KJ : Bencana Alam Uji Kesabaran Dan Ketaqwaan Ummah

بِسۡـــــــــمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

bencana_alam_uji_kesabaran_dan_ketaqwaan_ummah.

Khutbah Jumaat:  “Bencana Alam Uji Kesabaran Dan Ketaqwaan Ummah”

 

.

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقاَئِل:

فَكُلًّا أَخَذْنَا بِذَنبِهِ ۖ فَمِنْهُم مَّنْ أَرْسَلْنَا عَلَيْهِ حَاصِبًا وَمِنْهُم مَّنْ أَخَذَتْهُ الصَّيْحَةُ وَمِنْهُم مَّنْ خَسَفْنَا بِهِ الْأَرْضَ وَمِنْهُم مَّنْ أَغْرَقْنَا ۚ وَمَا كَانَ اللَّـهُ لِيَظْلِمَهُمْ وَلَـٰكِن كَانُوا أَنفُسَهُمْ يَظْلِمُونَ ﴿٤٠﴾

أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ ذُوْ الفَضْلِ الْعَظِيْمِ وَالعَطَاءِ العَمِيْمِ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ المُصْطَفَى الكَرِيْمُ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ سَارَ عَلَى نَهْجِهِمُ الْقَوِيْمُ وَسَلِّمْ تَسْلِيْمًا.أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللَّهِ، اتَّقُواْ اللَّهِ، أُوْصِيْكُمْ وَ إِيَّايَ بِتَقْوَى اللَّهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

.

.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah Sekalian,

 

Saya menyeru dan berpesan kepada diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian, agar kita sama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan melakukan segala suruhan-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga kita berjaya di dunia dan di akhirat. Mimbar Jumaat pada  hari ini akan memperkatakan khutbah bertajuk: “Bencana Alam Uji kesabaran dan Ketakwaan Ummah”.

.

.

Sidang Jumaat Yang Dikasihi Allah,

 

Di akhir ini, sebahagian penduduk di negara kita diuji oleh Allah SWT dengan musibah banjir besar. Ada dari kalangan mereka yang terpaksa dipindahkan ke tempat penempatan banjir demi keselamatan dan ada dikalangan mereka yang kehilangan harta benda dan sebagainya. Sebenarnya inilah yang dikatakan musibah yang ditentukan oleh Allah SWT semata-mata untuk menguji hamba-Nya.

 

Firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 155:

وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ ۗ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ ﴿١٥٥﴾

Maksudnya: “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, dan kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar”.

.

Dalam ayat ini Allah SWT menceritakan bahawa setiap hamba-Nya akan di uji dan ujian Allah itu akan berlaku dalam pelbagai bentuk samada bencana alam, kematian, kekayaan, kemiskinan, kesihatan dan kesakitan. Ibn Kathir di dalam tafsirnya menjelaskan, “Dengan melafazkan ayat ini menunjukkan seseorang itu menerima segala musibah yang menimpanya dan mengakui bahawa dirinya adalah hamba dan milik Allah SWT. Allah SWT berkuasa melakukan apa saja ke atas hamba-Nya.”

.

Ini adalah untuk membuktikan siapakah yang penyabar serta tetap bertuhan Allah SWT dalam apa jua keadaan yang ditempuhinya. Jadi jelaslah bahawa orang yang sabar itu adalah yang tetap beriktikad bahawa diri mereka hamba dan milik Allah SWT walaupun ditimpa musibah yang amat berat. Malah mereka sentiasa mengharapkan balasan pahala daripada Allah SWT dan sentiasa takut azabNya. Inilah masanya untuk kita sama-sama belajar dari setiap musibah dan bencana yang berlaku. Yakinlah bahawa takdir Allah ini mengandungi banyak hikmah dan kebaikan. Masa inilah kita boleh rasakan suburnya kasih sayang, mekarnya nilai kemanusiaan, masyarakat saling bantu membantu dengan bekerjasama sama ada dari mangsa banjir, agensi kerajaan mahupun NGO’s. Namun apa yang menyedihkan, ada pula pihak yang tidak bertanggungjawab sengaja mengambil kesempatan dan manipulasi fakta yang berlaku sehingga memburukkan pihak-pihak yang lain demi peribadi mereka.

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

 

Dalam al-Quran Allah Azzawajalla menceritakan banyak tamadun manusia  dimusnahkan oleh Allah melalui bencana alam. Antaranya kaum Nabi Nuh dimusnahkan dengan banjir, kaum Nabi Luth dimusnahkan dengan gempa bumi dan kaum ‘Aad dimusnahkan dengan ribut taufan tujuh hari tujuh malam. Jelasnya, bencana alam yang memusnahkan kaum-kaum tersebut adalah kerana hukuman Allah SWT atas kekufuran dan kemungkaran mereka.

 

Dalam surah al-Ankabut ayat 40 Allah SWT berfirman:

فَكُلًّا أَخَذْنَا بِذَنبِهِ ۖ فَمِنْهُم مَّنْ أَرْسَلْنَا عَلَيْهِ حَاصِبًا وَمِنْهُم مَّنْ أَخَذَتْهُ الصَّيْحَةُ وَمِنْهُم مَّنْ خَسَفْنَا بِهِ الْأَرْضَ وَمِنْهُم مَّنْ أَغْرَقْنَا ۚ وَمَا كَانَ اللَّـهُ لِيَظْلِمَهُمْ وَلَـٰكِن كَانُوا أَنفُسَهُمْ يَظْلِمُونَ ﴿٤٠﴾

Maksudnya: “Maka masing-masing Kami binasakan dengan sebab dosanya, iaitu di antaranya ada yang Kami hantarkan angin ribut menghujaninya dengan batu; dan ada yang dibinasakan dengan letusan suara yang menggemparkan bumi; dan ada yang Kami timbuskan dia di bumi; dan ada pula yang Kami tenggelamkan di laut. Dan (ingatlah) Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri.”

.

Peringatan ayat Allah SWT tersebut hendaknya menjadi pengajaran bagi kita bahawa akibat daripada kekufuran dan ketidakpatuhan kita kepada perintah Allah SWT, akan menjadi penyebab datangnya kemurkaan Allah. Ketahuilah bahawa setiap bencana yang menimpa manusia mempunyai pengajaran yang tersendiri.

 

Bagi mereka yang terselamat daripada bencana, maka bencana yang menimpa orang lain merupakan peringatan bentuk kasih sayang dari Allah agar mereka kembali pada jalan-Nya. Sedangkan bagi orang yang tidak beriman, maka bencana yang menimpa merupakan azab dan siksa dari Allah yang disebabkan oleh kekufuran dan kedurhakaan terhadap perintah Allah dan rasul-Nya. Dengan bencana juga, Allah hendak menunjukkan kepada manusia siapa yang beriman atau sebaliknya.

 

Bencana yang menimpa kepada semua manusia tidak kira samada baik ataupun jahat. Apa yang penting adalah bagaimana keadaan kita menghadapi bencana tersebut dan bagaimana tahap kesabaran dan keredhaannya dalam menerima bencana tersebut menentukan darjatnya di sisi Allah SWT. Jadi reaksi seseorang yang ditimpa bencana akan menentukan nilainya disisi Allah. Justeru itu pastilah berbeza reaksi atau tindakbalas, sikap, perbuatan dan perkataan seseorang yang hampir dengan Allah berbanding seseorang yang memang jauh dari Allah. Ya, memang kita tidak boleh mengelak dari bencana yang ditakdirkan kepada kita, tapi kita boleh menerima musibah serta mengubahnya menjadi hikmah dari sudut positif dan kebaikan.

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

 

Perlu difahami bahawa bencana alam juga boleh berlaku disebabkan daripada kesilapan dan kerakusan manusia dalam melaksanakan tanggungjawab di dunia. Demi mengejar sesuatu sistem ekologi dan keseimbangan alam di musnahkan. Bayangkanlah, kita dapat melihat bukit-bukau ditarah dan diruntuhkan, pembangunan dilaksanakan sesuka hati, pembakaran terbuka berleluasa, pembalakan haram menjadi-jadi dan pembuangan sampah di mana-mana. Akibatnya keseimbangan alam semesta tergugat.

 

Insafilah peringatan Allah dalam Surah Ar-Rum ayat 41:

ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ ﴿٤١﴾

Maksudnya: “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)”.

 

Ayat ini menyatakan bahawa bencana alam yang berlaku di muka bumi ini ada kaitannya dengan perilaku manusia yang tidak berhemah kepada alam. Tindakan-tindakan manusia yang mengganggu dan memusnahkan keseimbangan ekologi adalah satu tindakan yang akan membawa manusia ke arah kemusnahan. Ini kerana, hubung kait antara manusia dengan alam sangat rapat sekali. Oleh yang demikian, pastikanlah kita sentiasa peka, memerhati dan menjaga segala apa yang berlaku di sekeliling kita, aktiviti-aktiviti yang diragui seperti pembalakan haram, pengambilan pasir sungai dan lain-lain perlu dilaporkan kepada pihak berwajib, maka jadilah kita warganegara yang bertanggungjawab dan prihatin untuk bersama-sama mempertahankan kemakmuran, kebaikan dan keharmonian negara yang kita cintai.

.

.

Muslimin Yang Dimuliakan Allah,

 

Menyedari bencana alam sebagai hak mutlak Allah SWT yang tidak diduga, maka, dapatlah disimpulkan bahawa Allah SWT menguji hamba-hamba-Nya dengan pelbagai musibah. Oleh itu, bagi mereka yang berjaya menempuhinya dengan penuh kesabaran dan ketakwaan, akan di anugerah balasan oleh Allah SWT dengan pahala. Ingatlah bahawa hamba yang beriman ialah merekayang redha dengan setiap ketentuan Ilahi.

 

Apabila diduga dengan sesuatu perkara maka dicari apakah hikmah Ilahi di sebalik ujian itu. Tidak mudah melatah dengan ujian kesedihan, malah tidak mudah mendabik dada dengan ujian kesenangan di dunia. Malah setiap ujian mampu mempertingkatkan keimanan dan keyakinan kepada keEsaan Allah SWT. Inilah sifat mukmin yang beriman.

 

Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya mengagumkan urusan seseorang mukmin itu kerana segala urusan hidupnya itu dirasakan baik darinya. Perkara ini tidak akan berlaku kecuali dalam kehidupan seseorang mukmin. Apabila dia diberikan sesuatu perkara yang menggembirakan, maka dia akan bersyukur kerana dia yakin bahawa itu adalah yang terbaik baginya dan apabila dia ditimpa kesusahan, maka dia akan bersabar kerana itu juga adalah yang terbaik untuk hidupnya” (Hadith riwayat Muslim).

.

.

Muslimin Yang Dimuliakan Allah,

 

Mengakhiri khutbah pada minggu ini, mimbar menyeru kepada sidang jemaah dan umat Islam sekalian, marilah kita bersama bersatu hati dibawah satu lambang perpaduan, menyemai sikap kasih sayang dan bermuafakat untuk kemajuan demi agama, bangsa dan negara.

 

Marilah sama-sama kita menjaga alam ini dengan rasa bertanggungjawab, beramanah, jujur bagi mengelak berlakunya kesan buruk terhadap kehidupan, ekonomi dan sosial negara. Ingatlah anugerah Allah SWT ini akan menjadi rahmat kepada kita dan dalam masa yang sama juga boleh menjadi bala bencana serta azab yang tersiksa.

 

Percayalah bahawa setiap ujian Allah SWT itu ada hikmah di sebaliknya. Sesungguhnya bencana dan musibah yang melanda negara ini lebih ringan berbanding dengan umat-umat terdahulu akan tetapi mesejnya tetap sama yakni peringatan, amaran dan sesuatu perlu dibuat ke arah kebaikan.

 

Dengarlah ‘bisikan teguran’ Allah ini, jangan sampai pula datang ‘jeritan kemurkaan-Nya’ iaitu bencana yang lebih besar. Dengan itu seharusnya umat Islam mengambil manfaat dan menambahkan ketakwaan atas kebesaran kejadian Allah ini.

 

Marilah sama-sama kita merenung firman Allah dalah surah al-A’raf ayat 97-98:

أَفَأَمِنَ أَهْلُ الْقُرَىٰ أَن يَأْتِيَهُم بَأْسُنَا بَيَاتًا وَهُمْ نَائِمُونَ ﴿٩٧﴾ أَوَأَمِنَ أَهْلُ الْقُرَىٰ أَن يَأْتِيَهُم بَأْسُنَا ضُحًى وَهُمْ يَلْعَبُونَ ﴿٩٨﴾

Maksudnya: “Patutkah penduduk negeri-negeri itu merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada malam hari, semasa mereka sedang tidur? Atau patutkah penduduk negeri itu merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada siang hari, semasa mereka leka bermain-main?”

.

بَارَكَ اللَّهُ لِي وَلَكُمْ فِى الْقُرْءَانِ الْعَظِيمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُم تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللَّهَ الْعَظِيمَ لِي وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، والْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوهُ فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَعْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.

.

.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

“Bencana Alam Uji Kesabaran Dan Ketaqwaan Ummah”

(20 Disember 2013 / 17 Safar 1435H)

.

.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

.

Posted by; shafiqolbu

 

.

.

 

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: