KJ : 1 Azam 1 Tekad

بِسۡـــــــــمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

Khutbah Jumaat SQ-shafiqolbu.

Khutbah Jumaat: “1 Azam 1 Tekad”

.

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقاَئِل:

فَمِنَ النَّاسِ مَن يَقُولُ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا وَمَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ مِنْ خَلَاقٍ ﴿٢٠٠﴾ وَمِنْهُم مَّن يَقُولُ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ ﴿٢٠١﴾ أُولَـٰئِكَ لَهُمْ نَصِيبٌ مِّمَّا كَسَبُوا ۚ وَاللَّـهُ سَرِيعُ الْحِسَابِ ﴿٢٠٢﴾

أَشْهَدُ أَن لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلى ءَالــِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللَّهِ ! إتَّقُوْا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَتَمُوْتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ.

.

.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

.

Di kesempatan berada pada hari Jumaat yang mulia ini, saya berpesan kepada diri saya dan kepada sidang Jumaat sekalian marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita memperolehi keberkatan dan keredhaan serta perlindungan Allah SWT di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah yang bertajuk: “1 AZAM 1 TEKAD ”.

.

.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

.

Bertepatan dengan hari Jumaat pertama pada tahun baru ini, marilah bersama-sama kita menanamkan I azam dan 1 tekad kearah kecemerlangan untuk menjadi hamba Allah SWT yang beriman dengan melakukan amalan-amalan yang diperintahkan dan meninggalkan segala amalan yang diharamkan. Maka, beruntunglah mereka yang hidup dengan melakukan keazaman untuk menjadi hamba yang senantiasa berusaha kearah kebaikan dari semasa ke semasa bersandarkan kepada hari ini lebih baik dari semalam sebagaimana kata pepatah Arab: “Beruntunglah orang yang hari ini lebih baik dari semalam, rugilah orang yang sama keadaannya hari ini dengan semalam dan celakalah orang yang hari in lebih teruk dari semalam.”

 

Dan Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang paling berjaya ialah orang yang hari ini lebih baik dari semalam dan orang yang gagal adalah orang yang hari ini lebih teruk dari semalam, manakala orang terpedaya adalah orang yang hari ini sama dengan hari semalam.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

.

Oleh itu, untuk menjadi orang yang beruntung, kita mestilah sentiasa menjadi yang terbaik walau apapun dugaan dan cabaran yang mendatang. Tafsiran terbaik boleh diukur sendiri dengan menilai setiap apa yang dilakukan. Bertambahkah amal atau semakin berkurang. Jika ini berlaku, maka kita dapat menilai sendiri tahap iman yang dimiliki sama ada menaik, menurun atau mendatar. Namun untuk berubah ke arah yang lebih baik dan terbaik bukan hanya dengan angan-angan semata-mata, tanpa disusuli dengan tekad dan keazaman yang jitu serta usaha dan semangat yang waja.

 

Firman Allah SWT di dalam surah Al-Ankabut 29, ayat 69:

وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا ۚ وَإِنَّ اللَّـهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِينَ ﴿٦٩﴾

Maksudnya: “Dan orang yang berusaha berjuang kepada agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami, dan sesungguhnya Allah adalah berserta orang yang berusaha membaiki amalannya.”

.

.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

.

Penilaian 1 Azam Dan 1 Tekad sebenarnya merupakan tonggak untuk meningkatkan usaha ke arah kecemerlangan hidup. Mimbar ingin mengingatkan bahawa umat Islam hendaklah cemerlang dalam semua aspek samada dari segi akidah, ibadah, akhlak dan kehidupan. Malah apa yang lebih bermakna adalah kecemerlangan dalam konteks pelaksanaan kerja yang diamanahkan dan hasil (outcome) kerja yang dilakukan.

 

Sedarkah kita bahawa peranan umat Islam bukan hanya berfungsi dan berperanan setakat pada ibadah khusus semata-mata, malah lebih luas daripada itu ialah peranan kita sebagai khalifah Allah SWT di muka bumi.

 

Bayangkan, bagaimana mungkin umat Islam mampu menjadi khalifah dan mentadbir sesebuah negara jika kita kurang cemerlang dan jauh ketinggalan berbanding dengan golongan yang lain?. Ini bermakna kedua-dua aspek duniawi dan ukhrawi perlulah dicemerlangkan bersama.

 

Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 200-202:

فَمِنَ النَّاسِ مَن يَقُولُ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا وَمَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ مِنْ خَلَاقٍ ﴿٢٠٠﴾ وَمِنْهُم مَّن يَقُولُ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ ﴿٢٠١﴾ أُولَـٰئِكَ لَهُمْ نَصِيبٌ مِّمَّا كَسَبُوا ۚ وَاللَّـهُ سَرِيعُ الْحِسَابِ ﴿٢٠٢﴾

Maksudnya: “Ada di antara manusia yang berdoa: Wahai Tuhan Kami! Berilah kami (kebaikan) di dunia. (Orang-orang ini diberikan kebaikan di dunia) dan tidak ada baginya sedikitpun kebaikan di akhirat). Dan di antara mereka pula ada yang berdoa: Wahai Tuhan kami; berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka. Mereka itulah yang akan mendapat bahagian yang baik dari apa yang telah mereka usahakan; dan Allah amat cepat hitungan-Nya.”

.

.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

.

Percayalah, kebijaksanaan melakukan perubahan dapat membantu setiap muslim dan umat Islam dalam merancang masa depan bagi menyusun strategi baru yang bersesuaian dengan perubahan masa dan mampu mengurangkan kegagalan.

 

Harus diingat bahawa perubahan dalam kehidupan mestilah  membebaskan umat Islam dari belenggu kebekuan yang bercanggah dengan syariat dan bukannya perubahan yang hanya berdasarkan emosi semata-mata yang boleh membawa kemusnahan kepada ummah.

 

Ingatlah bahawa Allah SWT tidak akan merubah sesuatu kaum tersebut selagi kita tidak melakukan perubahan pada diri sendiri. Ini adalah sunnah yang telah ditetapkan oleh Allah SWT sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Ra’d 13, ayat 11:

إِنَّ اللَّـهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُوا مَا بِأَنفُسِهِمْ ۗ وَإِذَا أَرَادَ اللَّـهُ بِقَوْمٍ سُوءًا فَلَا مَرَدَّ لَهُ ۚ وَمَا لَهُم مِّن دُونِهِ مِن وَالٍ ﴿١١﴾

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila dikehendaki oleh Allah keburukan kepada sesuatu kaum, maka tidak ada yang dapat menolak, dan tidak ada pelindung bagi mereka selain daripada-Nya.”

.

.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

.

Manusia yang cemerlang sebenarnya berjiwa besar lagi kental. Mereka ini dapat dilihat melalui beberapa aspek antaranya:

 

Pertama: Kemahuan yang tinggi yang tidak mampu digugat oleh sebarang kelemahan. Dalam satu hadith Rasulullah SAW bersabda: “Wahai manusia, lakukanlah amalan mengikut keupayaan kamu, Sesungguhnya Allah SWT tidak jemu sehingga kamu jemu, amalan paling Allah suka ialah amalan yang berterusan walaupun sedikit.” (Riwayat al- Bukhari dan Muslim).

Kedua: Pengorbanan yang agung yang tidak mengenal erti tamak haloba dan kedekut.

Ketiga: Memahami prinsip, meyakininya, menghormati, tidak melakukan kesilapan, tidak terseleweng, tidak berkompromi dan tidak terpengaruh dengan prinsip yang lain.

.

Mimbar ingin mengatakan bahawa kecemerlangan prestasi jika dihalakan kepada kebaikan pasti membawa banyak keuntungan. Namun jika dihalakan kepada kejahatan, maka integriti dan akauntabiliti kita pasti tercalar.

 

Ingat pesan Rasulullah SAW daripada Jabir RA tentang kesungguhan iblis yang sentiasa berprestasi cemerlang untuk menyesatkan manusia dalam sabdanya:

Mafhumnya: “Singgahsana iblis berada di lautan. Dari sana dia mengirim pasukannya untuk membuat fitnah (mengacau atau membawa bencana untuk) umat manusia. Maka siapa yang lebih besar membuat bencana, dialah yang lebih besar jasanya (terhormat) di kalangan mereka.”(Hadith riwayat Muslim)

.

Lantaran itu, setiap kita yang memegang tanggungjawab sebagai umat Islam perlulah  meletakkan tanda aras prestasi cemerlang dengan adanya 1 azam dan 1 tekad di dalam diri. Ingatlah kekuatan umat Islam bukannya berdasarkan kepada bilangannya, akan tetapi kekuatan yang sebenar berlandaskan kepada semangat dan keazaman yang jitu. Apalah gunanya jumlah yang ramai, jika mempunyai minda yang lemah, kurang jati diri dan mudah pula dipengaruhi serta dimanipulasi oleh pihak musuh?

.

Lihatlah pada sirah Rasulullah SAW semasa perang Mu’tah untuk menentang bala tentera Rom yang berjumlah kira-kira 200 ribu orang, namun atas semangat dan jihad bagi mempertahankan agama, perjuangan diteruskan tanpa merasa takut dan gerun kerana kita sebagai umat Islam senantiasa yakin bahawa pertolongan Allah SWT akan  bersama dengan umat-Nya.

 

Sebagai individu muslim kita perlu meletakkan indeks peningkatan jati diri muslim yang berkualiti, berpotensi besar, profesional, berdaya tahan dan sentiasa menuju ke arah kemajuan agama dan ummah. Inilah masanya, wahai umat Islam kita mesti bersedia dan mengukuhkan kekuatan kerana masa depan pasti penuh dengan cabaran dan dugaan, kerana selagi bumi ini masih berputar, selagi kita masih bernyawa, cabaran dan dugaan pasti akan datang untuk menguji kita.

 

Ingatlah, kejayaan yang kita kecapi hari ini belum tentu dapat menjamin kebahagiaan dan kemenangan untuk hari esok jika kita lalai, lemah dan gagal mempertahankannya. Yakinlah, hanya yang cekal, tabah dan mempunyai semangat juang yang tinggi yang pasti akan berjaya.

.

.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

.

Mengakhiri khutbah pada minggu ini, bersempena dengan hari Jumaat pertama tahun baru ini, mimbar menyeru sidang Jumaat dan umat Islam sekalian marilah sama-sama kita melakukan 1 azam dan 1 tekad dengan mengubah segala kebiasaan-kebiasaan negatif yang selama ini menjadi rutin kehidupan kita.

 

Dengan ketibaan tahun 2014 ini, marilah kita sama-sama berazam untuk memperkukuh kualiti kehidupan, melalui budaya cintakan ilmu dan penghayatan kepada ajaran agama Islam. Di samping itu, berazamlah untuk merancang ekonomi keluarga dengan baik, melalui kehidupan yang sederhana, sebagaimana dituntut dalam ajaran Islam.

.

Bersyukurlah di atas segala nikmat yang Allah SWT berikan kepada kita. Mudah-mudahan dengan kesyukuran itu, Allah SWT akan menambah lagi nikmat dan rezeki di masa akan datang. Marilah sama-sama kita mengubah pemikiran kita ke arah yang lebih kreatif dan inovatif agar ianya selari dengan peredaraan masa dan zaman.

 

Jadikan perubahan diri kita sebagai batu asas untuk membina sebuah tamadun bangsa yang beretika dan bermaruah. Tanamkanlah keyakinan diri sebagai pegangan hidup, dorongan sebagai teman setia, putus asa di anggap musuh durjana dan jadikanlah usaha dan tekun sebagai tangga kejayaan. Sematkan tekad dan keazaman kita pada tahun ini dalam jiwa dan minda agar ianya tidak sia-sia dan terbuang begitu sahaja.

.

Marilah sama sama kita berdoa kepada Allah SWT supaya jiwa kita sentiasa optimis dan berasa ringan untuk melakukan ketaatan kepada Allah SWT. Oleh yang demikian marilah sama-sama kita mengamalkan doa yang diajar oleh Rasulullah SAW bagi memudahkan jiwa dan fizikal kita dalam melaksanakan ibadah seperti yang diriwayatkan oleh An-Nasai’ bin Ahmad: Ya, Allah, bantulah aku untuk mengingati-Mu serta dapat beribadah dengan baik kepada-Mu.

 

Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah at-Taubat 9, ayat 111:

إِنَّ اللَّـهَ اشْتَرَىٰ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ أَنفُسَهُمْ وَأَمْوَالَهُم بِأَنَّ لَهُمُ الْجَنَّةَ ۚ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang yang beriman akan jiwa dan harta benda mereka dengan (balasan), bahawa mereka akan beroleh syurga.”

.

بَارَكَ اللَّهُ لِي وَلَكُمْ فِى الْقُرْءَانِ الْعَظِيمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُم تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللَّهَ الْعَظِيمَ لِي وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، والْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوهُ فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَعْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.

.

.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

“1 Azam 1 Tekad”

(3 Januari 2014/ 1 Rabiulawal 1435H)

.

.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

.

Posted by; shafiqolbu

.

.

Advertisements

One response to this post.

  1. Posted by Imran on 03/01/2014 at 3:53 pm

    Assalamualaikum Ustaz,

    Ustaz kerja dekat Masjid Negara ke?

    Reply

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: