KJ : Mempercayai Adanya Hari Pembalasan

بِسۡـــــــــمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

Khutbah Jumaat 2.

Khutbah Jumaat: “Mempercayai Adanya Hari Pembalasan”

.

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقاَئِل
وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا لَعِبٌ وَلَهْوٌۖ وَلَلدَّارُ الْآخِرَةُ خَيْرٌ لِّلَّذِينَ يَتَّقُونَۗ أَفَلَا تَعْقِلُونَ ﴿٣٢
أَشْهَدُ أَن لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلى ءَالــِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللَّهِ، اتَّقُواْ اللَّهِ، أُوْصِيْكُمْ وَ إِيَّايَ بِتَقْوَى اللَّهِ، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ

.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

Saya berpesan kepada diri saya dan menyeru kepada sidang Jumaat yang dikasihi sekalian, marilah sama-sama kita bertaqwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar taqwa serta melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kehidupan kita diberkati di dunia dan di akhirat. Tajuk khutbah Jumaat pada hari ini ialah: “MEMPERCAYAI ADANYA HARI PEMBALASAN”.

.
.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

Hari akhirat adalah di antara rukun-rukun iman yang wajib diyakini. Sesiapa yang meragui dan tidak mempercayai adanya hari Akhirat bererti dia telah merosakkan imannya dan terkeluar daripada agama Islam. Keimanan kepada hari akhirat tidak sekadar mempercayai adanya kehidupan selepas mati, tetapi kita perlu meyakini bahawa pada hari tersebut setiap manusia akan dihitung amalannya satu persatu dan akan menerima pembalasan bagi setiap amalannya sama ada ke syurga atau ke neraka jahannam. Wal ‘iyazubillah.

Allah SWT berfirman dalam surah al-Zalzalah ayat 7-8:

فَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُ ﴿٧﴾ وَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ شَرًّا يَرَهُ ﴿٨

Maksudnya: “Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat dzarrah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!. Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarrah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!.”

.
.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

Manusia sering kali lupa dan lalai, malahan telah menjadi sifat semulajadi manusia kurang ingat jika tidak diberi peringatan. Malah kelalaian itu adalah satu kerugian yang amat besar. Allah SWT berfirman dalam surah al-Asr ayat 1-3:

وَالْعَصْرِ ﴿١﴾ إِنَّ الْإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ ﴿٢﴾ إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ ﴿٣

Maksudnya: “Demi masa, Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal salih, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.”

Ingatlah hidup ini pasti ada kesudahan, apabila kita terlalu asyik dalam menjalani kehidupan di dunia ini jangan pula kita lupa kehidupan di akhirat nanti. Janganlah kita termasuk dalam kumpulan yang masih lalai, berlengah-lengah dan alpa. Kita diuji dengan pelbagai ujian, walaupun sudah jatuh sakit bahkan setengah daripadanya semakin sakit semakin tidak mempedulikan ibadat. Pada hal semasa sakit itulah sepatutnya hati semakin dekat kepada Allah kerana teringatkan Akhirat.

Begitu juga tidak kira yang tua, yang lanjut usia, atau yang muda, hendaklah sentiasa mengambil iktibar. Bagi mereka yang mendapat umur panjang adalah mereka yang paling beruntung kerana dapat hidup untuk beramal dengan penuh ketaatan kepada Allah SWT.

Abu Bakrah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah ditanya seseorang tentang umur baik dan buruk:
“Daripada Abu Bakrah, seseorang telah bertanya: “Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling baik?” Baginda menjawab: “ Orang yang panjang umur dan baik pula amalannya.” Lelaki itu bertanya lagi: “ Siapakah pula yang paling jahat?” Baginda menjawab: “ Orang yang panjang umur dan buruk pula amalannya.” (Riwayat Ahmad dan At-Tirmidzi)

.
.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

Pada hari ini kita dapat melihat pelbagai cara yang dilakukan oleh umat manusia untuk persiapan menghadapi Hari Akhirat. Ada yang membuat persiapan bersungguh-sungguh dengan menginsafi dan meninggalkan segala perbuatan hina dan keji selama ini, memohon maaf di atas kesalahannya samada kesalahan yang berkaitan sesama manusia atau dengan Allah, namun begitu ada juga yang suka menangguhkan persiapannya sehingga umur tua, atau langsung tidak menghiraukannya walaupun dia mempercayainya. Malahan ada di kalangan orang yang berkata “masa muda hanya sekali, tunggulah satu hari nanti”. Sesungguhnya kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan.

Allah SWT berfirman dalam surah Faatir ayat 32:

ثُمَّ أَوْرَثْنَا الْكِتَابَ الَّذِينَ اصْطَفَيْنَا مِنْ عِبَادِنَا ۖ فَمِنْهُمْ ظَالِمٌ لِّنَفْسِهِ وَمِنْهُم مُّقْتَصِدٌ وَمِنْهُمْ سَابِقٌ بِالْخَيْرَاتِ بِإِذْنِ اللَّـهِ ۚ ذَٰلِكَ هُوَ الْفَضْلُ الْكَبِيرُ ﴿٣٢

Maksudnya: “Kemudian Kami jadikan Al-Qur’an itu diwarisi oleh orang-orang yang Kami pilih dari kalangan hamba Kami; maka di antara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri(dengan tidak mengendahkan ajaran al-Quran), dan di antaranya ada yang bersikap sederhana, dan di antaranya pula ada yang mendahului (orang lain) dalam berbuat kebajikan dengan izin Allah. Yang demikian itu ialah limpah kurnia yang besar (dari Allah semata-mata).”

.
.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

Percayalah bahawa persiapan kita menghadapi mahkamah Allah SWT yang Maha Adil dan teliti itu, sebenarnya akan disokong dengan bukti dan yang menjadi saksinya pula nanti adalah anggota badan seperti tangan dan kaki kita sendiri, peguamcaranya pula adalah dari kalangan para malaikat. Oleh itu, jawapan kepada mahkamah rabbul jalil itu hendaklah dibuat secara benar-benar dan bersungguh-sungguh berdasarkan perbuatan sepanjang masa ketika hidup di dunia. Bukan persiapan berkala mengikut kesempatan, dan hendaklah meliputi perkara-perkata berikut:

Pertama: Hubungan kita dengan Allah SWT melalui ibadah solat dan rukun Islam lainnya.
Kedua: Hubungan kita sesama manusia seperti ibubapa, anak, isteri, saudara mara dan masyarakat.

Jangan sesekali kita mencerobohi hak-hak mereka seperti nyawa, harta dan maruah. Ini diperingatkan oleh Rasulullah SAW. Sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad bermaksud: “Adakah kamu tahu siapa orang yang muflis di kalangan umatku? Kami menjawab orang muflis itu ya Rasulullah ialah orang yang tiada wang ringgit dan tiada harta. Sabda Rasulullah SAW.

“Sesungguhnya orang muflis di kalangan umatku ialah mereka yang datang pada hari kiamat dengan membawa pahala puasa, solat dan zakatnya, tiba-tiba dia didakwa telah mengumpat seseorang, menuduh seseorang dan memakan harta seseorang, maka untuk itu dia diminta menebus dosanya dengan pahala-pahalanya, setelah habis pahalanya tetapi hutangnya belum tertebus, maka diambil pula dosa orang yang dianiayanya sebagai ganti lalu dimasukkan ke dalam buku catatannya dan kemudian dicampakkan ke neraka.”

.
.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

Rasulullah SAW dalam masa sepuluh (10) tahun di Madinah telah dapat menempatkan Islam dan umatnya di kedudukan yang dihormati kawan dan disegani lawan. Kesan daripada tarbiyah madrasah Rasulullah SAW itu, ramai sahabat yang mempunyai jiwa juang yang kuat dan kental sehingga berjaya menghancurkan pengaruh, penguasaan dan fitnah Yahudi, serta mencapai banyak kejayaan dalam berbagai bidang seperti ketenteraan, ekonomi, sosial dan pendidikan.

Semangat rajin berusaha yang ditekankan oleh Rasulullah SAW berasaskan keimanan kepada hari akhirat telah berjaya membangunkan tamadun diri dan masyarakat Islam. Menurut Imam Ahmad bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Jika telah datang tanda-tanda kiamat besar dan ditanganmu terdapat sebiji benih yang hendak di tanam, maka teruskanlah menanamnya”.

Persoalan besar timbul di sini ialah untuk apa perbuatan menanam sebiji benih dalam gengaman ini perlu dilakukan di saat semua orang menghadapi kesibukan huru hara hari kiamat?. Sudah pasti ia adalah sebagai satu cabaran dan bukti keimanan seseorang dalam menyiapkan diri sebelum menghadapi hari pembalasan.

Ternyata galakan untuk memotivasikan diri sendiri dengan amalan-amalan kebajikan amatlah digalakkan walaupun kebajikan itu tidak memberi erti kepada orang lain. Justeru mengingati azab hari kiamat meninggalkan kesan yang sangat positif dalam diri kita sebagai satu saranan bagi diri sendiri untuk membuat persiapan yang mencukupi sebagai bekalan di akhirat kelak.

Marilah sama-sama kita sedar dan insaf bahawa sebagai hamba, pintu taubat sentiasa terbuka. Rasulullah SAW bersabda mafhumnya: “Sebaik-baik orang yang sering berbuat kesalahan adalah yang sering bertaubat kepada-Nya.” (Riwayat at-Tirmidzi).

Bagi mereka yang ingin bertaubat maka hendaklah ikhlas dan menyerah diri sepenuhnya kepada Allah SWT di dalam taubatnya, bermujahadah dengan bersunguh-sungguh untuk mengelak diri dari diperhambakan oleh hawa nafsu. Mengawal nafsu dari melakukan maksiat bukanlah bermaksud melawan sekali dua tetapi ianya perlu berterusan kerana Allah SWT. Apabila seseorang bermujahadah melawan nafsunya, InsyaAllah, kebaikan dan keberkatan akan datang kepadanya.

.
.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

Mengakhiri khutbah, mimbar menyeru sidang jemaah sekalian, marilah sama-sama kita bersiap sedia memperlengkapkan diri dengan amal ibadah yang diredhai oleh Allah SWT berasaskan keimanan kepada balasan hari akhirat dengan langkah-langkah berikut:

Pertama: Bersegera dalam melakukan kebaikan dan meninggalkan maksiat kerana maut tidak pernah menunggu kita.
Kedua: Bersegera untuk memperbetulkan kesilapan atau kesalahan yang pernah kita lakukan dalam hubungan kita dengan Allah dan sesama manusia.
Ketiga: Bekerja dan berusaha dengan bersungguh-sungguh dalam perkara yang diredhai Allah.
Keempat: Menghulurkan bantuan sebagai sedekah jariah dan memperbanyakkan amal jariah untuk kemajuan umat Islam sepanjang masa.

Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al- Hadid ayat 21:

سَابِقُوا إِلَىٰ مَغْفِرَةٍ مِّن رَّبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا كَعَرْضِ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ أُعِدَّتْ لِلَّذِينَ آمَنُوا بِاللَّـهِ وَرُسُلِهِ ۚ ذَٰلِكَ فَضْلُ اللَّـهِ يُؤْتِيهِ مَن يَشَاءُ ۚ وَاللَّـهُ ذُو الْفَضْلِ الْعَظِيمِ ﴿٢١

Maksudnya: “Berlumba-lumbalah kamu(mengerjakan amal-amal yang baik) untuk mendapat keampunan dari Tuhan kamu, dan mendapat syurga yang bidangyna seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Rasul-Nya; yang demikian ialah limpah kurnia Allah; diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya; dan Allah sememangnya mempunyai kurnia yang besar”.

.

بَارَكَ اللَّهُ لِي وَلَكُمْ فِى الْقُرْءَانِ الْعَظِيمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُم تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللَّهَ الْعَظِيمَ لِي وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، والْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوهُ فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَعْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

.
.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
“Mempercayai Adanya Hari Pembalasan”
(18 April 2014 / 18 Jamadil Akhir 1435)

.
.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

.

Posted by; shafiqolbu

.
.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: