KJ : Manhaj Islami Dalam Perpaduan Ummah

بِسۡـــــــــمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

Khutbah Jumaat SQ-shafiqolbu.

Khutbah Jumaat: “Manhaj Islami Dalam Perpaduan Ummah”

.

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقاَئِل:                             

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّـهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ ۖ فَإِن تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّـهِ وَالرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ۚ ذَٰلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا ﴿٥٩﴾

أَشْهَدُ أَن لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ.

اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلى ءَالــِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ.أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللَّهِ، اتَّقُواْ اللَّهِ، أُوْصِيْكُمْ وَ إِيَّايَ بِتَقْوَى اللَّهِ، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

.

 

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah, 

 

Marilah kita sama-sama mempertingkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala suruhan-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan dengan keimanan dan ketakwaan, kita beroleh rahmat dan keredhaan hidup di dunia dan di akhirat. Tajuk khutbah pada hari ini ialah “MANHAJ ISLAMI DALAM PERPADUAN UMMAH”.

.

.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

 

Satu perkara yang tidak boleh dipertikaikan lagi oleh kita sebagai umat Islam ialah bahawa perpaduan ummah adalah satu tuntutan yang amat penting dan perpecahan adalah sesuatu yang dilarang. Oleh itu, mimbar yang mulia ini ingin menyatakan bahawa Manhaj Islami dalam memelihara perpaduan ummah ialah melalui al-jama’ah dan persoalan ini diperkatakan begitu banyak di dalam hadith-hadith Rasulullah SAW antaranya sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh at-Tirmizi:

Maksudnya: “Hendaklah kamu bersama jama’ah, dan janganlah kamu berpecah (daripada jama’ah).”

.

Dan sabda Rasulullah SAW lagi yang diriwayatkan oleh Ahmad:

Maksudnya: “Jama’ah itu membawa rahmat, dan perpecahan itu membawa azab.”

.

Menurut Imam at-Tabari di dalam kitab Fathul Bari mengatakan bahawa: yang dimaksudkan jama’ah di sini ialah bersama dengan kumpulan umat Islam yang berada dalam ketaatan pemerintah yang mereka bersepakat melantiknya sebagai pemerintah.

 

Begitu juga pandangan Imam al-Sarkhasi bahawa: Jama’ah umat Islam ialah mereka yang memiliki kekuatan untuk mempertahankan negara dan umat di mana jua mereka berada.

 

Persoalan besar timbul di sini bagaimanakah Manhaj Islami dalam mendidik dan menyeru agar umatnya berada dalam jama’ah dan mengelak diri dari berlakunya perpecahan. Mimbar yang mulia ini ingin menyatakan secara ringkasnya bahawa dalam memelihara perpaduan ianya berkait rapat dengan kewajipan taat kepada pemerintah.

 

Dalam Islam kedudukan seseorang pemerintah itu terlalu mulia dan terlalu tinggi kerana merekalah benteng kepada perpaduan ummah. Percayalah bahawa sesuatu umat tidak akan terselamat daripada angkara perpecahan dan pertelagahan melainkan apabila mereka menyerahkan kepimpinan kepada seorang ketua yang dapat menyatukan mereka berdasarkan kebijaksanaannya.

 

Seorang ulama Abu Abdullah menyatakan di dalam kitabnya Tahzib al- Risalah bahawa: “Teraturnya urusan agama dan dunia adalah sesuatu yang dituntut dan ia tidak akan berlaku tanpa kewujudan pemerintah. Kalaulah tidak wujudnya pemerintah, nescaya keadaan manusia akan menjadi kacau-bilau dan mereka akan saling bunuh membunuh antara satu sama lain”.

 

Al-Imam Abu Bakar al-Turtusyi pernah menyatakan: “Taat kepada pemerintah adalah petunjuk bagi orang yang menjadikan cahayanya sebagai penyuluh, tempat berlindung bagi mereka yang memeliharanya. Orang yang terkeluar dari sempadan taat, tersingkir ia daripada perlindungan Allah, terlepas daripada jaminannya. Taat kepada pemerintah adalah tali Allah yang kukuh, agamanya yang lurus, perisai yang melindungi dan pemeliharaan yang tinggi”.

 

Ingatlah pesanan Imam al-Ghazali bahawa: “sesuatu umat itu perlu mantap pegangan agamanya. Tidak sempurna agama melainkan seiring dengan dunia. Agama itu tiang utama, sementara kekuasaan itu adalah penjagaannya. Sesuatu yang tidak bertiang, pasti akan runtuh dan sesuatu yang tiada penjaga, pasti akan musnah dan hilang”.

 

Justeru, sebagai orang yang beriman kita dituntut untuk mentaati pemimpin sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah An-Nisa’ ayat 59:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّـهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ ۖ فَإِن تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّـهِ وَالرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ۚ ذَٰلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا ﴿٥٩﴾

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan Rasul dan kepada Ulil-Amri dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih dalam sesuatu perkara, maka kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul-Nya jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.”

.

.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

 

Manhaj Islami dalam memelihara perpaduan ummah dapat dilihat di dalam pendekatan yang telah dibawa oleh Rasulullah SAW semasa pemerintahannya. Baginda telah menunjukkan kaedah dan cara menunaikan kewajipan terhadap agama, masyarakat dan negara dengan mengukuhkan perpaduan warga negara Madinah yang terdiri daripada pelbagai kaum, bangsa, agama dan keturunan dengan sama-sama mentaati pemerintah. Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Ahmad:

Maksudnya: “Sesiapa yang memisahkan diri daripada jama’ah dan menghina pemerintah, ia menemui Allah SWT tanpa sebarang hujah yang dapat membelanya.”

.

.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

 

Perpecahan sememangnya merugikan tetapi persoalannya mengapa umat Islam masih terjebak dalam perselisihan dan perpecahan walaupun dilarang agama. Jawapan persoalan ini bukan semata-mata terletak pada lemahnya penghayatan agama, tetapi didorong oleh hasutan musuh-musuh tradisi Islam seperti kaum Yahudi dan Nasrani yang tidak pernah padam, sebagaimana yang telah diperingatkan oleh Allah SWT melalui firman-Nya dalam surah al-Baqarah, ayat 120:

وَلَن تَرْضَىٰ عَنكَ الْيَهُودُ وَلَا النَّصَارَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ ۗ

Maksudnya: “Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu).”

.

Dalam kitab tafsir menjelaskan bahawa golongan Yahudi dan Nasrani akan terus berusaha sedaya upaya untuk memperdaya orang Islam supaya mengikut kehendak mereka. Justeru, mereka akan menggunakan pelbagai cara dan jalan untuk merosakkan akidah dan akhlak umat Islam. Tapi malangnya, peringatan Allah itu tidak dihiraukan oleh kebanyakan orang Islam.

 

Maka tidak menghairankan bilamana terdapat di kalangan orang Islam itu yang terpedaya dengan musuh Islam. Akibatnya, Islam sesama Islam bercakaran dan berpecah-belah, sedangkan musuh-musuh kita ketawa meraih kejayaan memperdaya orang Islam yang alpa terhadap amaran dan peringatan Allah SWT.

 

Bayangkanlah, apakah kita sanggup bersubahat dengan musuh yang sudah jelas mahu meruntuhkan negara dan memecahkan tembok yang selama ini melindungi agama islam dan umatnya?. Percayalah, perbuatan yang melampau ini hanyalah merosakkan akidah umat Islam untuk menghakis kedaulatan umat Islam. Tariklah nafas kebijaksanaan, bukakanlah hati dan lihatlah apa yang sedang berlaku saat ini.

 

Bukankah agama Islam sentiasa dicabar?. Bukankah maruah umat Islam sedang dipersenda?. Bukankah pemimpin umat islam sedang diaibkan oleh musuh-musuh Islam?. Maka, apakah perjuangan dan peranan yang telah kita laksanakan?. Apakah perasaan dan tindakan kita? Adakah kita hanya menjadi penonton atau telah kita zahirkan sokongan kita untuk mempertahankan kesucian islam dan hak umat islam?

.

.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

 

Keamanan dan keharmonian hidup yang kita kecapi hari ini antaranya adalah hasil daripada kewujudan dan pembudayaan semangat saling hormat menghormati, bertolak ansur, berkompromi dan muafakat di kalangan masyarakat yang berbilang kaum, agama dan adat resam.

 

Semua rakyat berperanan dan memberi sumbangan terhadap perpaduan negara. Berkat perpaduan itulah juga yang membolehkan pemerintah melaksanakan pelbagai program pembangunan demi mensejahterakan hidup rakyat. Ini adalah isyarat jelas bahawa perpaduan adalah nikmat yang tidak ternilai harganya yang perlu terus dipelihara dan dikekalkan oleh masyarakat majmuk negara ini.  

 

Sedarilah bahawa mengejar agenda bersifat perkauman, kepentingan kelompok tertentu dan peribadi  dalam masyarakat berbilang kaum hanya akan menanamkan benih perbalahan yang akan memudaratkan dan menggugat keharmonian dan perpaduan.  Ini kerana apabila berlaku perbalahan dan perpecahan, sukar untuk menyatukan kembali.

 

Dan andai kata berlaku perbalahan, ia mungkin mencetuskan pula pergaduhan yang membawa kepada perpecahan dan permusuhan. Setelah itu, barulah manusia akan merasai betapa sengsara dan peritnya erti kesusahan bilamana nikmat keamanan serta keharmonian dicabul.

.

.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

 

Mimbar yang mulia ini ingin menyatakan bahawa umat Islam berkewajipan menghayati semangat pepatah melayu: Bersatu Teguh, Bercerai Roboh. Sebagai umat Islam kita juga wajib mengambil iktibar dari peristiwa penyatuan yang di cerminkan oleh bangsa- bangsa lain dalam mempertahankan maruah dan kepentingan mereka.

 

Renungilah peristiwa dari peperangan Ahzab yang berlaku pada 7 Syawal tahun ke 5 Hijrah bersamaan 29 Februari tahun 627 Masehi, telah memberi pengajaran yang besar kepada kita dengan menyaksikan penyatuan golongan yang menentang Islam dalam memerangi Rasulullah SAW. Pengajaran besar dari peristiwa peperangan Ahzab menunjukkan kepada kita bahawa umat Islam pasti akan menghadapi serangan dan pakatan musuh untuk menghancurkan Islam dengan apa cara sekalipun.

 

Jika dahulu Madinah diserang daripada segenap arah, maka kita pada hari ini juga diserang dari pelbagai arah, samada serangan secara fizikal atau spiritual seperti serangan dalam bentuk pemikiran, politik, ekonomi, sosial dan sebagainya.

 

Yakinlah diri sendiri bahawa kekuatan utama umat Islam pada hari ini ialah dengan mengekalkan perpaduan sesama kita. Kita diciptakan oleh Allah SWT dengan kriteria dan watak yang berbeza-beza. Kita berbeza dari segi adat, budaya, dan cara hidup serta ideologi. Namun kita dituntut untuk bersatu padu demi agama, bangsa dan negara. Inilah sebenarnya Manhaj Islami demi mencapai perpaduan ummah.

 

Justeru marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-Hujuraat ayat 10:

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ ۚ وَاتَّقُوا اللَّـهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ ﴿١٠﴾

Maksudnya: “Sebenarnya orang yang beriman itu bersaudara maka damaikanlah di antara dua saudara kamu itu; dan bertakwalah kepada Allah agar kamu beroleh rahmat.”

.

بَارَكَ اللَّهُ لِي وَلَكُمْ فِى الْقُرْءَانِ الْعَظِيمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُم تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللَّهَ الْعَظِيمَ لِي وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، والْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوهُ فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَعْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.

.

.

 

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

“MANHAJ ISLAMI DALAM PERPADUAN UMMAH”

(31 JANUARI 2014 / 29 RABIULAWAL 1435H)

.

.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

.

~ shafiqolbu ~

.

.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: