazanah alam dengan baik.

Firman Allah lagi di dalam Surah Sajdah ayat 4:

اللَّـهُ الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ وَمَا بَيْنَهُمَا فِي سِتَّةِ أَيَّامٍ ثُمَّ اسْتَوَىٰ عَلَى الْعَرْشِ ۖ مَا لَكُم مِّن دُونِهِ مِن وَلِيٍّ وَلَا شَفِيعٍ ۚ أَفَلَا تَتَذَكَّرُونَ ﴿٤﴾

Maksudnya: “Allah Tuhan yang menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada diantara keduanya dalam enam masa, kemudian ia bersemayan diatas Arasy, kamu tidak akan beroleh sebarang penolong dan pemberi syafa’at selain dari Allah, oleh itu tidakkah kamu mahu insaf dan mengambil iktibar ( untuk mencapai keredhaan-Nya).”

.

Namun persoalan besar timbul ialah tindakan segelintir manusia yang tidak bersyukur dengan ghairah mengeluarkan kekayaan dari perut bumi dan kerakusan menambah harta kekayaan sewenang-wenangnya sehingga merosakkan ekosistemnya, memberi kesan jangka masa panjang yang menyebabkan bencana yang tidak dijangka berlaku seperti meningkatnya paras air laut, banjir besar, gempa bumi, glazier semakin mencair di Antartika dan perubahan cuaca tidak menentu.

.

Percayalah bahawa kesemua ini memberi kesan buruk terhadap kehidupan samada dari sudut pertanian, nelayan dan penduduk. Mengambil contoh apa yang berlaku baru-baru ini apabila ibu kota dilanda banjir yang mengakibatkan kemusnahan dan kerosakan harta benda yang banyak, begitu juga berlaku pembuangan sisa-sisa toksik atau air tercemar yang tidak dirawat oleh kilang-kilang industri, melakukan pembakaran secara terbuka dan sebagainya, yang mana gambaran-gambaran ini menyebabkan berlakunya pencemaran, maka barulah kita sedar bahawa alam sekitar yang dikurniakan kepada kita ini perlu dipelihara.

Allah SWT. menjelaskan didalam surah al-Rum ayat 41:

ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ ﴿٤١

Maksudnya: “Telah timbul berbagai-bagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan-tangan manusia, timbulnya yang demikian kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali ( insaf dan bertaubat ).”

.

.

Muslimin yang dirahmati Allah,

.

Yakinlah bahawa perubahan alam sekitar yang kadangkala hujan dan panas ini lebih merupakan satu ujian dan teguran daripada Allah SWT. Kita hendaklah merasa takut kepada Allah SWT. iaitu takut kepada kemurkaan, seksaan dan azab-Nya. Rasa takut ini boleh menyerap ke dalam jiwa, jika kita menyedari betapa azab Allah di akhirat sungguh dahsyat. Bayangkanlah, dengan hanya satu gigitan nyamuk sahaja sudah mampu untuk membunuh manusia dewasa yang sihat walafiat. Apatah lagi dengan azab api neraka Allah. Sudah pastilah kita tidak akan mampu menahan azab seksa-Nya. Ini jelas membuktikan bahawa betapa kerdil dan lemahnya diri kita ini berbanding kekuasaan dan kehebatan Allah SWT. Antara gambaran yang pernah diceritakan oleh Rasulullah SAW ialah mengenai betapa dahsyatnya kepanasan neraka berbanding kepanasan dunia.

Sabda Rasulullah SAW  yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari daripada Abu Hurairah RA:

kj alam sekitarMafhumnya: “Api yang kamu semua nyalakannya di dunia ini hanyalah satu juzuk daripada tujuh puluh juzuk api neraka jahannam. Para sahabat berkata: “Ya Rasulullah, api dunia ini sahaja sudah sangat panas”. Baginda bersabda: Memang, api neraka itu lebih panas lagi dengan enam puluh sembilan kali ganda panasnya, di mana setiap juzuk itu menyamai suhu panas api di dunia ini.”

.

Mimbar yang mulia ini ingin menyatakan bahawa dengan memiliki rasa takut kepada Allah SWT, kita akan memperolehi keberuntungan yang besar. Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah an-Nuur ayat 52:

وَمَن يُطِعِ اللَّـهَ وَرَسُولَهُ وَيَخْشَ اللَّـهَ وَيَتَّقْهِ فَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْفَائِزُونَ ﴿٥٢

Maksudnya: “Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, dan takut melanggar perintah Allah, serta menjaga dirinya, maka merekalah yang beroleh kemenangan.”

.

Justeru, bagaimanakah caranya untuk kita menimbulkan perasaan takut kepada Allah SWT. itu? Terdapat beberapa cara yang boleh kita lakukan untuk berbuat demikian, antaranya ialah:

Pertama: Mengambil iktibar daripada kisah-kisah yang telah diceritakan dalam al-Quran dan al-hadith tentang perbuatan yang mendatangkan kemurkaan Allah SWT. yang dilakukan orang yang terdahulu yang ingkar dan tidak patuh kepada perintah-Nya baik yang diterima semasa di dunia mahupun ketika di akhirat kelak.

Kedua: Untuk menimbulkan perasaan takut kepada Allah, kita hendaklah menyedari dan membayangkan betapa seksa dan pedihnya azab Allah di akhirat sehingga tidak dapat digambarkan betapa kedahsyatannya.

Percayalah, apabila seseorang itu takut kepada Allah SWT, dirinya akan sentiasa merasa malu dengan Allah, sentiasa rasa diperhatikan dan tindakannya pasti mengikut batasan syariat yang akhirnya pasti melahirkan kebaikan untuk umat manusia dan alam ini.

.

.

Muslimin yang dirahmati Allah,

.

Menyedari bencana alam sebagai hak mutlak Allah SWT yang tidak diduga, maka kesedaran tentang peranan dan tanggungjawab semua pihak dalam mengurus dan mengurangkan kesan bencana alam perlu dilakukan. Di negara kita, Jabatan Alam Sekitar adalah agensi kerajaan yang bertanggungjawab terhadap pemuliharaan alam sekitar. Fungsi utamanya adalah untuk mencegah, menghapus, mengawal dan membaiki alam sekeliling agar senantiasa terpelihara melalui penguatkuasaan dan program kesedaran serta pendidikan kepada masyarakat. Namun segala usaha tersebut perlulah diperkukuhkan melalui sokongan dan kerjasama padu semua pihak.

.

Mimbar ingin mengingatkan bahawa menjadi kewajipan semua pihak memastikan alam sekitar dipelihara dengan selamat. Inilah masanya semua umat Islam mesti sedar dan perlu memastikan sebarang rancangan pembangunan dan kegiatan sosio ekonomi masyarakat mestilah tidak merosakkan ekologi alam sekitar. Elakkanlah daripada menarah bukit, melakukan pembalakan haram, pembakaran terbuka dan pembuangan sampah yang tidak terkawal. Berusahalah untuk menghindari diri dan tempat tinggal dari sebarang bencana dengan menunai segala perintah Allah SWT dan meninggalkan tegahan-Nya, kerana sesungguhnya bencana adalah sebahagian daripada balasan dan ujian dari Allah SWT.

.

Mengakhiri khutbah pada minggu ini, mimbar menyeru kepada sidang jemaah dan umat Islam sekalian, marilah kita bersama bersatu hati dibawah satu lambang perpaduan, menyemai sikap kasih sayang dan bermuafakat untuk kemajuan demi agama, bangsa dan negara. Mimbar yakin jika semua manusia kembali kepada matlamat kehidupan yang sebenar maka bumi yang kita diami ini akan kembali aman dan tenang serta tiada lagi kegelisahan, ketakutan dan kebimbangan.

.

Marilah sama-sama kita mengurus amanah Allah SWT ini dengan rasa bertanggungjawab, beramanah, jujur bagi mengelak berlakunya kesan buruk terhadap kehidupan, ekonomi dan sosial negara. Ingatlah anugerah Allah SWT ini akan menjadi rahmat kepada kita, maka perlu disyukuri dengan memelihara sebaik-baiknya dan dalam masa yang sama juga boleh menjadi bala bencana serta azab yang tersiksa, sekiranya tidak bersyukur dengan mengabaikannya. Dengan itu seharusnya umat Islam mengambil manfaat dan menambahkan ketakwaan atas kebesaran kejadian Allah ini.

Marilah sama-sama kita merenung firman Allah dalah surah al-Araf ayat 97-98:

أَفَأَمِنَ أَهْلُ الْقُرَىٰ أَن يَأْتِيَهُم بَأْسُنَا بَيَاتًا وَهُمْ نَائِمُونَ ﴿٩٧﴾ أَوَأَمِنَ أَهْلُ الْقُرَىٰ أَن يَأْتِيَهُم بَأْسُنَا ضُحًى وَهُمْ يَلْعَبُونَ ﴿٩٨

Maksudnya: “Patutkah penduduk negeri-negeri itu merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada malam hari, semasa mereka sedang tidur? Atau patutkah penduduk negeri itu merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada siang hari, semasa mereka leka bermain-main?”

.

بَارَكَ اللهُ لِي وَلَكُمْ فِى الْقُرْءَانِ الْعَظِيمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُم تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيمَ لِي وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، والْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوهُ فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَعْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.

.

.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

“Penjagaan Alam Sekitar Tanggungjawab Bersama”

(25 Oktober 2013 / 20 Zulhijjah 1434H)

.

.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

.

Posted by; shafiqolbu

.

.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: