Kehidupan Masyarakat Arab Sebelum Rasulullah SAW Diutuskan

بِسۡـــــــــمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

Masyarakat Arab sebelum Rasulullah SAW Diutuskan.

Kehidupan masyarakat Arab sebelum Rasulullah SAW () diutuskan, berada dalam kekacauan dan kerosakan yang sangat di luar biasa serta tidak terkawal. Mereka menyekutukan Allah سبحانه وتعالى, percaya kepada khurafat, banyak berbuat maksiat, tidak mempunyai norma, dan pelbagai bentuk keruntuhan moral yang lain.


Nabi Muhammad
, yang merupakan Nabi dan Rasul terakhir, Baginda diutus di kala tidak adanya para Rasul. Kekosongan masa itu dari para pembawa risalah. Allah سبحانه وتعالى murka kepada penduduk bumi baik orang Arab dan selainnya (‘ajam), kecuali saki-baki dari ahlul kitab (Yahudi dan Nasrani) yang sebahagian besar dari mereka telah meninggal dunia.

 

Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya Allah melihat kepada penduduk bumi. Lalu murka kepada mereka, Arabnya atau ajamnya, kecuali saki-baki dari ahlul kitab.” (Hadis Riwayat Muslim r.a.)


Ketika itu, baik bangsa Arab atau lainnya, hanya ada dua jenis manusia, iaitu:

Pertama; Berpegang dengan kitab yang sudah diubah atau dihapuskan.

Kedua; Berpegang dengan agama yang rosak dan punah.

 

Agama yang sebahagiannya tidak diketahui dan sebahagian yang lain sudah ditinggalkan. Akibatnya, seorang ‘ummi’ (tidak boleh membaca dan menulis) hanya ada semangat ibadah namun hanya berdasarkan apa yang mereka anggap baik atau disangka memberi manfaat. Sehinggakan terjadi penyembahan kepada bintang, berhala, kubur, benda keramat dan yang lainnya.


Manusia zaman itu benar-benar dalam kebodohan yang parah. Dungu akan ucapan-ucapan mereka yang disangka baik padahal tidak, serta dungu akan amalan mereka yang disangka baik padahal rosak. Paling pintar di antara mereka adalah yang mendapat ilmu dari warisan para nabi terdahulu, namun telah dikelirukan antara yang ‘haq dan batil’ (benar dan salah). Atau yang sibuk dengan sedikit amalan, itupun kebanyakannya bid’ah yang dibuat-buat. Padahnya, kebatilan mereka jauh berlipat kali ganda dari kebenarannya. (Iqtidha ‘Sirathil Mustaqim, 1/74-75)


Begitulah gambaran ringkas keadaan manusia yang sangat parah pada masa itu, terutamanya di kota Makkah dan kawasan sekitarnya.

.

.

Punca Kesyirikan

 

Amr bin Luhay Al-Khuza’iy

 

Keadaan tersebut mula kelihatan sejak munculnya Amr bin Luhay Al-Khuza’iy. Ia dikenali sebagai orang yang gemar ibadah dan beramal baik sehingga masyarakat waktu itu mengangkatnya sebagai seorang ulama. Sehingga suatu ketika, Amr pergi ke daerah Syam. Baginda mendapati para penduduknya beribadah kepada berhala-berhala. Amr menganggapnya sebagai sesuatu yang baik dan benar kerana Syam juga dikenali sebagai tempat turunnya kitab-kitab Samawi (kitab-kitab dari langit).


Ketika pulang, Amr membawa hadiah berhala dari Syam yang bernama Hubal. Ia kemudian meletakkan patung tersebut di dalam Kaabah dan menyeru penduduk Makkah untuk menjadikannya sebagai sekutu bagi Allah سبحانه وتعالى dengan beribadah kepadanya. Masyarakat Hijaz, Makkah, Madinah dan sekitarnya menyambut seruan itu, oleh kerana disangkanya sebagai perkara yang benar. (Mukhtashar Sirah Rasul hal. 23 & 73)


Sejak itulah, berhala tersebar di setiap kabilah. Di samping ‘Hubal’ yang menjadi berhala terbesar di Kaabah dan sekitarnya, sekaligus menjadi sanjungan orang-orang Makkah. Terdapat juga berhala ‘Manat’ di antara Makkah dan Madinah. Manat merupakan sesembahan orang-orang Aus dan Khazraj (dua qabilah dari Madinah). Juga ada Latta di Taif dan ‘Uzza. Ketiga berhala ini merupakan yang terbesar dari yang ada. (Lihat Mukhtashar Sirah Rasul 75-76, Rahiqul Makhtar, hal. 35)


Akibatnya, peribadatan kepada berhala menjadi pemandangan yang dianggap menarik. Selain itu, kesyirikan tersebut disangka masyarakat waktu itu sebagai sebahagian dari agama Ibrahim a.s.. Padahal, tradisi menyembah berhala-berhala itu kebanyakannya adalah hasil kejuruteraan Amr bin Luhay yang kemudian dianggap bid’ah hasanah.


Dijelaskan oleh Nabi
mengenai perbuatan Amr ini: “Aku melihat Amr bin Amir (bin Luhay) Al-Khuza’iy mengheret ususnya di neraka. Dia yang pertama kali melukai unta (sebagai persembahan kepada berhala dan yang pertama menukar agama Ibrahim a.s.).” (Hadis Riwayat Al-Bukhari r.a.)


Di antara tradisi syirik masyarakat waktu itu adalah malam di sekitar berhala itu, memohonnya, mencari berkat darinya, Tawaf, tunduk dan sujud kepadanya, menghidangkan sembelihan dan sesaji kepadanya, dan lain-lain kerana kononnya diyakini dapat memberi manfaat. Mereka melakukan perkara itu kerana meyakini perlakuan tersebut akan mendekatkan kepada Allah سبحانه وتعالى dan memberi syafaat sebagaimana Allah سبحانه وتعالى kisahkan dalam Al-Quran.

 

Firman Allah سبحانه وتعالى:

أَلَا لِلَّـهِ الدِّينُ الْخَالِصُۚ وَالَّذِينَ اتَّخَذُوا مِن دُونِهِ أَوْلِيَاءَ مَا نَعْبُدُهُمْ إِلَّا لِيُقَرِّبُونَا إِلَى اللَّـهِ زُلْفَىٰ إِنَّ اللَّـهَ يَحْكُمُ بَيْنَهُمْ فِي مَا هُمْ فِيهِ يَخْتَلِفُونَۗ إِنَّ اللَّـهَ لَا يَهْدِي مَنْ هُوَ كَاذِبٌ كَفَّارٌ ﴿٣﴾

“Ingatlah! (Hak yang wajib dipersembahkan) kepada Allah ialah segala ibadat dan bawaan yang suci bersih (dari segala rupa syirik). Dan orang-orang musyrik yang mengambil selain dari Allah untuk menjadi pelindung dan penolong (sambil berkata): “Kami tidak menyembah atau memujanya melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya” sesungguhnya Allah akan menghukum di antara mereka (dengan orang-orang yang tidak melakukan syirik) tentang apa yang mereka berselisihan padanya. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang tetap berdusta (mengatakan yang bukan-bukan), lagi sentiasa kufur (dengan melakukan syirik).” (Surah Az-Zumar: Ayat 3)

 

Allah سبحانه وتعالىberfirman lagi :

وَيَعْبُدُونَ مِن دُونِ اللَّـهِ مَا لَا يَضُرُّهُمْ وَلَا يَنفَعُهُمْ وَيَقُولُونَ هَـٰؤُلَاءِ شُفَعَاؤُنَا عِندَ اللَّـهِۚ ﴿١٨﴾

“Dan mereka menyembah yang lain dari Allah, sesuatu yang tidak dapat mendatangkan mudarat kepada mereka dan tidak dapat mendatangkan manfaat kepada mereka dan mereka pula berkata: “Mereka (yang kami sembah itu) ialah pemberi-pemberi syafaat kepada kami di sisi Allah”…” (Surah Yunus: Ayat 18)

.

.

Telek Nasib

 

Selain kesyirikan, kebiasaan buruk yang mereka lakukan adalah perjudian dan menelek nasib dengan menggunakan tiga anak panah. Caranya dengan menuliskan pada setiap satunya dengan ‘ya’, ‘tidak’ dan ‘kosong’. Ketika ingin melancong misalnya, mereka mengundinya. Jika anak panah yang keluar bertulis ‘ya’, maka mereka pergi, jika ‘tidak’, tidak jadi pergi, dan jika yang keluar ‘kosong’, maka akan diundi semula.


Selain dengan anak panah, mereka juga menyerahkan nasib melalui burung-burung, iaitu membebaskan burung ketika ingin melakukan perjalaan. Jika terbang ke kanan, bererti terus perjalaan, dan jika ke kiri terbangnya, bermakna harus ditangguhkan rancangan perjalaannya.


Mereka mempercayai kata-kata ahli nujum, peramal dan dukun. Mereka juga pesimis dengan bulan-bulan tertentu, misalnya bulan Safar. Mereka merubah peraturan haji dengan tidak membenarkan orang luar Makkah menunaikan haji kecuali dengan memakai pakaian daripada kalangan puak mereka. Jika tidak memperolehinya, maka diharuskan melakukan Tawaf dengan telanjang.

.

.

Sosial Masyarakat


Di bidang sosial kemasyarakatan, hubungan di kalangan masyarakat pun sangat rendah, khususnya di kalangan masyarakat menengah ke bawah. Hinggakan pada salah satu cara perkahwinan mereka, seseorang wanita hanya memasukkan bendera di depan rumah. Ini merupakan tanda untuk mempersilakan bagi mana-mana lelaki yang ingin ‘mendatanginya’. Jika sampai melahirkan bayi, maka semua yang pernah melakukan hubungan dikumpulkan dan diundang seorang ahli nasab untuk menentukan siapa bapanya, kemudian si bapa harus menerimanya.


Poligami di zaman itu juga tidak terhad, sehingga seorang lelaki boleh menikahi wanita sebanyak mungkin. Bahkan sudah menjadi perkara yang biasa seorang anak menikahi bekas isteri ayahnya dengan mahar terpulang kepada si lelaki. Jika wanita itu tidak mahu, maka kanak-kanak tersebut boleh melarang si wanita untuk berkahwin kecuali dengan lelaki yang dipulangkan. Sehingga dalam banyak hal, wanita dizalimi. Sampai yang tidak berdosapun merasakan kezaliman itu, iaitu bayi-bayi wanita yang ditanam hidup-hidup kerana takut miskin dan hina.

.

.

Tentunya hakikat yang sebenarnya melebihi daripada apa yang tergambar di atas. Tidak dinafikan di sisi lain mereka mempunyai banyak sifat atau perlakuan yang baik, namun semua itu telah lebur dalam kerosakan agama, keruntuhan moral dan berakhlak buruk yang kemudiannya, seluruh perkara tersebut ditentang oleh Islam dengan diutusNya Rasulullah sebagai cahaya yang menerangi seluruh umat manusia.

 

.

والله أعلم بالصواب

Wallahu A’lam Bish Shawab

(Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)

.

.

Artikel Berkaitan:

  1. Lahirnya Rahmat Seluruh Alam  (Klik Di Sini)
  2. Kelahiran Nabi Muhammad SAW (Klik Di Sini)
  3. Keperibadian Akhlak Nabi Muhammad SAW (Klik Di Sini)

.

.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

.

~ shafiqolbu ~

 

 

.

.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: