KJ : Kewajipan Da’ie

 بِسۡـــــــــمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

Khutbah Jumaat SQ-shafiqolbu.

Khutbah Jumaat: “Kewajipan Da’ie”

 

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقاَئِل:

وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًۭا مِّمَّن دَعَآ إِلَى ٱللَّهِ وَعَمِلَ صَٰلِحًۭا وَقَالَ إِنَّنِى مِنَ ٱلْمُسْلِمِينَ

أَشْهَدُ أَن لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ،

اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ.

أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللَّهِ، إِتَّقُوا اللَّهَ، أُوْصِيكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللَّهِ، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُونَ. 

.

.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

 

Saya menyeru dan berpesan kepada diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian, agar kita sama-sama meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT iaitu dengan membuktikan kita mentaati perintah Allah, mengutamakan ajaran al-Quran dan sunnah, mudah-mudahan diri kita dekat dengan Allah dan memperolehi keberkatan hidup yang berkekalan di dunia dan di akhirat. Mimbar hari ini akan membincangkan tajuk: “KEWAJIPAN DA’IE”.

 .

.

Muslimin Yang Dikasihi Sekalian,

 

Ajaran Islam telah menetapkan bahawa menjadi tanggungjawab kita sebagai umat Islam untuk melaksanakan aktiviti amar makruf dan nahi mungkar. Dalam hal ini adalah menjadi kewajipan umat Islam untuk berperanan sebagai da’ie dalam ertikata bersifat menyeru, mengajak atau memanggil manusia agar beriman dan taat kepada Allah SWT dan menjauhi segala larangan-Nya.

 

Berdasarkan keperluan yang amat penting inilah maka Allah SWT mengutuskan Rasul-Rasulnya di atas muka bumi ini. Andai kata aktiviti da’ie ini dilengah-lengahkan atau tidak dipedulikan, maka akan menyaksikan budaya jahiliyah bermaharajalela, persekitaran kediaman dan tempat kerja tidak selamat serta masyarakat semakin rosak.

 

 Firman Allah SWT di dalam surah al-Fussilat ayat 33:

وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًۭا مِّمَّن دَعَآ إِلَى ٱللَّهِ وَعَمِلَ صَٰلِحًۭا وَقَالَ إِنَّنِى مِنَ ٱلْمُسْلِمِينَ

Maksudnya: “Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan beramal salih, sambil berkata: Sesungguhnya aku dari orang Islam!”

 

Berdasarkan kepada kewajipan da’ie ini, maka mimbar yang mulia ini menyeru kepada sidang jemaah dan umat Islam sekalian untuk sama-sama membina sinergi keutuhan akidah dan kefahaman Islam yang komprehensif bagi tujuan memelihara kesucian agama Islam (hifz deen) dan kedaulatan negara serta mampu menghadapi cabaran semasa. Sebagai umat Islam kita juga dituntut untuk melakukan hijrah minda dengan mengenali agenda penghakis kedaulatan agama Islam dengan mengenali unsur-unsur yang cuba menghakis kesuciannya.

 

Maka sebagai umat Islam yang beriman kita hendaklah kembali kepada ajaran Islam yang sebenar dengan meletakkan persoalan amar makruf dan nahi mungkar ini adalah tanggungjawab bersama. Inilah masanya, semua umat Islam samada mereka itu dari kalangan alim ulama, ilmuan Islam dan mereka yang berpengaruh mesti bangun atas dasar tanggungjawab untuk menegur dan menasihati secara hikmah sebarang kemungkaran yang sedang berlaku dalam masyarakat hari ini tanpa mengira fahaman dan pengaruh politik. Beranilah untuk berkata yang benar walaupun ianya pahit.

 

Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 2,

وَتَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلْبِرِّ وَٱلتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلْإِثْمِ وَٱلْعُدْوَٰنِ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلْعِقَابِ

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).”

 

Dan Rasulullah SAW telah memberi peringatan keras kepada umatnya dalam sabdanya:  

“Tidak beriman seseorang itu sehinggalah ia mengasihi saudaranya seperti mana ia mengasihi dirinya.(Riwayat: Muslim)

 .

.

Muslimin yang Dikasihi Sekalian,

 

Pada abad ini umat Islam rata rata berhadapan dengan situasi dunia global yang semakin mencabar. Kekuatan-kekuatan antarabangsa yang mendukung aliran seperti liberalisme, pluralisme dan lain-lain lagi kelihatan semakin aktif melaksanakan penyebarannya terutamanya melalui teknologi internet yang amat pantas lagi berkesan terutamanya kepada golongan muda.

 

Mereka melancarkan serangan-serangan secara halus lagi tersusun dengan penyebaran berita yang menghina Islam dan umatnya samada melalui simbol-simbol, laman web, laman-laman sesawang atau blog serta laman-laman sosial seperti facebook dan twitter dan sebagainya.

 

Berdasarkan kepada pemerhatian mimbar bahawa puluhan simbol dan ratusan laman web digunakan bagi mengeliru dan melemahkan pegangan umat Islam yang berada di alam internet ini.

 

Mimbar ingin menyatakan bahawa penyalahgunaan atau menggunakan teknologi internet dan telekomunikasi tidak sebagaimana yang sepatutnya adalah bertentangan dengan tuntutan agama, undang-undang serta tatasusila masyarakat.

 

Percayalah, menggunakan laman sosial untuk melemahkan pegangan umat Islam sebenarnya adalah strategi licik musuh Islam yang telah berjaya digunakan untuk menjatuhkan beberapa negara Islam di Timur Tengah. Oleh itu, terdapat cadangan supaya internet harus ditapis dan dikawal seharusnya dipertimbangkan supaya kemudahan ini tidak memporakperandakan masyarakat dan negara.

 

Justeru, dalam konteks cabaran anti Islam melalui teknologi maklumat yang hebat itu, maka menjadi tugas dan tanggungjawab umat Islam untuk menggunakan apa sahaja strategi yang munasabah termasuklah media sosial bagi melawan, menentang, menjawab, menangkis serangan, propaganda, tipu muslihat musuh-musuh Islam dan gerakangerakan yang menggugat kedudukan umat Islam khususnya di negara kita dalam konteks amar makruf dan nahi mungkar.

 

Firman Allah SWT di dalam surah al-Hajj ayat 41:

ٱلَّذِينَ إِن مَّكَّنَّٰهُمْ فِى ٱلْأَرْضِ أَقَامُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُا۟ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَمَرُوا۟ بِٱلْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا۟ عَنِ ٱلْمُنكَرِ ۗ وَلِلَّهِ عَٰقِبَةُ ٱلْأُمُورِ

Bermaksud: “Iaitu mereka yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan perkara yang mungkar. Dan ingatlah bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.”

 .

.

Muslimin yang Dikasihi Sekalian,

Sebagai umat Islam kita perlu sedar dan bangkit melaksanakan tugasan da’ie ini kerana ia adalah asas kekuatan dalam menghadapi musuh-musuh Islam yang mahu menghancurkan Islam. Dalam hal ini, umat Islam memerlukan penghayatan Islam secara menyeluruh melalui pelaksanaan ibadat umum dan khusus.

 

Di samping itu, umat Islam perlulah juga membina kekuatan ilmu, teknologi terkini seperti komputer, internet dan sebagainya, ketinggian intelektual, kematangan berpolitik dan perpaduan ummah. Kita juga mestilah sentiasa mengikuti perkembangan semasa agar maklumat yang diperolehi adalah benar dan tepat dan tidak mudah terpengaruh dengan propaganda pihak musuh.

 

Umat Islam boleh menjadikan media baru seperti youtube, twitter, blog dan lain-lain sebagai medium dakwah untuk menyampaikan mesej yang betul dalam ajaran Islam secara meluas. Sebagai Ibu bapa kita juga hendaklah berperanan dalam mendidik anak-anak dengan ajaran Islam yang sebenar agar menjadi generasi yang diredhai oleh Allah SWT dan berusaha menjauhi keluarga dari neraka Allah SWT.

 

Firman Allah SWT dalam surah al-Tahrim ayat 6:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ قُوٓا۟ أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًۭا وَقُودُهَا ٱلنَّاسُ وَٱلْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَٰٓئِكَةٌ غِلَاظٌۭ شِدَادٌۭ لَّا يَعْصُونَ ٱللَّهَ مَآ أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ

Bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu api Neraka yang bahan bakarannya manusia dan batu; Penjaganya malaikat-malaikat yang keras kasar; tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.”        

 .

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

 

Mengakhiri khutbah pada minggu ini, mimbar menyeru sidang jumaat dan seluruh umat Islam sekalian, marilah sama-sama kita berpadu dengan penuh keberanian dan mendokong segala usaha demi mempertahankan umat Islam dari serangan musuh-musuh Islam terutamanya melalui alam siber yang tiada sempadan ini.

 

Sedarlah, di kala umat Islam sedang berjuang untuk mengukuhkan ekonomi dan memperkasakan bangsa, pihak musuh pula tidak pernah leka mahupun jemu walaupun sedetik untuk menjalankan misi menghancurkan Islam dan umatnya menggunakan apa sahaja strategi termasuklah melalui pasukan siber yang terancang.

 

Mimbar ingin mengingatkan salah satu prinsip penting yang mesti dilaksanakan oleh umat Islam bagi memastikan kedaualatan agama kekal terpelihara ialah dengan menyeru kepada kebaikan dan menghalang kemungkaran. Ingatlah, jika umat Islam masih leka dan terus dibuai mimpi yang indah tanpa menyedari barah dan virus yang sedang meratah mangsanya, pasti rosaklah minda, hilanglah jatidiri dan terpesongnya persepsi yang akhirnya akan melenyapkan kuasa dan maruah.

 

Oleh itu, marilah sama-sama menggerakkan aktiviti dakwah dengan memperbaiki fenomena yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini. Mimbar percaya dengan izin Allah SWT kita pasti mampu menjadi umat yang terbaik. Maka sewajarnyalah kita memohon perlindungan Allah SWT agar tanggungjawab dai’e ini tidak terlepas daripada tanggungjawab umat Islam, yakni diri kita masing-masing mengikut kemampuan, ruang persekitaran dan orang dibawah tanggungjawab kita.

 

Mimbar juga mengambil kesempatan pada hari ini, sempena dengan Hari Tandas Sedunia pada 19 November ini, menyeru sidang jemaah dan umat Islam sekalian untuk sama sama kita menjaga kebersihan termasuklah kemudahan-kemudahan awam seperti tandas dan sebagainya kerana ianya sebahagian daripada tuntutan agama. Jadilah masyarakat yang senantiasa prihatin dengan kemudahan yang disediakan dan janganlah merosakkannya.

 

Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT di dalam surah Ali-Imran ayat 104:

وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌۭ يَدْعُونَ إِلَى ٱلْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِٱلْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ ٱلْمُنكَرِ ۚ وَأُو۟لَٰٓئِكَ هُمُ ٱلْمُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru kepada kebajikan, dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah. Dan mereka yang demikian ialah orang yang Berjaya”

.

بَارَكَ اللهُ لِي وَلَكُمْ فِى الْقُرْءَانِ الْعَظِيمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُم تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيمَ لِي وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، والْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوهُ فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَعْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.

.

.

JabatanKemajuan Islam Malaysia

“Kewajipan Da’ie”

(15 November 2013 / 11 Muharam 1435H)

.

.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

.

Posted by; shafiqolbu

 sign s

.

.

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: