KJ : Hikmah Di Sebalik Ketentuan Allah SWT

بِسۡـــــــــمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

Khutbah Raya shafiqolbu.

Khutbah Jumaat: “Hikmah Di Sebalik Ketentuan Allah SWT”

 

.

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقاَئِل:

وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ ۗ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ ﴿١٥٥﴾ الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُم مُّصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّـهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ ﴿١٥٦﴾

أَشْهَدُ أَن لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ.اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلى ءَالــِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ.أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللَّهِ، إِتَّقُواْ اللَّهِ، أُوْصِيْكُمْ وَ إِيَّايَ بِتَقْوَى اللَّهِ، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

 

Di kesempatan berada pada hari Jumaat yang mulia ini, saya berpesan kepada diri saya dan kepada sidang Jumaat sekalian marilah sama-sama kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita memperolehi keberkatan dan keredhaan serta perlindungan Allah SWT di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah yang bertajuk: “HIKMAH DI SEBALIK KETENTUAN ALLAH SWT”.

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

 

Sebagai seorang Islam, beriman kepada qada’ dan qadar merupakan  rukun keenam dari rukun-rukun iman. Beriman kepada qada’ dan qadar bermaksud mempercayai bahawa Allah SWT adalah Zat yang Maha Berkuasa untuk menentukan dan mengatur sesuatu yang ada di seluruh alam dengan kebijaksanaan dan kehendak-Nya sendiri tanpa campur tangan kuasa lain. Selain itu, menyakini bahawa apa yang dikehendaki Allah SWT pastinya terjadi dan demikian juga apa yang tidak dikehendaki-Nya tidak terjadi.

Yakinlah bahawa sesuatu perkara yang telah berlaku, atau yang sedang berlaku, dan yang akan berlaku, kesemuanya adalah tertakluk di bawah kehendak Allah SWT. Percayalah, apa sahaja yang terjadi di alam semesta ini, semuanya berjalan sesuai dengan ilmu dan iradat Allah yang telah direncanakan oleh-Nya sejak azali mengikut peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah.

 

Allah SWT berfirman di dalam surah al-Furqan ayat 2:

 الَّذِي لَهُ مُلْكُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَلَمْ يَتَّخِذْ وَلَدًا وَلَمْ يَكُن لَّهُ شَرِيكٌ فِي الْمُلْكِ وَخَلَقَ كُلَّ شَيْءٍ فَقَدَّرَهُ تَقْدِيرًا ﴿٢﴾

Maksudnya: “Tuhan yang menguasai pemerintahan langit dan bumi, dan yang tidak mempunyai anak, serta tidak mempunyai sebarang sekutu dalam pemerintahan-Nya; dan Dialah yang mencipta tiap-tiap sesuatu lalu menentukan keadaannya dengan ketentuan takdir yang sempurna.”

Mimbar yang mulia ini ingin menyatakan bahawa sebagai seorang yang beriman, maka kita hendaklah menerima segala ketentuan Allah SWT dengan penuh rasa keinsafan dengan merasakan bahawa betapa kerdilnya diri kita di sisi Allah SWT. Oleh sebab itu setiap kejadian yang berlaku dalam kehidupan kita ini pasti terkandung ribuan hikmah yang sememangnya menguji tahap keimanan kita sebagai seorang hamba.

 

Allah SWT berfirman di dalam surah al-Ankabut ayat 4:

أَمْ حَسِبَ الَّذِينَ يَعْمَلُونَ السَّيِّئَاتِ أَن يَسْبِقُونَا ۚ سَاءَ مَا يَحْكُمُونَ ﴿٤

Maksudnya: “Bahkan patutkah orang-orang yang melakukan kejahatan menyangka bahawa mereka akan terlepas dari azab Kami? Amatlah buruk apa yang mereka hukumkan itu.”

Imam Ibnu Katsir RA. menjelaskan dalam kitab  tafsirnya: “Agar dibezakan orang yang benar dalam pengakuannya dari orang yang dusta dalam ucapan dan pengakuannya. Sedangkan Allah SWT Maha Mengetahui apa yang telah terjadi, yang sedang terjadi, dan yang akan terjadi. Allah juga mengetahui cara terjadi sesuatu bila hal itu terjadi. Hal ini juga menjadi pegangandan kesepakatan para imam Ahlus Sunnah wal Jamaah.”

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

 

Sebagai seorang Islam kita mempercayai bahawa kehidupan, kematian dan kehidupan selepas mati adalah peringkat kewujudan yang wajib dilalui oleh semua manusia. Pendek atau panjang umurnya tidak menjadi persoalan kerana akhirnya manusia pasti mati kerana ianya sudah termaktub di dalam qada’ dan qadar Allah SWT.

Demikian pula sihat, sakit, berkuasa, kaya, miskin dan apa saja taraf kedudukan manusia dan di mana tempat mereka berada, namun manusia pasti mati dan meninggalkan dunia fana ini. Begitu juga kehidupan para Nabi dan Rasul manusia yang paling dekat dengan Yang Maha Esa, bahkan menjadi kekasih Allah SWT pun tidak dapat lari dari kematian, menghadapi alam barzakh dan hari penghakiman di padang Mahsyar.

Allah SWT berfirman dalam surah an-Nisaa’ ayat 78:

أَيْنَمَا تَكُونُوا يُدْرِككُّمُ الْمَوْتُ وَلَوْ كُنتُمْ فِي بُرُوجٍ مُّشَيَّدَةٍ ۗ

Bermaksud: “Di mana sahaja kamu berada, pasti mati mendatangi kamu(bila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kuat”.

 

Yakinlah bahawa kekuasaan Allah SWT mengatasi segala-galanya. Oleh sebab itu kita sebagai hamba yang beriman seharusnya melihat setiap ketentuan Allah SWT itu sebagai satu ujian daripada Yang Maha Esa dan menerimanya dengan penuh kesabaran. Dalam satu hadith Rasulullah SAW pernah melewati di sebelah seorang wanita yang sedang menangisi kematian anaknya.

Baginda bersabda kepadanya, “Takutlah kepada Allah dan bersabarlah.” Wanita itu berkata, “Engkau tidak merasai musibah yang sedang aku alami ini.” Ketika Rasulullah SAW berlalu dari situ ada di kalangan sahabat memberitahu kepada wanita itu bahawa orang yang menasihatinya tadi adalah Rasulullah SAW. Alangkah terkejutnya wanita itu, dia segera pergi ke rumah Rasulullah SAW dan berdiri di depan pintunya. Dia berkata, “Wahai Rasulullah, tadi aku tidak mengenali dirimu. Sekarang aku sabar.” Rasulullah SAW bersabda, “Sabar itu di awal musibah.”(Riwayat Bukhari dan Muslim).

Dan Rasulullah SAW bersabda yang diriwayatkan oleh Muslim: “Sungguh mengagumkan urusan seorang mukmin. Sesungguhnya seluruh perkaranya adalah baik baginya. Dan tidaklah didapatkan pada seorang pun hal tersebut melainkan pada diri seorang mukmin: Jika dia merasakan kesenangan maka dia bersyukur. Dan itu lebih baik baginya. Jika kesusahan menimpanya, maka dia bersabar. Dan itu lebih baik baginya.”

Memetik kata kata hikmah yang pernah dilontarkan oleh Junaid al-Baghdadi bahawa: Bala dan ujian adalah pelita bagi orang yang arif, menyedarkan orang murtad, memperbaiki orang mukmin dan menghancurkan orang yang lalai. Tidak seorang pun mendapat manisnya iman sebelum dia ditimpa ujian dengan redha dan bersabar.

.

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

 

Di saat ini negara kita sedang mengalami situasi kepiluan ekoran berlakunya misteri dan tragedi kehilangan pesawat MH370 yang disahkan berakhir di Lautan Hindi di Barat Perth, Australia, maka mimbar yang mulia ini menyeru semua pihak untuk bersabar di atas ketentuan qada’ dan qadar Allah SWT dan menyedari ianya adalah hak mutlak Allah SWT.

Tariklah nafas keimanan dan bersabarlah, mudah mudahan dengan kita bersabar ini, rahmat Allah SWT akan bersama dengan kita. Ingatlah bahawa kesabaran saat ditimpa musibah dan kesulitan yang tidak diinginkan adalah senjata bagi orang yang beriman untuk merubah segala kesulitan yang dihadapi itu dengan penuh ketabahan.

Mimbar juga menyeru sidang jumaat dan umat Islam sekalian marilah sama-sama kita berdoa kehadrat Allah SWT agar diberi kekuatan dan ketenangan kepada kaum keluarga yang terlibat dalam peristiwa ini. Inilah masanya, seluruh rakyat Malaysia mesti bersatu hati, bertindak dengan penuh kematangan, berfikir dengan kebijaksanaan dan berilah kepercayaan serta sokongan kepada segala usaha pencarian yang sedang dijalankan oleh pihak kerajaan.

Usahlah mudah mempercayai pelbagai persepsi, dicipta bermacam andaian, dilempar segala kritikan dan disebarkan teori rekaan sendiri. Selamilah hati, sanubari dan perasaan keluarga dan sanak saudara mangsa yang terlibat ini, dan elakkanlah dari menambah kesedihan dan kepiluan mereka dengan membuat pelbagai spekulasi dan tohmahan fitnah. Serahlah perkara ini kepada pihak berkuasa menanganinya dan bertawakallah kepada Allah SWT.

 

Bagi kita laksanakan apa yang termampu seperti solat hajat untuk memudahkan segala urusan dan berdoa kehadrat Allah SWT agar mangsa-mangsa tragedi yang beragama Islam ini di bawah perlindungan Allah SWT. Di samping itu kita sangat berbangga dengan usaha gigih yang terus dilaksanakan oleh pihak berkuasa Malaysia bersama-sama pasukan Search and Rescue (SAR) negara-negara sahabat di lokasi tragedi iaitu lautan luas yang sangat mencabar.

Semoga usaha-usaha tersebut dipermudahkan oleh Allah SWT.  Ingatlah segala ketentuan yang berlaku ini adalah qada’ dan qadar Allah SWT yang mempunyai pelbagai hikmah di sebaliknya.

Mengakhiri khutbah pada minggu ini marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-Jin ayat 26-27:

 عَالِمُ الْغَيْبِ فَلَا يُظْهِرُ عَلَىٰ غَيْبِهِ أَحَدًا ﴿٢٦﴾ إِلَّا مَنِ ارْتَضَىٰ مِن رَّسُولٍ فَإِنَّهُ يَسْلُكُ مِن بَيْنِ يَدَيْهِ وَمِنْ خَلْفِهِ رَصَدًا ﴿٢٧

Maksudnya: “Tuhanlah sahaja yang mengetahui segala yang ghaib, maka Ia tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahui-Nya itu kepada sesiapa pun. Melainkan kepada mana-mana Rasul yang diredhai-Nya (untuk mengetahui sebahagian dari perkara ghaib yang berkaitan dengan tugasnya; apabila Tuhan melakukan yang demikian) maka Ia mengadakan di hadapan dan di belakang Rasul itu malaikat-malaikat yang menjaganya dan mengawasnya (sehingga perkara ghaib itu selamat sampai kepada yang berkenaan)”

.

بَارَكَ اللَّهُ لِي وَلَكُمْ فِى الْقُرْءَانِ الْعَظِيمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُم تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللَّهَ الْعَظِيمَ لِي وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، والْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوهُ فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَعْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.

.

.

 

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

“Hikmah Di Sebalik Ketentuan Allah SWT”

(28 Mac 2014 / 26 Jamadilawwal 1435H)

.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

.

~ shafiqolbu ~

.

.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: