Kalimah Allah: Mahkamah Persekutuan Tangguh Keputusan

بِسۡـــــــــمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِـــــــيمِ

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

PTJ04_050314_KALIMAH.

PUTRAJAYA 5 Mac: Persoalan sama ada majalah mingguan, ‘The Herald’ berhak atau tidak untuk menafikan keputusan Menteri Dalam Negeri yang melarang penggunaan kalimah Allah dalam seksyen bahasa Melayu penerbitan itu, akan diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan pada satu tarikh yang akan ditentukan kemudian.

   

Ketetapan itu dibuat selepas permohonan Gereja Roman Katolik untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap perintah larangan Mahkamah Rayuan bertarikh 14 Oktober 2013 selesai didengar hari ini di hadapan panel khas seramai tujuh hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria.

Enam lagi ialah Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md. Raus Sharif; Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin; Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum; serta tiga Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri Suriyadi Halim Omar, Datuk Zainun Ali serta Datuk Jeffrey Tan Kok Wha.

Terdahulu, Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria, mendengar penghujahan daripada peguam yang mewakili gereja itu, enam majlis agama Islam negeri dan NGO Muslim di samping penghujahan daripada peguam kanan persekutuan mewakili Menteri Dalam Negeri. Enam negeri itu ialah Terengganu, Kedah, Johor, Melaka, Wilayah Persekutan dan Selangor.

Terdahulu, peguam Datuk Sulaiman Abdullah yang mewakili Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) berkata, keputusan menteri pada 7 Januari 2009 yang tidak membenarkan The Herald menggunakan kalimah Allah dalam seksyen bahasa Melayu penerbitan itu, bebas daripada sebarang unsur mala fide (niat jahat).

Menurut beliau, menteri berkenaan juga tidak tersalah arah ataupun bertindak secara salah ketika mengeluarkan perintah melarang gereja itu menggunakan kalimah tersebut.

Malahan beliau menegaskan, ketika mengeluarkan perintah larangan itu, Menteri Dalam Negeri telah mempertimbangkan sedalam-dalamnya faktor keselamatan negara dan ketenteraman awam.

Justeru itu, pihaknya menyatakan, tiada sebarang kecacatan dalam perintah tersebut kerana mematuhi segala peraturan tanpa sebarang unsur yang tidak rasional.

Sulaiman sehubungan itu memohon supaya Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Gereja Roman Katolik untuk mendapatkan kebenaran merayu.

Pihak gereja memfailkan permohonan tersebut di Mahkamah Persekutuan pada 11 November tahun lalu dengan mengemukakan 26 persoalan mengenai Perlembagaan Persekutuan, undang-undang pentadbiran dan kuasa mahkamah untuk membenarkan Menteri Dalam Negeri melarang penggunaan perkataan teologi (Tuhan).

Dalam permohonan itu pihak gereja menamakan Menteri Dalam Negeri, kerajaan Malaysia, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu, Wilayah Persekutuan, Melaka, Johor, Kedah, Selangor dan Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) selaku responden pertama hingga kelapan.

Peguam Kanan Persekutuan, Suzana Atan yang mewakili Menteri Dalam Negeri dan pihak kerajaan berhujah, dalam permohonan untuk mendapat kebenaran merayu, mahkamah akan mengkaji semula keputusan pihak berkuasa awam bahawa semakan kehakiman adalah berkaitan proses membuat keputusan dan bukannya terhadap keputusan itu sendiri.

Peguam Mubashir Mansor yang mewakili Majlis Agama Islam Johor, Kedah, Melaka dan Wilayah Persekutuan pula menarik perhatian mahkamah dengan mengatakan, isu yang menjadi persoalan bukannya mengenai pertembungan agama dan bukan juga isu Islam mencampuri urusan agama Kristian.

Sebaliknya menurut beliau, ia sebenarnya berhubung persoalan terjemahan dan salah terjemah kalimah Allah.

Pihak pemohon juga, kata beliau, mesti membuktikan perkara penting iaitu kalimah Allah berasal daripada perkataan Arab dan dalam terjemahan bahasa Melayu juga mengandungi kalimah Allah.

Sehubungan itu, katanya, pihak pemerintah yang mempunyai kuasa mutlak untuk membuat pindaan ke atas perkataan tersebut.

Sementara itu, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Macma pula berkata, pemohon gagal membuktikan bagaimana perintah menteri yang berkenaan salah di sisi undang-undang.

“Oleh itu, mahkamah tidak sepatutnya membuang masa untuk menjawab semua persoalan ini,” kata peguam tersebut.

Pihak gereja yang diwakili peguam Tan Sri Dr. Cyrus Dass dalam hujahnya menyifatkan, menteri berkenaan telah membuat kenyataan sewenang-wenangnya tanpa disokong dengan sebarang bukti.

Katanya, menteri gagal menunjukkan dan menjelaskan bagaimana penggunaan kalimah Allah dalam The Herald versi bahasa Melayu mampu mengancam keselamatan negara dan boleh menyebabkan kekeliruan agama.

Hak golongan minoriti menurut Dass, telah terjejas disebabkan keputusan Mahkamah Rayuan itu kerana hak tersebut bukan diatur oleh kuasa eksekutif sebaliknya ditentukan oleh mahkamah.

 .

Kronologi kes Kalimah Allah

Berikut adalah kronologi kes ‘Kalimah Allah’ yang membawa kepada pendengaran permohonan Gereja Katolik untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan di Mahkamah Persekutuan bahawa penerbitan mingguannya ‘The Herald’ versi bahasa Melayu, dilarang menggunakan kalimah Allah.

16 Feb 2009: Gereja Roman Katolik diketuai Archbishop Murphy Pakiam memfailkan permohonan semakan kehakiman menamakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan sebagai responden, memohon diisytiharkan keputusan kementerian melarang penggunaan kalimah Allah dalam The Herald adalah tidak sah.

Majalah mingguan itu, diterbitkan dalam empat bahasa, dan telah menggunakan kalimah Allah untuk merujuk kepada Tuhan dalam seksyen bahasa Melayunya.

Permohonan itu menuntut tujuh deklarasi lain termasuk hak berperlembagaan untuk menggunakan perkataan Allah dalam The Herald, bahawa Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan tidak memberi kuasa kepada responden untuk melarang pemohon daripada menggunakan perkataan Allah dalam The Herald dan bahawa pemohon mempunyai hak berperlembagaan untuk menggunakan perkataan Allah dalam penerbitan mingguan itu.

Ia juga menuntut deklarasi bahawa Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 tidak memberi kuasa kepada responden untuk melarang pemohon daripada menggunakan perkataan Allah dalam The Herald dan bahawa perkataan Allah bukan eksklusif kepada agama Islam.

31 Dis 2009: Mahkamah Tinggi mengisytiharkan keputusan Kementerian Dalam Negeri melarang The Herald daripada menggunakan kalimah Allah adalah salah di sisi undang-undang, batal dan tidak sah.

Hakim Datuk Lau Bee Lan, dalam keputusan lisannya, menegaskan bahawa The Herald mempunyai hak berperlembagaan untuk menggunakan perkataan itu dalam majalah berkenaan untuk menyebarluaskan agama Kristian dan bukannya agama Islam.

Beliau berkata lanjutan kepada Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan, adalah menjadi kesalahan bagi bukan Islam untuk menggunakan perkataan ‘Allah’ kepada umat Islam untuk menyebarluaskan agama itu.

Bagaimanapun ia bukanlah satu kesalahan untuk bukan Islam menggunakan perkataan itu kepada bukan Islam bagi tujuan agama, katanya.

6 Jan 2010: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan penangguhan perintah yang dikeluarkan sebelum ini bagi membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh majalah mingguan Katolik, The Herald, berikutan persetujuan KDN dan Ketua Paderi Roman Katolik Malaysia bagi kepentingan negara.

Hakim Datuk Lau Bee Lan yang mengeluarkan perintah sebelum ini pada 31 Dis 2009 membuat keputusan itu setelah dipohon Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.

14 Okt 2012:  Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Mohamed Apandi Ali sebulat suara membenarkan rayuan kerajaan untuk melarang The Herald daripada menggunakan kalimah Allah.

Mahkamah mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan penerbitan itu menggunakan kalimah Allah.

Mahkamah itu berpendapat kalimah Allah tidak pernah menjadi bahagian penting daripada amalan kepercayaan agama Kristian dan dengan mengambil kira fakta sejarah dan agama, beliau tidak dapat menemui sebarang sebab munasabah kenapa responden (Titular Roman Catholic Archbishp of Kuala Lumpur) berkeras untuk menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan buletin mingguan mereka.

11 Nov 2013: Gereja memfailkan permohonan bagi kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan dengan mengemukakan 26 soalan mengenai undang-undang pentadbiran dan kuasa mahkamah untuk membenarkan Menteri Dalam Negeri melarang penggunaan perkataan teologi (Tuhan).

5 Mac 2014: Mahkamah Persekutuan akan menetapkan satu tarikh lain untuk membuat keputusan pendengaran permohonan Gereja Katolik bagi kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan bahawa penerbitan mingguannya The Herald dilarang menggunakan kalimah Allah.

Sumber – UM Bhd & Bernama

.

وَالسَّلاَمُ

.

Posted by; shafiqolbu

sign s

.

Advertisements

One response to this post.

  1. […] kalimah Allah dalam penerbitan mingguan Katolik, The Herald sejak tahun 2009 berakhir apabila Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Geraja Katolik untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan pada 14 Oktober tahun […]

    Reply

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: