KJ : Hijrah Perjuangan Satukan Ummah

بِسۡـــــــــمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

khutbah jumaat.

Khutbah Jumaat: Hijrah Perjuangan Satukan Ummah

 

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقاَئِل:

وَالَّذِينَ آمَنُوا وَهَاجَرُوا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّـهِ وَالَّذِينَ آوَوا وَّنَصَرُوا أُولَـٰئِكَ هُمُ الْمُؤْمِنُونَ حَقًّا ۚ لَّهُم مَّغْفِرَةٌ وَرِزْقٌ كَرِيمٌ ﴿٧٤﴾

أَشْهَدُ أَن لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ،

اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ.

أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللَّهِ، إِتَّقُوا اللَّهَ، أُوْصِيكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللَّهِ، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُونَ. 

.

.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

 

Di kesempatan berada pada hari Jumaat yang mulia ini, saya berpesan kepada diri saya dan kepada sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita memperolehi keberkatan dan keredhaan serta perlindungan Allah SWT di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah bertajuk: “HIJRAH PERJUANGAN SATUKAN UMMAH”.

.

.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

 

Alhamdulillah, sekarang kita berada di tahun baru hijrah 1435H. Pelbagai usaha dan cara dilakukan oleh umat Islam dalam menyambut kedatangan tahun baru hijrah ini. Justeru, iktibar daripada hijrah ini adalah kejayaan dan kemajuan umat Islam yang diasaskan atas dasar perjuangan dan kekuatan umatnya melalui semangat pengorbanan dan perpaduan sebagaimana terkandung dalam peristiwa hijrah Nabawiah. Perlu kita ingat bahawa dengan berjayanya hijrah menjadi jambatan tertegaknya Daulah Islamiah kerana hijrah tersebut dipandu dan didukung oleh keimanan dan ketakwaan yang padu. Kejayaan hijrah ini juga telah mengubah landskap akidah, ibadah, akhlak dan membina masa depan ummah.

 

Firman Allah SWT dalam surah 4 an-Nisa’ ayat 100:

وَمَن يُهَاجِرْ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ يَجِدْ فِي الْأَرْضِ مُرَاغَمًا كَثِيرًا وَسَعَةً ۚ وَمَن يَخْرُجْ مِن بَيْتِهِ مُهَاجِرًا إِلَى اللَّـهِ وَرَسُولِهِ ثُمَّ يُدْرِكْهُ الْمَوْتُ فَقَدْ وَقَعَ أَجْرُهُ عَلَى اللَّـهِ ۗ وَكَانَ اللَّـهُ غَفُورًا رَّحِيمًا﴿١٠٠﴾

Maksudnya: “Dan sesiapa yang berhijrah di jalan Allah, nescaya ia akan dapati dibumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur: dan sesiapa yang keluar dari rumahnya untuk berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian ia mati sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”

.

.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

 

Ingatlah, semangat hijrah membawa pengertian yang luas, keluar dari kancah perjuangan dan gelanggang yang sempit ke gelanggang lebih luas dan ia adalah pemisah di antara hak dan batil. Dengan sifat-sifat ini kejayaan dan kemajuan ummah akan berhasil daripada pertolongan Allah SWT. Fikirkanlah apa gunanya kita berhijrah jika hijrah itu hanya berdasarkan emosi dan pengaruh duniawi semata-mata dan bukannya berpaksikan kepada keimanan kepada Allah SWT.

 

Pengajaran yang penting kepada kita daripada peristiwa ini ialah perlunya kita mengikuti jejak langkah Rasulullah SAW yang menjadikan tuntutan iman dan takwa sebagai faktor pendorong kepada tugas berhijrah.

 

Justeru, apabila umat Islam ada inisiatif  untuk mengubah nasib diri, maka pertolongan Allah SWT pasti akan tiba. Percayalah bahawa untuk mengubah diri manusia perlu pembangunan jiwa, mental dan fizikal. Pembangunan jiwa adalah suatu proses untuk melahirkan jiwa yang bertakwa, padu dan mantap. Ketiadaan jiwa yang takwa akan mengakibat kan fungsi akal dan fizikal menjadi lumpuh dan cacat.

 

Waspadalah kerana pemikiran dan akal jika tidak dijaga dengan sebaiknya akan memberi ruang kepada pihak musuh untuk mempengaruhi emosi kita dan seterusnya mampu mengarahkan setiap tindakan kita. Akhirnya, seseorang manusia yang dimanipulasi emosinya hingga gagal menggunakan fungsi akalnya dan ini sangatlah merbahaya kepada masa depan umat Islam.

 

Oleh itu, kesedaran terhadap tanggungjawab perlulah  lahir dari jiwa seorang mukmin sejati, yang pastinya dapat membawa perubahan kepada pembangunan ummah, seterusnya mengembalikan kegemilangan Islam sesuai dengan semangat hijrah diasaskan oleh Rasulullah SAW sejak dahulu lagi.

 

Firman Allah SWT dalam surah 13 ar-Rad ayat 11:

 إِنَّ اللَّـهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُوا مَا بِأَنفُسِهِمْ 

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.”

.

.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

 

Dalam merealisasikan hijrah perjuangan satukan ummah. Mimbar ingin menyatakan bahawa perkara pertama yang mesti dilakukan adalah dengan menyediakan asas yang betul dan kukuh bagi membina perpaduan. Dalam hal ini, harus diingat ianya bukanlah bersifat dari luar ke dalam (Outside-in) tetapi ianya bersifat (Inside-Out) dari dalam keluar. Ia melibatkan soal hati manusia, bukan sekadar fizikal dan material semata mata kerana perpaduan yang dimulai dari hati akan menerbitkan perasaan sayang dan kasih antara ummah itu sendiri.

 

Inilah langkah pertama yang dilakukan oleh Rasulullah SAW ketika mula menyatukan umat jahiliah di Makkah, bangsawan disatukan dengan hamba, yang kaya disatukan dengan yang miskin dan terpelajar disatukan dengan yang tidak berpelajaran. Hati bangsa Arab yang liar dipautkan antara satu sama lain.

 

Satu perkara lagi yang mesti dilakukan oleh umat Islam dalam semangat hijrah ini ialah mengubah pemikiran mereka dari bersifat tradisi kepada yang semasa dan  terbuka, ingatlah bahawa agama Islam bukan sahaja himpunan dogma-dogma dan acara ritual sahaja, akan tetapi ianya merangkumi cara hidup yang lengkap yang merangkumi semua bidang kehidupan manusia samada dari segi perundangan, politik, ekonomi, sosial, budaya, moral dan sebagainya.

 

Penghijrahan minda yang mesti dilakukan oleh seluruh umat Islam adalah untuk menyedari dan menginsafi bahawa kewajipan menjaga agama (hifz ad deen) adalah kewajipan bersama samada dari sudut agama dan  kenegaraan,  justeru sebagai umat Islam minda umat Islam perlulah diberi faham yang mendalam dalam isu-isu semasa agar ianya tidak dipesongkan oleh mereka yang berkepentingan.

 

Persoalan besar timbul disini bagaimanakah untuk membina perpaduan ummah ini. Mimbar ingin menyatakan bahawa pendekatan wasatiyah yang bersifat komprehensif dan bersepadu merupakan asas kepada perjuangan bagi membina perpaduan ummah. Wasatiyyah adalah merujuk kepada pelaksanaan sesuatu secara berhikmah, berimbang bagi menentukan tidak berlaku kekerasan, kezaliman ke atas ummah dengan meletakkan Islam di tempat yang dihargai atau dimartabatkan.

 

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 143:

 

وَكَذَٰلِكَ جَعَلْنَاكُمْ أُمَّةً وَسَطًا لِّتَكُونُوا شُهَدَاءَ عَلَى النَّاسِ وَيَكُونَ الرَّسُولُ عَلَيْكُمْ شَهِيدًا

Maksudnya: “Dan demikianlah Kami jadikan kamu satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia dan Rasulullah pula akan menjadi saksi kebenaran perbuatan kamu.”

 

Sebagai umat Islam kita dituntut untuk mengseimbangkan antara tuntutan rohani dan jasmani dan antara tuntutan dunia dan akhirat. Sifat kesederhanaan dan keseimbangan ini sangat penting bagi orang yang beriman kerana perbuatan yang lebih dari yang sepatutnya dilakukan adalah dianggap melampau, begitu juga perbuatan yang kurang dari yang sepatutnya dilakukan adalah dianggap suatu kecuaian. Maka umat Islam tidak boleh rigid dan extreme, begitu juga tidak boleh terlalu bebas lepas tanpa sempadan.

 

Mimbar ingin menjelaskan sememangnya ajaran Islam mengajar umatnya bersederhana dalam semua perkara, berimbang dan syumul dalam segenap bidang kehidupan individu dan masyarakat dengan memfokuskan kepada mempertingkatkan kualiti kehidupan ummah sama ada dari segi ilmu pengetahuan, pembangunan insan, sistem ekonomi dan kewangan, pertahanan, perpaduan dan sebagainya.

.

.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

 

Bersempena dengan sambutan tahun baru Hijrah ini, yang bertemakan: Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah, mimbar menyeru para jemaah dan seluruh umat Islam, marilah sama-sama kita mengambil semangat perjuangan hijrah dengan menaut hatihati kita melalui semangat perpaduan dan bertoleransi dalam semua perkara serta janganlah kita melampaui batas dalam perkara yang telah dipersetujui. Sikap melampau sebenarnya akan menjadi pemangkin terhadap ketidaksepaduan masyarakat dan seterusnya akan melemahkan kestabilan sosio-politik negara.

 

Usahlah kerana kepentingan diri yang sempit, kita sanggup meleraikan perpaduan yang telah lama terbina seterusnya menggadaikan kuasa dan maruah yang ada. Ingatlah bahawa umat Islam yang menjiwai makna perpaduan adalah mereka yang sentiasa bersikap terbuka dan saling menghormati antara satu sama lain. Sedarlah, inilah tanah air dan tanah tumpah darah kita yang menjadi tempat tinggal, punca rezeki, dan nadi kehidupan kita.

 

Janganlah ada di kalangan rakyat bersikap mementingkan diri sendiri sehingga keharmonian di negara kita terancam, retak dan hancur. Percayalah kebahagiaan, keceriaan dan ketenangan kita sangat berkait dengan orang lain. Kita tidak mampu berpisah dan berpecah kerana itu fitrah kejadian kita, untuk itu ikatan kita hendaklah dikukuhkan melalui perpaduan ummah.

 

Sekali lagi mimbar mengingatkan bahawa hijrah merupakan perjuangan satukan ummah dan ianya merupakan sebahagian daripada tuntutan Islam. Pendekatan ini wajar diteruskan kerana kita menyakini gesaan Allah SWT yang meletakkan perpaduan sebagai syarat utama kejayaan umat Islam di dunia ini dan di akhirat kelak. Semoga Malaysia yang tercinta ini terus maju, aman dan damai, dan menjadi payung serta pelindung kepada Islam dan umatnya.

 

Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah 7 al-A’raf ayat 96:

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَـٰكِن كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ ﴿٩٦﴾

Maksudnya: “Dan Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami bukakan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami) lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.”

.

بَارَكَ اللهُ لِي وَلَكُمْ فِى الْقُرْءَانِ الْعَظِيمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُم تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيمَ لِي وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، والْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوهُ فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَعْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.

.

.

JabatanKemajuan Islam Malaysia

Hijrah Perjuangan Satukan Ummah

(8 November 2013 / 4 Muharam 1435H)

.

.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

.

Posted by; shafiqolbu

 sign s

.

.

 

 

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: