Akhlaq Nabi Muhammad ﷺ

بِسۡـــــــــمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

Cintai Nabi Muhammad Rasulullah SAW.

Allah سبحانه وتعالى telah mendidik dan memperindahkan akhlak Nabi Muhammad . Baginda dianugerahkan pendidikan akhlak yang terbaik dan contoh ideal  berkenaan hal taqwa di antara sekalian manusia. Rasulullah bercakap benar dan Baginda jualah yang paling jujur. Baginda adalah pembawa berita yang paling sahih, benar lagi tepat. Bagindalah yang paling bersih perjalanan hidupnya, paling baik tabiatnya, paling takut terhadap Penciptanya, paling perihatin dan mengetahui urusan ummatnya, paling baik prasangkanya, paling mulia keperibadiannya, paling suci keturunannya, paling teguh dalam pendiriannya, paling berani dalam sikapnya, paling pandai menggunakan hujjah, dan Rasulullah adalah manusia yang paling baik jiwanya, keturunannya, akhlaknya serta agamanya.

 

Dalam Al-Quran, Allah سبحانه وتعالى telah menyatakan bahawa kedatangan Nabi Muhammad suatu yang Rahmatan lil’alamin’ iaitu sejak dari hari kelahirannya lagi Baginda membawa rahmat bagi semua umat Islam mahupun untuk seluruh alam.

 

Firman Allah سبحانه وتعالىdalam:

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ﴿١٠٧

“Dan tiadalah kami mengutus kamu (Wahai Muhammad), melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi seluruh alam.”

(Surah Al-Anbiya’, Ayat 107)

.

Akhlak merupakan tindakan, reaksi spontan terhadap sesuatu perkara yang berlaku. Rasulullah menzahirkan secara santai dan bersahaja.  Berikut adalah beberapa keperibadian dan akhlak Nabi Muhammad yang harus disematkan ke dalam ingatan untuk kita mengamalkannya.

.

.

1)  Akhlaq Penyabar

 

Tidak ada seorang pun yang mampu melalui segala bentuk musibah, kesusahan, malapetaka, krisis sebagaimana yang dialami oleh Muhammad . Baginda adalah orang yang penyabar dan sentiasa tabah demi harapan sebuah pahala.

 

Allah سبحانه وتعالى berfirman;

وَاصْبِرْ وَمَا صَبْرُكَ إِلَّا بِاللَّـهِۚ وَلَا تَحْزَنْ عَلَيْهِمْ وَلَا تَكُ فِي ضَيْقٍ مِّمَّا يَمْكُرُونَ ﴿١٢٧﴾

“Dan bersabarlah (wahai Muhammad terhadap perbuatan dan telatah golongan yang ingkar itu); dan tiadalah berhasil kesabaranmu melainkan dengan (memohon pertolongan) Allah; dan janganlah engkau berdukacita terhadap kedegilan mereka, dan janganlah engkau bersempit dada disebabkan tipu daya yang mereka lakukan.” (Surah An-Nahl: Ayat 127)

 

Rasulullah bersabar terhadap nasib keyatiman dirinya, kemiskinan, kelaparan, kekasaran terhadap dirinya. Baginda juga bersabar terhadap pengusiran dari tanah airnya, kematian serta penyeksaan terhadap sahabat-sahabatnya. Datuknya meninggal dunia, lalu Baginda bersabar. Isterinya meninggal dunia, lalu Baginda bersabar. Pakciknya meninggal dunia, lalu Baginda bersabar. Sahabatnya mati syahid lalu Baginda bersabar. Isterinya Aisyah dituduh melakukan perbuatan keji, Baginda tetap dengan kesabaran berganda.

 

Rasulullah selalu dituduh sebagai pembohong, akan tetapi Baginda selalu bersabar. Mereka mengatakan tentangnya; seorang pujangga, dukun, ahli sihir, orang gila, pendusta, pembual, akan tetapi Baginda tetap bersabar. Mereka telah mengusirnya, menyeksanya, mencelanya, memakinya, memeranginya akan tetapi Baginda tetap bersabar.

 

Apakah kita sudah mengambil pelajaran dari kesabarannya? Apakah baginda sudah dijadikan sebagai contoh kesabaran dalam kehidupan kita sehari-hari? Baginda adalah contoh tauladan dalam perkara berjiwa besar, kesabaran yang agung, ketenangan jiwa dan kemantapan hati.

  .

.

  2)  Akhlaq Penyayang

 

Rasulullah pernah melihat anak salah seorang puterinya sedang merintih kesakitan lalu Baginda menangis. Manakala salah seorang bertanyakan hal tersebut, lalu Baginda bersabda;

 “Ini merupakan satu rahmat yang telah Allah letakkan dalam hati sesiapa sahaja yang dikehendaki Nya di kalangan hamba Nya. Sebenarnya Allah hanya memberikan rahmat kepada hamba-hamba Nya yang penyayang.” (Bukhari & Muslim 923 dari Usamah bin Zaid)

 

Rasulullah selalu meringankan bebenan kepada umat manusia kerana sangat peduli terhadap keadaan dan situasi mereka. Kadang-kadang Baginda sangat menginginkan untuk memperpanjangkan solat, tetapi apabila Baginda mendengar tangisan anak kecil, maka Baginda mempercepat solat supaya si ibu tidak merasa berat. Manakala Umamah bt Zainab, iaitu cucu Rasulullah sedang menangis, maka Baginda mengendongnya sementara masih dalam keadaan solat berjemaah. Apabila Baginda sujud, diletakkan cucunya itu dan apabila Baginda berdiri, maka diangkat cucunya itu.

 

Pada suatu hari, Rasulullah dalam keadaan sujud, tiba-tiba Hassan menaiki atas belakangnya, lalu Baginda memanjangkan sujud. Manakala setelah Baginda mengucapkan salam.

 

Rasulullah memohon maaf kepada para sahabatnya dan berkata; “Anakku ini sedang menunggangi ku, lalu aku merasa enggan untuk mengangkat kepala ku sehingga Baginda turun dari belakangku.” (diriwayatkan oleh imam Ahmad 27100, an Nasa’I 1141 daripada Syaddad bin al Haad r.a)

  .

.

3)  Akhlaq Tersenyum

 

Tertawa yang sederhana merupakan terapi bagi jiwa dan bukti jernihnya fikiran. Apabila Rasulullah masuk ke dalam kalangan keluarganya, maka di tertawa dan tersenyum. Baginda selalu bersenda gurau dan bermain dengan mereka. Raut wajahnya sentiasa dipenuhi dengan senyuman yang cerah serta cemerlang. Apabila berjumpa dengan orang lain, maka hati mereka akan condong dan terpikat pada tingkah laku dan perilakunya. Dan jiwa mereka selalu selalu rindu padanya. Apabila Baginda senyum ianya bagai untaian salji dengan bentuk wajah yang sempurna diterangi cahaya senyuman secemerlang cahaya matahari. Senda gurau di hadapan sahabat-sahabatnya adalah lebih asyik dan lebih lembut daripada pelukan tangan seorang ibu yang mengusapi kepala anaknya. Baginda selalu bergurau senda bersama para sahabat, maka ini menimbulkan keterujaan di kalangan mereka, membangkitkan keterbukaan di antara mereka dan membahagiakan suasana mereka. Maka tidak hairanlah para sahabat langsung tidak menginginkan keduniaan walau dalam keadaan bagaimana sekalipun.

 

Tertawanya Rasulullah dalam pelbagai suasana sehingga Nampak gigi gerahamnya. Akan tetapi baginda tidak tertawa sehingga bergoyang tubuh atau sehingga terbahak-bahak.

 

Dari Jarir Abdullah al-Bajali berkata; “Setiap kali Rasulullah memandangku, maka raut wajahnya selalu dipenuhi dengan senyuman.” Sementara Jarir sangat bangga dengan pemberian dan anugerah ini dan Baginda sering memberitahu kepada orang lain tentang hal ini. Maka senyuman yang hangat dan jujur ini adalah lebih berharga di sisi Jarir dibandingkan dengan kenangan lainnya.

 

“Baginda menceritakan kisah seorang lelaki yang terakhir masuk syurga dan keluar dari seksa api neraka. Baginda bertanya kepada Tuhannya satu demi satu sehingga Allah memberikannya sepuluh kali ganda yang pernah dicita-citakan. Lalu lelaki itu berkata; “Apakah engkau bersenda gurau denganku, sementara Engkau adalah Tuhan semesta alam?” Pada saat itu Baginda tertawa dan tersenyum.”

 

Maha suci Allah yang telah memuliakannya sehingga senyumannya juga dicatit di dalam kitab-kitab mulia yang besar dan dijadikan iktibar serta nasihat. Ianya dikira suatu akhlak yang sangat mulia. Maha suci Allah yang telah memuliakan kedudukannya sehingga menjadikan senda guraunya telah diriwayatkan oleh para Ulamak dari generasi ke generasi. Selawat dan salam Allah semoga selalu tercurah kepadanya, para sahabat dan keluarganya yang mulia.

.

.

4)  Akhlaq Jujur

 

Nabi Muhammad adalah orang yang paling jujur dalam percakapannya. Baginda tidak pernah mengenal dusta walau dalam keadaan bersenda sepanjang kehidupannya. Rasulullah mengharamkan bohong dan dusta serta mencela orang yang melakukannya. Baginda melarang kita melakukannya.

 

Rasulullah bersabda : “Sesungguhnya sikap jujur pasti membawa kebajikan. Dan kebajikan akan membawa ke syurga. Seseorang sentiasa akan bersikap jujur dan berusaha melakukannya sehingga Baginda ditulis di sisi Allah sebagai orang yang jujur…”(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim daripada Abdullah bin Mas’ud r.a)

 

Rasulullah seorang yang jujur dengan Tuhannya, dengan dirinya sendiri. Baginda juga adalah susuk tubuh yang jujur bersama orang lain bahkan Rasulullah jujur dengan para penentangnya. Jika seandainya sikap jujur itu berbentuk sebagai seorang manusia, maka itulah Muhammad . Jika Baginda adalah orang yang paling jujur dan amanah di zaman jahiliah sebelum turunnya wahyu, maka bagaimanakah keadaannya setelah datangnya wahyu? Sudah tentu sifat mulia ini akan tiada cacat celanya lagi. Adakah kalian masih ragu untuk beriman?

  .

.

5)  Akhlaq Zuhud

 

Kezuhudan Baginda adalah zuhud orang yang mengetahui akan setakat mana kebolehan dunia, kefanaannya, minimumnya bekalannya, pendeknya masanya. Kezuhudan merupakan zuhud orang yang mengetahui akan keabadian akhirat dan apa sahaja yang Allah سبحانه وتعالى sediakan sebagai kenikmatan hakiki. Oleh sebab itu Baginda menolak sikap rakus terhadap dunia kecuali dengan kadar yang dapat menahan rasa lapar dan memperkuat sisi ketahanan sebuah perjuangan. Perlu diingat bahawa dunia telah ditawarkan kepada berupa takhta, emas, perak serta segalanya. Jika Baginda menginginkan sahaja harta berupa emas dan perak nescaya perkara tersebut akan terjadi. Akan tetapi betapa mulianya pemimpin agung ini lebih mengutamakan sikap zuhud dan menerima apa adanya.

 

Terkadang, Rasulullah tidur malam dalam keadaan lapar dan bahkan selama satu bulan dapur rumahnya tidak pernah dinyalakan api untuk memasak. Kadang-kadang hari demi hari berlalu tanpa ada sesuatu untuk mengisi perutnya walaupun sebiji kurma buruk. Tidak pernah merasa kenyang dari makanan gandum selama 3 malam berturut-turut. Rasulullah selalu tidur di atas tikar yang diperbuat dari pelepah tamar sehingga berbekas di bahagian belakangnya. Baginda harus mengikat perutnya dengan batu kerana untuk menahan rasa lapar yang menyengat. Bahkan kadang-kadang para sahabat dapat melihat kesan lapar yang terdapat pada raut wajah Baginda.

 

Rumahnya dibuat dari tanah liat, sempit dan atapnya sangat rendah. Rasulullah tidak pernah memakan makanan mewah sama sekali dalam sejarah hidup baginda. Para sahabatnya sering mengirimkan makanan kepadanya kerana mereka mengetahui bahawa Baginda sangat memerlukan itu demi keperluan hidup baginda. Kesemua itu adalah sebagai bentuk penghormatan bagi dirinya dan juga sebagai pendidikan bagi jiwanya dan pemeliharaan terhadap agamanya, supaya pahalanya tetap sempurna di sisi Tuhannya.

 

Rasulullah merupakan tauladan paling agung dalam keseriusannya menghadapi hari akhirat.

 .

.

6)  Akhlaq Tidak Pemarah

 

Baginda semestinya adalah orang yang paling tidak pemarah, paling penyabar, orang yang paling baik akhlaknya serta orang yang paling berjiwa besar. Sepanjang Muhammad berstatuskan seorang Rasul, Baginda sentiasa memaafkan orang yang meremehkan hak-hak peribadi Baginda selagi mana ianya bukan hak-hak Allah سبحانه وتعالى. Rasulullah berkata kepada mereka yang selalu menyakitinya ketika hari penaklukan kota Makkah;

“Pergilah, kerana kalian adalah orang-orang yang bebas.”

(Diriwayatkan oleh imam syafie dari al-umm 7/361)

 

Rasulullah juga pernah memaafkan sepupunya Sufyan al Harith ketika hari penaklukan Makkah. Baginda berdiri dihadapannya lalu Sufyan berkata kepadanya; “Demi Tuhan, Engkau telah memuliakan kami, walaupun kami adalah orang yang bersalah.” Lalu Baginda membacakan ayat suci al Quran;

قَالَ لَا تَثْرِيبَ عَلَيْكُمُ الْيَوْمَۖ يَغْفِرُ اللَّـهُ لَكُمْۖ وَهُوَ أَرْحَمُ الرَّاحِمِينَ ﴿٩٢﴾

“Baginda (Yusuf) berkata: “Kamu pada hari ini tidak akan ditempelak atau disalahkan (tentang perbuatan kamu yang telah terlanjur itu), semoga Allah mengampunkan dosa kamu, dan Dia lah jua Yang Maha Mengasihani daripada segala yang lain yang mengasihani.” (Surah Yusuf: Ayat 92)

 

Apabila seseorang memperkatakan tentang keburukannya, maka Rasulullah tidak pernah mencari siapakah yang mengatakannya, tidak mencelanya, tidak pula memakinya.

 

Dalam sebuah hadis Rasulullah bersabda; “Janganlah sampai ada seseorang di antara kalian menyampaikan kepadaku tentang keburukan diriku sendiri. Sebab aku sangat menginginkan bahawa aku meninggalkan dunia ini dalam keadaan ketenangan jiwa.” (Hadis Riwayat Imam Ahmad, Abu Dawud, Tirmizi daripada Abdullah bin Mas’ud)

 

Ibn mas’ud pernah mengatakan sesuatu tentang Baginda, maka raut wajah Rasulullah berubah dan berkata; “Semoga Allah selalu memberikan rahmat kepada Nabi Musa a.s. Beliau telah disakiti lebih daripada ini, akan tetapi Baginda tetap bersabar.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

 

Ketika Rasulullah bersama keluarganya, Baginda adalah orang yang paling tidak pemarah di antara mereka. Baginda selalu bersenda gurau dengan mereka. Baginda selalu menyanyangi mereka dan selalu memaafkan mereka dari pelbagai tindakan yang ditimbulkan oleh mereka. Apabila Baginda masuk di kalangan mereka, maka Baginda selalu tertawa dan tersenyum simpul yang mana ianya dapat menyenangkan hati dan suasana rumah mereka.

Pembantunya Anas bin Malik pernah berkata; “Saya berkhidmat kepada Rasulullah selama 10 tahun, dan Baginda tidak pernah memberikan komen terhadap apa sahaja yang aku lakukan (maksudnya Nabi tidak pernah komplen apa yang orang gajinya buat.”

 

Bahkan orang yang bersahabat dengannya dengannya akan selalu mendapati kelembutannya, keramahannya, serta kesabaran yang tidak dapat kita gambarkan.

  .

.

7)  Akhlaq Pemberani

 

Kenyataan ini adalah sesuai dengan apa yang telah diberitakan di dalam hadis dan pelbagai riwayat. Oleh itu, Rasulullah merupakan orang yang mantap hatinya di antara manusia biasa lainnya. Hati nuraninya tidak pernah goyah serta goncang. Baginda tidak pernah takut terhadap gertakan. Baginda juga tidak pernah gentar dengan peristiwa genting serta krisis. Baginda selalu menyerahkan perkara yang dihadapinya kepada Tuhannya. Baginda selalu bertawakkal kepada Nya dan selalu senang dengan keputusan dan ketentuan Nya. Baginda juga melangsungkan peperangan dengan jasadnya yang mulia.

 

Umat Islam banyak yang melarikan diri daripada peperangan Hunain dan tidak ada seorang pun yang bertahan menghadapi musuh kecuali baginda beserta enam orang sahabatnya. Lalu Rasulullah menunggang baghalnya menuju ke barisan tentera Musyrikin, yang dilengkapi dengan senjata, yang mana jumlahnya lebih banyak dan mempunyai kelengkapan yang lebih hebat. Nabi dengan penuh berani melempar mereka dengan sekepal tanah yang terdapat di dalam genggaman tangannya dan berkata “Binasalah wajah mereka itu!”

 

Lalu Allah menurunkan wahyu kepadanya;

فَقَاتِلْ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ لَا تُكَلَّفُ إِلَّا نَفْسَكَۚ وَحَرِّضِ الْمُؤْمِنِينَۖ عَسَى اللَّـهُ أَن يَكُفَّ بَأْسَ الَّذِينَ كَفَرُواۚ وَاللَّـهُ أَشَدُّ بَأْسًا وَأَشَدُّ تَنكِيلًا ﴿٨٤﴾

“Oleh itu, berperanglah (wahai Muhammad) pada jalan Allah (untuk membela Islam dari pencerobohan musuh); engkau tidak diberati selain daripada kewajipanmu sendiri. Dan berilah peransang kepada orang-orang yang beriman (supaya turut berjuang dengan gagah berani). Mudah-mudahan Allah menahan bahaya serangan orang-orang yang kafir itu. Dan (ingatlah) Allah Amatlah besar kekuatanNya dan Amatlah berat azab seksaNya.” (Surah An- Nisa’: Ayat 84)

 

Wajah Rasulullah pernah luka dan gigi gerahamnya patah, sementara 70 orang sahabatnya terbunuh. Akan tetapi Baginda tidak merasa lemah, tidak merasa putus asa, dan tidak pernah ingin melarikan diri. Bahkan Baginda tetap menyerang musuh bagaikan berkecamuknya perang yang menggila. Baginda memimpin peperangan secara langsung pada perang Badar dan menerjuni pertaruhan kematian dengan rohnya yang mulia.

 

Pada malam perang Badar, para umat Islam tidur lena. Tetapi terdapat satu susuk tubuh yang tidak tidur sama sekali. Baginda berdiri melakukan solat, berdoa, memohon dan berharap kepada Tuhannya. Alangkah pemberaninya pemimpin ini! Alangkah bertanggung jawabnya Baginda! Tidak ada seorang pun yang menyamainya dalam keberaniannya, ketenangannya oleh makhluk mana sekalipun. Baginda juga mempunyai karekter kehebatan, kekuatan dan sikap tidak pernah gentar terhadap sesiapa pun.

 

Rasulullah bersabda; “Demi Allah yang menguasai diri ku, sesungguhnya aku sangat menginginkan agar mati syahid di jalan Allah,kemuBagindan hidup kembali, kemuBagindan aku mati syahid kembali.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah)

  .

.

8)  Akhlaq Tawadhuk

 

Rasulullah merupakan seorang yang sangat luar biasa dalam sikap tawadhuknya. Sikap tawadhuknya itu adalah sikap tawadhuk orang yang mengenal akan kehebatan Tuhannya. Baginda selalu bersikap tawadhuk terhadap orang mukmin dan selau mengasihani golongan miskin. Baginda suka bersenda gurau dengan kanak-kanak dan suka bermain-main dengan keluarganya. Rasulullah tidak pernah tamak kepada kemasyhuran, Baginda berbincang dengan wanita dengan penuh kelembutan. Baginda bercakap dengan orang asing dengan penuh kasih sayang. Baginda selalu tersenyum terhadap para sahabatnya.

 

Terjadi suatu peristiwa bilamana ada seseorang melihatnya gementar kerana karismatiknya, lalu Rasulullah berkata; “Tenangkanlah dirimu, sebab saya adalah anak seorang perempuan biasa yang memakan daging biasa di Makkah.” (Hadis Riwayat Ibn Majah dan al Hakim)

 

Rasulullah sangat dekat di hati ummat nya. Pada suatu hari seorang hamba perempuan meminta pertolongan, lalu Baginda tidak segan silu untuk memberikan bantuan kepadanya. Baginda juga selalu menziarahi ummu Ayman, ketika Baginda masih dalam status hambanya.

 

Rasulullah selalu membantu keperluan keluarganya.Baginda menjahit seluarnya dan menampal pakaiannya. Baginda memerah susu kambingnya dan mahu membantu memotong daging bersama isterinya. Baginda menghidangkan makanan kepada para tetamunya dan selalu menyenangkan orang yang melawatnya. Maka segala selawat penuh kemuliaan adalah baginya.

 .

.

9)  Akhlaq Menangis

 

Menangis merupakan suatu keutamaan dan sikap yang terpuji ketika melihat suatu kekurangan atau takut akan keburukan yang akan menimpa. Ianya juga adalah suatu keistimewaan apabila seorang hamba selalu ingat akan Tuhannya dan takut akan dosanya. Ianya juga adalah bukti ketaqwaan hati, keagungan jiwa, kesucian hati dan kelembutan perasaan.

 

Allah سبحانه وتعالى telah memberikan pujian kepada para rasul Nya ketika mereka menangis;

أُولَـٰئِكَ الَّذِينَ أَنْعَمَ اللَّـهُ عَلَيْهِم مِّنَ النَّبِيِّينَ مِن ذُرِّيَّةِ آدَمَ وَمِمَّنْ حَمَلْنَا مَعَ نُوحٍ وَمِن ذُرِّيَّةِ إِبْرَاهِيمَ وَإِسْرَائِيلَ وَمِمَّنْ هَدَيْنَا وَاجْتَبَيْنَاۚ إِذَا تُتْلَىٰ عَلَيْهِمْ آيَاتُ الرَّحْمَـٰنِ خَرُّوا سُجَّدًا وَبُكِيًّا ۩﴿٥٨﴾

“Mereka itulah sebahagian dari Nabi-nabi yang telah dikurniakan Allah nikmat yang melimpah-limpah kepada mereka dari keturunan Nabi Adam, dan dari keturunan orang-orang yang Kami bawa (dalam bahtera) bersama-sama Nabi Nuh, dan dari keturunan Nabi Ibrahim, dan (dari keturunan) Israil- dan mereka itu adalah dari orang-orang yang Kami beri hidayah petunjuk dan Kami pilih. Apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat (Allah) Ar-Rahman, mereka segera sujud serta menangis.” (Surah Maryam: Ayat 58)

 

Kening Rasulullah selalu basah, Baginda cepat mengambil pelajaran, selalu menitiskan air mata, lembut hati nuraninya, dan selalu berlinangan air mata. Air matanya selalu mengalir dalam  sebuah kejujuran dan kesucian cinta terhadap ummat. Tangisannya meninggalkan kesan dalam hati para sahabatnya, iaitu ianya merupakan kesan pendidikan terhadap para sahabatnya yang kesan tersebut tidak pernah sama dengan kesan tarbiah ketika perang.

 

Rasulullah selalu menangis ketika membaca al Quran;

إِن تُعَذِّبْهُمْ فَإِنَّهُمْ عِبَادُكَۖ وَإِن تَغْفِرْ لَهُمْ فَإِنَّكَ أَنتَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ ﴿١١٨﴾

“Jika Engkau menyeksa mereka, (maka tidak ada yang menghalanginya) kerana sesungguhnya mereka adalah hamba-hambaMu; dan jika Engkau mengampunkan mereka, maka sesungguhnya Engkaulah sahaja yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”(Surah Al-Maidah: Ayat 118)

 

Rasulullah selalu menangis sepanjang malam. Baginda juga menangis ketika mendengar bacaan al-Quran. Telah diriwayatkan daripadanya bahawa Baginda berkata kepada Ibnu Mas’ud ; “Bacakanlah al-Quran kepadaku.”Ibnu Mas’ud menjawab; “Bagaimana boleh aku membacakan al-Quran kepadamu, sementara ianya diturunkan kepadamu?” Baginda berkata; “Bacalah kerana aku sangat suka mendengar bacaan al-Quran dari orang lain.”Lalu Ibnu Mas’ud mula membaca Surah An-Nisa’ sehingga sampai kepada ayat;

فَكَيْفَ إِذَا جِئْنَا مِن كُلِّ أُمَّةٍ بِشَهِيدٍ وَجِئْنَا بِكَ عَلَىٰ هَـٰؤُلَاءِ شَهِيدًا ﴿٤١ 

“Maka bagaimanakah (halnya orang kafir nanti), apabila kami mendatangkan seseorang saksi (rasul) dari tiap-tiap umat dan kami mendatangkan kamu (Muhammad) sebagai saksi atas mereka itu (sebagai umatmu).” (Surah An-Nisa’: Ayat 41)

 

Lalu Baginda berkata; “Cukuplah sampai di sini sahaja.”Ibnu Mas’ud berkata: “Maka aku tatap Baginda, tiba-tiba kedua mata Baginda menitiskan air mata dengan derasnya.”

 

Baginda memberitahu tentang sebuah keutamaan menangis kerana takutkan Allah سبحانه وتعالى. Lalu, Baginda menyebutkan tujuh orang yang akan mendapatkan perlindungan Allah سبحانه وتعالى pada waktu yang tiada perlindungan selain daripada Nya, di antaranya adalah;

“Seorang lelaki yang berzikir kepada Allah secara sendiri, lalu kedua air matanya berlinangan.”

 

Menangis yang disunnahkan adalah secara hukum adalah tangisan yang bersumberkan ketakutan terhadap Allah سبحانه وتعالى. Juga tangisan kerana teringat hari berjumpa dengan Nya, berhadapan serta bersoal jawab dengan Allah سبحانه وتعالى. Menangis kerana menepati janji Allah سبحانه وتعالى juga amat mulia. Ianya adalah di antara amalan para wali dan kekasih Allah سبحانه وتعالى. Khususnya apabila menangis kerana melakukan maksiat, kehilangan masa untuk taat, kerana takut dengan seksa, kerana kasihan kepada orang yang ditimpa musibah, kerana terharu dengan nasihat dan kerana takut pada Allah سبحانه وتعالى ketika saat tafakkur. Tangisan terhadap keduniaan tidak digalakkan dan juga tidak ada kepujian baginya. Sebab ianya tidak layak untul ditangisi, kerana keduniaan tidak ada nilainya di sisi Allah سبحانه وتعالى.

 

Demikianlah Rasulullah menangis di hadapan umat manusia. Demikianlah air matanya mengalir berlinangan di atas kedua pipinya yang mulia. Baginda adalah orang yang paling mengenali Allah سبحانه وتعالى. Baginda adalah orang yang paling mengetahui tentang wahyu dan paling mengetahui tempat akhir sebuah perjalanan kehidupan ini!

 .

.

Penutup

 

Nabi Muhammad memiliki sifat-sifat indah dan sangat dekat di hati serta dicintai oleh jiwa manusia. Baginda sangat mesra dalam pergaulan, mudah dalam urusan serta diberkati dalam segala tindakan. Para sahabat merasa sebahagian dari Baginda apabila bersama dengannya. Rasulullah sentiasa optimis, memaafkan serta perihatin terhadap orang lain. Baginda pemurah dan suka bersedekah. Sikap pemurahnya lebih pantas dibandingkan dengan angin yang bertiup dan lebih lebat daripada hujan yang deras. Baginda telah menundukkan ego para tokoh dengan sikap mulianya. Sesiapa yang melihatnya pasti mencintainya. Sesiapa yang mengenalinya pasti merasa segan dan hormat kepadanya. Sesiapa yang menziarahinya pasti mengagungkannya. Perkataanya sangat menyentuh perasaan dan sikapnya telah menawan jiwa.

 

Justeru, kita semua sebagai ummatnya, marilah memulakan, mengamalkan dan merealisasi legasi Nabi Muhammad dalam kehidupan seharian. Sama-sama mulakan dengan mengikuti sunnah Rasulullah yang mudah, nescaya kita akan beroleh pahala berlipat ganda di samping mendidik diri kita untuk melaksanakan sunnah yang lebih besar. InsyaAllah.

.

Daripada Anas r.a., katanya: Rasulullah bersabda: “Tidak sempurna iman seseorang dari kamu sehingga aku menjadi seorang yang dikasihi olehnya lebih daripada ibu bapanya, anak pinaknya, dan manusia seluruhnya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

.

والله أعلم بالصواب

Wallahu A’lam Bish Shawab

(Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)

.

.

Artikel Berkaitan:

  1. Lahirnya Rahmat Seluruh Alam  (Klik Di Sini)
  2. Cara Rasulullah SAW Mengawal Kemarahan  (Klik Di Sini)

.

.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

.

~ shafiqolbu ~

.

.

 

One response to this post.

  1. […] salah satu daripada kuda tunggangan rombongan itu. Kuda itu adalah kepunyaan Junjungan Mulia Nabi Muhammad ﷺ. Rombongan yang menuju medan perang itu berhenti setelah diarahkan oleh Rasulullah […]

    Reply

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: