KJ : Transformasi Zakat Mensejahterakan Ummah

بِسۡـــــــــمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

keindahan zakat.

Khutbah Jumaat: “Transformasi Zakat Mensejahterakan Ummah”

 

.

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقاَئِل:

إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ وَالْعَامِلِينَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِي الرِّقَابِ وَالْغَارِمِينَ وَفِي سَبِيلِ اللَّـهِ وَابْنِ السَّبِيلِ ۖ فَرِيضَةً مِّنَ اللَّـهِ ۗ وَاللَّـهُ عَلِيمٌ

حَكِيمٌ ﴿٦٠﴾

أَشْهَدُ أَن لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ.

اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلى ءَالــِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ.أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللَّهِ، اتَّقُواْ اللَّهِ، أُوْصِيْكُمْ وَ إِيَّايَ بِتَقْوَى اللَّهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

.

.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

 

Marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa serta melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita mendapat keberkatan hidup di dunia dan di akhirat. Bersempena dengan sambutan Bulan Zakat Kebangsaan 2013, mimbar jumaat hari ini akan memperkatakan khutbah bertajuk: “TRANSFORMASI ZAKAT MENSEJAHTERAKAN UMMAH”.

.

.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

 

Zakat adalah salah satu rukun Islam yang lima yang wajib ditunaikan oleh setiap orang Islam setelah cukup syarat-syaratnya. Seorang muslim yang telah sempurna segala syarat-syarat wajibnya tetapi masih enggan dan gagal menunaikan ibadat zakat diancam oleh Allah swt dengan ancaman yang keras. Seperti mana yang terkandung dalam firmanNya di dalam surah al-Taubah ayat 34-35:

وَالَّذِينَ يَكْنِزُونَ الذَّهَبَ وَالْفِضَّةَ وَلَا يُنفِقُونَهَا فِي سَبِيلِ اللَّـهِ فَبَشِّرْهُم بِعَذَابٍ أَلِيمٍ ﴿٣٤﴾ يَوْمَ يُحْمَىٰ عَلَيْهَا فِي نَارِ جَهَنَّمَ فَتُكْوَىٰ بِهَا جِبَاهُهُمْ وَجُنُوبُهُمْ وَظُهُورُهُمْ ۖ هَـٰذَا مَا كَنَزْتُمْ لِأَنفُسِكُمْ فَذُوقُوا مَا كُنتُمْ تَكْنِزُونَ ﴿٣٥﴾

Maksudnya: “..Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Iaitu) pada hari dibakar emas perak (dan harta benda) itu dalam neraka jahanam, lalu diselar dengannya dahi mereka, dan rusuk mereka, serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): “Inilah apa Yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah (azab dari) apa Yang kamu simpan itu.”

 

Syeikh Dr. Yusof al-Qaradawi menyatakan bahawa ayat ini memberikan ancaman yang keras kepada mereka yang tidak membayar zakat atas sebab dua perbuatan keji dalam menguruskan harta iaitu perbuatan menyimpannya dan tidak membelanjakannya pada jalan Allah. Orang yang tidak membayar zakat hakikatnya dia tidak membelanjakan hartanya pada jalan Allah.

.

.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah SWT,

 

Sekarang kita berada pada bulan terakhir tahun 2013 Masihi. Lazimnya, pada penghujung tahun ramai daripada kita mengambil kesempatan untuk menunaikan tanggungjawab membayar zakat. Ini terbukti dengan peningkatan jumlah kutipan zakat yang mendadak oleh pusat kutipan zakat di seluruh negara pada bulan Disember setiap tahun berbanding pada bulan-bulan yang lain.

.

Ini menunjukkan bahawa kesedaran umat Islam terhadap kewajipan menunaikan zakat dan satu indikator yang menunjukkan bahawa taraf kehidupan masyarakat Islam di Malaysia bertambah baik lagi diberkati hasil kepatuhan melaksanakan syariat Allah. Malah kenyataan ini selari dengan makna zakat dari segi bahasa iaitu tumbuh, bersih, suci, berkembang lagi diberkati. Justeru, tidak hairanlah jika terdapat perniagaan milik individu Muslim yang kurang berjaya, berubah menjadi semakin maju dan berkembang dengan mendapat laba keuntungan lumayan hasil kepatuhan membayar zakat.

.

Umat Islam, diingat supaya jangan terlalu terbuka yakni boros dan jangan pula terlalu digengam erat yakni bakhil. Titik antara keduanya adalah kesederhanaan yang dituntut yakni pemurah. Yakinlah, dengan lebihan wang yang disumbangkan pasti boleh menyuburkan kasih sayang dan ikatan positif sesama insan. Jangan pula kedekut untuk memeriahkan hubungan persaudaraan. Percayalah, bukan harta atau wang ringgit yang mempertautkan kasih sayang, akan tetapi adalah hati yang jujur dan ikhlas. Sebarkanlah kepada semua masyarakat Islam tentang kefahaman dan penghayatan kepada hikmah zakat yang diperintahkan oleh Allah swt. Natijahnya, agihan zakat kepada golongan asnaf juga akan bertambah. Secara tidak langsung menyumbang kepada keharmonian dan kesejahteraan ummah sejagat.

.

.

Muslimin Yang dirahmati Allah,

 

Urusan zakat diurustadbirkan oleh pihak Majlis Agama Islam Negeri telah melalui proses evolusi, pembaharuan dan penambahbaikan dalam banyak perkara seiring dengan perubahan masa, keadaan dan perkembangan teknologi semasa. Sejak beberapa dekad yang lalu, Majlis Agama Islam Negeri telah berusaha gigih dalam meningkatkan mutu perkhidmatan yang diberikan kepada pelanggan.

.

Dalam aspek kemudahan pembayaran zakat, pelbagai sistem teknologi dibangun dan disediakan untuk kemudahan pembayar zakat. Kerjasama erat dengan agensi-agensi dan pelbagai pihak dijalinkan bagi melebarkan kemudahan pembayaran zakat seperti institusi perbankan, badan-badan berkanun dan IPT sebagai agen kutipan zakat. Hari ini pembayaran zakat boleh ditunaikan dengan begitu mudah dan cepat. Selain dibayar melalui kaunter bayaran zakat di pejabat-pejabat kutipan zakat sedia ada, pembayaran zakat juga boleh ditunaikan melalui sistem online bank-bank tertentu, sistem ATM, SMS, perkhidmatan kaunter bergerak dan sebagainya. Bagi penjawat awam dan pekerja swasta ianya boleh dibuat melalui sistem potongan gaji berjadual dengan mengisi borang khas yang disediakan oleh pusat-pusat kutipan zakat negeri masing-masing.

.

Transformasi ini telah berjaya meningkatkan kesedaran masyarakat berkaitan kewajipan zakat. Dicatatkan bahawa pada tahun 2012 jumlah hasil kutipan zakat telah berjaya dikutip di seluruh negara berjumlah hampir RM2 billion. Namun demikian, jumlah ini masih kecil jika dinisbahkan kepada jumlah pembayar yang sepatutnya membayar zakat samada daripada kalangan individu ataupun syarikat-syarikat perniagaan. Oleh itu, dengan kemudahan yang ada ini sebenarnya tiada lagi alasan bagi sesiapa sahaja yang telah memenuhi syarat berzakat untuk tidak menunaikannya. Sempurnakanlah kewajipan dan tanggungjawab agama ini sebelum terlambat dan menyesal di kemudian hari.

.

.

Sidang Jemaah yang dihormati,

 

Alhamdulillah, agensi kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Jabatan Agama Islam Negeri, Jabatan Mufti, Jabatan Pendidikan Negeri, Kementerian Pendidikan dan termasuklah pihak media cetak dan elektronik memberikan sumbangan yang besar dalam menyemarakkan kesedaran dan keprihatinan masyarakat dalam amalan berzakat. Peranan dan sumbangan ini perlu diteruskan, dipergiat dan diperkukuhkan lagi terutama dengan pihak media seperti akhbar harian, rangkaian radio dan televisyen rasmi kerajaan mahupun swasta. Liputan berita aktiviti pusat-pusat zakat khususnya berkaitan program agihan zakat kepada asnaf fakir dan miskin perlu diperbanyak dan diperluaskan.

.

Dalam masa yang sama, laporan atau berita yang boleh menghakis kepercayaan orang ramai atau dipandang sinis oleh pihak lain terhadap peranan dan sumbangan Majlis Agama Islam Negeri kepada masyarakat Islam melalui bantuan zakat seharusnya dielak. Ini adalah kerana Majlis Agama Islam Negeri adalah institusi kita bersama, institusi orang Islam yang selayaknya dihormati sewajarnya. Tidak salah membuat teguran ataupun kritikan yang membina jika terdapat kelalaian ataupun kelemahan yang berlaku, tetapi ianya hendaklah disalurkan dengan cara yang betul dan dengan niat yang ikhlas demi kebaikan bersama. Malah kita percaya pihak Majlis Agama Islam Negeri seluruhnya memandang positif dan bersikap berlapang dada dalam perkara ini bahkan memerlukan maklumbalas daripada pihak masyarakat untuk menambahbaik mutu dan kualiti perkhidmatan yang dilaksanakan dari semasa ke semasa. Inilah yang perlu dilakukan oleh umat Islam bersama pihak yang berwajib, yakni wujudnya rasa bersama dan bekerjasama dalam menegakkan syiar Allah demi untuk kepentingan ummah.

.

.

Sidang Jemaah Yang dihormati sekalian,

 

Kesedaran, kesungguhan serta keikhlasan pembayar zakat perlu dihargai. Bagi mereka yang benar-benar ikhlas dan memahami matlamat kewajipan zakat ini, harapan mereka tidak lain dan tidak bukan ialah supaya wang zakat yang diserahkan mencapai sasarannya dan disalurkan kepada asnaf yang benar-benar layak dan berhak terutama kepada golongan asnaf fakir dan miskin. Dalam hal ini, kita yakin dan percaya pihak Majlis Agama Islam Negeri mengambil berat dan sentiasa memandang serius agar penerima bantuan zakat yang layak tidak tercicir. Walaubagaimanapun, kerjasama dan keprihatinan kepimpinan masyarakat setempat amat diharapkan dan dihargai agar menyalurkan maklumat yang tepat dan benar mengenai asnaf-asnaf yang layak dan perlu dibantu.

.

Namun demikian, golongan asnaf perlu menyedari bahawa bantuan zakat yang diterima bukanlah bantuan seumur hidup sehingga menjadikan golongan ini malas berusaha dan hanya mengharapkan bantuan orang lain. Mereka mesti berusaha sedaya upaya untuk membebaskan diri daripada kepompong kemiskinan dengan bekerja mencari rezeki halal bagi menyara kehidupan. Apabila hal ini dapat dilakukan bantuan khusus secara berkala kepada golongan miskin tegar dapat diminimumkan dan hasil kutipan zakat boleh pula dimanfaatkan untuk keperluan menjana potensi pembangunan ummah secara kolektif misalnya dalam bidang pendidikan, kesihatan, keusahawanan dan lain-lain.

.

Mengakhiri khutbah pada minggu ini, bersempena sambutan Bulan Zakat Kebangsaan 2013 ini yang dianjurkan oleh Jabatan Wakaf, Zakat Dan Haji, Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri, mimbar menyeru seluruh umat Islam agar melipatgandakan usaha bekerja bagi meraih pendapatan yang halal dengan penuh dedikasi sehingga menjadi pembayar zakat, bukan berebut-rebut menjadi penerima agihan zakat. Ingatlah, tangan yang memberi lebih baik daripada tangan yang menerima. Usaha-usaha ke arah memantapkan lagi pengurusan zakat dan agihannya terus dilakukan dari semasa ke semasa.

.

Sehubungan dengan itu, semua pihak terutama pentadbir zakat, ulama dan ahli akademik akan terus duduk semeja berbincang dengan lebih terperinci bagi menghasilkan suatu dimensi baharu agihan zakat di Malaysia. Dalam masa yang sama hak asnaf zakat yang diagihkan secara tradisi juga tidak dinafikan kerana ia jelas bertunjangkan perintah al-Quran sepertimana firman Allah SWT di dalam surah at-Taubah ayat 60:

إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ وَالْعَامِلِينَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِي الرِّقَابِ وَالْغَارِمِينَ وَفِي سَبِيلِ اللَّـهِ وَابْنِ السَّبِيلِ ۖ فَرِيضَةً مِّنَ اللَّـهِ ۗ وَاللَّـهُ عَلِيمٌ

حَكِيمٌ ﴿٦٠﴾

Bermaksud: “Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, amil-amil yang menguruskannya , dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang sedemikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”

.

بَارَكَ اللَّهُ لِي وَلَكُمْ فِى الْقُرْءَانِ الْعَظِيمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُم تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللَّهَ الْعَظِيمَ لِي وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، والْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوهُ فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَعْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.

.

.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

“Transformasi Zakat Mensejahterakan Ummah”

(13 Disember 2013/ 10 Safar 1435H)

.

.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

.

Posted by; shafiqolbu

 

.

.

 

 

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: