KJ : Mencegah Jenayah Mengislah Ummah

بِسۡـــــــــمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

Khutbah Jumaat SQ-shafiqolbu.

 

Khutbah Jumaat: “Mencegah Jenayah Mengislah Ummah”

 

.

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقاَئِل:                             

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ قُوٓا۟ أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًۭا وَقُودُهَا ٱلنَّاسُ وَٱلْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَٰٓئِكَةٌ غِلَاظٌۭ شِدَادٌۭ لَّا يَعْصُونَ ٱللَّهَ مَآ أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ

أَشْهَدُ أَن لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ.

اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلى ءَالــِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ.أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللَّهِ، اتَّقُواْ اللَّهِ، أُوْصِيْكُمْ وَ إِيَّايَ بِتَقْوَى اللَّهِ، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

 

Saya menyeru dan berpesan kepada diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian, agar kita sama-sama meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT iaitu dengan membuktikan kita mentaati perintah Allah, mengutamakan ajaran al-Quran dan sunnah, mudah-mudahan diri kita dekat dengan Allah dan memperolehi keberkatan hidup yang berkekalan di dunia dan di akhirat.

 

Alhamdulillah, umat Islam seluruh negara baru saja menyambut hari ulangtahun kelahiran Nabi Muhammad SAW, rasul junjungan yang kita cintai. Mudah-mudahan sambutan yang meriah tersebut akan melonjakkan semangat kita untuk terus melipatgandakan amalan dan seruan baginda SAW. Mimbar hari ini akan membincangkan tajuk: “MENCEGAH JENAYAH MENGISLAH UMMAH.”

.

.

Muslimin Yang Dikasihi Sekalian,

 

Kesejahteraan ummah samada dari segi rohani dan jasmani di dunia mahupun di akhirat merupakan objektif  utama agama Islam. Bagi mencapai matlamat ini, mimbar yang mulia ingin menegaskan bahawa, agama Islam telah menyusun satu sistem yang lengkap untuk dipatuhi oleh setiap manusia. Sistem ini bermula dari permulaan kejadian manusia, semasa kehidupannya dan selepas kematiannya.

 

Pada semua peringkat ini jasad dan roh manusia itu dilengkapi dengan syariat Islam yang jelas lagi teratur. Namun perlu diingat bahawa agama Islam juga telah mengatur kehidupan manusia kepada yang wajib dan sunat, yang harus dan yang haram. Islam juga menggariskan hal-hal yang berkaitan dengan dunia dan akhirat, dosa dan pahala serta penilaian dan pembalasan kepada manusia di atas apa yang dilakukannya.

 

Berdasarkan kepada sistem kehidupan  ini, maka mimbar yang mulia ini menyeru kepada sidang jemaah dan umat Islam sekalian untuk mematuhi segala peraturan hidup ini berlandaskan syariat dengan bersama-sama melaksanakan segala tuntutan dan mencegah segala perbuatan yang menyalahi peraturan kehidupan samada secara zahir atau batin bagi mencapai matlamat kesejahteraan hidup dunia dan akhirat.

 

Maka bagi mengislahkan ummah ini, sebagai umat Islam yang beriman kita hendaklah kembali kepada ajaran Islam yang sebenar dengan meletakkan persoalan mencegah segala kemungkaran ataupun jenayah adalah tanggungjawab bersama. Inilah masanya, semua umat Islam samada mereka itu dari kalangan mereka yang berkuasa atau rakyat jelata mesti bangkit atas dasar tanggungjawab untuk membenteras sebarang kemungkaran yang sedang berlaku dalam masyarakat hari ini tanpa mengira fahaman dan pengaruh ideologi tertentu kerana ini tanggungjawab kita.

 

Sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: “Barangsiapa di antara kamu melihat berlakunya kemungkaran, maka hendaklah diubah dengan tangannya (kuasanya) dan sekiranya ia tidak mampu, maka hendaklah dengan lidahnya, dan sekiranya dia tidak mampu maka hendaklah diubah dengan hatinya (benci dengan hati), dan yang demikian itu adalah selemah-lemah iman.” (Riwayat Muslim)

.

.

Muslimin yang Dikasihi Sekalian

 

Lihatlah, mutakhir ini hampir setiap hari dilaporkan oleh media massa akan pelbagai gejala kemungkaran dan jenayah melanda masyarakat negara kita. Perlakuan buruk ini melibatkan semua golongan samada golongan remaja dan dewasa. Di antara beberapa gejala yang amat membimbangkan kita ialah seperti kes pembunuhan, rompakan pembuangan bayi, penderaan kanak-kanak, kes bersekedudukan sehingga melahirkan zuriat tanpa nikah, kes dadah, arak, rogol dan sebagainya.

 

Pada pemerhatian mimbar terdapat kes tersebut melibatkan masyarakat melayu yang beragama Islam yang berlaku di sekeliling kita. Bayangkanlah, tindakan penjenayah dalam membuat kerosakan dan kezaliman di negara ini mengakibatkan banyak kerugian termasuklah harta benda, kehilangan nyawa dan kemusnahan alam sekitar.

 

Dalam hal ini Abu Hurairah RA telah meriwayatkan sebuah hadith Rasulullah SAW :

Bermaksud: “Demi di mana diriku di bawah kekuasaan-Nya, maka akan datang kepada manusia suatu zaman di mana seorang pembunuh tidak tahu sebab mengapa ia menjadi seorang pembunuh dan manakala orang yang dibunuh pula tidak tahu sebab mengapa ia dibunuh.” (Hadith Riwayat Muslim)

.

Mimbar yang mulia ini ingin mengatakan bahawa dalam Islam pelakuan jenayah diklasifikasikan sebagai perbuatan zalim dan kejam. Jenayah-jenayah ini jelas melanggar syariat dan  hukum Allah SWT serta menggugat keselamatan orang lain. Ingatlah Allah SWT sangat membenci mereka yang melakukan kezaliman.

 

Firman Allah SWT di dalam Surah Hud ayat 113:

وَلَا تَرْكَنُوٓا۟ إِلَى ٱلَّذِينَ ظَلَمُوا۟ فَتَمَسَّكُمُ ٱلنَّارُ وَمَا لَكُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ مِنْ أَوْلِيَآءَ ثُمَّ لَا تُنصَرُونَ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim, maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan.”

 

Persoalan besar timbul di sini ialah kenapa gejala kemungkaran dan jenayah ini berlaku?. Adakah ia menggambarkan bahawa agama Islam itu sendiri gagal mendidik umatnya? atau sikap masyarakat Islam yang lupa tentang syariat Islam dan tanggungjawab dalam konteks amal makruf dan nahi mungkar untuk membendung segala jenayah sebagai satu tanggungjawab bersama.

 

Percayalah bahawa isu jenayah merupakan isu yang melanda kehidupan manusia sepanjang zaman. Porak-peranda kehidupan masyarakat adalah berpunca daripada wujudnya golongan rosak akhlak yang membelakangkan agama, syariat Islam dan adab dengan mengutamakan hawa nafsu. Namun, gejala jenayah mungkar tidak dapat diatasi selagi masyarakat mengamalkan sikap keakuan dengan mementingkan diri sendiri tanpa mempedulikan apa yang berlaku di sekelilingnya.

 

Oleh itu, tatacara hidup Islam yang sebenarnya adalah bersaudara, saling bantu membantu, faham-memahami antara satu sama lain sebagaimana hadith Rasulullah SAW:

Maksudnya: “Seorang mukmin terhadap seorang mukmin yang lain adalah seperti sebuah bangunan di mana sebahagiannya menguatkan sebahagian yang lain.” (Hadis Riwayat Muslim)

.

.

Muslimin yang Dikasihi Sekalian

 

Sebagai umat Islam kita perlu sedar bahawa syariat Islam yang diturunkan oleh Allah SWT adalah kunci segala kehidupan bagi mengislahkan ummah. Syariat Islam bertujuan untuk mengatur dan mengawal kehidupan manusia supaya bebas dari sebarang unsur-unsur kemungkaran dan jenayah yang boleh membawa kepada kemusnahan. Oleh itu, dalam syariat Islam kedudukan manusia sama sahaja, perbezaan warna kulit, pangkat dan darjat tidaklah mempunyai apa-apa keistimewaan, yang salah tetap salah, begitu juga yang benar tetap benar, kerana ianya berpaksikan kepada keadilan yang nyata.

 

Ketahuilah bahawa syariat itulah sebenarnya agama, yang meliputi hukum-hakam yang berkaitan dengan kehidupan manusia. Menegakkan, melaksanakan dan berusaha ke arahnya adalah tanggungjawab kita semua, bukan hanya tertanggung ke atas pihak tertentu sahaja. Ingatlah, Islam itu agama kita, bumi bertuah ini tanah air kita.

 

Tiada gunanya kita menjadi bangsa yang telah merdeka jika kita gagal dan takut untuk mempertahankan hak dan maruah kita sendiri. Maka, sanggupkah kita biarkan agama kita terus ternoda, terus dipersenda dan terus dipermainkan? Siapa lagi yang akan mempertahankan kesucian Islam di tanah air ini jikalau bukan kita sendiri yang mempertahankannya?

 

Justeru, sebagai umat Islam kita wajib mendokong tanpa berbelah bagi segala usaha bagi meletakkan syariat Islam sebagai dasar negara dan pendinding kepada segala unsur-unsur kemungkaran dan jenayah yang melanda masyarakat ketika ini. Kita juga hendaklah melakukan penghijrahan minda ke arah menyedari dan menginsafi bahawa kewajipan untuk memelihara agama (hifz ad-deen) andalah tanggunjawab bersama.

 

Sebagai umat Islam kita juga dituntut untuk mengenali agenda penghakis kedaulatan agama Islam dengan mengenali unsur-unsur yang cuba menghakis kesucian agama Islam dan sebagainya. Tariklah nafas keimanan dan sedarlah wahai jemaah sebelum terlambat.

 

Saat ini agama kita sedang diserang, akidah kita sedang digugat, maruah kita sedang dicabar. Bayangkanlah,apakah lagi keburukan yang akan melanda kita jika umat islam terus berpecah belah dan tidak bersatu untuk mempertahankannya?. Bagaimana pula dengan akidah anak-anak kita di masa hadapan?

.

Malulah kita kepada Allah SWT jika kita sebagai umat yang ramai gagal menjalankan tanggungjawab untuk mempertahakan kedaulatan agama kita.

 

Rasulullah SAW pernah bersabda yang mafhumnya: “Sesungguhnya Allah SWT telah menetapkan beberapa kewajiban, maka janganlah engkau abaikan. Allah SWT juga telah menentukan peraturan hukum, maka jangan engkau melanggarnya. Allah SWT juga telah mengharamkan beberapa perkara, maka jangan engkau melakukannya. Dan Allah SWT juga ada mendiamkan sesuatu perkara kerana kasih sayangnya kepada kamu dan bukan kerana lupa, maka janganlah engkau menimbul-nimbulkannya.” (Riwayat Dar al-Qutni)

 

Mengakhiri khutbah pada minggu ini, mimbar menyeru sidang jemaah dan umat Islam sekalian, untuk sama-sama kita mengislahkan ummah dengan berpegang kepada ajaran Islam yang sebenar dengan meletakkan syariat Islam sebagai tirai besi kepada setiap unsur kemungkaran dan jenayah. Yakinlah bahawa syariat Islam yang adil ini dapat menjamin kebaikan kepada individu, masyarakat dan negara.

 

Marilah sama-sama kita mengambil tanggungjawab dalam membenteras segala unsur kemungkaran yang melanda umat Islam pada hari ini. Ingatlah, jika umat Islam masih leka dan terus dibuai mimpi yang indah tanpa menyedari barah dan virus yang sedang meratah mangsanya, pasti rosaklah minda, hilanglah jati diri dan terpesongnya persepsi yang akhirnya akan melenyapkan kuasa dan maruah.

 

Marilah sama sama kita mengucapkan rasa kesyukuran kepada Allah SWT kerana diciptakan dalam keadaan yang cukup sempurna sehingga disebabkan kesempurnaan ini, martabat kita diangkat. Ingatlah, kesempurnaan ini tidak membawa apa-apa erti jika kita gagal menggunakan akal dan hati dalam mematuhi segala syariat Allah SWT.

 

Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-Tahrim ayat 6:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ قُوٓا۟ أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًۭا وَقُودُهَا ٱلنَّاسُ وَٱلْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَٰٓئِكَةٌ غِلَاظٌۭ شِدَادٌۭ لَّا يَعْصُونَ ٱللَّهَ مَآ أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ

Bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu api Neraka yang bahan bakarannya manusia dan batu; Penjaganya malaikat-malaikat yang keras kasar; tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.”

.

بَارَكَ اللَّهُ لِي وَلَكُمْ فِى الْقُرْءَانِ الْعَظِيمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُم تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللَّهَ الْعَظِيمَ لِي وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، والْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوهُ فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَعْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.

.

.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

“Mencegah Jenayah Mengislah Ummah”

(17 JANUARI 2014 / 15 RABIULAWWAL 1435H)

.

.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

.

Posted by; shafiqolbu

.

.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: