KJ : Hadith: Islam Cinta Kebersihan

بِسۡـــــــــمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

Khutbah Jumaat SQ-shafiqolbu.

Khutbah Jumaat: “Islam Cinta Kebersihan”

.

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقاَئِل:

أَشْهَدُ أَن لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ.

اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلى ءَالــِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ.أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللَّهِ، إِتَّقُواْ اللَّهِ، أُوْصِيْكُمْ وَ إِيَّايَ بِتَقْوَى اللَّهِ، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

Saya berpesan kepada tuan-tuan dan diri saya sendiri marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah SWT dengan memperkukuhkan pengabdian diri kita kepada-Nya dengan melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan pada hari yang penuh berkat ini menjadikan kita insan yang berjaya di dunia dan akhirat. Tajuk khutbah pada hari ini ialah: “ISLAM CINTA  KEBERSIHAN”.

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

Dalam Islam amalan menjaga kebersihan dan mewujudkan suasana yang bersih serta selesa menjadi satu tuntutan kerana ia berkait rapat dengan keimanan. Kebersihan adalah asas kepada kesihatan. Islam amat menyukai orang yang cintakan kebersihan serta sentiasa menjaga kebersihan diri kerana sihat adalah suatu nikmat Allah SWT yang amat besar nilainya yang perlu dijaga dan dipelihara.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 222:

إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلتَّوَّٰبِينَ وَيُحِبُّ ٱلْمُتَطَهِّرِينَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri”

.

Justeru, atas kesedaran inilah maka kita dapati Rasulullah SAW bertindak memperhalusi lagi dengan meletakkan kebersihan itu kepada dua bahagian besar, iaitu kebersihan diri atau jasmani, dan keduanya kebersihan jiwa.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Kebersihan adalah setengah dari keimanan dan (ucapan/dzikir) alhamdulillah akan memenuhi timbangan. Subhanallah dan Alhamdulillah keduanya akan memenuhi ruangan antara langit dan bumi. Solat adalah cahaya, sedekah adalah burhan (petunjuk), kesabaran adalah cahaya yang terang benderang dan al-Qur’an dapat menjadi hujjah yang dapat membela atau memberatkan kita. Setiap manusia berusaha, ada di antara mereka yang dengan usahanya akan memerdekakan dirinya (dari api neraka), dan ada pula yang dengan usahanya itu merosak dirinya”. (Riwayat Muslim)

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

Percayalah bahawa agama Islam sangat menggalakkan umatnya mensucikan diri daripada hadas kecil mahupun hadas besar sebelum melakukan ibadah sunat atau wajib. Maka dengan ini, seseorang yang ingin mendirikan solat perlulah terlebih dahulu memastikan diri, pakaian dan dan terhindar dari segala najis. Sekiranya soal tersebut diabaikan, sudah tentulah status solatnya dikategorikan tidak sah.

Umat Islam juga hendaklah peka dan bertanggungjawab untuk menjadikan tempat-tempat ibadah seperti masjid dan surau agar sentiasa dalam keadaan bersih, begitu juga dengan segala kemudahan yang disediakan seperti tandas perlulah dijaga supaya sentiasa dalam keadaan baik, kelihatan bersih atau tidak pula dirosakkan oleh orang yang tidak bertanggungjawab.

Selain daripada itu, masjid dan surau juga tidak dicemari dengan kekotoran atau bau-bauan busuk sama ada daripada binatang atau bau daripada buah-buahan dan ulam-ulaman yang boleh mendatangkan rasa kurang selesa bagi para jemaah atau pengunjung masjid, sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Bahawasanya masjid ini tidak boleh dicemari oleh najis dan kekotoran kerana ia adalah tempat untuk berzikir kepada Allah SWT dan membaca al-Quran”. (Riwayat Muslim).

Berdasarkan pemerhatian mimbar didapati masih ramai dari kalangan umat Islam tidak menghayati tuntutan menjaga kebersihan, samada kebersihan diri sendiri atau kebersihan persekitaran. Tanggungjawab masing-masing selalunya diserahkan kepada pihak lain, sedangkan Islam telah menetapkan menjaga kebersihan merupakan tanggungjawab bersama yang patut diamalkan oleh setiap orang Islam yang beriman.

Syaikh al-Islam Ibnu Taymiyyah rahimahullah menyatakan bahawa: Sunnah Rasulullah SAW datang dengan membawa ajaran untuk menghindari kekotoran yang ada pada tubuh badan manusia, sebagaimana dia juga datang dengan membawa ajaran bagi menghindari kekotoran rohani.

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

Lambang kebersihan seseorang selain daripada diri dan pakaiannya juga dapat dilihat dari keadaan persekitaran kediaman. Sebuah kediaman yang bahagia ialah yang sentiasa menjaga keindahan dan kebersihan samada di dalam dan di luar rumah agar ia kelihatan cantik dan menarik, serta dapat memberi ketenteraman dan kenikmatan kepada penghuni rumah. Tiada longgokan sampah di halaman rumah, tiada longkang  yang tersumbat, tiada rimbunan pokok yang terbiar atau hutan liar yang mengganggu lahirnya suasana segar dan indah.

Selain dari itu, di luar kawasan rumah, jangan ada sungai atau anak-anak sungai yang tercemar kerana akibatnya akan berlaku keracunan airnya, jangan ada hutan belantara yang menjadi tapak pembuangan sampah atau sisa perindustrian kerana ini akan menyebabkan rosaknya flora dan fauna, merebaknya pelbagai penyakit seperti kolera, cirit birit, denggi, keracunan makanan, penyakit kulit dan sebagainya yang boleh memberi kesan negatif kepada kesihatan manusia.

Justeru, Islam amat menggalakkan umatnya bukan sekadar menjaga kebersihan diri sendiri malahan melibatkan keluarga, masyarakat, persekitaran dan negara. Semoga dengan amalan kebersihan oleh semua pihak dari segi zahiriah dan batiniah akan mewujudkan suasana yang harmoni sesama manusia, memberi keyakinan yang sepenuhnya terhadap makanan dan minuman yang dijual di pasaran, mencegah daripada penyakit berjangkit dan dapat mengelakkan daripada pergaduhan dan permusuhan.

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

Berdasarkan kepada laporan daripada Jabatan kesihatan, kebelakangan ini terdapat peningkatan ketara bilangan kes kes demam denggi akibat daripada gigitan nyamuk aedes yang sekiranya tidak dikawal, akan mengancam lebih banyak nyawa yang terkorban. Lihatlah peningkatan kes denggi ini seolah-olah menunjukkan masyarakat pada hari ini bersikap sambil lewa menjaga aspek kebersihan. Statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia menunjukkan bahawa sepanjang Januari hingga awal Mac 2014, sebanyak 18,165 kes denggi dilaporkan, peningkatan sebanyak 316 peratus berbanding 4,370 kes dalam tempoh yang sama pada 2013.

Justeru, mimbar yang mulia ini menyeru sidang jumaat dan umat Islam sekalian untuk sama-sama menjaga kebersihan terutamanya mencegah pembiakan nyamuk aedes, dengan memastikan tempat air bertakung, sisa pepejal, sampah sarap diurus dengan baik dan persekitaran senantiasa bersih dan selamat. Bagaimana mungkin kita mahu mencapai kesempurnaan iman jika aspek kebersihan kita abaikan?.

Mimbar ingin menegaskan bahawa sampah sarap yang tidak diurus dengan baik akan menjadikan longkang-longkang tersumbat dan seterusnya boleh mengundang pelbagai jenis penyakit yang merebak. Ingatlah bahawa amalan menjaga kebersihan ini, jika tidak direncana dengan tersusun ia akan merosakkan persekitaran dan akan menghancurkan kehidupan yang indah lagi bahagia ini.

Percayalah bahawa amalan menjaga kebersihan alam sekitar adalah satu amalan yang baik dan mulia. Bayangkanlah sekiranya umat Islam masih leka, tidak menjaga dan mengambil berat terhadap perkara tersebut, mereka pasti akan hidup di dalam suasana yang tidak selesa, gundah gulana, tidak tenteram dan terdedah kepada pelbagai jenis penyakit berjangkit. Bertanyalah kepada diri kita, adakah kita sanggup menjerumuskan diri dan ahli keluarga kita dalam kemudaratan dan penyakit yang berbahaya seumpama ini?.

Justeru, marilah kita mulai hari ini sama-sama berazam untuk menjadikan kita muslim yang mempraktikkan amalan menjaga kebersihan. Yakinlah pilihan berada di tangan kita. Maka, untuk melahirkan persekitaran hidup yang bersih dan sentiasa kelihatan menarik, perkara-perkara berikut perlulah kita hayati bersama:

Pertama: kita hendaklah mempertingkatkan kesedaran terhadap kepentingan menjaga kebersihan diri, tempat tinggal, tempat ibadat, tempat kerja dan seluruh tempat awam sebagai cerminan kemurnian ajaran Islam yang mengutamakan kebersihan dalam semua bidang kehidupan.

Kedua: Setiap individu dari semua golongan hendaklah sama-sama memikul tanggungjawab dan menanam sikap suka kepada kebersihan secara berterusan dengan melaksanakan amalan ini setiap masa bagi menghindari berlakunya kekotoran di merata tempat.

Ketiga: Kita sama-sama mendisiplinkan diri bagi menjaga imej Islam yang sukakan kebersihan dengan melahirkan persekitaran yang sejahtera.

Keempat: mempertingkatkan amalan tegur menegur dan nasihat- menasihati sesama kita dalam hal menjaga kebersihan.

Kelima: Menggunakan kemudahan yang disediakan dengan sebaik mungkin seperti tong sampah, tong kitar semula dan tempat pembuangan sampah tanpa membiarkan sampah sarap dan kekotoran bertaburan di merata-rata.

Mengakhiri khutbah pada minggu ini, marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 6:

مَا يُرِيدُ ٱللَّهُ لِيَجْعَلَ عَلَيْكُم مِّنْ حَرَجٍۢ وَلَٰكِن يُرِيدُ لِيُطَهِّرَكُمْ وَلِيُتِمَّ نِعْمَتَهُۥ عَلَيْكُمْ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Bermaksud: “Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan), tetapi Ia berkehendak membersihkan(mensucikan) kamu dan hendak menyempurnakan nikmat-Nya kepada kamu, supaya kamu bersyukur”.

.

بَارَكَ اللَّهُ لِي وَلَكُمْ فِى الْقُرْءَانِ الْعَظِيمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُم تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللَّهَ الْعَظِيمَ لِي وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، والْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوهُ فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَعْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ..

.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

“Islam Cinta Kebersihan”

(07 Mac 2014 / 05 Jamadilawal 1435H)

.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

.

~ shafiqolbu ~

.

.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: