KJ : Merakyatkan Usaha Membasmi Jenayah Rasuah

بِسۡـــــــــمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

Khutbah Jumaat SQ-shafiqolbu.

Khutbah Jumaat: “Merakyatkan Usaha Membasmi Jenayah Rasuah”


اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَبَاحَ لِعِبَادِهِ جَمِيْعَ الطَّيِّبَاتِ وَحَرَّمَ عَلَيْهِمُ الخَبَائِثَ وَالمُضَرَّاتِ،

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ كُلُوا۟ مِن طَيِّبَٰتِ مَا رَزَقْنَٰكُمْ وَٱشْكُرُوا۟ لِلَّهِ إِن كُنتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ (سورة البقرة : 172)

أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ ذُوْ الفَضْلِ الْعَظِيْمِ وَالعَطَاءِ العَمِيْمِ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ المُصْطَفَى الكَرِيْمُ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ سَارَ عَلَى نَهْجِهِمُ الْقَوِيْمُ وَسَلِّمْ تَسْلِيْمًا.أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللَّهِ، اتَّقُواْ اللَّهِ، أُوْصِيْكُمْ وَ إِيَّايَ بِتَقْوَى اللَّهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Saya mengingatkan diri saya dan tuan-tuan sekalian, marilah sama-sama kita tingkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT dengan cara melaksanakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita memperolehi keberkatan dan keredhaan serta perlindungan Allah SWT di dunia dan di akhirat. Mimbar Jumaat pada hari ini akan menyampaikan khutbah mengenai tajuk: “Merakyatkan Usaha Membasmi Jenayah Rasuah.”

.

.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Sempena dengan sambutan Hari Anti Rasuah Sedunia yang disambut pada 9 Disember setiap tahun, mimbar pada hari ini akan memperkatakan tentang gejala rasuah yang merupakan satu perbuatan jenayah yang memberi ancaman besar kerana ia mudah menular ke dalam masyarakat. Amalan rasuah boleh membinasakan sesebuah negara mahupun sesebuah tamadun bangsa itu sendiri.

Rasuah yang berleluasa boleh menghakis sistem keadilan dan nilai-nilai murni, menindas rakyat serta menggugat pemerintahan secara demokratik. Di samping itu, jenayah rasuah juga akan melahirkan keperibadian yang buruk lagi hina kerana rela menggadai maruah agama dan umat Islam demi mengejar wang ringgit, pekerjaan, jawatan, pangkat, hadiah dan sebagainya.

.

Rasuah dalam Islam adalah haram. Ini berdasarkan kepada dalil qat`ie iaitu al-Qur’an, as-Sunnah dan ijmak ulamak. Dalam al-Qur’an terdapat ayat yang menggariskan tentang rasuah berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah, ayat 188:

وَلَا تَأْكُلُوٓا۟ أَمْوَٰلَكُم بَيْنَكُم بِٱلْبَٰطِلِ وَتُدْلُوا۟ بِهَآ إِلَى ٱلْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا۟ فَرِيقًۭا مِّنْ أَمْوَٰلِ ٱلنَّاسِ بِٱلْإِثْمِ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ.

Maksudnya: “Dan janganlah kamu makan harta orang lain di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”

.

Di negara kita, agensi yang dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan kes jenayah rasuah terletak di bahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Walaubagaimanapun, perjuangan menentang dan membasmi jenayah rasuah bukan hanya terletak kepada SPRM ataupun pihak pemerintah semata-mata bahkan ianya adalah tanggungjawab bersama dari pelbagai lapisan masyarakat untuk sama-sama memainkan peranan bagi memastikan jenayah ini dapat dibanteras. Justeru kesedaran, sokongan dan peranan dari rakyat amat ditagih bagi menyokong segala aktiviti dan usaha mana-mana pihak terutamanya dari SPRM sendiri untuk membanteras jenayah rasuah ini.

.

Kesalahan rasuah tidak mengira golongan, bukan terletak kepada kecil atau besar saiz atau amaun transaksi yang terlibat. Ingatlah bahawa kesalahan rasuah adalah terletak pada perbuatannya, samada seseorang itu pemberi, penerima atau menjadi orang tengah kepada perbuatan rasuah tersebut.

Sabda Rasulullah SAW:

الرَّاشِى وَالْمُرْتَشِى فِى النَّارِ.

Mafhumnya: “Pemberi rasuah dan penerima rasuah akan masuk ke dalam api neraka.” (Hadis Riwayat at-Thobarani).

.

.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Percayalah, kesejahteraan negara banyak bergantung kepada sejauh mana kualiti setiap rakyatnya. Ingatlah, jika masyarakat mengamalkan budaya hidup yang murni dan berakhlak mulia maka negara pasti kukuh dan bertambah maju. Tetapi jika masyarakat mengamalkan gaya hidup yang keji seperti mengamalkan rasuah dan penyalahgunaan kuasa, sudah pasti negara akan runtuh dan bertambah mundur kerana perbuatan rasuah boleh meruntuhkan sistem pentadbiran sesebuah organisasi seterusnya menghancurkan negara seluruhnya.

.

Perbuatan rasuah adalah lahir daripada seseorang yang bersifat rendah akhlak dan kotor jiwanya. Ia berpunca dari sifat tamak haloba, ingin memuaskan nafsu, memburu kekayaan dan pangkat serta pingat dengan cepat, tidak bersyukur serta terikut-ikut dengan orang lain. Ini juga boleh berlaku apabila seorang pekerja atau pegawai yang mengampu ketua dan suka bermuka-muka dengan kerjanya, sedangkan diri sendiri tiada kebolehan dan kemahiran. Kemahirannya ialah berlakon untuk mengaburi mata ketua dan kadangkala melibatkan penyelewengan tugas, penipuan dalam kenaikan pangkat dan ketirisan dalam penggunaan wang rakyat.

.

Seseorang yang didorong oleh perasaan tamak haloba dan mementingkan diri sendiri amat cekap dan berani melanggar batasan yang telah digariskan oleh Islam padahal perbuatan itu hanyalah boleh menyusahkan diri sendiri, memusnahkan organisasi, memporakperandakan negara malah mengakibatkan setiap punca pendapatan yang tidak halal. Perbuatan licik lagi jahat ini nampak seperti tidak bercanggah dengan undang-undang negara tetapi ia tetap bercanggah dengan syarak. Tetapi sesetengah kita melihat hanyalah sekadar kesalahan moral sahaja. Perbuatan ini bukan sahaja melemahkan sesebuah organisasi, malah mematikan motivasi warga kerja yang berkebolehan dan terlatih.

Sesungguhnya apabila sifat tamak telah bertapak di hati, bisikan untuk melakukan rasuah akan mula mempengaruhi diri. Inilah buktinya kelemahan iman seseorang yang menyebabkan mereka mudah diperkotak-katik oleh nafsu dan mengikut hasutan syaitan. Ingatlah bahawa setiap darah daging kita daripada hasil yang haram, tipu daya, khianat dan pecah amanah maka api neraka adalah tempatnya sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

كُلُّ لَحْمٍ نَبَتَ مِنْ حَرَامٍ فَالنَّارُ أَوْلَى بِهِ.

Mafhumnya: “Setiap daging yang tumbuh hasil dari makanan yang haram itu maka api neraka adalah lebih utama untuknya.”(Riwayat al-Tarmizi)

.

Kesan buruk daripada jenayah rasuah diantaranya ialah terluputnya ibadah solat dan doa kerana mengguna sumber yang haram. Bayangkan, alangkah ruginya kita disebabkan perbuatan ini, ibadah dan doa kita menjadi sia-sia, justeru menjauhkan kita daripada mendapat rahmat Allah SWT. Mimbar amat bimbang jika kita tidak segera membanteras penyakit ini nescaya akan terdedah dengan pelbagai malapetaka dan bencana dalam kehidupan akibat kemurkaan Allah.

Renungilah firman Allah SWT dalam surah Ali Imran, ayat 112:

ضُرِبَتْ عَلَيْهِمُ ٱلذِّلَّةُ أَيْنَ مَا ثُقِفُوٓا۟ إِلَّا بِحَبْلٍۢ مِّنَ ٱللَّهِ وَحَبْلٍۢ مِّنَ ٱلنَّاسِ وَبَآءُو بِغَضَبٍۢ مِّنَ ٱللَّهِ وَضُرِبَتْ عَلَيْهِمُ ٱلْمَسْكَنَةُ ۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ كَانُوا۟ يَكْفُرُونَ بِـَٔايَٰتِ ٱللَّهِ وَيَقْتُلُونَ ٱلْأَنۢبِيَآءَ بِغَيْرِ حَقٍّۢ ۚ ذَٰلِكَ بِمَا عَصَوا۟ وَّكَانُوا۟ يَعْتَدُونَ.

Maksudnya: “Mereka ditimpa kehinaan di mana sahaja mereka berada, kecuali dengan adanya sebab dari Allah dan adanya sebab dari manusia. Dan mereka kembali mendapat kemurkaan dari Allah, dan mereka ditimpa kemiskinan. Yang demikian itu, disebabkan mereka ingkar akan ayat-ayat Allah, dan mereka membunuh Nabi-nabi dengan tiada alasan yang benar. Semuanya itu disebabkan mereka derhaka dan melampaui batas.”

.

.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Berdasarkan petunjuk al-Qur’an dan as-Sunnah yang menjadi pegangan asasi kita, maka mimbar ingin mengingatkan bahawa pengamal rasuah, penyalahguna kuasa, pengkhianat amanah dan mereka yang bersyubahat dengan amalan rasuah adalah pengkhianat kepada agama, bangsa dan negara. Inilah masanya, semua pihak perlu menggembleng tenaga dan sama-sama berusaha untuk memerangi jenayah rasuah dalam negara kita secara serius demi melahirkan urus tadbir yang baik dalam perkhidmatan kerajaan mahu pun swasta.

.

Program penerangan dan kesedaran perlulah diperbanyakkan kerana rasuah hanya dilakukan oleh mereka yang tidak yakin akan pengawasan Allah swt serta pembalasan-Nya di akhirat. Yakinlah, semakin gigih usaha dan dakwah yang kita laksanakan untuk memerangi rasuah, pasti semakin jelas kesan perubahan positif yang akan berlaku. Ini selaras dengan tuntutan syarak dan hasrat kerajaan hak rakyat didahulukan dan prestasi menghapus rasuah di utamakan.

.

Mengakhiri khutbah pada hari ini, maka mimbar sekali lagi mengingatkan bahawa mereka yang menolak amalan rasuah adalah manusia hebat dan cemerlang kerana:

Pertama: Menjamin kesinambungan nasab atau keturunannya kekal dalam keadaan insan yang beriman dan berintegriti;

Kedua: Meningkatkan martabat dan integriti organisasi serta warga pengurusan;

Ketiga: Meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap pemimpin yang berani memerangi rasuah; dan

Keempat: Membuktikan bahawa amalan ibadah-ibadah khusus seperti sembahyang, puasa, berzakat dan haji yang diamalkan telah berjaya mencegah dirinya terlibat dengan najis rasuah.

.

Oleh itu, marilah sama-sama kita meningkatkan integriti dan menunaikan amanah dengan penuh tanggungjawab demi merakyatkan usaha membasmi rasuah.

Semoga dengan itu, iman kita terus bertambah dan dapat memakmurkan bumi Allah dengan benih-benih kebaikan, serta menjadi golongan yang menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran seperti firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 104:

.أَعُوْذ ُبِاللَّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيْمِ
وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌۭ يَدْعُونَ إِلَى ٱلْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِٱلْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ ٱلْمُنكَرِ ۚ وَأُو۟لَٰٓئِكَ هُمُ ٱلْمُفْلِحُونَ.

Maksudnya : “Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru kepada kebajikan, dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah. Dan mereka yang demikian ialah orang yang berjaya.”

.

بَارَكَ اللَّهُ لِي وَلَكُمْ فِى الْقُرْءَانِ الْعَظِيمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُم تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللَّهَ الْعَظِيمَ لِي وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، والْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوهُ فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَعْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.

.

.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

“Merakyatkan Usaha Membasmi Jenayah Rasuah”

(6 Disember 2013 / 3 Safar 1435H)

.

.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

.

Posted by; shafiqolbu

 

.

.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: