KJ : Iman Yang Mantap, Ummah Cemerlang

بِسۡـــــــــمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

khutbah.

Khutbah Jumaat: “Iman Yang Mantap, Ummah Cemerlang” 


اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقاَئِل:                             

قُلْ يَا أَيُّهَا الْكَافِرُونَ ﴿١﴾ لَا أَعْبُدُ مَا تَعْبُدُونَ ﴿٢﴾ وَلَا أَنتُمْ عَابِدُونَ مَا أَعْبُدُ ﴿٣﴾ وَلَا أَنَا عَابِدٌ مَّا عَبَدتُّمْ ﴿٤﴾ وَلَا أَنتُمْ عَابِدُونَ مَا أَعْبُدُ ﴿٥﴾ لَكُمْ دِينُكُمْ وَلِيَ دِينِ ﴿٦﴾

أَشْهَدُ أَن لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ.

اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلى ءَالــِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْن.أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللَّهِ، اتَّقُواْ اللَّهِ، أُوْصِيْكُمْ وَ إِيَّايَ بِتَقْوَى اللَّهِ، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

 

Saya berpesan kepada diri saya dan menyeru kepada sidang Jumaat yang dikasihi sekalian, marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa serta melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita mendapat keberkatan hidup di dunia dan di akhirat. Mimbar hari ini akan memperkatakan khutbah bertajuk: “IMAN YANG MANTAP, UMMAH CEMERLANG”.

.

.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

 

Salah satu permasalahan yang paling penting untuk disedari oleh umat Islam ketika ini ialah tentang ghazwul fikri yakni penjajahan pemikiran yang berkait dengan pelbagai kehidupan manusia. Ghazwul fikri atau teori pengaruh ini telah menyebabkan sebahagian dari umat Islam ini terjebak dengan budaya kebebasan melampau sehingga tergelincir dari sempadan ajaran Agama Islam yang sebenar. Persoalan besar timbul mengenai isu ini ialah apakah yang menyebabkan perkara ini terjadi?.

 

Secara ringkasnya mimbar yang mulia ini ingin berkongsi pandangan antaranya;

Pertama: Akibat jauhnya umat Islam dari Kitabullah dan Sunnah Rasulullah SAW, di mana terdapat segelintir umat Islam yang meninggalkannya.

Kedua: Tidak dapat menilai pertembungan antara yang hak dan batil iaitu keimanan dan kekufuran,

Ketiga: Tafriqah iaitu terjadinya perpecahan di kalangan umat itu sendiri dan yang

Keempat: Taklidiah iaitu mengikut tanpa berpegang kepada prinsip yang sebenar.

 

Akibatnya terdapat manusia tidak mampu membezakan antara kebenaran dan kebatilan. Bagi mereka yang tidak mendapat nur hidayah petunjuk, mereka menganggap kebenaran itu bagaikan ranjau-ranjau yang berduri, sebaliknya mereka merasakan bahawa kesesatan atau kekeliruan bagaikan taman indah yang dipenuhi dengan bunga-bungaan yang berwarna warni. Mereka telah dikelabui pemandangannya dan dipengaruhi oleh musuh durjana iaitu Syaitan laknatullah. Ingatlah bahawa dalam sejarah kewujudan dunia, didapati syaitan atau Iblis merupakan makhluk pertama yang berada dalam kesesatan dan kemungkaran serta berazam akan menyesatkan seluruh umat manusia di muka bumi ini.

 

Firman Allah SWT dalam surah al-Mujadalah ayat 19:

اسْتَحْوَذَ عَلَيْهِمُ الشَّيْطَانُ فَأَنسَاهُمْ ذِكْرَ اللَّـهِ ۚ أُولَـٰئِكَ حِزْبُ الشَّيْطَانِ ۚ أَلَا إِنَّ حِزْبَ الشَّيْطَانِ هُمُ الْخَاسِرُونَ ﴿١٩﴾

 Maksudnya: “Syaitan telah menguasai dan mempengaruhi mereka, sehingga menyebabkan mereka lupa mengingati (ajaran dan amaran) Allah; mereka itulah puak syaitan. Ketahuilah! Bahawa puak syaitan itu sebenarnya orang-orang yang rugi. ”

            .

.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

 

Untuk menjadi ummah yang cemerlang, maka umat Islam perlu bijak memanfaatkan akal fikiran, jangan terjebak dengan hasutan iblis dan syaitan. Harus diingat bahawa umat Islam yang bijak sentiasa memanfaatkan akal fikiran sebagai pemangkin kepada modal insan cemerlang bagi menjana ummah gemilang. Modal insan yang cemerlang hanya dapat dilahirkan jika anugerah Allah SWT yang paling bernilai iaitu ‘akal’ dimanfaatkan dengan baik.

 

Amalan memelihara akal dapat dilakukan dengan penghayatan ilmu yang terkandung dalam al-Quran di samping mempraktikkan Sunnah Rasulullah SAW. Sebagai contoh, jika umat Islam mempunyai tanah yang luas, namun tanpa menggunakan akal, ia tidak akan dapat dimakmurkan sebagai sumber rezeki, bahkan dengan akal yang bijak juga, lautan yang luas boleh menjadi wadah pencetus sumber rezeki kepada nelayan.

           

Justeru, mimbar menyeru kepada seluruh umat Islam sekalian, agar menghindar sifat-sifat keji dan hina seperti malas bekerja. Saling melemparkan fitnah, mengadu domba, banyak berangan-angan, terlibat dengan aneka ragam kemaksiatan dan terpengaruh dengan ajaran-ajaran sesat dan meragukan serta terikut-ikut dengan budaya Barat yang merayakan hari-hari tertentu sebagaimana pada hari yang mulia ini lagi barakah ini.

 

Kita umat Islam sedang berada di masjid untuk mendengar ucapan khatib dan mengagungkan kebesaran Allah, sedangkan di luar sana berkemungkinan ada segelintir muda mudi Islam yang terlibat dengan majlis sosial seumpama ‘Valentine’s Day’, yang dirayakan oleh pasangan kekasih. Majlis sosial seumpama ini dilihat sebagai satu langkah permulaan ke arah peningkatan gejala sosial seperti penipuan, kecelaruan mental disebabkan alkohol, menggugurkan kandungan dan membuang bayi dan lain-lain gejala negatif yang boleh mengundang kepada bala bencana dan keruntuhan akhlak muda mudi.

 

Justeru, kepada seluruh umat Islam sekalian, marilah sama-sama kita memandang ke hadapan dengan berfikiran yang lebih positif untuk membentuk jati diri sebagai umat Islam yang boleh dicontohi oleh seluruh umat manusia sejagat. 

.

.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

 

Persoalan besar timbul ialah apakah yang menyebabkan gejala negatif seumpama ini terus berlaku?. Jawapannya ialah kerana kualiti keimanan umat Islam yang lemah dan kekaburan kita di dalam menegakkan prinsip-prinsip asas agama yang menjadi tunjang kehidupan seseorang muslim. Dengan ini kita terpesong daripada cara hidup yang sebenar. Ingatlah bahawa agama Islam sangat mengambil berat dalam memperbetulkan pegangan akidah umatnya supaya pandangan dan sikap mereka menjadi lurus dan tasawwur mereka tentang sesuatu perkara menjadi jelas.

 

Janganlah kita mencontohi tingkah laku umat jahiliyah terdahulu yang menganggap persoalan akidah hanya sekadar mengumumkan identiti diri dan melahirkan perbuatan baik sahaja sedangkan hakikat iman ialah paduan antara keyakinan di hati tentang dasar-dasar akidah dengan melaksanakan segala perintah Allah SWT dan meninggalkan segala tegahan-Nya.

 

Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 15:

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ آمَنُوا بِاللَّـهِ وَرَسُولِهِ ثُمَّ لَمْ يَرْتَابُوا وَجَاهَدُوا بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ ۚ أُولَـٰئِكَ هُمُ الصَّادِقُونَ ﴿١٥﴾ 

 Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang yang benar (pengakuan imannya) ”.

 

Ayat ini mengisyaratkan bahawa kualiti iman boleh diukur dan dinilai melalui amalan seharian. Kuantiti yang banyak dihasilkan dengan norma-norma kebaikan yang berkualiti dilaksanakan oleh seseorang, maka dengan itu tinggilah pula darjah keimanan yang dimiliki dan begitulah sebaliknya. Oleh itu, iman yang sebenar adalah merupakan penjana kekuatan dan kecemerlangan ummah.

 

Justeru bagi menyelamatkan agama dan ummah dari terus musnah akibat kesan dari melakukan amalan-amalan yang bertentangan dengan akidah dan syariah, mimbar menyeru kepada semua pihak agar menjauhkan diri dari semua perkara-perkara yang membawa kerosakan dan kelalaian. Jangan kita terlibat dengan budaya songsang yang boleh melemahkan ummah dan menyesatkan.

 

Hadirkanlah rasa benci dan jijik kepada aktiviti-aktiviti yang menyalahi akidah, syarak dan tamadun manusia. Hindarilah dari perbuatan-perbuatan yang ditegah seperti upacara percampuran bebas lelaki dan perempuan, minum minuman yang memabukkan, mengadakan acara sosial yang melampau yang mana semuanya akan menjauhkan umat Islam dari ajaran Islam yang sebenarnya. Keadaan ini memperlihatkan umat Islam semakin lemah dan tiada jati diri Islam.

 

Bayangkanlah, apakah yang bakal terjadi bagi masa depan umat Islam terutamanya kepada generasi muda hari ini jika budaya kesesatan ini terus dijadikan amalan? Sudah pastilah musibah yang lebih besar akan berlaku dalam negara ini seperti porak peranda dan kemusnahan akhlak akan berleluasa berlaku dalam masyarakat kerana generasi muda inilah cerminan masa hadapan sesebuah negara dan bangsa.

 

Justeru, wahai ibu bapa dan muda mudi sekalian, marilah sama-sama kita bermuhasabah diri untuk meningkatkan tahap keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah SWT dengan amalan membudayakan budi pekerti yang luhur dan suci agar kelak keharmonian dan kedamaian yang dicari akan sama-sama kita kecapi.

.

.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

 

Mengakhiri khutbah pada minggu ini, sekali lagi mimbar menyeru semua pihak marilah sama-sama kita memantapkan iman kita, keluarga dan masyarakat kita demi masa depan agama, ummah dan negara dengan langkah-langkah seperti berikut:

 

Pertama: Sebagai ibu bapa kita bertanggungjawab memastikan anak-anak dididik dan dibimbing dengan ajaran Islam yang sebenar;

Kedua: umat Islam khususnya remaja dilarang meniru amalan atau budaya kaum musyrik,

Ketiga: menanam rasa cinta dan kasih sayang kepada Allah SWT dan rasul-Nya.

Keempat: menjauhi aktiviti bergaul bebas dengan pasangan yang bukan mahram dalam menyambut majlis tertentu; dan

Kelima: meninggalkan sambutan atau perayaan yang tiada dalam syariat Islam serta mendedahkan kepada kerosakan.

 

Marilah sama-sama kita mengamalkan cara hidup Islam yang sebenar dengan menutup segala pintu maksiat dan kemungkaran, senantiasa memerhati gerak geri anak-anak muda mudi kita sama ada dari segi tingkah lakunya dan pergaulan hariannya, dengan siapa mereka berkawan, ke mana mereka pergi dan sebagainya. Jadikanlah kehidupan kita sebagai satu ibadah yang sentiasa dirahmati Allah SWT.

           

Seperkara yang tidak dilupakan juga, adalah peranan yang dimainkan oleh institusi agama Islam dalam memperkasa umat Islam di negara ini seperti membebaskan dari belenggu kemiskinan, kejahilan serta mendekatkan kepada Islam telah berjaya menangani isu-isu sosial, maka mimbar hari ini mengambil kesempatan bersempena dengan sambutan 40 tahun penubuhan MAJLIS AGAMA ISLAM WILAYAH PERSEKUTUAN, menyeru sidang Jumaat dan seluruh umat Islam sekalian untuk sama-sama kita memperkasa institusi Islam dengan menyokong segala usaha yang dilaksanakan oleh MAIWP demi agama, bangsa dan negara.

 

Percayalah bahawa MAIWP merupakan lambang keutuhan institusi Islam di negara kita yang akan terus memartabatkan kedaulatan Islam. Kita berdoa supaya MAIWP akan terus maju ke hadapan bagi menjamin survival umat Islam khususnya di Wilayah Persekutuan dan Malaysia amnya.

 

Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-Ruum, ayat 21:

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ ﴿٢١﴾

 Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu(wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu(suami isteri) perasan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan(yang menimbulkan kesedaran ) bagi orang-orang yang berfikir”.

.

بَارَكَ اللَّهُ لِي وَلَكُمْ فِى الْقُرْءَانِ الْعَظِيمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُم تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللَّهَ الْعَظِيمَ لِي وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، والْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوهُ فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَعْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.

.

.

 

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

“Iman Yang Mantap, Ummah Cemerlang”

(14 Februari 2014 / 14 Rabiulakhir 1435H)

.

.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

.

~ shafiqolbu ~

.

.

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: