Suburkan Semangat Hijrah

th

Iktibar daripada hijrah Nabi Muhammad ﷺ adalah kejayaan dan kemajuan umat Islam yang diasaskan atas dasar perjuangan dan kekuatan umatnya melalui semangat pengorbanan dan perpaduan sebagaimana yang terkandung dalam peristiwa hijrah Nabawiah.

Hakikat perjuangan dan perpaduan yang dipelopori oleh Rasulullah ﷺ telah menjadikan umat Islam sebagai ummah yang kuat, progresif, maju dan disegani oleh musuh-musuh Islam.

Akhirnya setelah sekian lama umat Islam menjadi umat contoh, memiliki kekuasaan, pembawa obor tamadun dan kemajuan ilmu pengetahuan, mereka mulai lalai dan cuai dengan nikmat yang telah dikurniakan Allah SWT.

Satu demi satu negara Islam telah jatuh dan mundur dibolot oleh musuh-musuh Islam. Semangat perjuangan agama telah digantikan dengan perjuangan politik dan kepentingan peribadi yang merugikan rakyat dan bangsa.

Ditambah pula dengan masalah yang menekan jiwa umat Islam kini seperti kefahaman Islam yang cetek, timbulnya bermacam-macam fatwa, penyelewengan akidah, mengasingkan diri daripada urusan dunia, gejala sosial, ekonomi, politik, perpecahan keluarga dan sebagainya.

Islam akhirnya dipermain-mainkan oleh musuh Islam yang sentiasa mencari peluang untuk memusnahkannya.

Walau bagaimanapun kini telah timbul kesedaran di kalangan umat Islam untuk mengambil berat dan memikirkan mengenai masalah yang dihadapi umat Islam di serata dunia. Mereka telah bangkit berusaha bersungguh-sungguh agar umat Islam tidak terus ketinggalan dalam pelbagai kemelut.

Semangat hijrah membawa pengertian yang luas, keluar daripada gelanggang yang sempit ke gelanggang yang lebih luas dan ia adalah pemisah di antara yang hak dengan yang batil, antara yang benar dan salah serta berada dalam dimensi rahmat dan keredaan Allah SWT.

Dengan sifat-sifat ini kejayaan dan kemajuan ummah akan berhasil daripada pertolongan Allah SWT. Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka.” (ar-Ra’d: 11)

Apabila Nabi ﷺ berada di Madinah, perkara pertama yang dibuat ialah membina Masjid Quba’. Ini menunjukkan bahawa peranan masjid amat penting dalam pembinaan ummah, di samping mentauhidkan dan memperhambakan diri kepada Allah SWT.

Selepas itu Baginda menyatupadukan golongan Ansar (Madinah) dengan Muhajirin (Mekah). Nabi ﷺ juga mengikat janji setia dengan golongan Yahudi Madinah, tetapi kemudiannya melanggar dan mencerobohi perjanjian itu.

Apabila umat Islam mempunyai inisiatif untuk mengubah nasib diri mereka sendiri, maka pertolongan Allah pasti menjelma iaitu daripada kehinaan, kerendahan dan ketinggalan kepada puncak kemuliaan dan kejayaan.

Pertolongan Allah akan tiba apabila umat Islam sanggup membela agama Allah dan mentauhidkan-Nya. Sebaliknya jika umat Islam masih berdegil dan tidak memperjuangkan agama Allah yang sebenar-benarnya, maka selama itu umat Islam akan berpecah-belah.

Firman Allah SWT bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu membela (agama) Allah, nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan menegakkan tapak pendirian kamu. (Muhammad: 7)

Untuk mengubah diri, seseorang itu perlu melalui pembangunan jiwa, pembangunan mental, dan juga pembangunan fizikal. Pembangunan jiwa adalah suatu proses untuk melahirkan jiwa yang bertakwa, padu dan mantap. Ia merupakan unsur yang perlu difahami dan dititikberatkan oleh semua ummah.

Ketiadaan jiwa yang takwa akan mengakibatkan fungsi akal dan fizikal menjadi lumpuh dan cacat. Umumnya manusia menggunakan kecerdasan akal dan fizikal untuk membina tamadun ummah. Justeru, jika ia tidak seimbang, maka akan berlaku kegagalan dan sia-sia belaka.

Untuk tujuan itu, manusia yang merupakan khalifah di muka bumi ini, perlu mantapkan diri dengan perasaan cintakan Allah dengan segala jiwa dan raga. Malah tidak sesekali menyekutukan Allah dalam apa jua bentuk kepercayaan dan akidah yang menyeleweng.

Inilah matlamat hidup mukmin sejati di muka bumi sebelum bertemu Allah di alam akhirat kelak, di mana semuanya akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT.

Firman Allah bermaksud: Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku. (az-Zariat: 56)

Pengertian mengabdikan diri kepada Allah adalah melaksanakan semua perintah dan menjauhi larangan-Nya dan juga mengekalkan rasa kehambaan-Nya.

Sementara khalifah pula bererti, manusia dipertanggungjawabkan untuk memakmurkan bumi Allah ini dalam segala aspek kehidupan merangkumi bidang ekonomi, sosial, perubatan, pertanian, sains, teknologi, pendidikan dan sebagainya.

Oleh itu, kesedaran terhadap tanggungjawab ini yang lahir daripada jiwa seorang mukmin sejati, sudah tentu dapat membawa perubahan kepada pembangunan ummah, seterusnya mengembalikan kegemilangan Islam sesuai dengan semangat hijrah yang diasaskan oleh Rasulullah ﷺ.

 

Sumber: 

.

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: